Detik Waktu

Monday, March 28, 2011

KEKESALAN YANG AKANKU UBATI

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bagaimana iman kita semua pada saat ini? Semoga ia terus utuh lagi teguh.

Sejak beberapa hari yang lepas, perasaan kesal mengenai suatu perkara kembali menghantui fikiran aku. Sudah lama sebenarnya aku mengesali akan perkara ini, namun sejak akhir-akhir ini kekesalan itu semakin memuncak. Terkadang-kadang, aku merasakan diri ini berlaku zalim terhadap Si Dia. Zalim kerana beberapa tahun yang lalu aku telah menyatakan cintaku kepada Si Dia, namun aku gagal untuk membuktikan rasa kecintaan itu, bahkan meninggalkan ia untuk mencari sesuatu yang lain.

Mengungkap kembali kisah pertemuan aku dengan Si Dia, ia merupakan satu ketentuan Allah SWT yang telah mengaturkan perjalanan hidupku ini. Aku mula mengenali akan Si Dia ketika aku masih kecil lagi, seingat aku ketika aku mula memasuki sebuah taski di Kuala Krai pada tahun 1991. Ya, pada ketika itu aku sekadar mengenali Si Dia begitu sahaja, tanpa ada rasa cinta dan kasih terhadap Si Dia. Namun, segala-galanya berubah apabila aku mula memasuki pengajian peringkat menengah. Di sanalah bermulanya perasaan cinta dan kasih yang amat mendalam kepada Si Dia.

Benar sekali kata-kata "tak kenal maka tak cinta". Ya, rasa cinta terhadap Si Dia adalah disebabkan aku mula mengenali dan memahami akan hakikat diri Si Dia. Pada ketika itu, aku mula memahami ciri-ciri, penampilan dan lenggok bahasa Si Dia. Sungguh indah sekali rasa cinta pada saat itu. Rasa bangga dan gembira dapat mengenali dan seterusnya memahami akan hakikat sebenar Si Dia. Besar sekali sumbangan yang telah diberikan Si Dia kepada aku pada ketika itu. Sebenarnya, aku tidak bertepuk sebelah tangan pada ketika itu. Cintaku kepada Si Dia adalah cinta yang berbalas.

Pada ketika itu, aku tidak dapat bayangkan bagaimana kemaruk cintaku kepada Si Dia. Sehari yang berlalu tanpa mengingati dan menyebut Si Dia, bagaikan hari yang tidak bermakna sama sekali. Perkenalan aku dengan Si Dia telah membantu aku memahami banyak perkara yang lain. Perkenalan itu juga sebenarnya mendekatkan lagi aku kepada Allah SWT dab Rasulullah SAW. Si Dia telah membantu aku memahami Islam dengan lebih mendalam dan terperinci. Inilah yang dikatakan cinta yang sejati. Cinta yang mampu mendekatkan diri aku kepada Pencipta alam ini.

Namun, segala-galanya tidak bertahan lama. Sudah hakikat diri seorang manusia, insan yang mudah lupa. Lupa diri. Selepas aku mengambil keputusan untuk memberikan fokus kepada sesuatu yang lain, aku mula meninggalkan Si Dia. Sedikit demi sedikit aku menjauhkan diri dari Si Dia. Walaupun, ada ketikanya aku cuba untuk menghubungi kembali Si Dia dan menguatkan kembali rasa cinta kepadanya, tetapi ia gagal. Gagal bukan kerana Si Dia tidak menjawab panggilanku dan tidak mencintaiku, tetapi kerana aku tidak bersungguh-sungguh dengan usahaku. Sekalipun rasa cintaku kepada Si Dia tidak prnah hilang, namun aku gagal untuk menterjemahkan rasa cinta itu melalui tindakan.

Pada ketika itu aku mula kesal dengan tindakan dan pilihanku. Pada saat ramai kawan-kawanku mula mendampingi Si Dia, dan begitu serius memahami dan mendalami hakikat Si Dia, aku tidak membuktikan kesungguhan cintaku kepadanya. Pada hari ini, kekesalan semakin memuncak. Aku bertekad untuk mengembalikan dan memekarkan kembali cintaku dan kasihku kepadanya. Rasa cinta yang begitu hebat yang pernah wujud beberpa tahun yang lalu akan aku suburkan kembali. Semuanya ini kerana aku begitu meyakini bahawa cintaku kepadanya bukanlah cinta yang sia-sia, bahkan cinta itu mampu mendekatkan diriku kepada Allah Yang Satu.

Kepada Si Dia, aku memohon maaf atas tindakan dan pilihanku semala ini, yang telah meminggirkan dirimu. Aku sedar dan yakin bahawa cintaku kepadamu akan kembali berbalas. Aku pasakkan tekad untuk kembali serius mendampingimu dan seterusnya serius mengenali dan mendalami hati budi dan sifat-sifatmu. Akan aku susun langkah dan aturkan strategi untuk aku kembali menguasaimu dan seterusnya mendapatkan seberapa banyak manfaat dari dirimu. Semoga usahaku ini dipermudahkan Allah SWT dan niatku ini mendapat keberkatan dan hidayah daripada Allah SWT. Akhirnya, nantikan kehadiranku dalam hidupmu.

Si Dia adalah merujuk kepada BAHASA ARAB....

1 comment:

  1. suka post ni...tertanya-tanya siapakah SI DIA...cubaan pertamaku mengatakan itu adalah Allah dan Rasul...tapi ayat 'Perkenalan itu juga sebenarnya mendekatkan lagi aku kepada Allah SWT dab Rasulullah SAW' menunjukkan ia salah..selepas itu, ku cuba untuk mengatakan SI DIA ialah Quran..akhirnya..ternyata..jelas salah jua di situ...ARABIYAH rupanya..teruskan menulis..moga membuahkan suatu yang berharga kelak...:)

    ReplyDelete