Detik Waktu

Showing posts with label Bebas. Show all posts
Showing posts with label Bebas. Show all posts

Monday, March 28, 2011

KEKESALAN YANG AKANKU UBATI

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bagaimana iman kita semua pada saat ini? Semoga ia terus utuh lagi teguh.

Sejak beberapa hari yang lepas, perasaan kesal mengenai suatu perkara kembali menghantui fikiran aku. Sudah lama sebenarnya aku mengesali akan perkara ini, namun sejak akhir-akhir ini kekesalan itu semakin memuncak. Terkadang-kadang, aku merasakan diri ini berlaku zalim terhadap Si Dia. Zalim kerana beberapa tahun yang lalu aku telah menyatakan cintaku kepada Si Dia, namun aku gagal untuk membuktikan rasa kecintaan itu, bahkan meninggalkan ia untuk mencari sesuatu yang lain.

Mengungkap kembali kisah pertemuan aku dengan Si Dia, ia merupakan satu ketentuan Allah SWT yang telah mengaturkan perjalanan hidupku ini. Aku mula mengenali akan Si Dia ketika aku masih kecil lagi, seingat aku ketika aku mula memasuki sebuah taski di Kuala Krai pada tahun 1991. Ya, pada ketika itu aku sekadar mengenali Si Dia begitu sahaja, tanpa ada rasa cinta dan kasih terhadap Si Dia. Namun, segala-galanya berubah apabila aku mula memasuki pengajian peringkat menengah. Di sanalah bermulanya perasaan cinta dan kasih yang amat mendalam kepada Si Dia.

Benar sekali kata-kata "tak kenal maka tak cinta". Ya, rasa cinta terhadap Si Dia adalah disebabkan aku mula mengenali dan memahami akan hakikat diri Si Dia. Pada ketika itu, aku mula memahami ciri-ciri, penampilan dan lenggok bahasa Si Dia. Sungguh indah sekali rasa cinta pada saat itu. Rasa bangga dan gembira dapat mengenali dan seterusnya memahami akan hakikat sebenar Si Dia. Besar sekali sumbangan yang telah diberikan Si Dia kepada aku pada ketika itu. Sebenarnya, aku tidak bertepuk sebelah tangan pada ketika itu. Cintaku kepada Si Dia adalah cinta yang berbalas.

Pada ketika itu, aku tidak dapat bayangkan bagaimana kemaruk cintaku kepada Si Dia. Sehari yang berlalu tanpa mengingati dan menyebut Si Dia, bagaikan hari yang tidak bermakna sama sekali. Perkenalan aku dengan Si Dia telah membantu aku memahami banyak perkara yang lain. Perkenalan itu juga sebenarnya mendekatkan lagi aku kepada Allah SWT dab Rasulullah SAW. Si Dia telah membantu aku memahami Islam dengan lebih mendalam dan terperinci. Inilah yang dikatakan cinta yang sejati. Cinta yang mampu mendekatkan diri aku kepada Pencipta alam ini.

Namun, segala-galanya tidak bertahan lama. Sudah hakikat diri seorang manusia, insan yang mudah lupa. Lupa diri. Selepas aku mengambil keputusan untuk memberikan fokus kepada sesuatu yang lain, aku mula meninggalkan Si Dia. Sedikit demi sedikit aku menjauhkan diri dari Si Dia. Walaupun, ada ketikanya aku cuba untuk menghubungi kembali Si Dia dan menguatkan kembali rasa cinta kepadanya, tetapi ia gagal. Gagal bukan kerana Si Dia tidak menjawab panggilanku dan tidak mencintaiku, tetapi kerana aku tidak bersungguh-sungguh dengan usahaku. Sekalipun rasa cintaku kepada Si Dia tidak prnah hilang, namun aku gagal untuk menterjemahkan rasa cinta itu melalui tindakan.

Pada ketika itu aku mula kesal dengan tindakan dan pilihanku. Pada saat ramai kawan-kawanku mula mendampingi Si Dia, dan begitu serius memahami dan mendalami hakikat Si Dia, aku tidak membuktikan kesungguhan cintaku kepadanya. Pada hari ini, kekesalan semakin memuncak. Aku bertekad untuk mengembalikan dan memekarkan kembali cintaku dan kasihku kepadanya. Rasa cinta yang begitu hebat yang pernah wujud beberpa tahun yang lalu akan aku suburkan kembali. Semuanya ini kerana aku begitu meyakini bahawa cintaku kepadanya bukanlah cinta yang sia-sia, bahkan cinta itu mampu mendekatkan diriku kepada Allah Yang Satu.

Kepada Si Dia, aku memohon maaf atas tindakan dan pilihanku semala ini, yang telah meminggirkan dirimu. Aku sedar dan yakin bahawa cintaku kepadamu akan kembali berbalas. Aku pasakkan tekad untuk kembali serius mendampingimu dan seterusnya serius mengenali dan mendalami hati budi dan sifat-sifatmu. Akan aku susun langkah dan aturkan strategi untuk aku kembali menguasaimu dan seterusnya mendapatkan seberapa banyak manfaat dari dirimu. Semoga usahaku ini dipermudahkan Allah SWT dan niatku ini mendapat keberkatan dan hidayah daripada Allah SWT. Akhirnya, nantikan kehadiranku dalam hidupmu.

Si Dia adalah merujuk kepada BAHASA ARAB....

Wednesday, December 1, 2010

Akan kembali...

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Bagaimana iman kita semua hari ini?

Bagaimana ibadah kita semua hari ini?

Bagaimana akhlak kita semua hari ini?

Adakah hari ini lebih baik dari semalam dan hari-hari yang lepas?

Hanya SAYA dan ANDA yang tahu kondisi diri anda!
Justeru, apa tunggu lagi, muhasabah diri, nilai prestasi diri, hisab dosa-dosa yang telah dilakukan!

Jika khilaf dan berdosa, usah malu-malu untuk memohon ampun kepada Yang Maha Pengampun!
Jika disedari ibadah itu kurang kualitinya, jangan segan untuk mengadu kepada Yang Maha Mendengar agar diberikan ketenangan dan kerajinan dalam beribadah!
Jika merasakan diri ini kosong dan gusar, usah lagi berdalih-dalih dan takut-takut untuk memohon kepada Yang Maha Pengasih dan Yang Maha penyayang agar diberikan hidayah dan ketenangan di dalam diri!

Hanya Allah SWT tempat kita memohon!
Hanya Allah SWT tempat kita bergantung!
Hanya Allah SWT tempat kita meminta ampun!

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Buat yang sudi menjenguk-jenguk dan ziarah ke blog ini, maaf sebab lama tidak menulis!
InsyaAllah akan kembali dalam beberapa hari lagi.
Banyak perkara dan ulasan yang hendak dikongsi dengan semua.

Siri 'Ala Barakatillah!

Sunday, October 24, 2010

Tahniah The Reds Warriors!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Pagi ahad yang indah dan tenang di Indera Mahkota, Kuantan. Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Esa, kerana masih lagi mengurniakan kepada aku segala macam nikmat dan rahmat yang tidak terhitung banyaknya.

Final Impian!

Malam semalam aku pasti seluruh rakyat Kelantan pasti tersenyum riang dan gembira sakan dengan kejayaan pasukan kesayangan mereka, The Reds Warriors, menewaskan Kedah dan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2010, buat kali kedua-dua berturut-turut. Aku berkesempatan menyaksikan perlawanan tersebut di rumah sewa seorang sahabat. Begitu meriah sekali. Pelawanan yang begitu mendebarkan dan penuh dengan aksi-aksi menarik terutamanya di separuh masa pertama.

Jaringan kelas dunia dari penyerang prolifik Kelantan, Nor Shahrul Idlan Talaha, hasil sepakan sudut terus ke dalam gol, menggamatkan stadium keramat, Stadium Sultan Muhammad IV, yang dibanjiri kira-kira 25 000 tentera merah Kelantan. Aku dan rakan-rakan pun turut bersorak riang meraikan gol yang dinanti-nantikan tersebut. Penyokong Kedah (seorang sahaja) yang turut sama-sama menyaksikan perlawanan tersebut hanya mampu tersenyum melihat gelagat penyokong Kelantan.

 Wira yang membawa Kelantan ke final PM 2010

30 Oktober 2010 akan menjadi sejarah baru buat bola sepak Kelantan. Perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan akan menjanjikan satu pertembungan yang menarik untuk dilihat dan dianalisis, tatkala ia adalah ulangan perlawanan akhir PM 2009, di mana Negeri Sembilan berjaya menundukkan Kelantan 3-1 pada tahun tersebut. Namun, segalanya pasti berbeza tahun ini. Banyak faktor yang sebenarnya akan menjadikan pasukan Kelantan lebih bersedia dan lebih bersemangat untuk membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Kelantan buat kali pertama dalam sejarah.

 Final PM 2010: Kelantan vs Negeri Sembilan

Kalau tahun lepas Negeri Sembilan menganggap kejayaan memenangi Piala Malaysia adalah hadiah untuk Yang Di Pertuan Besar yang baru dilantik, tahun ini pasti menjadi giliran The Reds Warriors pula untuk menghadiakan kemenangan dan kejayaan memenangi Piala Malaysia untuk Sultan baru Negeri Kelantan, Sultan Muhammad V. Aku begitu yakin! Inilah keyakinan seluruh rakyat Kelantan yang tidak jemu-jemu menyokong dan memberikan semangat dan dorongan kepada pemain-pemain Kelantan untuk terus maju. Pemain ke-12 Kelantan ini sebenarnya banyak membantu kejayaan The Reds Warriors dengan sokongan yang tidak berbelah bagi setiap kali perlawanan melibatkan Kelantan, sama ada di gelanggang sendiri atau di tempat lawan.

 Tentera Merah sentiasa memberikan sokongan padu kepada The Red Warriors


Suka Duka Bola Sepak Kelantan!

Sejak kepimpinan Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA) diambil alih dan diterajui oleh Tan Sri Anuar Musa, banyak perubahan yang telah dibuat bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan khasnya dan bola sepak Malaysia amnya. Dari penstrukturan semula kepimpinan KAFA dan penyerapan pemain-pemain yang berkualiti ke dalam pasukan sehinggalah kepada penjenamaan semula pasukan, prestasi pasukan Kelantan dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun.

 
Penyusunan promosi yang hebat dan tepat telah menarik kembali minat dan sokongan rakyat Kelantan untuk hadir ke stadium memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka. Sejak 2-3 tahun lepas, perbualan mengenai bola sepak Kelantan semakin hangat dibincangkan. Ianya semakin ketara pada tahun lepas, selepas The Reds Warriors berjaya melangkah ke perlawanan akhir bagi Piala FA dan Piala Malaysia. Walaupun tewas pada kedua-dua perlawanan tersebut, dari sudut positifnya, ia sebenarnya telah memberikan dorongan kepada KAFA dan para penyokong Kelantan bahawa pasukan Kelantan mampu menjadi kuasa baru bola sepak di Malaysia.

Bola sepak Kelantan sebenarnya begitu unik dan menarik untuk dibincangkan. Di sebalik kejayaan yang dicapai, terdapat juga detik-detik duka dan sedih yang mewarnai kancah bola sepak Kelantan. Tahun 2009 menyaksikan beberapa peristiwa hitam melanda kancah bola sepak Kelantan. Insiden rusuhan penyokong di Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang dikatakan berpunca dari kekalahan di separuh akhir pertama Piala FA kepada Negeri Sembilan (walaupun ada versi yang sebaliknya) adalah salah satu peristiwa besar yang mewarnai bola sepak kelantan. 

 Insiden rusuhan penyokong Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV

Seterusnya aksi 'tidak bertamadun' segelintir penyokong Kelantan ketika aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 menyebabkan ramai yang menganggap penyokong Kelantan bermasalah dan fanatik tidak bertempat. Kedua-dua insiden ini memberikan kesan yang mendalam kepada bola sepak Kelantan, sehinggakan KAFA sendiri didenda hampir RM 200, 000 dan Kelantan terpaksa bermain di gelanggang lain (Stadium Nasional Bukit Jalil) untuk baki perlawanan Liga Super 2009. Kelantan yang pada ketika itu berada dalam persaingan merebut kejuaraan Liga Super bagaikan hilang punca dan prestasi pemain sedikit merudum akibat tekanan dari dalam dan luar.

Dikesempatan itu, ada media massa yang cuba mengambil peluang dari peristiwa tersebut dan memanipulasikan berita dengan memberikan gambaran yang buruk kepada para penyokong Kelantan. Sehinggakan, para penyokong Kelantan dianggap tidak bertamadun dan berani tidak bertempat. Gambaran ini diburukkan lagi dengan peristiwa pergaduhan penyokong di Stadium Shah Alam dua minggu yang lepas pada perlawan suku akhir pertama Piala Malaysia 2010 antara Selangor dan Kelantan. Media massa dengan sengaja cuba menyalahkan para penyokong Kelantan semata-mata tanpa memberikan fakta yang sebenar dan adil terhadap peristiwa tersebut.

Walaupun isu perangai dan kefanatikan penyokong Kelantan diperbesar-besarkan, KAFA dan kelab-kelab penyokong Kelantan sentiasa berada di belakang para penyokong dan telah memainkan peranan yang besar dalam menyedarkan dan memberikan nasihat kepada para penyokong agar lebih berdisiplin. Hasilnya, para penyokong Kelantan pada tahun 2010 semakin berdisiplin dan meningkatkan sokongan mereka kepada pasukan. Dan ini dibuktikan dengan komen-komen positif dari beberapa pengulas sukan dan juga pemerhati bola sepak tanah air, yang lebih adil dalam membuat liputan dan analisis. 

 
FAM juga dilihat tidak berlaku adil kepada Kelantan. Tidak salah untuk aku katakan, FAM sebenarnya tidak mahu melihat bola sepak Kelantan dan Malaysia maju kehadapan. Beberapa keputusan dan denda yang dikenakan kepada Kelantan sepanjang tehun 2009 dan 2010 menampakkan ketikadilan dan ketidakketelusan FAM dalam menjatuhkan hukuman. Ya, Kelantan mungkin patut didenda, namun kenapa negeri-negeri lain yang mempunyai kesalahan dan masalah yang sama dengan Kelantan tidak pula dikenakah hukuman. Kenapa dalam beberapa kes yang berat melibatkan negeri lain, FAM lambat mengambil keputusan, namun tidak bagi Kelantan? Terbaru, semalam jurulatih Kelantan, B. Sathianathan digantung selama 6 bulan gara-gara memberikan komen "yang betul dan tepat" di dalam akhbar. Apa sudah jadi dengan FAM? Aku masih menantikan tindakan balas yang akan dilakukan oleh KAFA dalam isu ini.

 Sathia digantung 6 bulan oleh FAM atas sebab yang tidak munasabah

2010 untuk Kelantan!

Tahun 2010 adalah untuk Kelantan. Dengan pelancaran program Tahun Bola Sepak Kelantan dan penganjuran Karnival The Red Warriors pada bulan 7 yang lepas, pasukan Kelantan semakin digeruni oleh negeri-negeri lain. Kejayaan memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 dan InsyaAllah akan bergelar juara, telah membuka mata banyak pihak bahawa bola sepak di Malaysia menjadi meriah kerana adanya The Red Warriors dan Tentera Merah yang mewarnai kancah bola Malaysia. Kejayaan 4 wakil Kelantan dalam pemilihan kepimpinan FAM membuktikan bahawa kepakaran dan sumbangan idea dari Kelantan amatlah diperlukan bagi FAM. Cuma aku berharap mereka ini diberikan peluang dan ruang yang secukupnya bagi membangunkan industri bola sepak tempatan.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 akan menjadi satu titik kebangkitan sebenar pasukan Kelantan. Ayuh The Red Warriors, buktikan kemampuan anda. Piala Malaysia untuk Kelantan. Buktikan kepada semua bahawa kitalah pasukan yang terbaik dan selayaknya untuk menjadi juara. Kepada para Tentera Merah, rapatkan barisan, tingkatkan sokongan dan disiplinkan diri. Teruskan menyokong dan buktikan kepada semua bahawa kitalah penyokong yang terbaik sekali di Malaysia. Gomo Kelate Gomo! Bukit Jalil, nantikan kehadiran The Red Warriors dan Tentera Merah!



"Kito ore Kelate, bako ore brani, bilo masok pade, kito gomo sengoti"
"Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Bertindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo"
"Gomo Kelate Gomo"

Saturday, October 23, 2010

Dari Rakyat: Tahniah Kerajaan Islam Kelantan

Sempena sambutan 20 tahun pemerintahan Kerajaan Islam (PAS) Kelantan yang disambut pada 20 Oktober 2010 yang lepas, aku selaku rakyat jelata Negeri Kelantan ingin mengucapkan:

TAHNIAH, TAHNIAH dan TAHNIAH!

Buat Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, barisan exco kerajaan Negeri Kelantan, semua kakitangan kerajaan Negeri Kelantan dan seluruh rakyat Kelantan.

Semoga Kerajaan PAS Kelantan terus istiqamah dan maju dalam memimpin rakyat jelata ke arah pembangunan yang seimbang dan kesejahteraan yang berkekalan di bawah slogan "Membangun Bersama Islam".




Sunday, September 26, 2010

Alam blog...

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Alhamdulillah, dengan segala hidayah dan kekuatan yang diberikan oleh Yang Maha Berkuasa, akhirnya aku telah mengambil keputusan untuk melibatkan diri dengan dunia blog. Sebenarnya sudah lama aku bercita-cita untuk memiliki blog sendiri, namun dek kerana merasakan diri  tidak mampu untuk istiqamah dengan dunia blog dan keterbatasan waktu, aku menanguhkan hasrat tersebut sehingga ke minggu lepas. Dan Alhamdulillah, setelah memikirkan inilah masa yang sesuai dan merasakan diri mampu untuk kekal dan istiqamah berkongsi dalam dunia blog, maka terhasillah sebuah blog yang bertajuk "Persiapan di Persinggahan". Semoga aaku diberikan kelapangan, kemudahan dan kekuatan oleh Allah untuk istiqamah dan kekal berkongsi dengan anda semua di blog ini. Semoga apa yang akan dikongsikan dalam blog ini akan memberikan manfaat kepada semua yang sudi menjenguk dan membaca blog ini. Siru 'Ala barakatillah.

Insan Rabbani, 
IM2 Kuantan.
26 September 2010.