Detik Waktu

Showing posts with label Isu semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu semasa. Show all posts

Thursday, June 7, 2012

KE PUTRAJAYA DENGAN IMAN




Alhamdulillah, Himpunan Ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Darul Aman pada 1 Jun 2012, telah berlansung dengan jayanya. Kehadiran yang saya jangkakan melebihi 100,000 ribu orang sudah cukup untuk menggambarkan betapa para ahli dan penyokong PAS sudah bersedia untuk bersama para pimpinan parti menyusun barisan, mengatur strategi dan mengorak langkah dengan penuh bersemangat sekali untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya dari BN yang sudah tidak relevan lagi untuk mentadbir negara ini.

Himpunan ini berjaya menghimpunkan pelbagai kelompok ahli dan penyokong PAS, samaada tua mahupun muda termasuklah juga ahli-ahli non-Muslim dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang turut bersama-sama menyatakan komitmen untuk menyokong dan mendokong aspirasi PAS dan PR untuk mengambilailh tampuk pentadbiran Putrajaya. Himpunan ini adalah antara himpunan terbesar yang berjaya dilakukan oleh PAS, bahkan inilah himpunan paling besar yang pernah diadakan di Kedah. Sudah pasti ia menjadi satu motivasi dan peransang untuk PAS Kedah khususnya, dalam menghadapi tentangan, fitnah dan serangan daripada UMNO/BN serta konco-konco mereka.

Jelas, perhimpunan ini mampu membangkitkan semangat dan keazaman semua yang hadir untuk terus thabat dan istiqamah dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Pidato-pidato serta ucapan-ucapan yang diberikan oleh para pimpinan begitu mengujakan dan penuh bersemangat sekali. Apa tidaknya, setiap pidato pasti disambut dengan laungan ‘Allahuakbar’ yang bergema dan juga kibaran bendera PAS, menandakan sokongan dan kebersamaan semua untuk maju ke Putrajaya. Kini Putrajaya menjadi satu cita-cita yang harus diusahakan. Sudah lama Putrajaya menangis kerana ditadbir oleh tangan-tangan yang banyak melakukan kerosakan dan kemungkaran di bumi Malaysia ini.

Akhirnya ucapan dan amanat daripada YB Dato’ Sri Presiden menjadi penutup kepada deretan pidato yang disampaikan pada hari itu. Ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang lain daripada yang lain. Di saat semua yang lain memberi fokus kepada membangkitkan semangat dan keazaman semua yang hadir, Tuan Guru seperti biasa, dengan penuh ketenangan dan keikhlasan, mengajak semua ahli dan para penyokong PAS agar melakukan persediaan daripada segenap perkara. Namun apa yang lebih ditekankan oleh Tuan Guru ialah berkenaan dengan persedian rohani serta keimanan dan hubungan para pejuang kepada Allah SWT.

Lalu dibawakan satu pesanan yang pernah diucapkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab r.a kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas r.a. dalam menghadapi tentera Parsi sebelum meletusnya Perang al-Qadisiyyah:

فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة

“Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita

Inilah asas perjuangan yang ingin dibawa oleh PAS dalam merempuh jalan ke Putrajaya. PAS mahukan agar keberjayaan berada di Putrajaya kelak, InsyaAllah, adalah hasil kebergantungan dan kekuatan hubungan rohani para ahli dan penyokongnya dengan Allah SWT. Kerana, kemenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT, apabila berpaksikan kepada Ubudiyyah kepada Allah SWT, sudah pasti kemenangan itu adalah satu nikmat dan rahmat, bukannya satu musibah atau mehnah. Dan sudah pastilah juga, penyakit-penyakit dan barah-barah yang melanda UMNO/BN semasa memegang tampuk pemerintahan akan terhindar daripada menjangkiti hati-hati para pejuang PAS apabila mereka memerintah kelak.

Inilah persedian yang paling penting dan besar sekali. Tiada gunanya jika kita bermegah dengan persediaan fizikal, kekuatan tenaga kerja mahupun kehebatan gerak kerja dan perancangan, jika akhirnya hubungan dan kebergantungan kita dengan Allah SWT adalah sangat jauh sekali. Maka jika ini yang berlaku, tiada bezanya kita dengan lawan kita. Harus diingat, cita-cita kita bukan semata-mata merampas tampuk pemerintahan di Putrajaya, tetapi apa yang lebih utama ialah kita ingin mengembalikan ummah dan masyarakat ini kepada Islam yang sebenar. Kita ingin melaksanakan program-program dan perojek-projek yang bukan sahaja bersifat untuk kemajuan dan kesenangan duniawi, tetapi untuk kebahagian semua di akhirat kelak.

Dan amanah mengisi kemenangan itu adalah tersangat sukar dan berat daripada usaha mendapatkan Putrajaya itu sendiri. Jika ketika itu, iman para pendokong PAS lemah, maka tidak mustahil, penyakit yang melanda UMNO/BN akan diwarisi oleh kita apabila memerintah negara kelak. Perebutan kuasa, rasuah, salahguna kuasa, cantas-mencantas dan banyak lagi adalah antara beberapa penyakit yang mungkin akan merebak jika tiada aqidah dan keimanan yang mantap.

Sebab itulah, saya merasakan apa yang disampaikan oleh Tuan guru Presiden adalah satu muhasabah dan peringatan kepada kita semua, agar terus mempertingkatkan hubungan kita dengan Allah SWT. Bantuan dan kemenangan daripada Allah SWT adalah sesuatu yang pasti bagi hamba-hambanya yang sanggup berkorban dan berjihad menolong Agama Allah SWT. Jadi apa lagi yang mampu kita lakukan selain bergantung kepada Allah SWT. Kekuatan fizikal kita sangat lemah berbanding mereka. Kekuatan kewangan kita sangat lemah berbanding mereka. Kekuatan material kita sangat lemah berbanding mereka. Tetapi kita ada Allah SWT, pemilik alam ini, pemilik segala kekuatan yang mereka ada itu. Bergantung haraplah hanya kepada Allah SWT.

Ayuh, sama-sama kita tingkatkan usaha dan pengorbanan kita untuk ke Putrajaya. Sesungguhnya Putrajaya semakin hampir. Buktikan dan tunjukkan kepada masyarakat, Islam mampu dan boleh memerintah, dengan penuh keadilan dan berkebajikan. InsyaAllah, hadir kita ke Putrajaya kelak dengan iman. Negara berkebajikan dan pemerintahan yang adil, berteraskan keimanan dan tetaqwaan kepada Allah SWT menjadi tawaran kita. Hijau Ke Putrajaya. AllahuAkbar.

Wednesday, May 30, 2012

SAYA DITUDUH MELAMPAU, KERAS HATI KERANA ISLAM - YAB TOK GURU NIK AZIZ


Dua akhbar harian (29 Mei 2012) nampaknya begitu ghairah mempamerkan di muka depan kenyataan seorang mufti yang berbau politik bukannya hukum. Kenyataan itu jelas mengenai saya, dan amat terang mempamerkan saya sebagai berkepimpinan melampau dan seorang keras hati.





Saya dianggap keras hati kerana berterusan mengenakan syarat “Islam”untuk bermuzakarah dengan Umno. Soalnya, apa payahnya syarat yang saya kemukakan? Adakah menggantikan kebangsaan kepada Islam secara rasmi menjadi satu keberatan di sisi Umno atau mana-mana individu yang simpati kepada Umno? Tidakkah iman itu bukan hanya membenarkan di hati tetapi ikrar dengan lidah? Justeru, saya hanya meminta UMNO ikrarkan dengan rasmi bahawa dasar perjuangannya ialah Islam.

Saya kira, mana-mana individu seumpama seorang mufti yang begitu lembut lidahnya menilai hati saya sebagai  keras hati, seharusnya boleh membezakan antara keras hati dengan istiqomah. Cuba fahami sikap Nabi Muhammad SAW yang hingga ke akhir hayat tidak pernah tunduk kepada pujukan kaum Musyrikin agar baginda meninggalkan seruan Islam. Nabi ditawarkan dengan kekayaan harta, wanita, dan takhta bukan sekali, bahkan berulang kali. Adakah Nabi seorang yang keras hati atau istiqamah? Maka baginda sebenarnya seorang yang istiqamah.

Membuat ulasan lalu membenarkan pihak media massa mengaitkan nama individu seperti saya, bukanlah satu akhlak terpuji. Amat malang jika akhlak itu menjadi pakaian seorang mufti sehingga pihak media boleh mengaitkan secara terang saya sebagai seorang individu yang keras hati. Jika benarlah begitu ia amat dikesali. Sekiranya lafaz sebegitu keluar dari orang politik yang tidak berpendidikan agama, ia mungkin boleh diterima. Sebaiknya seorang mufti boleh bersikap berkecuali dalam mengulas apa yang wartawan tanyakan. Tambahan pula, isu muzakarah yang dirujuk adalah urusan parti politik bhukanya urusan pejabat mufti. Justeru seorang mufti boleh melihatnya dari pemikiran pejabat mufti bukannya mencampuri urusan parti politik. Atas sifat sangka baik, pemikiran mufti tidaklah seperti pemikiran budak tadika.

PAS istiqamah dengan Islam

Demikian sikap saya terhadap olahan media dan mufti tersebut, maka suka saya tegaskan sesunguhnya PAS tidak sedia bertolak ansur supaya PAS melupai sejarah lalu. Sejarah PAS pernah bersama Umno dalam Barisan Nasional yang kemudiannya disingkirkan tatkala PAS diperanhgkap oleh satu rancangan devide and rule. Akibatnya kenaan perintah darurat di Kelantan, negeri ditadbir PAS. Darurat itu adalah angkara pemimpin Umno yang berkuasa di peringkat Pusat telah mencatat sejarah hitam. Kesanya lagi, perpecahan PAS yang melahirkan serpihan, bermula dengan Bebas Bersatu, kemudian Berjasa dan Hamim. Dalam siri perpecahan itu, PAS terjunam ke lubang masalah keyakinan. Sehingga memerlukan 12 tahun (1978-1990) pula untuk bangkit. Ia sejarah yang tidak mungkin dilupai.

Apakah sejarah yang diingat ini menyebabkan saya dilihat keras hati? Seorang mukmin telah dipesan, sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW, “Tidaklah seorang mukmin akan disengat dua kali dari satu lubang (sarang binatang) yang sama”  (Sahih Muslim – no: 2998).

Persoalan orang Melayu

Seorang berpendidikan agama (orang agama seumpama mufti) tidak sepatutnya mempersoalkan apa jadi kepada agama dan orang Melayu setelah sekian lama Umno memudaratkan perjuangan orang Melayu dengan dasar sekular. Sepatutnya mereka lebih tahu. Apakah kurangnya Islam di sisi Umno sehingga Islam tidak boleh dijadikan akidah perjuangan? Tidakkah orang agama seumpama mufti terfikir, betapa selama ini pemimpin Umno memandang ‘lekeh’ kepada kesempurnaan Islam? Hakikatnya orang yang membuang Islam dalam perjuangannya, bahawa orang itu sudah outdated atau ketinggalan zaman.

Pelik juga, bila orang agama seumpama mufti boleh menjadi tukang sibuk mengulas dan berhukum tentang politik. Agak pelik lagi, bila miripnya menyibuk menjaga kepentingan Barisan Nasional. Semacam Barisan Nasional sahaja yang dilebih-lebihkan. Apa kurang pula dengan Pakatan Rakyat yang misinya untuk membawa sesuatu yang terbaik untuk agama, rakyat dan negara. Dari segi pemimpinnya pula, pemimpin Pakatan Rakyat tidak kurang kelayakannya, malah cukup teruji cekal dan setia. Semestinya cukup layak menyaingi kepimpinan Barisan Nasional yang semakin terlodeh pelbagai masalah dan korupsi.

Malah sepanjang PAS mentadbir Kelantan, sudah banyak kebaikan dilakukan yang tidak mampu dilakukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Mana ada Menteri Besar dari Umno yang lembut lidahnya menyeru rakyatnya agar menutup aurat, memuliakan masjid, menunaikan solat, mengimarah bulan Ramadhan dengan aktiviti ehya’ Ramadhan, bebaskan riba dan seumpamanya. Kesemua kebaikan atas nama Islam dan rakyat serta negeri tetap menjadi amalan pentadbiran PAS di Kelantan. Justeru kehidupan pelbagai kaum penuh harmoni, meskipun Kelantan ditekan dengan pelbagai helah oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional di peringkat Pusat. Ia suatu bukti dasar Islam yang subur di bumi Allah SWT.

Perpaduan umat

Islam memang mengajar umatnya hidup bersatu padu. Kehidupan untuk kebaikan semua umat manusia. Oleh sebab itu, tiada asas kekuatan untuk bersatu padu kalau semata-mata atas nama bangsa Melayu. Sewajarnya bagi umat dan pemimpin Islam berfikiran ke arah perpaduan atas nama Islam. Asasnya Islam adalah ajaran agama yang mulia dan semulianya di sisi agama-agama lain. Justeru PAS amat menyokong sebarang usaha perpaduan umat, namun ia semestinya berlaku atas landasan Islam.

Atas hakikat itu, mana-mana pihak khusus orang agama seumpama mufti bolehlah beritahu kepada pemimpin Umno agar menukar dasar partinya dan pentadbiran kerajaannya kepada Islam. Begitu juga harus dipersoalkan, kenapa Umno boleh terima kebangsaan dan tolak perjuangan politik Islam? Ada baiknya persoalan ini juga ditanyakan kepada mana-mana ahli Majlis Fatwa Mesir. Jangan sekadar menanyakan isu mengundi parti masuk syurga.

Justeru orang agama seumpama mufti bolehlah menjadi orang tengah untuk sebarang usaha perpaduan. Namun harus diingat sifat orang tengah, ia tidak boleh menyerang kepada satu pihak, sementara kepada pihak yang satu lagi ia menunjukkan sikap yang lebih mesra. Mana mungkin menjadi orang tengah, jika sekilas percakapan yang terungkap, orang telah tahu kita di sebelah mana. Ingat kepada pepatah, “kalau nak ukur cerdik bodoh seseorang, kena dengar percakapannya.”

Sebaiknya, demi keutuhan dan perpaduan, sikap orang agama seumpama mufti hendaklah pandai menjaga sempadan. Tidaklah ia dilihat menceroboh sempadan orang lain. Oleh kerana sistem pentadbiran negara ini mengadakan amalan pengasingan kuasa dan tugas, maka hormatilah atas tugas masing-masing. Seorang menteri besar dengan tugasnya mengurus politik kerajaan, sementara mufti pula ada tugasnya untuk menjaga urusan pejabat muftinya. Sebaiknya menteri besar dengan tugasnya dan mufti dengan tugasnya. Masing-masing tugas, tanpa mencampuri urusan orang lain demi kebaikan, asalkan sentiasa diredai Allah SWT.

Wallahu’alam.

*Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS