Detik Waktu

Saturday, March 26, 2011

PEMUDA AGEN PERUBAHAN (Siri 2)


PAP SIRI 2: CABARAN DAN HALANGAN

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Reformasi dan Salam Transformasi untuk anda semua.

Jika pada siri yang pertama dulu, aku telah jelaskan serba sedikit hakikat dan realiti orang muda masa kini serta faktor pemfokusan yang diberikan kepada orang muda untuk bertindak sebagai agen perubahan. InsyaAllah, untuk siri yang kedua ini, aku ingin berkongsi dengan anda semua tentang cabaran dan halangan yang membantutkan dan juga yang menjadi musuh kepada keberjayaan menjadikan pemuda atau orang muda sebagai agen perubahan. Kerana aku pasti, setiap jalan perjuangan itu ada halangan dan cabaran yang perlu dilalui dan seterusnya diatasi bagi mencapat matlamat akhir perjuangan itu. Agenda perubahan adalah satu perjuangan yang besar.

Cabaran dan halangan ini datang dalam pelbagai bentuk, namun aku lebih suka untuk menggabungkan bentuk-bentuk tersebut ke dalam dua kategori besar iaitu cabaran dalaman dan cabaran luaran. Yang dimaksudkan dengan cabaran dalaman adalah cabaran yang berkaitan dengan diri orang muda itu sendiri, manakala cabaran luaran lebih berfokus kepada persekitaran dan juga suasana yang mempengaruhi orang muda masa kini. Sesungguhnya kedua-dua kategori halangan ini mampu menghalang dan menggagalkan usaha untuk menjadikan orang muda sebagai agen perubahan jika ia tidak difahami dengan sebaiknya dan seterusnya diatasi dengan cara yang paling tepat dan berkesan.

Cabaran Dalaman: Puncak segala halangan

Pengurusan dan pembentukan diri merupakan satu cabaran yang besar kepada setiap manusia. Jika silap percaturan, nilaian diri manusia hanyalah seperti sampah atau najis yang tidak begitu bernilai, jauh sekali daripada menjadi permata atau berlian yang menjadi kebanggaan manusia. Dalam usaha menjadikan orang muda sebagai agen perubahan, cabaran yang datang daripada diri orang muda itu merupakan satu halangan yang begitu besar, dan perlu diatasi dengan sebaiknya. Cabaran-cabaran berbentuk dalaman ini boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk:

Cabaran 1: Kefahaman dan Persediaan Yang Kurang

Menjadi seorang agen perubahan memerlukan golongan muda memahami segala aspek yang berkaitan dengan perubahan, termasuklah falsafah/konsep perubahan, bentuk-bentuk perubahan, method/strategi perubahan, dan sebagainya. Ia juga memerlukan golongan muda memahami dan menghayati persediaan yang selayaknya mereka usahakan bagi memastikan diri mereka menjadi agen perubah yang berjaya. Mereka juga perlu untuk memahami situasi sosio politik semasa negara dan juga masalah-masalah yang berlaku, agar mereka sedar dan tahu di ruang atau aspek manakah perubahan itu perlu dilakukan.

Namun begitu, hakikat yang tidak dapat untuk kita nafikan ialah betapa anak muda hari ini sebenarnya masih belum bersedia untuk memikul amanah sebagai qgen perubahan. Dengan segala macam permasalahan yang dilakukan oleh orang muda pada hari ini, ditambah pula dengan kefahaman dan persediaan yang kurang dalam membawa aspirasi perubahan dan pembaharuan, maka di sana agak sukar untuk diletakkan harapan yang terlalu besar kepada mereka pada hari ini. Ana muda hari ini lebih selesa dengan budaya, suasana dan persekitaran yang dibentuk oleh orang lain, tanpa memahami keperluan untuk mereka berubah dan seterusnya merubah. Inilah cabaran pertama yang perlu ditempuhi.

Cabaran 2: Anak muda yang Menentang

Hakikatnya, bukan semua golongan muda yang memahami akan keperluan untuk melakukan perubahan, malah ramai diantara anak muda sendiri yang sebenarnya menentang usaha ke arah perubahan, apatah lagi mendokong agenda perubahan itu sendiri. Penentangan yang dilakukan oleh sesetengah golongan muda yang sudah terbius dengan keadaan semasa, banyak membantutkan usaha menjadikan golongan muda sebagai agen perubahan. Penentangan secara dalaman ini melemahkan anak-anak muda yang sedar akan keperluan perubahan.

Mereka ini terpaksa terlebih dahulu mendidik dan merubah generasi mereka sebelum bertindak merubah masyarakat yang lain. Merubah jiwa, akhlak, dan pemikiran anak muda adalah satu perkara yang amat sukar, lebih-lebih lagi jika ia dilakukan oleh anak muda itu sendiri. Selain itu, penentangan yang dilakukan oleh sebahagian anak muda ini menyebabkan masyarakat memandang serong dan sukar untuk member kepercayaan kepada generasi muda untuk melakukan perubahan. Bagi mereka, bagaimana mungkin golongan muda mampu menjadi agen perubahan, sedangkan dikalangan mereka sendiri belaku permusuhan dan perpecahan.

Cabaran 3: Jiwa Muda yang Lemah

Selalunya, golongan muda sering dikaitkan dengan ciri-ciri keberanian, kekuatan dan darah muda yang mudah membara. Namun begitu, dewasa ini semua itu bukanlah satu jaminan kepada kemampuan anak muda untuk menjadi agen perubahan. Semua ciri-ciri tersebut telah ditewaskan dengan melemahkan jiwa anak-anak muda. Jiwa anak muda hari ini begitu lemah sekali. Kelemahan jiwa inilah yang menyebabkan golongan muda hari ini banyak terpengaruh dengan budaya-budaya salah dan sonsang. Kelemahan jiwa inilah juga menyebabkan anak-anak muda hari ini hilang motivasi, lemah semangat dan mudah ditipu oleh pihak-pihak yang tertentu.

Walaupun ciri-ciri keberanian darah muda masih lagi wujud dalam diri anak muda, namun keberanian tersebut telah disalurkan ke tempat yang salah. Keberanian mereka hanya pada pergaduhan, perbalahan, bertumbuk dan sebagainya. Jiwa membara anak muda ini hanya pada semangat perkauman, gansterisma dan permusuhan di dalam masyarakat. Inilah masalah besar yang membantutkan agenda menjadikan golongan muda sebagai agen perubahan. Jiwa yang lemah menyebabkan mereka terjerumus ke kancah maksiat dan jenayah, yang tidak memungkinkan mereka untuk menjadi agen perubahan yang sebenar dan sejati.

Cabaran Luaran: Penambah kepada Kelesuan

Selain daripada halangan yang datang daripada diri anak muda itu sendiri, cabaran yang bersifat luaran juga banyak menghalang agenda perubahan ini. Cabaran luaran ini sebenarnya banyak memperngaruhi pembentukan dan persedian golongan muda menjadi agen perubahan. Cabaran-cabaran ini akan melesukan lagi diri-diri anak muda dan seterusnya menjauhkan mereka daripada menjadi agen perubahan yang sejati. Cabaran luaran ini aku bahagikan kepada 3 aspek yang besar:

Cabaran 1: Sisitem Pendidikan/Pembinaan Diri yang Tidak Membantu

Pandidikan adalah satu wasilah penting dalam membina jiwa, rohani, akhlak, fizikal dan segala aspek yang berkaitan dengan diri seorang manusia. Sebagai seorang agen perubahan, sepatutnya anak muda dididik untuk menjadi seorang yang berani, kritis, berwawasan, fleksibal, bertanggungjawab, berdikari dan sebagainya. Semua ini diharapkan mampu dibentuk melalui sistem pendidikan yang ada di negara ini. Namun, sebaliknya yang berlaku. Sistem pendidikan yang ada di negara Malaysia pada hari ini tidak mampu untuk membentuk anak muda menjadi seorang agen perubahan, bahkan lebih teruk lagi, sistem ini membentuk anak muda menjadi golongan pak angguk, lemah dan sukakan hiburan.

Jika kita kaji secara mendalam sistem pendidikan yang ada di negara ini pada masa kini, kita akan dapati bahawa banyak kekurangan darisegi pembinaan jiwa dan pribadi yang terdapat dalam sistem ini pada hari ini. Bermula dari peringkat pendidikan rendah sehinggalah pendidikan tinggi, yang banyak ditekankan hanyalah kepada pembinaan modal insan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja semata-mata, tetapi tidak ditekankan pembinaan diri untuk menjadi seorang hamba Allah yang soleh dan juga pemimpin yang amanah lagi jujur. Bilamana anak muda hanya dididik untuk menjadi ‘pekerja’ yang bersifat menurut semata-mata, maka akan lahirlah golongan muda yang statik, tak berwawasan dan menerima seadanya keadaan negara yang hancur. Inilah cabaran pembentukan diri yang dihadapi dalam merealisasikan usaha menjadikan golongan muda sebagai aagen perubahan.

Cabaran 2: Penangan Hidonisme

Dunia moden pada hari ini dipenuhi dengan unsur-unsur hidonisma yang melampau. Lihat sahajalah di negara ini, berapa banyak program berbentuk hiburan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Rancangan-rancangan hiburan menguasai segenap ruang media elektronik, tidak kiralah sama ada televisyen, radio, internet dan sebagainya. Generasi muda hari ini telah dididik dalam suasana hiburan ini. Mereka diajarkan berhibur, disediakan ruang dan platform untuk berhibur, malah diberikan ganjaran di atas kerja yang berkaitan dengan hiburan. Bukanlah ingin menyatakan bahawa hiburan itu salah, bahkan ia adalah fitrah manusia yang memerlukan hiburan. Namun, yang menjadi masalahnya ialah apabila hiburan itu terlalu dipentingkan dan diutamakan sehinggakan terbentuknya masyarakat hedonism.

Penangan hidonisma inilah yang telah membuatkan anak muda hari ini hanyut dan lalai daripada memahami dan melaksanakan tanggungjawab yang lebih penting dan utama. Keasyikan mereka berseronok, bergembira dan bergelak ketawa membuatkan mereka tidak sedar bahawa ummat ini semakin nazak dan tenat. Mereka juga sudah biasa dengan budaya hiburan sehinggakan hati mereka gundah dan resah jika tidak dapat berhibur. Inilah antara halangan luaran yang membantutkan agenda menjadikan generasi muda sebagai agen perubahan. Bagaimana hati yang lalai dan leka dengan keasyikan dunia mampu memimpin dan membimbing manusia menjadi lebih baik dan bekerja untuk akhirat.

Inilah antara bentuk-bentuk halangan yang bersifat dalaman dan luaran yang menjadi cabaran kepada pembentukan generasi muda menjadi agen perubahan. Aku yakin, banyak lagi halangan-halangan lain yang tidak mampu aku sebutkan semuanya di sini. Namun, apa yang lebih penting, halangan ini bukanlah satu alasan atau faktor kelemahan dan kegagalan dalam merealisasikan hasrat menjadikan anak muda sebagai agen perubahan. Kerana di sana, pelbagai persediaan dan solusi-solusi yang berkesan yang mampu untuk mengatasi masalah-masalah ini.

Ini hanyalah untuk anda semua mengetahui dan memahami jenis-jenis halangan dalam mencapai matlamat yang mulia ini, dan dengan itu, anda semua mampu untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin sebagai satu usaha menenmpuh halangan ini kelak. Kegagalan untuk memahami bentuk-bentuk halangan ini akan menyebabkan kita gagal dan lemah untuk berdepan dengan halangan ini dan seterusnya menggagalkan matlamat menjadikan anak muda sebagai agen perubahan. Semoga kita semua diberikan kekuatan dan kemampuan untuk menghadapi semua ini.

No comments:

Post a Comment