Detik Waktu

Showing posts with label Siasah. Show all posts
Showing posts with label Siasah. Show all posts

Tuesday, October 9, 2012

PERJALANAN KE PUTRAJAYA BERBEKALKAN TARBIYAH


Saat ni ramai di kalangan pendokong mahupun penyokong Parti Islam Semalaysia (PAS) begitu teruja dengan hasrat dan komitmen yang dinyatakan oleh Pakatan Rakyat untuk mengambilalih Putrajaya daripada kepimpinan UMNO/BN melalui PRU-13 yang akan datang. Bahkan ramai di kalangan mereka yang turut sama menyumbang dan bekerja bagi memastikan hasrat bersama ini mampu dicapai dengan penuh kejayaan. 

Ya, bermula dari Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya, Peringkat Malaysia, yang diadakan di Stadium Darul Aman pada 1 Jun yang lepas, dan diikuti pula dengan siri-siri himpunan peringkat negeri, semangat dan motivasi ahli dan penyokong PR, terutamanya ahli dan penyokong PAS begitu membara dan tinggi sekali. Hakikatnya, semangat inilah yang menjadi pemangkin kepada usaha dan gerak kerja yang tersusun dan berkesan, bagi memastikan Putrajaya bakal mendapat kepimpinan yang baru, yang lebih ikhlas, adil dan telus.

Hasrat Ke Putrajaya Sudah Ditanam Sejak Sekian Lama

Sesungguhnya perjalanan ke Putrajaya itu bukanlah satu perjalanan yang mudah. Ia adalah satu perjalanan yang jauh, penuh berliku, dihiasi dengan dugaan dan cabaran. Perjalanan ini memerlukan satu persediaan dan bekalan yang rapi, tersusun dan berkesan. Tanpa persediaan dan bekalan ini, sudah pasti ramai yang akan menarik diri, ramai yang akan mengubah laluan, ramai yang akan berhenti di separuh perjalan dan mungkin ada yang akan tiba-tiba menjadi penghalang kepada perjalanan ini.

Sedarkah kalian, perjalanan ke Putrajaya ini bukanlah bermula pada tahun ini, bukanlah bermula apabila dilancarkan program Himpunan Hijau Ke Putrajaya. Ketahuilah, hasrat kepada permulaan perjalanan ini adalah apabila tertubuhnya PAS. Di situlah bermulanya hasrat ini. Sebagaimana kita ketahui, PAS adalah sebuah Jemaah Islam, yang mengambil pendekatan Tarbiyah, Dakwah dan Siasah dalam gerak kerja dan perjalanan Jemaah mereka. Maka bilamana di sana ada agenda Siasah, sudah pasti di sana PAS meletakkan satu cita-cita yang murni untuk mentadbir negara ini dengan Islam. Atas faktor inilah, PAS menyertai pilihanraya, sebagai satu wadah/pentas bagi mendapatkan tampuk pemerintahan, samaada peringkat negeri dan negara, bagi menegakkan Agama Allah SWT, yang diwarisi oleh Nabi Muhammad SAW.

PAS sememangnya berpandangan jauh. Hasrat ke Putrajaya ini sudah lama menjadi agenda PAS. Kerana PAS melihat, dalam waqie Malaysia, menguasai Putrajaya itu adalah suatu KEWAJIPAN bagi menyempurnakan KEWAJIPAN yang lebih besar, iaitu menegakkan Agama Allah SWT di muka bumi Malaysia ini. Walaupun hasrat ke Putrajaya ini tidak dinyatakan secara jelas dan tersusun sebagaimana yang dilakukan pada hari ini bersama rakan-rakan dalam PR, hakikatnya PAS sememangnya telah memulakan langkah awal pada waktu itu.

Langkah Bermula Dengan Tarbiyah

TARBIYAH. Inilah yang PAS lakukan. PAS menyedari dan memahami bahawa perjalanan ke Putrajaya memerlukan penggerak yang benar-benar ikhlas, faham dan bersedia untuk menggerakkan bahtera PAS ini ke Putrajaya. Inilah yang PAS belajar dan mengambil ikhtibar daripada Sunnah Rasulullah SAW dan apa yang dilalui oleh para sahabat dan pejuang Agama Allah yang terdahulu. Sebagaimana Rasulullah SAW ditarbiyah oleh Allah SWT untuk memikul amanah kerasulan yang begitu berat itu, dan juga sebagaimana Rasulullah SAW mentarbiyah para sahabat untuk menjadi penolong dan pejuang Agama Allah, yang akan bersama-sama Baginda SAW memperjuangkan Islam, PAS meletakkan agenda tarbiyah sebagai asas dan tunjang kepada perjalanan yang jauh ini.

Para kepimpinan dan ahli dididik dan dilatih melalui pelbagai pendekatan yang bersesuaian dengan waqie setempat. Ahli-ahli sentiasa dititikberatkan dengan Aqidah Perjuangan yang benar lagi suci, diajarkan untuk mengambilberat akan Ibadah kepada Allah SWT, diasuh untuk berakhlak dengan akhlak Islam dan diajarkan dengan beberapa perkara lagi yang sangat penting dalam melahirkan kader-kader dakwah dan abnaul harakah yang ikhlas dan faham dengan hasrat yang dibawa oleh PAS ini. Program-program pembentukan seperti usrah, tamrin, liqa’, kuliah haraki, daurah, qiamullail, katibah dan seumpamanya banyak sekali dijalankan bagi memastikan ahli-ahli yang dilahirkan oleh PAS adalah ahli-ahli yang benar-benar berkualiti dan terbukti kefahaman mereka.

Dakwah Melengkapi Pakej Tarbiyah

Dalam usaha bagi memastikan hasil tarbiyah ini dapat dilihat dan dinilai dalam tempoh yang ringkas, PAS juga meletakkan agenda DAKWAH sebagai agenda bersama yang perlu dititikberatkan selain daripada agenda Tarbiyah dan Siasah. Melalui gerak kerja dakwah inilah, ahli-ahli dilatih dan dibentuk untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat awam. Ahli-ahli PAS menyeru masyarakat kepada perbuatan/amal yang baik, dan mencegah masyarakat daripada melakukan kemungkaran. Keseimbangan di antara gerak kerja tarbiyah dan dakwah ini adalah satu perkara yang sangat penting yang telah dilaksanakan oleh PAS, kerana PAS sedar bahawa berasaskan dua agenda inilah, agenda Siasah itu dapat dicapai dengan jayanya apabila tiba masanya kelak.

Fahamlah kita, apa yang dilaksanakan oleh PAS ini adalah selari dengan apa yang dilalui dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pada awal kerasulan Baginda, Baginda melaksanakan agenda tarbiyah dan dakwah secara bersama. Ketika mendidik dan mentarbiyah kaum kerabat yang terdekat dan para sahabat untuk menjadi penggerak dakwah bersama Baginda SAW, Rasulullah SAW juga tidak sedikit pun meninggalkan kerja dakwah, yang digerakkan bersama-sama dengan para pengikut Baginda SAW. Ketahuilah oleh kita semua bahawa Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah SAW bukan sekadar sebagai seorang murabbi dan daie semata-mata, bahkan juga sebagai seorang pemimpin yang akan memimpin ummat akhir zaman ini. Bermakna, Rasulullah SAW menyedari bahawa kelak Baginda SAW akan menjadi pemimpin kepada sebuah negara dan empayar Islam, yang akan melaksanakan hukum Allah SWT di dalam pentadbirannya.

Inilah kaedah yang sebenar-benarnya yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada ummat manusia, proses dan jalan kepada kepimpinan Islam dan pembentukan sebuah negara Islam, yang dibawa melalui Rasulullah SAW. Untuk memimpin sebuah negara, TARBIYAH itu penting dan menjadi ASAS/TUNJANG kepada pembentukan para penggerak yang akan menerajui tampuk kepimpinan kelak. DAKWAH juga perlu dilaksanakan seiring dengan gerak kerja tarbiyah, bagi memastikan masyarakat awam memahami Islam dan beramal dengan Islam. Akhirnya, bilamana sampai masanya untuk mentadbir sebuah negara, maka di sana sudah tersedia individu-individu yang akan mengambil amanah kepimpinan ini, dan masyarakat awam juga menyokong dan mendokong kepimpinan Islam ini.

Tarbiyah dan Dakwah Membantu Kejayaan Agenda Siasah

Hari ini, saat ramai yang memberikan fokus kepada gerak kerja siasah, ada di sana individu-individu yang mengingatkan akan pentingnya TARBIYAH, memuhasabah para penggerak akan keperluan untuk meneruskan gerak kerja tarbiyah, walaupun pada waktu ini mungkin fokus lebih diberikan kepada gerak kerja siasah. Inilah indahnya PAS. Sebuah organisasi yang bergerak dengan tersusun rapi. Masing-masing memahami amanah dan tanggungjawab individu dan tanggungjawab bersama. Ada pihak yang berperanan mengingatkan ahli-hali yang lain akan BEKALAN yang perlu sentiasa diisi, agar segala dugaan, cabaran dan ujian sepanjang perjalanan ke Putrajaya itu mampu ditangani dan di atasi bersama. Apalagi, InsyaAllah, jika ditaqdirkan Putrajaya itu menjadi amanah PAS, maka di sana PAS telah bersedia UNTUK MENGISI KEMENANGAN ini, dengan ahli-ahli yang komited dan faham yang akan menjadi tunjang kepada kepimpinan Islam yang baik kelak.

Inilah sejarah panjang yang perlu semua penggerak dan pendokong PAS faham. PAS sebenarnya telah mempersiapkan bahtera dan para pejuangnya sejak dahulu lagi. Kini, laungan ke Putrajaya sudah kuat bergema. Saat ini, segala gerak kerja TARBIYAH dan DAKWAH yang PAS laksanakan selama ini akan menjadi SENJATA dan BEKALAN penting dalam merealisasikan hasrat untuk merampas Putrajaya daripada kepimpinan UMNO/BN yang zalim. Apa yang diharapkan sekarang adalah, para penggerak, pendokong dan ahli PAS dapat melaksanakan apa yang diajarkan dan dididik selama ini. Justeru, SEDARLAH dan FAHAMLAH kita semua bahawa, GERAK KERJA TARBIYAH itu tidak seharusnya ditinggalkan/dilupakan pada waktu ini, di saat semua pihak memberi fokus kepada hasrat menuju ke Putrajaya. Inilah bekalan kita bersama.

InsyaAllah, melalui tarbiyah inilah, semua penggerak mampu kembali menyucikan diri, Ibadah mampu dipertingkatkan, diri sentiasa dihiasi dengan akhlak yang baik dan terpuji, yang leka mampu dikejutkan, yang lupa mampu diingatkan, yang jauh mampu dirapatkan, yang terputus mampu disambung, yang bergaduh mampu didamaikan. Apabila semua hati-hati dapat disatukan dan digerakkan dengan fikrah yang sama, InsyaAllah, Putrajaya itu mamapu kita tawan, bahkan kita mampu membuktikan kelak, bahawa mentadbir bumi ini dengan Islam adalah cara yang terbaik. Akhirnya, marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT ddi dalam surat An-Nasr:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ
وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (An-Nasr: 1-3)


Mohd Afif Rabbani Bin Abdullah (Insan Rabbani),
23 Zulkaedah 1433H, 2.41pm

Wednesday, May 30, 2012

SAYA DITUDUH MELAMPAU, KERAS HATI KERANA ISLAM - YAB TOK GURU NIK AZIZ


Dua akhbar harian (29 Mei 2012) nampaknya begitu ghairah mempamerkan di muka depan kenyataan seorang mufti yang berbau politik bukannya hukum. Kenyataan itu jelas mengenai saya, dan amat terang mempamerkan saya sebagai berkepimpinan melampau dan seorang keras hati.





Saya dianggap keras hati kerana berterusan mengenakan syarat “Islam”untuk bermuzakarah dengan Umno. Soalnya, apa payahnya syarat yang saya kemukakan? Adakah menggantikan kebangsaan kepada Islam secara rasmi menjadi satu keberatan di sisi Umno atau mana-mana individu yang simpati kepada Umno? Tidakkah iman itu bukan hanya membenarkan di hati tetapi ikrar dengan lidah? Justeru, saya hanya meminta UMNO ikrarkan dengan rasmi bahawa dasar perjuangannya ialah Islam.

Saya kira, mana-mana individu seumpama seorang mufti yang begitu lembut lidahnya menilai hati saya sebagai  keras hati, seharusnya boleh membezakan antara keras hati dengan istiqomah. Cuba fahami sikap Nabi Muhammad SAW yang hingga ke akhir hayat tidak pernah tunduk kepada pujukan kaum Musyrikin agar baginda meninggalkan seruan Islam. Nabi ditawarkan dengan kekayaan harta, wanita, dan takhta bukan sekali, bahkan berulang kali. Adakah Nabi seorang yang keras hati atau istiqamah? Maka baginda sebenarnya seorang yang istiqamah.

Membuat ulasan lalu membenarkan pihak media massa mengaitkan nama individu seperti saya, bukanlah satu akhlak terpuji. Amat malang jika akhlak itu menjadi pakaian seorang mufti sehingga pihak media boleh mengaitkan secara terang saya sebagai seorang individu yang keras hati. Jika benarlah begitu ia amat dikesali. Sekiranya lafaz sebegitu keluar dari orang politik yang tidak berpendidikan agama, ia mungkin boleh diterima. Sebaiknya seorang mufti boleh bersikap berkecuali dalam mengulas apa yang wartawan tanyakan. Tambahan pula, isu muzakarah yang dirujuk adalah urusan parti politik bhukanya urusan pejabat mufti. Justeru seorang mufti boleh melihatnya dari pemikiran pejabat mufti bukannya mencampuri urusan parti politik. Atas sifat sangka baik, pemikiran mufti tidaklah seperti pemikiran budak tadika.

PAS istiqamah dengan Islam

Demikian sikap saya terhadap olahan media dan mufti tersebut, maka suka saya tegaskan sesunguhnya PAS tidak sedia bertolak ansur supaya PAS melupai sejarah lalu. Sejarah PAS pernah bersama Umno dalam Barisan Nasional yang kemudiannya disingkirkan tatkala PAS diperanhgkap oleh satu rancangan devide and rule. Akibatnya kenaan perintah darurat di Kelantan, negeri ditadbir PAS. Darurat itu adalah angkara pemimpin Umno yang berkuasa di peringkat Pusat telah mencatat sejarah hitam. Kesanya lagi, perpecahan PAS yang melahirkan serpihan, bermula dengan Bebas Bersatu, kemudian Berjasa dan Hamim. Dalam siri perpecahan itu, PAS terjunam ke lubang masalah keyakinan. Sehingga memerlukan 12 tahun (1978-1990) pula untuk bangkit. Ia sejarah yang tidak mungkin dilupai.

Apakah sejarah yang diingat ini menyebabkan saya dilihat keras hati? Seorang mukmin telah dipesan, sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW, “Tidaklah seorang mukmin akan disengat dua kali dari satu lubang (sarang binatang) yang sama”  (Sahih Muslim – no: 2998).

Persoalan orang Melayu

Seorang berpendidikan agama (orang agama seumpama mufti) tidak sepatutnya mempersoalkan apa jadi kepada agama dan orang Melayu setelah sekian lama Umno memudaratkan perjuangan orang Melayu dengan dasar sekular. Sepatutnya mereka lebih tahu. Apakah kurangnya Islam di sisi Umno sehingga Islam tidak boleh dijadikan akidah perjuangan? Tidakkah orang agama seumpama mufti terfikir, betapa selama ini pemimpin Umno memandang ‘lekeh’ kepada kesempurnaan Islam? Hakikatnya orang yang membuang Islam dalam perjuangannya, bahawa orang itu sudah outdated atau ketinggalan zaman.

Pelik juga, bila orang agama seumpama mufti boleh menjadi tukang sibuk mengulas dan berhukum tentang politik. Agak pelik lagi, bila miripnya menyibuk menjaga kepentingan Barisan Nasional. Semacam Barisan Nasional sahaja yang dilebih-lebihkan. Apa kurang pula dengan Pakatan Rakyat yang misinya untuk membawa sesuatu yang terbaik untuk agama, rakyat dan negara. Dari segi pemimpinnya pula, pemimpin Pakatan Rakyat tidak kurang kelayakannya, malah cukup teruji cekal dan setia. Semestinya cukup layak menyaingi kepimpinan Barisan Nasional yang semakin terlodeh pelbagai masalah dan korupsi.

Malah sepanjang PAS mentadbir Kelantan, sudah banyak kebaikan dilakukan yang tidak mampu dilakukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Mana ada Menteri Besar dari Umno yang lembut lidahnya menyeru rakyatnya agar menutup aurat, memuliakan masjid, menunaikan solat, mengimarah bulan Ramadhan dengan aktiviti ehya’ Ramadhan, bebaskan riba dan seumpamanya. Kesemua kebaikan atas nama Islam dan rakyat serta negeri tetap menjadi amalan pentadbiran PAS di Kelantan. Justeru kehidupan pelbagai kaum penuh harmoni, meskipun Kelantan ditekan dengan pelbagai helah oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional di peringkat Pusat. Ia suatu bukti dasar Islam yang subur di bumi Allah SWT.

Perpaduan umat

Islam memang mengajar umatnya hidup bersatu padu. Kehidupan untuk kebaikan semua umat manusia. Oleh sebab itu, tiada asas kekuatan untuk bersatu padu kalau semata-mata atas nama bangsa Melayu. Sewajarnya bagi umat dan pemimpin Islam berfikiran ke arah perpaduan atas nama Islam. Asasnya Islam adalah ajaran agama yang mulia dan semulianya di sisi agama-agama lain. Justeru PAS amat menyokong sebarang usaha perpaduan umat, namun ia semestinya berlaku atas landasan Islam.

Atas hakikat itu, mana-mana pihak khusus orang agama seumpama mufti bolehlah beritahu kepada pemimpin Umno agar menukar dasar partinya dan pentadbiran kerajaannya kepada Islam. Begitu juga harus dipersoalkan, kenapa Umno boleh terima kebangsaan dan tolak perjuangan politik Islam? Ada baiknya persoalan ini juga ditanyakan kepada mana-mana ahli Majlis Fatwa Mesir. Jangan sekadar menanyakan isu mengundi parti masuk syurga.

Justeru orang agama seumpama mufti bolehlah menjadi orang tengah untuk sebarang usaha perpaduan. Namun harus diingat sifat orang tengah, ia tidak boleh menyerang kepada satu pihak, sementara kepada pihak yang satu lagi ia menunjukkan sikap yang lebih mesra. Mana mungkin menjadi orang tengah, jika sekilas percakapan yang terungkap, orang telah tahu kita di sebelah mana. Ingat kepada pepatah, “kalau nak ukur cerdik bodoh seseorang, kena dengar percakapannya.”

Sebaiknya, demi keutuhan dan perpaduan, sikap orang agama seumpama mufti hendaklah pandai menjaga sempadan. Tidaklah ia dilihat menceroboh sempadan orang lain. Oleh kerana sistem pentadbiran negara ini mengadakan amalan pengasingan kuasa dan tugas, maka hormatilah atas tugas masing-masing. Seorang menteri besar dengan tugasnya mengurus politik kerajaan, sementara mufti pula ada tugasnya untuk menjaga urusan pejabat muftinya. Sebaiknya menteri besar dengan tugasnya dan mufti dengan tugasnya. Masing-masing tugas, tanpa mencampuri urusan orang lain demi kebaikan, asalkan sentiasa diredai Allah SWT.

Wallahu’alam.

*Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS