Detik Waktu

Thursday, March 29, 2012

ANAK MUDA, PILIHAN DI TANGAN KITA

[[[Alhamdulillah, sebelum zohor tadi berkesempatan menukilkan sedikit pandangan buat sahabat-sahabat anak muda menjelang PRU-13 nanti. Terus dihantar ke Harakahdaily dan baru sahaja keluar di web itu sebentar tadi. Rujuk di sini. Semoga ia menjadi satu muhasabah buat semua.]]]



Detiknya semakin hampir. Namun tarikhnya hanya dalam kepala PM. Semua tertunggu-tunggu, penuh sabar dan penuh semangat. Saya pun turut teruja. Kali kedua bakal mengundi, namun kali pertama akan terlibat secara lebih dekat. 4 tahun lalu, hanya membantu sekadar yang mampu dalam keterbatasan status sebagai seorang mahasiswa. InsyaAllah, kali ini akan meyumbang lebih lagi. Anak muda bukan sekadar sokong semata-mata, tetapi perlu juga mendokong sekali pilihan mereka.

Menjelang PRU-13 ini, sudah banyak pandangan dan hujjah yang telah diutarakan tentang pentingnya mendapat undi dari anak muda. Boleh dikatakan, anak muda menjadi sasaran utama ‘bidikan-bidikan janji’ dari parti-parti yang bakal bertanding dalam PRU-13 kelak. Pelbagai aktiviti dan program diaturkan khusus untuk golongan muda oleh PR dan BN bagi memastikan setiap undi anak muda itu menjadi milik mereka. Wah, sungguh popular sekali anak muda beberapa bulan ini dan begitu sekali mereka di’manja’kan dengan pelbagai ‘makanan’ dan ‘minuman’.

Kalau dulu, hanya sebahagian anak muda yang mendapat perhatian (khususnya mahasiswa), namun kini boleh dikatakan setiap kelompok dan golongan anak muda yang cuba disantuni oleh pihak-pihak ini. Kaki lepak, kaki motor, mat rock, kaki muzik, kaki sukan dan bermacam lagi golongan anak muda pasti akan di’belai’ oleh wakil-wakil parti politik ini. Cuma harapannya, bukan sekadar undi mereka yang menjadi dambaan, tetapi pastikan juga suara, permasalahan, pandangan dan kritikan yang mereka sampaikan diambil kira dan dipandang serius oleh parti-parti politik ini. Janganlah kelak, ‘habis madu, sepah dibuang’.

Khas kepada rakan-rakanku anak muda, gunakanlah kesempatan yang diberikan ini dengan sebaik-baiknya untuk menyatakan hasrat hati dan sudut pandang kalian. Jangan biarkan kalian hanya larut dan cair dengan janji-janji mereka semata, tanpa memberikan respon dan idea yang bernas untuk mereka laksanakan kelak selepas mereka menang kelak. Apa yang saya lihat, janji yang mereka berikan itu hanyalah menyentuh beberapa aspek kepemudaan sahaja, kerana mereka tidak mampu untuk memahami sepenuhnya hasrat dan harapan anak muda. Hanya kalian sahaja yang mampu membantu mereka memahami hasrat hati anak muda ini dengan pandangan dan buah fikiran yang bernas dan mantap.

Hakikatnya kini pilihan di tangan kalian. Pada saya, janji dan harapan oleh kedua-dua pihak kepada anak muda adalah seimbang. Pada asasnya, saya yakin kemampuan PR dan BN untuk memenuhi janji yang diberikan kepada anak muda, namun apa yang bakal membezakan mereka ialah kesanggupan untuk memenuhi hasrat dan meraikan sudut pandang anak muda. Kalian nilailah secara adil dan jujur, pasti kalian dapat melihat pihak manakah yang lebih terbuka dan terkehadapan dalam usaha meraikan permintaan dan hasrat anak muda ini.

Ingin sekali saya tegaskan, undilah bukan semata-mata untuk masa depan kalian sahaja, bukan sekadar untuk mencapai hasrat dan impian kalian semata-mata. Lihatlah juga mereka yang disekeliling kalian. Orang tua, golongan dewasa, para remaja, kanak-kanak, golongan fakir miskin, dan sebagainya akan merasai kesannya kelak hasil daripada undi kalian. Lihatlah juga apa yang telah berlalu, keadaan sekarang, dan masa depan yang kalian impikan dalam membuat penilaian dan pilihan kelak.

Hakikatnya, pasti ramai yang inginkan perubahan dan penambahbaikan dalam sistem hidup masyarakat Malaysia pada hari ini. Saya merasakan, Malaysia memerlukan satu sentuhan baru yang lebih adil, bermatlamat dan meraikan hasrat semua pihak dalam sistem pemerintahan negara. Jika awal kemerdekaan, di saat pembangunan fizikal kita begitu mundur dan ketinggalan, kita mengimpikan sebuah negara yang maju dan berdaya saing, dan Alhamdulillah kini kita dapat mengecapinya sedikit sebanyak pada hari ini.

Namun pada hari ini saya merasakan, apa yang menjadi dambaan ramai rakyat Malaysia ialah keseimbangan antara pembangunan fizikal dan rohani dalam masyarakat. Secara jujurnya, saya berpandangan kita mampu berbangga dengan kehebatan fizikal negara kita, namun jauh sekali untuk kita berbangga dengan akhlak dan pembangunan rohani masyarakat kita. Justeru, Malaysia kini memerlukan pemimpin yang mampu membawa keseimbangan dalam kedua-dua aspek penting ini.

Kesimpulannya, wahai anak muda, bersedialah untuk mengundi kelak. Adillah dalam membuat pertimbangan dan lihatlah dalam kontek yang luas. Tawaran dan janji sudah mereka nyatakan. Kini, pilihan di tangan kita. Undilah untuk masa depan yang lebih gemilang, InsyaAllah.

Insan Rabbani,
6 Jamadilawal 1433H,
Kota Bharu, Kelantan.

No comments:

Post a Comment