Detik Waktu

Showing posts with label Pendapat. Show all posts
Showing posts with label Pendapat. Show all posts

Thursday, March 29, 2012

ANAK MUDA, PILIHAN DI TANGAN KITA

[[[Alhamdulillah, sebelum zohor tadi berkesempatan menukilkan sedikit pandangan buat sahabat-sahabat anak muda menjelang PRU-13 nanti. Terus dihantar ke Harakahdaily dan baru sahaja keluar di web itu sebentar tadi. Rujuk di sini. Semoga ia menjadi satu muhasabah buat semua.]]]



Detiknya semakin hampir. Namun tarikhnya hanya dalam kepala PM. Semua tertunggu-tunggu, penuh sabar dan penuh semangat. Saya pun turut teruja. Kali kedua bakal mengundi, namun kali pertama akan terlibat secara lebih dekat. 4 tahun lalu, hanya membantu sekadar yang mampu dalam keterbatasan status sebagai seorang mahasiswa. InsyaAllah, kali ini akan meyumbang lebih lagi. Anak muda bukan sekadar sokong semata-mata, tetapi perlu juga mendokong sekali pilihan mereka.

Menjelang PRU-13 ini, sudah banyak pandangan dan hujjah yang telah diutarakan tentang pentingnya mendapat undi dari anak muda. Boleh dikatakan, anak muda menjadi sasaran utama ‘bidikan-bidikan janji’ dari parti-parti yang bakal bertanding dalam PRU-13 kelak. Pelbagai aktiviti dan program diaturkan khusus untuk golongan muda oleh PR dan BN bagi memastikan setiap undi anak muda itu menjadi milik mereka. Wah, sungguh popular sekali anak muda beberapa bulan ini dan begitu sekali mereka di’manja’kan dengan pelbagai ‘makanan’ dan ‘minuman’.

Kalau dulu, hanya sebahagian anak muda yang mendapat perhatian (khususnya mahasiswa), namun kini boleh dikatakan setiap kelompok dan golongan anak muda yang cuba disantuni oleh pihak-pihak ini. Kaki lepak, kaki motor, mat rock, kaki muzik, kaki sukan dan bermacam lagi golongan anak muda pasti akan di’belai’ oleh wakil-wakil parti politik ini. Cuma harapannya, bukan sekadar undi mereka yang menjadi dambaan, tetapi pastikan juga suara, permasalahan, pandangan dan kritikan yang mereka sampaikan diambil kira dan dipandang serius oleh parti-parti politik ini. Janganlah kelak, ‘habis madu, sepah dibuang’.

Khas kepada rakan-rakanku anak muda, gunakanlah kesempatan yang diberikan ini dengan sebaik-baiknya untuk menyatakan hasrat hati dan sudut pandang kalian. Jangan biarkan kalian hanya larut dan cair dengan janji-janji mereka semata, tanpa memberikan respon dan idea yang bernas untuk mereka laksanakan kelak selepas mereka menang kelak. Apa yang saya lihat, janji yang mereka berikan itu hanyalah menyentuh beberapa aspek kepemudaan sahaja, kerana mereka tidak mampu untuk memahami sepenuhnya hasrat dan harapan anak muda. Hanya kalian sahaja yang mampu membantu mereka memahami hasrat hati anak muda ini dengan pandangan dan buah fikiran yang bernas dan mantap.

Hakikatnya kini pilihan di tangan kalian. Pada saya, janji dan harapan oleh kedua-dua pihak kepada anak muda adalah seimbang. Pada asasnya, saya yakin kemampuan PR dan BN untuk memenuhi janji yang diberikan kepada anak muda, namun apa yang bakal membezakan mereka ialah kesanggupan untuk memenuhi hasrat dan meraikan sudut pandang anak muda. Kalian nilailah secara adil dan jujur, pasti kalian dapat melihat pihak manakah yang lebih terbuka dan terkehadapan dalam usaha meraikan permintaan dan hasrat anak muda ini.

Ingin sekali saya tegaskan, undilah bukan semata-mata untuk masa depan kalian sahaja, bukan sekadar untuk mencapai hasrat dan impian kalian semata-mata. Lihatlah juga mereka yang disekeliling kalian. Orang tua, golongan dewasa, para remaja, kanak-kanak, golongan fakir miskin, dan sebagainya akan merasai kesannya kelak hasil daripada undi kalian. Lihatlah juga apa yang telah berlalu, keadaan sekarang, dan masa depan yang kalian impikan dalam membuat penilaian dan pilihan kelak.

Hakikatnya, pasti ramai yang inginkan perubahan dan penambahbaikan dalam sistem hidup masyarakat Malaysia pada hari ini. Saya merasakan, Malaysia memerlukan satu sentuhan baru yang lebih adil, bermatlamat dan meraikan hasrat semua pihak dalam sistem pemerintahan negara. Jika awal kemerdekaan, di saat pembangunan fizikal kita begitu mundur dan ketinggalan, kita mengimpikan sebuah negara yang maju dan berdaya saing, dan Alhamdulillah kini kita dapat mengecapinya sedikit sebanyak pada hari ini.

Namun pada hari ini saya merasakan, apa yang menjadi dambaan ramai rakyat Malaysia ialah keseimbangan antara pembangunan fizikal dan rohani dalam masyarakat. Secara jujurnya, saya berpandangan kita mampu berbangga dengan kehebatan fizikal negara kita, namun jauh sekali untuk kita berbangga dengan akhlak dan pembangunan rohani masyarakat kita. Justeru, Malaysia kini memerlukan pemimpin yang mampu membawa keseimbangan dalam kedua-dua aspek penting ini.

Kesimpulannya, wahai anak muda, bersedialah untuk mengundi kelak. Adillah dalam membuat pertimbangan dan lihatlah dalam kontek yang luas. Tawaran dan janji sudah mereka nyatakan. Kini, pilihan di tangan kita. Undilah untuk masa depan yang lebih gemilang, InsyaAllah.

Insan Rabbani,
6 Jamadilawal 1433H,
Kota Bharu, Kelantan.

Sunday, March 18, 2012

SIKAP & PANDANGAN KITA TERHADAP UMNO/BN

Dalam arena dan gelanggang politik, perbezaan dan percanggahan pendapat di antara kelompok-kelompok tertentu adalah suatu yang lumrah. Bahkan perbalahan dan persengketaan itu kadang-kadang membawa kepada natijah yang lebih buruk lagi. Namun, situasi ini bukanlah sesuatu yang pelik dan jelik, walhal inilah warna warni politik yang seharusnya ditangani secara berhemah dan berlapang dada oleh semua pihak.

PAS dan UMNO merupakan dua parti politik Orang Melayu yang telah lama menapak dan mendapat tempat di hati rakyat awam. Dan kedua-dua parti politik ini telah bermusuh sejak sekian lama, dengan pelbagai rencah dan rempah permusuhan telah dirasai oleh kedua-dua pihak. PAS dan UMNO, bukan sahaja berbeza darisegi idologi siasah, bahkan juga berbeza darisegi tindakan dan perancangan. PAS adalah sebuah parti politik yang berasaskan kepada Islam, dengan Al-Quran dan As-Sunnah menjadi rujukan dan panduan utama dalam memacu perjalan parti. Manakala UMNO pula adalah parti politik yang membawa agenda bangsa dan kebangsaan, dengan tidak menafikan matlamat agama (kata mereka). Inilah serba sedikit perbezaan antara PAS dan UMNO.

Walaupun begitu, perbezaan ini bukanlah menjadi topik utama yang ingin dibincangkan oleh saya. Biarkan perbezaan itu. Apa yang ingin saya cuba lontarkan di sini ialah tentang sikap dan pandangan kita (merujuk kepada orang PAS) terhadap UMNO/BN. Sebagaimana yang kita tahu dan kita amalkan, PAS adalah sebuah Jemaah Islam yang bergerak dengan nilai-nilai dan aturan Islam. Politik PAS adalah politik Islam. Maka bilamana orang PAS berpolitik, maka politik mereka itu mestilah berlandaskan kepada aturan Islam dan tidak melanggar aturan Syari’at Allah dan Rasulullah SAW.

Sejarah pernah membuktikan, pertembungan antara orang PAS dan orang UMNO kadang-kadang membawa kepada permusuhan yang panjang dan sehingga pernah berlaku pertumpahan darah. Saya pernah mendengar cerita-cerita orang tua tentang pertentangan antara Orang PAS dan Orang UMNO. Kadang-kadang terfikir, benarkah begini perangai dan sikap orang PAS? Ya, PAS bukanlah sebuah parti politik yang sempurna, dan Orang PAS bukanlah manusia yang ma’sum. Orang PAS pasti ada yang melakukan kesilapan dan kekhilafan. Sebab itulah dalam PAS ini ada sistem Tarbiyah, Ta’dib dan Hisbah.

Kini saya melihat permusuhan antara Orang PAS dan UMNO tetap berlaku, walaupun tidak seteruk dan seburuk dahulu. Permusuhan dan pertentangan kini dalam kontek dan wadah yang berbeza. Saya memikirkan, permusuhan ini bukanlah semata-mata disebabkan perbezaan pandangan, pendekatan dan idiologi semata-mata, namun kedang-kadang ianya berlaku kerana sikap dan pandangan kita (orang PAS) terhadap orang UMNO. Dan inilah yang ingin saya cuba sampaikan dan muhasabah dalam perkongsian ini.

Pernahkah kita merenung dan memikirkan apakah sikap dan pandangan kita terhadap orang UMNO? Adakah kita ini menganggap mereka semata-mata sebagai musuh politik yang benar-benar perlu ditentangi? Ataupun adakah kita ini hanya melihat mereka golongan yang sesat ataupun yang tersasar dari landasan Islam? Ataupun kita ini merasakan mereka ini adalah sasaran dakwah yang perlu diseru dan dipimpin ke jalan yang sebenar? Kita perlu tanya diri kita tentang persoalan ini. Apakah sikap dan pandangan aku terhadap orang UMNO? Hal ini kerana, secara teorinya sikap dan pandangan kita inilah yang akan mempengaruhi tindakan dan pendekatan kita terhadap orang UMNO.

Saya melihat, secara umumnya, kebanyakan orang PAS, di semua peringkat, majoritinya menganggap orang UMNO adalah musuh politik yang seharusnya ditolak dan ditentang dengan sehebat mungkin. Bahkan ada dikalangan kita yang memandang Orang UMNO adalah manusia yang paling keji dan berpenyakit sehingga tidak dapat lagi untuk diubati. Inilah antara pandangan-pandangan majoriti orang PAS terhadap UMNO. Dan pandangan inilah yang mencorakkan sikap, pendekatan dan layanan kita terhadap orang UMNO.

Tidakkah pernah kita terfikir, adakah benar dan tepat sikap dan pandangan kita ini? Adakah ianya selari dengan tuntutan Islam? Dan jika kita tidak pernah memikirkannya, maka ambillah sedikit masa untuk memikirkannya. Ini bukanlah perkara yang kecil. Bahkan ia melibatkan hubungan kita sesama manusia yang lain. Dan saya berpendirian, jika sikap dan pandangan begini yang kita pegang dan amalkan semata-mata, maka kita adalah SALAH.

Ya, UMNO telah banyak melakukan kerosakan dalam masyarakat. Kalau hendak disenaraikan, terlalu banyak sekali kekhilafan yang telah mereka lakukan sepanjang diberi amanah memerintah negara ini di bawah Barisan Nasional. Tidak dapat dinafikan juga, perangai para pemimpin dan ahli UMNO kadang-kadang tersangat melampau dan melanggar syariat. Sudah banyak jiwa-jiwa yang menderita dan kesakitan dek kerana tindakan UMNO/BN. Dan jika difikirkan secara lojik akal manusia, ditambah pula dengan emosi dan nafsu yang menguasai, memang sepatutnya UMNO ini dibenci dan ditolak.

Namun di sana, tidakkah kita sedar bahawa PAS ini bukanlah bergerak dengan agenda politik semata-mata, sedangkan di sana ada agenda Dakwah yang juga perlu dilaksanakan secara bersama. Maka bilamana kita menyebut tentang dakwah, pasti di sana ada sasaran dakwah yang perlu kita bimbing dan pimpin. Saya melihat, antara sasaran dakwah itu adalah orang-orang UMNO/BN. Kita mengakui bahawa mereka itu banyak kesalahan, banyak membuat khilaf dan kadang-kadang tersasar dari landasan Syari’at yang sebenar, maka adakah bila begitu, kita hanya perlu menolak dan membenci mereka? Tanpa ada rasa ingin memimpin dan membimbing mereka kembali ke landasan yang sebenar?

Jika begitulah yang selayaknya, maka sudah tentulah orang-orang Musyrikin Makkah dahulu ditinggalkan dan ditolak terus oleh Baginda SAW. Tidakkah tentangan yang diterima oleh Rasulullah SAW dahulu adalah terlebih kuat dan tersangat hebat berbanding kita pada hari ini? Tidakkah Rasulullah SAW terus berusaha menyeru dan mengajak mereka kepada kebaikan disebalik tentangan yang hebat itu? Dan bukankah Rasulullah itu kita anggap sebagai idola dan ikutan kita semua? Justeru, kenapa dalam hal ini (merujuk kepada sikap dan pandangan kita kepada UMNO/BN), kita tidak selari dengan Baginda SAW? Kenapa kita membiarkan sikap benci dan marah kita terhadap UMNO/BN menguasai diri kita sehinggakan kita menafikan amanah Dakwah kita dan menafikan hak mereka untuk menerima dakwah daripada kita?

Saya ingin tegaskan, marilah kita kembali membetulkan persepsi dan sikap kita terhadap UMNO/BN ini. Kita selayaknya menganggap mereka musuh politik yang perlu ditentang, namun mereka juga selayaknya dijadikan sasaran dakwah yang perlu dibimbing dan dipimpin untuk kembali ke landasan yang sebenar. Maka, bencinya kita terhadap UMNO/BN itu hanyalah pada sikap dan tindakan mereka, bukannya pada batang tubuh orang-orang UMNO/BN itu sendiri. Kita menolak tindakan mereka yang zalim lagi jahat, namun dalam pada masa yang sama, kita menerima mereka sebagai saudara seagama kita yang perlu di dakwah.

Inilah antara keindahan Dakwah yang mungkin tidak akan kita jumpa dalam keasyikan berpolitik. Dakwah di dalamnya ada sifat kasih sayang. InsyaAllah bilamana politik kita adalah politik dakwah, yang terangkum di dalamnya agenda dakwah, maka tidak msutahil suatu masa nanti ramai di kalangan orang UMNO akan bersama dengan kita. Hari ini kita lebih banyak berlawan dan menentang mereka secara fizikal, namun kita kurang pada seruan dan ajakan. Sudah sampai masanya kita kembali memuhasabah sikap kita terhadap mereka. Akhirnya, ingin saya tegaskan, bencilah dan tentanglah UMNO pada sikap, tindakan dan perangai mereka, juga pada perjuangan kebangsaan mereka, tetapi sayangilah mereka sebagai sasaran dakwah yang wajib kita bimbing dan pimpin. Semoga petunjuk Allah SWT bersama kita sentiasa dan juga menyuluh mereka juga.

Insan Rabbani,
PLPK, Kota Bharu,
22 Rabiulakhir 2012.

Monday, March 5, 2012

JANGAN BIARKAN POLITIK MENDAHULUI AQIDAH PERJUANGAN

Perjuangan Islam merupakan satu sunnah yang sewajibnya diteruskan oleh generasi kini sebagaimana yang telah diwarisi oleh Baginda Rasulullah SAW, para sahabat dan seterusnya ummat yang terdahulu. Perjuangan Islam adalah dilandaskan kepada Aqidah yang benar dan jelas, bersumberkan kepada Al-Quran dan As-sunnah sebagai panduan. Ia dihiasai dengan Jihad dan Pengorbanan yang menjadi kekuatan kepada Perjuang Islam itu sendiri. Inilah antara asas dan konsep yang perlu difahami dan dihayati oleh semua Pejuang Islam.

Walaupun asas perjuangan Islam itu tetap, namun method dan kaedah kepada perjuangan itu adalah bersifat anjal dan berubah, sesuai mengikut zaman dan keadaan semasa. Method inilah juga yang seharusnya difahami oleh para pejuang Islam agar setiap tindakan dan strategi dalam perjuangan Islam itu tepat dan mencapai matlamatnya. Di Malaysia kini, antara method dan wasilah dalam memperjuangkan Islam itu adalah melalui medan politik demokrasi, iaitu keterlibatan dalam sistem pilihanraya. Alhamdulillah, PAS, sebuah gerakan Islam, telah mengambil satu ijtihad yang baik dengan menyertai pilihanraya bagi mendapatkan kuasa untuk melaksanakan amanah pemerintahan di bumi ini mengikut acuan Islam.



Sehingga kini, PAS telah menunjukkan satu komitmen yang tinggi dalam gelanggang politik ini bagi mencapai hasrat murni memartabatkan sistem pemerintahan Islam di negara ini. Hakikatnya, dalam usaha ke arah mencapai hasrat dan matlamat ini, PAS terpaksa mengambil pendekatan untuk menyertai arena politik demokrasi, bagi memastikan maslahat Islam dan ummat yang lebih besar dapat diraikan kelak. Tidak dapat dinafikan, apabila bergelumbang dalam arena politik demokrasi ciptaan barat ini, PAS perlulah berfikiran lebih terbuka dan meraikan banyak pihak. Namun bagitu PAS dilihat tidak menggadaikan asas Perjuangan Islam dan tetap komited dengan agenda Islam mereka.

Namun di sana, pasti akan ada kelompongan dan kelemahan apabila bergelumang dalam medan politik demokrasi ini. Tidak dapat dinafikan, bukan semua mereka yang terlibat dalam menggerakkan agenda politik PAS benar-benar memahami dan menghayati akan konsep sebenar politik dalam Islam. Harus diingat mereka yang begitu bersemangat menggerakkan agenda politik PAS ini adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang, yang mana khidmat dan peranan mereka ini adalah amat besar kepada keberkesanan penyertaan PAS dalam politik Malaysia.

Penulis melihat, sudah mula merebak di dalam PAS simptom-simptom penyakit politik yang mampu membentuk satu barah yang kronik yang akhirnya mampu menjatuhkan PAS jika tidak diubati dan dikawal dengan sebaiknya. Apa yang penulis maksudkan di sini ialah sudah ada dikalangan pemimpin mahupun ahli PAS yang sudah mula menjauhkan diri dengan Aqidah Perjuangan yang sebenar apabila mereka mula larut dalam gelanggang politik demokrasi ciptaan barat ini. Mereka sudah lupa bahawa politik demokrasi ini hanyalah semata-mata wasilah yang dipilih oleh PAS dalam melaksanakan amanah Perjuangan Islam.

Ramai dikalangan orang PAS sudah mula memandang politik ini sebagaimana pandangan golongan sekular, yang menganggap ianya merupakan salah satu cara untuk mengaut kemewahan, kuasa dan penghormatan daripada manusia. Sebab itulah kini sudah merebak penyakit-penyakit orang UMNO di dalam PAS. Tidak perlulah penulis menyebutkan apakah penyakit-penyakit tersebut, cukup sekadar penulis menyatakan bahawa penyakit-penyakit itu sudah mula merebak ke dalam PAS secara perlahan-lahan. Dan sebab itulah ramai yang melihat PAS hanyalah sebagai sebuah parti politik sebagaimana parti-parti yang lain, bukan lagi sebagai sebuah Gerakan Islam, yang memperjuangkan Dakwah, Tarbiyah dan Siasah secara selari.



Justeru bukanlah sesuatu yang pelik kini jika ada di kalangan ahli PAS yang begitu bersemangat dengan gerak kerja politik, namun tersungkur dan tewas apabila diajak ke program dakwah dan tarbiyah. Ya, politik itu terkandung di dalamnya elemen dakwah dan tarbiyah, namun jika nilai dan konsep yang diamalkan itu adalah politik demokrasi ciptaan barat, bukannya politik sebagaimana yang dianjurkan Islam, maka tidak salahlah jika masyarakat mula menganggap PAS adalah sebuah parti politik semata-mata sebagaimana parti-parti lain. Tidak salahlah juga jika masyarakat mengaanggap orang PAS ini adalah orang politik semata-mata, bukan lagi ‘orang dakwah dan tarbiyah’.

Justeru, penulis ingin menyeru kepada semua penggerak PAS, samaada pimpinan mahupun ahli biasa untuk kita kembali menghayati dan memahami konsep perjuang Islam yang sebenar. Fahamlah apa itu Aqidah Perjuangan, apa itu Politik Islam, apa itu jihad pengorbanan, apa itu mehnah dan ujian. Ingatlah, di saat kita diberikan amanah mentadbir beberapa negeri, janganlah kita dibuai leka dan lalai, sehingga kita berasa begitu selesa dan yakin dengan semua tindakan kita. Hakikatnya, di saat inilah, musuh-musuh mudah untuk mencari peluang dan ruang untuk menjatuhkan kita.

Penulis ingin sekali tegaskan, PAS adalah sebuah Jemaah Islam, hadirnya adalah untuk memperjuangkan Islam melalui tarbiyah, dakwah dan siasah. Maka pandulah kereta ‘PAS’ ini sebagai sebuah Jemaah Islam, bukan sebagai parti politik semata-mata. Jika ditakdirkan suatu masa politik itu tidak wujud, maka pada waktu itu PAS tetap akan wujud dan hidup, kerana di sana masih ada Dakwah dan Tarbiyah, yang merupakan dua tonggak utama yang hadir sebelum politik. Inilah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW, tugas awal Baginda adalah Dakwah dan Tarbiyah. Selepas dua elemen ini mampu dihayati dan difahami oleh para sahabat Baginda, maka barulah Rasulullah SAW menyambungkannya dengan elemen Siasah, namun dalam keadaan dakwah dan tarbiyah itu tetap menjadi tonggak kepada politik itu sendiri.




Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan keresahan penulis melihat perkembangan PAS kini. Jika perkongsian ini ada manfaat dan benarnya, ambillah peringatan dan pengajaran daripadanya. Jika perkongsian ini bukanlah menggambarkan realiti yang sebenar, maka penulis ingin memohon maaf atas pandangan yang lemah ini. Berlapang dadalah. Semoga kita semua terus diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk meneruskan agenda Perjuang Islam yang menjadi amanah kita semua di muka bumi ini. Siru ‘Ala Barakatillah.

[Alhamdulillah, artikel ini telah dihantar ke Harakahdaily dan telah diterima untuk dipostkan oleh Editor Harakahdaily. Sila rujuk di sini]

Wednesday, December 14, 2011

BERDAKWAH MELALUI FILEM


Dakwah: Satu Realiti

Dakwah merupakan satu kewajipan yang menjadi tanggungjawab dan amanah setiap ummat Islam. Rasulullah SAW telah menjalankan dakwah kepada Kaum Arab Quraisy dan seterusnya dakwah itu diwarisi oleh para sahabat sehinggalah ke generasi hari ini. Rantaian kerja dakwah yang telah dilaksanakan semenjak dari dahulu lagi telah memberikan kefahaman kepada ummat manusia akan ajaran Islam yang Syumul dan Bersederhana ini.

Keberjayaan sesuatu urusan ataupun gerak kerja dakwah dipengaruhi oleh banyak faktor dan salah satu daripadanya ialah method atau cara dakwah yang berkesan dan tepat. Lihat sahajalah bagaimana Rasulullah SAW yang telah menjalankan dakwah dalam pelbagai bentuk dan cara. Method dakwah ini mestilah meraikan suasana masyarakat pada sesuatu tempat, agar ianya berjaya menarik minat dan mudah diterima oleh masyarakat di kawasan tersebut.

Dalam zaman moden yang diwarnai dengan pelbagai kemudahan dan teknologi, urusan dakwah dilihat semakin mencabar, namun dalam masa yang sama ia dilihat semakin mudah dan skopnya semakin meluas. Saya katakan ianya semakin mecabar kerana para pendakwah perlulah menguasai segala teknologi yang ada pada hari ini bagi memastikan sasaran dakwah itu lebih meluas dan method yang digunakan adalah sesuai dengan keadaan dan realiti pada ketika ini.

Kini, salah satu method dakwah yang saya lihat seharusnya dimanipulasikan oleh para pendakwah ialah melalui hiburan. Dan saya rasakan, dalam suasana sekarang, antara ruang atau medium hiburan yang boleh digunakan ialah melalui Filem. Ini kerana, industri perfileman di seluruh dunia kini begitu cepat berkembang, dan apa yang merisaukan dan mendukacitakan kita ialah golongan yang menguasai industri ini ialah Yahudi dan Kristian.

Kebobrokan Industri Filem Malaysia

Di Malaysia, industri perfileman juga dilihat semakin berkembang dan mendapat perhatian yang serius dari pelbagai pihak. Saban tahun, jumlah filem yang dihasilkan semakin bertambah selari juga dengan peningkatan kualiti filem yang dihasilkan. Jika dahulu, kebanyakan para pengarah filem adalah mereka yang sudah mencapai usia tua, namun kini telah lahir ramai pengarah muda yang mampu menghasilkan karya yang lebih berkuali dan menarik. Siapa tidak kenal dengan Syamsul Yusof, Ahmad Idham dan Farid Kamil yang merupakan beberapa contoh pengarah muda yang telah menggegarkan industri filem.

Namun begitu, disebalik perkembangan pesat industri filem di Malaysia ini, terselit juga perkara-perkara negatif yang memberi kesan kepada masyarakat umum. Beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat bagaimana industri filem dilimpahi dengan karya-karya yang bertemakan ‘Hantu’ sehinggakan ramai dikalangan pengarah filem yang mengambil pendekatan untuk menghasilkan filem berkonsepkan mistik ini. Selepas itu, muncul pula filem yang bertemakan ‘gansterism’, ‘lumba haram’ dan ‘kongsi gelap’ yang berkembang selari dengan filem berkonsepkan mistik tadi.

Walaupun filem berkonsepkan percintaan dan kekeluargaan masih mendapat tempat dikalangan  pengarah lama, namun karya-karya yang dihasilkan oleh orang baru dilihat lebih menarik minat masyarakat untuk menontonnya. Kini, kontroversi yang melanda industri perfileman negara dilihat semakin parah dan berlaku banyak perkara negatif hasil daripada pengaruh filem barat yang cuba diterjemahkan ke dalam industri filem tempatan. Ada yang mengatakan bahawa untuk maju kehadapan dan mendapat pengiktirafan antarabangsa, industri filem Malaysia perlulah lebih terbuka dan bersifat global. Hasilnya berlakulah pelbagai kebobrokan dan kehancuran nilai dalam industri filem negara.

Terbaru, filem Ombak Rindu mendapat banyak kritikan daripada banyak pihak kerana memaparkan adegan ranjang suami isteri. Bukan itu sahaja, jalan cerita yang mengambarkan kedhaifan seorang ustazah yang diperlakukan dengan sedemikian rupa sedikit sebanyak memberikan kesan negatif kepada masyarakat dalam memahami Islam dengar sebenar-benarnya. Bahkan banyak lagi filem-filem yang dihasilkan kini banyak menayangkan keseksian para pelakon wanitanya dan juga unsur-unsur keganasan yang boleh mempengaruhi pemikiran remaja dan anak muda masa kini.

Filem Sebagai Medium Baru Dakwah

Walaupun semua filem yang dihasilkan ini akan melalui proses tapisan daripada FINAS, yang dikatakan turut dianggotai oleh panel penasihat bahagian agama, namun ia dilihat masih belum cukup untuk mengurangkan dan menyekat perkara-perkara negative seperti yang disebutkan di atas. Banyak lagi usaha dan diskusi yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini. 

Penulis melihat, perkembangan industri filem hari ini perlu digunakan dengan sebaiknya oleh para pendakwah untuk meyebarluaskan sasaran dakwah kepada masyarakat umum. Lihat sahaja contohnya di Indonesia, filem-filem Islamik yang dihasilkan turut mendapat sokongan daripada masyarakat umum. Filem seperti Sang Murabbi, Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan banyak lagi, bukan sahaja memaparkan tema-tema kebiasaan seperti filem lain, namun apa yang lebih penting lagi ialah kemampuan mereka untuk menyelitkan unsur-unsur Islam dan ajaran agama yang secara tidak lansung menjadi satu pengisian dakwah kepada para penontonnya.

Di Malaysia juga sebenarnya sudah ada usaha untuk mengahasilkan filem-filem yang mengandungi unsur-unsur Islam dan dakwah, namun kesannya tidak sebesar yang berlaku di negara jiran iaitu Indonesia. Filem-filem ini masih lagi dibayangi dengan kehebatan dan kualiti yang ada pada filem-filem yang lain. Pun begitu, ruang untuk mengetengahkan dan seterusnya memartabatkan filem berunsur Islam masih lagi ada dan ianya perlulah dipergunakan dengan sebaik-baiknya oleh para pendakwah. 

Hakikatnya, banyak filem-filem pendek yang bertemakan ajaran Islam yang telah dihasilkan oleh pelbagai pihak yang dapat ditonton di internet. Jika langkah awal ini dipanjangkan lagi dengan penghasilan filem yang sebenar, maka tidak mustahil suatu hari nanti, filem Islamik ini akan mendapat tempat di hati para pengarah dan juga para penonton. Penulis ingin sekali melihat keterlibatan institusi dan badan dakwah ke dalam industri filem bagi mencurahkan idea dan memanipulasikan medium baru bagi dakwah ini. Ruang dan peluangnya tersangatlah luas, dan apa yang perlu dilakukan adalah sedikit perancangan yang strategik dan bersistematik bagi memastikan ianya menjadi satu medium dakwah yang sangat berkesan dan bermanfaat untuk semua.

Dakwah Itu Fleksibel, Filem Antara Jalannya

Akhir sekali, penulis sangat tertarik dengan satu karya filem pendek yang telah dihasilkan oleh sekumpulan anak muda melalui One Heart Creative Solution, yang bertajuk ‘Gua Ikut Enta’ yang dihasilkan sempena dengan Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS yang lepas. Ini adalah salah satu contoh kejayaan kecil usaha dakwah melalui filem yang akan menjadi satu titik mula kepada usaha dan gerak kerja yang lebih besar dan mencabar.

Penghijrahan beberapa artis terkenal tanah air juga menunjukkan kepada kita bahawa mereka yang terlibat dalam industri filem ini bukanlah orang yang jahil agama, tetapi sebaliknya mereka memerlukan bimbingan dan bantuan daripada para pendakwah. Mereka yang berhijrah ini boleh diajak untuk terus terlibat dalam industri filem ataupun hiburan namun dalam ‘rumah’ atau ‘kapal’ yang berbeza. Bukan itu sahaja, medium hiburan yang lain seperti teater, nyanyian, dikir barat dan seumpama dengannya juga boleh digunakan sebagai medium dakwah.

Inilah cantiknya dakwah dalam Islam. Ianya bukanlah bersifat jumud, bahkan sangat fleksibel bagi meraikan suasana dan keadaan pada sesuatu zaman dan tempat. Jalan dan medium dakwah itu sangatlah luas dan besar, dan kini industri filem menyediakan satu medium yang baik sesuai dengan kehendak dan permintaan masyarakat masa kini. Ayuh pada pendakwah, janganlah malu untuk menjadi seorang pengarah mahupun pelakon. Siapa tahu, dengan lakonan anda dalam filem akan membuka hati masyarakat untuk kembali kepada Islam.

Mohd Afif Rabbani Abdullah,
Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

Wednesday, June 1, 2011

Semoga Allah SWT Kekalkan Kerajaan Islam Kelantan

Pilihanraya Umum ke-13 semakin hangat diperkatakan. Bukan sekadar oleh jentera-jentera parti yang bertanding, malahan masyarakat umum sendiri telah mula membicarakan dan mengambil cakna akan perkara ini. ‘Cakap-cakap kedai kopi’ tentang PRU 13 ini semakin hangat dan semakin mendebarkan. Pelbagai ramalan telah dikeluarkan mengenai tarikh PRU 13 ini. Ada yang mengatakan sebulan dari sekarang, iaitu pada bulan tujuh, ada yang mengatakan akhir tahun ini dan pelbagai lagi ramalan. Walaubagimanapun, hanya PM yang tahu akan tarikh keramat tersebut.

Hakikatnya, PRU pada kali ini lain dari yang sebelumnya. Kehangatannya lebih dirasai, malah PRU 13 ini begitu mendapat perhatian semua pihak kerana PRU 13 ini bakal menentukan hala tuju banyak perkara. PRU 13 hadir selepas Barisan Nasional (BN) hilang hak memerintah di 4 buah negeri (Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak) disamping satu negeri, iaitu Kelantan yang terus dipegang oleh PAS yang mewakili Pakatan Rakyat. Justeru PRU 13 pada kali ini pasti akan menjadi kayu ukur sejauh mana sokongan rakyat kepada BN dan juga PR, disamping suasana Negara 3 tahun kebelakangan ini yang dihiasai oleh pelbagi isu, peristiwa dan sejarah yang pasti menjadi pertimbangan para pengundi nanti.

Pada PRU 12 yang lepas, Barisan Nasional telah menunjukkan kesungguhan untuk merampas Kelantan yang telah diperintah oleh PAS sejak tahun 1990. Namun, atas kesilapan percaturan dan strategi, dibantu oleh kesungguhan PAS mempertahankan Kelantan, BN gagal untuk merampas Kelantan, malahan kehilangan banyak kerusi DUN dan Parlimen pada PRU tersebut. Pada kali ini, sekali lagi BN telah merancang satu strategi besar untuk merampas Kelantan daripada PAS. Mengambil pendekatan yang telah digunakan oleh BN Terengganu pada PRU 11 2004, yang berjaya merampas semula Negeri Terengganu daripada PAS, BN Kelantan pada kali ini telah melancarkan satu program iaitu Gelombang Merah, yang dikatakan mampu menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan.

Gelombang Merah diterajui oleh individu-individu yang sama sebagaimana Gelombang Biru Terengganu 2004, yang telah mengembalikan semula Terengganu ke bawah pemerintahan BN selepas gagal mempertahankannya pada tahun 1999. Tidak dapat dinafikan agenda Gelombang Merah ini ada aura dan kehebatannya sendiri. Gelombang Merah ini bertujuan menarik sokongan para pengundi Kelantan, terutamanya sokongan orang muda, untuk mengundi BN pada PRU 13 nanti. Hakikatnya, Gelombang Merah akan mempertaruhkan kekuatan ‘gula-gula PRU’ atau ‘wang/kebendaan’ bagi mengkaburi mata penduduk Kelantan. Inilah agenda besar yang telah dirancang oleh BN bagi menjatuhkan dan menumbangkan Kerajaan Islam Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

Namun begitu, rakyak Kelantan tidak seharusnya panic dan terpengaruh dengan agenda Gelombang Merah ini. Bukan sahaja Gelombang Merah, bahkan apa sahaja strategi yang dilakukan oleh BN untuk merampas Kelantan tidak sepatutnya menarik hati dan undi rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan perlulah menyedari bahawa menukar Kerajaan Negeri Kelantan yang sedia ada di bawah pemerintahan PAS, adalah seumpama menggadaikan maruah dan nilai suci agama Islam itu sendiri. Ya, tidak salah untuk penulis menganggap dan memperkatakan sedemikian, kerana itulah hakikatnya. Hari ini, kita telah melihat dengan sendiri bagaimana Kerajaan Kelantan ditadbir dengan penuh amanah dan baik sekali oleh PAS disamping jauh sekali dari isu ketidaktelusan dan penyelewengan dalam pentadbiran.

Sedarlah wahai rakyat Kelantan, mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan yang sedia ada ini adalah satu usaha besar dalam mempertahankan kedaulatan dan kesucian Agama Islam itu sendiri. Sejarah telah membuktikan dan mengajarkan kita bahawa Negeri Kelantan dalam tempoh 20 tahun ini adalah tersangat jauh lebih baik berbanding pada zaman pemerintahan BN dulu. Jangan sekadar dinilai pada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi nilailah seadil-adilnya pada keseimbangan pembangunan antara fizikal dan rohani yang telah dibawa dan ditunjukkan oelh pentadbiran Islam Kelantan pada ketika ini. Ya, Kerajaan Kelantan tidak pernah menafikan bahawa Kelantan sedikit ketingalan berbanding dengan negeri-negeri lain dari aspek pembangunan fizikal, namun janganlah juga dilupai akan kehebatan Kelantan dari aspek rohani dan agamanya.

Penulis amat yakin dan percaya bahawa rakyat Kelantan, yang penuh dengan asuhan dan didikan agama, mampu membuat penilaian yang seadil-adilnya. Penulis juga percaya, denga suasana dunia yang tidak stabil dan kurang tenteram ini, ditambah pula dengan peningkatan kadar jenayah, gejala social, isu rasuah, isu kezaliman dan banyak lagi isu-isu yang lain, rakyat Kelantan memerlukan sebuah Kerajaan yang mampu membimbing dan memimpin mereka untuk terus mara dan maju kehadan dalam acuan ajaran Islam yang sebenar. Dan penulis melihat, ciri-ciri itu hanya ada pada PAS, sebagai sebuah parti tarbiah, dakwah dan siasah, yang meletakkan Islam sebagai panduan dalam setiap urusan dan geraka kerja tadbir mereka. Inilah yang diperlukan oleh rakyat pada masa sekarang.

Ya, tidak dapat dinafikan, kekuatan kewangan juga menjadi sesuatu yang diingankan oleh rakyat Kelantan. Itu semua bukanlah satu masalah kepada Kerajaan Islam Kelantan di bawah pemerintahan PAS, jika semua rakyat bersama-sama dengan Kerajaan Kelantan dalam menuntut hak mereka yang dinafikan oleh Kerajaan Pusat. Kemiskinan Kerajaan Kelantan bukanlah disebabkan oleh ketidakcekapan pengurusan kerajaan, sebaliknya hak kewangan mereka tekah disekat dan dizalimi oleh orang lain. Justeru, rakyat Kelantan perlu sama-sama bangkit dan bersatu tenaga dengan Kerajaan Kelantan dalam menuntut hak Royalti yang telah dinafikan sejak sekalian lamanya. InsyaAllah, jika hak ini dapat dituntut, rakyat Kelantan bakal merasai satu pembangunan dalam acuan Islam, yang lebih dari negeri lain.

Akhirnya, penulis ingin menyeru dan mengajak semua rakyat Kelantan, terutamanya golongan muda untuk sama-sama mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan yang ada ini. Kita semua perlu meyedari dan meyakini bahawa hanya Islam yang mampu menjamin kesejahteraan dan keselamatan kita di dunia dan di akhirat. Semoga Allah merahmati semua rakyat Kelantan dan membantu mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan ini.

Tuesday, February 22, 2011

PILHANRAYA KAMPUS 2011: SATU ANALISA



Sebelum aku menulis mengenai topik di atas, suka aku tegaskan bahawa:

1) Aku hanyalah seorang mahasiswa yang memerhati
2) Aku bukanlah seorang penganalisis politik yang hebat
3) Aku hanyalah seorang warga negara yang mengambil berat akan masa depan negara ini

Justeru, penilaian dan analisis yang akan aku kupas ini hanyalah pandangan seorang anak muda yang kurang pengalaman dan masih belajar, namun mempunyai pandangan untuk diutarakan.

Hakikat Pilihanraya Kampus

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, Pilihanraya Kampus (PRK) akan berlaku dengan hangatnya. Sebelum diumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRK lagi, terutamanya selepas bermulanya semester kedua pengajian, sebilangan mahasiswa akan mula memperkatakan tentang perkara ini. Kehangatan dan kemeriahan PRK akan lebih dirasai bilamana tarikh-tarikh penting seperti penamaan calon dan pembuangan undi diumumkan. Maka bermulalah gerak kerja persiapan ke arah PRK.

Apabila kita membicarakan tentang PRK, kita tidak dapat lari daripada membincangkan pertembungan dan perlawanan antara dua golongan mahasiswa, iaitu PRO-A dan PRO-M. Tidak dapat dipastikan siapakah yang mula-mula menggunakan pelabelan terhadap kelompok-kelompok ini, namun kewujudan dua kumpulan mahasiswa ini sebenarnya memeriahkan dan menghidupkan suasana PRK itu sendiri. Kita tidak dapat menafikan fakta ini. Lihat sahajalah bagaimana hebatnya kedua-dua kelompok ini berkempen bagi calon masing-masing. Walaupun terdapat calon-calon yang bertanding atas tiket bebas, namun kehadiran mereka tidaklah begitu dirasai berbanding dua kelompok di atas.

PRO-A dianggap sebagai kelompok yang cenderung kepada Pihak Pentadbiran Universiti dan juga Barisan Nasional, manakala PRO-M pula dikatakan sebagai kelompok yang lebih cenderung kepada Aspirasi Mahasiswa dan juga Pakatan Rakyat. Sejauh manakah kebenaran perkara ini, hanya anda semua yang mampu membuat penilaian yang seadilnya.

PRK 2011

Tahun 2011 menyaksikan satu semangat yang luar biasa dalam PRK, terutamanya di beberapa buah universiti utama Negara seperti UM, UKM, UTM, USM, UPM dan sebagainya. Pertembungan hebat antara PRO-A dan PRO-M dapat dilihat dengan jelas. Ini dibantu dengan laporan-laporan daripada pihak media berkenaan dengan PRK ini. Hakikatnya PRK 2011 sangat penting memandangkan situasi politik Negara yang semakin panas dan membara dari hari ke hari.

Seakan satu lumrah dalam PRK, akan berlakulah beberapa situasi, kes mahupun tindakan yang akan menggemparkan seluruh negara. Jika diperhatikan antara perkara-perkara yang dibangkitkan berkenaan dengan PRK pada kali ini ialah isu kelayakan calon, tempoh kempen yang singkat, peraturan pilihanraya yang tidak jelas dan janggal, ketidaktelusan pihak pengendali pilihanraya dan beberapa isu sampingan yang lain. Namun apa yang memelikkan, semua isu-isu ini hanyalah dibangkitkan oleh satu pihak sahaja, sedangkan satu pihak lagi hanya berdiam diri seolah-olah PRK ini tiada kekurangan sedikit pun.

Apa yang paling mengejutkan ialah peristiwa kehilangan seorang calon PRO-M Universiti Malaya, Saudari Masturah Abu Bakar dua hari sebelum proses pengundian dijalankan. Walaupun sehingga kini masih belum dipastikan akan punca sebenar kehilangan beliau, namun peristiwa ini sedikit sebanyak membuktikan bahawa PRK kadang-kadang lebih hebat daripada PRU atau PR Kecil di Malaysia.

Dalam kehangatan PRK 2011 di beberapa buah kampus utama, berlaku sedikit kesuraman dan kelesuan dalam PRK 2011 di beberapa buah kampus yang lain. Paling mendapat perhatian ialah, suasana PRK di UIAM, yang menjadi kubu kuat PRO-M sejak beberapa PRK yang lalu. Dilaporkan, selepas berlansungnya proses penamaan calon, lebih separuh daripada kerusi yang diperuntukkan telah dimenangi tanpa bertanding oleh calon-calon yang menawarkan diri. Sehinggakan, mengikut maklumat daripada mahasiswa di kampus berkenaan, samaada Kampus Gombak mahupun Kampus Kuantan, suasana PRK pada kali ini sedikitpun tidak dapat dirasai. Contohnya di UIAM Kuantan, 9 daripada 13 kerusi yang dipertandingkan telah dimenangi tanpa bertanding. Keadaan ini sebenarnya ada pro dan kontranya.

Kebangkitan PRO-M, Kejatuhan PRO-A?

Hasil daripada keputusan tidak rasmi di beberapa buah kampus yang melansungkan pilihanraya pada 21 Februari, PRO-M dilaporkan telah berjaya menawan dan menguasai beberapa kampus utama. Berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam portal Malaysiakini dan juga FB Majlis Politik National GAMIS, PRO-M telah berjaya dan menang di UM, UKM, USIM, UMK, UMS dan USM Kubang Kerian. Manakala UTM, UPM dan USM Pulau Pinang kekal di bawah teraju PRO-A.

Walaupun begitu, di USM Pulau Pinang misalnya, PRO-M berjaya menunjukkan peningkatan dengan memenangi 12 buah kerusi, berbanding kalah teruk tanpa sebarang kerusi pada tahun lalu. Manakala, kejayaan PRO-M di UM dan UKM, yang merupakan duah buah kampus utama di Malaysia telah memberikan tanparan yang hebat kepada PRO-A dan beberapa pihak yang lain.

Dengan berlansungnya proses pengundian di beberapa buah lagi kampus pada hari ini, seperti di UIAM, PRO-M dijangka mampu untuk memenangi dan menawan beberapa buah lagi universiti. Melihat kepada keputusan semasa ini, tidaklah salah untuk menyatakan bahawa sokongan mahasiswa kepada PRO-M pada kali ini semakin meningkat dan PRK 2011 sekali lagi menjadi saksi kebangkitan PRO-M. Aspirasi dan halatuju PRO-M dilihat semakin diterima oleh mahasiswa. Hakikatnya banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya transformasi ini. (Insya-Allah, analisis kemenangan PRO-M akan dibuat dalam masa terdekat nanti)

Pengajaran dari PRK 2011

Memandangkan suasana politik nasional semakin hari semakin hangat dan membara, PRK 2011 merupakan salah satu pentas untuk dijadikan indikator terhadap kefahaman dan kecenderungan politik golongan muda pada hari ini. Keputusan PRK pada kali ini sudah pastinya akan dinilai sedalam-dalamnya oleh semua pihak, samaada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat dalam merangka strategi untuk menawan hati golongan muda.

Namun, bukan itu yang ingin penulis fokuskan dalam menganalisis pengajaran dari PRK 2011. Banyak lagi isu-isu atau perkara penting yang perlu dilihat daripada suasana dan keadaan PRK pada kali ini.

a)      Kesedaran Politik dikalangan golongan muda.

Walaupun sehingga saat ini tidak dapat dipastikan peratusan keluar mengundi di kalangan mahasiswa di beberapa buah kampus yang telah menjalankan pilihanraya semalam, namun pada kebiasaannya, sukar untuk mencapai peratusan lebih 80% mereka yang keluar mengundi. Ini diburukkan lagi dengan peningkatan jumlah kerusi yang dimenangi tanpa bertanding di beberapa buah kampus terutamanya di UIAM.

Keadaan ini menggambarkan akan kesedaran politik yang rendah dikalangan mahasiswa dan golongan muda masa kini. Jika keadaan ini dibiarkan berlaku, tidak mustahil untuk PRU yang akan datang, golongan muda akan menjadi kumpulan yang paling sedikit keluar mengundi. Sedangkan merekalah yang sepatutnya menentukan siapakah selayaknya memegang tampuk kepimpinan negara.

Di samping itu juga, kesedaran politik ini juga merujuk kepada kesanggupan mahasiswa untuk menawarkan diri bertanding pada PRK kali ini. Merujuk kembali kepada peningkatan kerusi yang dimenangi tanpa bertanding, terutamanya di UIAM, ini jelas membuktikan bahawa mahasiswa seakan-akan tidak mengambil kisah akan kepentingan PRK dan MPP kepada kebajikan dan kelansungan gerakan mahasiswa.

Justeru, satu tindakan yang bijak dan tepat perlu diambil oleh semua pihak terutamanya SPR bagi memastikan peningkatan jumlah daftar pemilih di kalangan mahasiswa dan golongan muda serta memberikan penerangan yang sejelasnya akan kepentingan dan tanggungjwab mereka untuk mengundi pada PRU kelak.

b)      Ketelusan pihak pengendali pilihanraya (SPR)

Seperti kebiasaannya, akan ada sedikit sebanyak isu yang membabitkan integriti dan ketelusan pihak pengendali pilihanraya yang akan dibangkitkan oleh mahasiswa. PRK kali ini juga menampilkan beberapa isu seperti peraturan baru PRK, sikap berat sebelah SPR, ketelusan SPR dan sebagainya. Perkara ini tidaklah boleh dilihat sebagai satu perkara atau isu yang remeh. Kenapa?

Pada asasnya, fungsi dan peranan pihak pengendali pilihanraya kampus adalah sama dengan peranan SPR dalam mengendalikan PRU dan sebagainya. Dalam situasi ini, mahasiswa akan melihat SPR di kampus sebagai cerminan kepada SPR di luar. Jika di kampus berlaku pelbagai ketirisan dan ketidaktelusan pihak SPR dalam mengendalikan PRK, bagaimana golongan muda terutamanya mahasiswa mampu memberikan kepercayaan kapada SPR Malaysia dalam mengendalikan PRU kelak. Dan inilah mungkin antara faktor mengapa golongan muda tidak berminat dengan politik bilamana mereka hanya dihidangkan dan diperlihatkan dengan suasana negatif dan tidak sihat dalam pilihanraya.

Justeru, pihak SPR perlulah bersikap lebih profesioanal dan adil dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah mereka. Satu transformasi juga perlu dilakukan dalam struktur SPR agar badan itu kembali dihormati oleh mahasiswa. Cadangan untuk memberikan kebebasan dan peluang kepada mahasiswa untuk mengendalikan sendiri PRK pada masa kelak mungkin boleh dipertimbangkan dan diperhalusi dengan baik.

c)      Menilai sokongan dan kecenderungan golongan muda

Suka atau tidak, undi golongan muda pada PRU yang akan datang merupakan penentu kepada kemenangan BN atau PR. Golongan muda merupakan antara kelompok terbesar yang layak mengundi. Namun begitu, harus diingat bahawa golongan ini masih mentah dalam politik tanah air. Mereka adalah golongan yang memerhati dan menilai.

Mahasiswa adalah antara salah satu komponen dalam golongan muda ini. Justeru, kecenderungan undi mahasiswa pada PRK kali ini sedikit sebanyak mampu menggambarkan kecenderungan undi golongan muda pada PRU yang akan datang. Lebih-lebih lagi, mahasiswa adalah golongan yang terpelajar dan terdedah kepada kepelbagaian sumber maklumat masa kini. Justeru, BN mahupun PR perlu mengambil serius keputusan PRK pada kali ini dan melakukan penilaian yang mendalam dan tepat terhadap keputusan tersebut.

d)      Peranan media baru sebagai medium kempen

Pada PRU yang lepas, peranan media baru tidaklah begitu menonjol dan dimanipulasikan sepenuhnya oleh semua pihak. Walaupun begitu, hasil daripada analisa PRU yang lepas yang telah dibuat oleh para pakar politik tanah air, mereka antara lain merumuskan bahawa kemenangan besar PR di beberapa buah negeri dibantu oleh sumbangan para penggiat blog pro-PR.

Mereka menggunakan medium blog untuk menyampaikan maklumat-maklumat kempen dan juga informasi berkenaan kecelaruan dan ketidaktelusan yang berlaku di dalam kerajaan pada ketika itu. Dan realitinya, maklumat-maklumat ini sampai kepada masyarakat terutamanya golongan bandar dan juga golongan muda mudi yang ketagih dengan internet dan seumpama dengannya.

Peranan media baru ini dapat dilihat dengan jelas pada PRK kali ini. Penggunaan blog, FB, Twitter dan sebagainya dilihat antara medium kempen utama yang digunakan oleh calaon-calon yang bertanding. Walaupun terdapat kampus yang menghalang penggunaan media baru dalam kempen, namun harus diingat bahawa semua itu tidak menghalang daripada kempen terus dilakukan di media baru. Biarpun bukan calon yang berkempen dengan menggunakan media baru, terdapat kelompok yang cenderung kepada seseorang calon akan memperkenalkan dan menaikkan kredibiliti calon yang disokongnya itu.

Kesimpulannya, kita pasti akan dapat melihat peperangan siber yang hebat akan berlaku pada PRU yang akan datang. Setiap pihak pasti akan cuba sedaya upaya untuk menguasai media baru ini kerana mereka sedar bahawa media lama seperti televisyen, radio mahupun suratkhabar sudah tidak mendapat tempat di hati masyarakat pada hari ini.

Dari PRK ke medan PRU

Usainya PRK menandakan gerak kerja dan fokus kepada PRU 13 akan lebih terarah dan jitu. Memandangkan ura-ura bahawa PRU 13 akan berlansung pada tahun ini, maka PRK 2011 merupakan satu pilihanraya pre-PRU 13. Walaupun terdapat banyak pilhanraya kecil yang berlaku selepas PRU 12, namun semua itu tidak dapat menjadi kayu ukur kekuatan BN mahupun PR, kecualilah pilihanraya kecil yang berlaku dalam tempoh 3 bulan terakhir ini.

Peranan mahasiswa dalam PRU 13 nanti janganlah dinafikan oleh mana-mana pihak sekalipun. Berilah peluang dan ruang kepada mereka untuk mereka menggunakan kepakaran dan pengalaman mereka dalam PRK 2011 untuk diterjemahkan pada PRU 13 nanti. Namun begitu, mahasiswa perlu ingat bahawa peranan dan ruang mereka adalah terhad dan diharapkan mereka tidak melampaui batas yang mampu mengganggu prestasi akademik mereka. Mereka sewajarnya bijak mencari ruang yang mampu memaksimumkan peranan mereka dalam PRU nanti.

Kepada semua mahasiswa, ayuh kita gerakkan dan halakan semangat PRK 2011 ke medan PRU 13. Mahasiswa mampu memberikan sumbangan yang terbaik bagi memastikan PRU 13 berjalan dengan lancar dan berlansung dalam suasana penuh keadilan dan keharmonian. Kepada semua ahli MPP yang baru bagi setiap kampus, TAHNIAH dan TAKZIAH. Kepimpinan ini adalah satu amanah yang akan dipersoalakan kelak. Jalankan tugas anda semua sebaik mungkin dalam memimpin golongan mahasiswa Malaysia. InsyaAllah, kami para mahasiswa akan sentiasa bersama anda semua.

Sekian!

P/S:
1)      Artikel ini ditulis tanpa mengambilkira keputusan PRK yang barlansung pada hari ini (22 Feb).
2)      Segala apa yang baik dari tulisan ini diharapkan mampu diajadikan iktibar dan pengajaran buat kita semua.
3)      Segala kesalahan maklumat atau fakta harapnya diperbetulkan dan dimaafkan.