Detik Waktu

Sunday, October 24, 2010

Tahniah The Reds Warriors!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Pagi ahad yang indah dan tenang di Indera Mahkota, Kuantan. Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Esa, kerana masih lagi mengurniakan kepada aku segala macam nikmat dan rahmat yang tidak terhitung banyaknya.

Final Impian!

Malam semalam aku pasti seluruh rakyat Kelantan pasti tersenyum riang dan gembira sakan dengan kejayaan pasukan kesayangan mereka, The Reds Warriors, menewaskan Kedah dan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2010, buat kali kedua-dua berturut-turut. Aku berkesempatan menyaksikan perlawanan tersebut di rumah sewa seorang sahabat. Begitu meriah sekali. Pelawanan yang begitu mendebarkan dan penuh dengan aksi-aksi menarik terutamanya di separuh masa pertama.

Jaringan kelas dunia dari penyerang prolifik Kelantan, Nor Shahrul Idlan Talaha, hasil sepakan sudut terus ke dalam gol, menggamatkan stadium keramat, Stadium Sultan Muhammad IV, yang dibanjiri kira-kira 25 000 tentera merah Kelantan. Aku dan rakan-rakan pun turut bersorak riang meraikan gol yang dinanti-nantikan tersebut. Penyokong Kedah (seorang sahaja) yang turut sama-sama menyaksikan perlawanan tersebut hanya mampu tersenyum melihat gelagat penyokong Kelantan.

 Wira yang membawa Kelantan ke final PM 2010

30 Oktober 2010 akan menjadi sejarah baru buat bola sepak Kelantan. Perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan akan menjanjikan satu pertembungan yang menarik untuk dilihat dan dianalisis, tatkala ia adalah ulangan perlawanan akhir PM 2009, di mana Negeri Sembilan berjaya menundukkan Kelantan 3-1 pada tahun tersebut. Namun, segalanya pasti berbeza tahun ini. Banyak faktor yang sebenarnya akan menjadikan pasukan Kelantan lebih bersedia dan lebih bersemangat untuk membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Kelantan buat kali pertama dalam sejarah.

 Final PM 2010: Kelantan vs Negeri Sembilan

Kalau tahun lepas Negeri Sembilan menganggap kejayaan memenangi Piala Malaysia adalah hadiah untuk Yang Di Pertuan Besar yang baru dilantik, tahun ini pasti menjadi giliran The Reds Warriors pula untuk menghadiakan kemenangan dan kejayaan memenangi Piala Malaysia untuk Sultan baru Negeri Kelantan, Sultan Muhammad V. Aku begitu yakin! Inilah keyakinan seluruh rakyat Kelantan yang tidak jemu-jemu menyokong dan memberikan semangat dan dorongan kepada pemain-pemain Kelantan untuk terus maju. Pemain ke-12 Kelantan ini sebenarnya banyak membantu kejayaan The Reds Warriors dengan sokongan yang tidak berbelah bagi setiap kali perlawanan melibatkan Kelantan, sama ada di gelanggang sendiri atau di tempat lawan.

 Tentera Merah sentiasa memberikan sokongan padu kepada The Red Warriors


Suka Duka Bola Sepak Kelantan!

Sejak kepimpinan Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA) diambil alih dan diterajui oleh Tan Sri Anuar Musa, banyak perubahan yang telah dibuat bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan khasnya dan bola sepak Malaysia amnya. Dari penstrukturan semula kepimpinan KAFA dan penyerapan pemain-pemain yang berkualiti ke dalam pasukan sehinggalah kepada penjenamaan semula pasukan, prestasi pasukan Kelantan dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun.

 
Penyusunan promosi yang hebat dan tepat telah menarik kembali minat dan sokongan rakyat Kelantan untuk hadir ke stadium memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka. Sejak 2-3 tahun lepas, perbualan mengenai bola sepak Kelantan semakin hangat dibincangkan. Ianya semakin ketara pada tahun lepas, selepas The Reds Warriors berjaya melangkah ke perlawanan akhir bagi Piala FA dan Piala Malaysia. Walaupun tewas pada kedua-dua perlawanan tersebut, dari sudut positifnya, ia sebenarnya telah memberikan dorongan kepada KAFA dan para penyokong Kelantan bahawa pasukan Kelantan mampu menjadi kuasa baru bola sepak di Malaysia.

Bola sepak Kelantan sebenarnya begitu unik dan menarik untuk dibincangkan. Di sebalik kejayaan yang dicapai, terdapat juga detik-detik duka dan sedih yang mewarnai kancah bola sepak Kelantan. Tahun 2009 menyaksikan beberapa peristiwa hitam melanda kancah bola sepak Kelantan. Insiden rusuhan penyokong di Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang dikatakan berpunca dari kekalahan di separuh akhir pertama Piala FA kepada Negeri Sembilan (walaupun ada versi yang sebaliknya) adalah salah satu peristiwa besar yang mewarnai bola sepak kelantan. 

 Insiden rusuhan penyokong Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV

Seterusnya aksi 'tidak bertamadun' segelintir penyokong Kelantan ketika aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 menyebabkan ramai yang menganggap penyokong Kelantan bermasalah dan fanatik tidak bertempat. Kedua-dua insiden ini memberikan kesan yang mendalam kepada bola sepak Kelantan, sehinggakan KAFA sendiri didenda hampir RM 200, 000 dan Kelantan terpaksa bermain di gelanggang lain (Stadium Nasional Bukit Jalil) untuk baki perlawanan Liga Super 2009. Kelantan yang pada ketika itu berada dalam persaingan merebut kejuaraan Liga Super bagaikan hilang punca dan prestasi pemain sedikit merudum akibat tekanan dari dalam dan luar.

Dikesempatan itu, ada media massa yang cuba mengambil peluang dari peristiwa tersebut dan memanipulasikan berita dengan memberikan gambaran yang buruk kepada para penyokong Kelantan. Sehinggakan, para penyokong Kelantan dianggap tidak bertamadun dan berani tidak bertempat. Gambaran ini diburukkan lagi dengan peristiwa pergaduhan penyokong di Stadium Shah Alam dua minggu yang lepas pada perlawan suku akhir pertama Piala Malaysia 2010 antara Selangor dan Kelantan. Media massa dengan sengaja cuba menyalahkan para penyokong Kelantan semata-mata tanpa memberikan fakta yang sebenar dan adil terhadap peristiwa tersebut.

Walaupun isu perangai dan kefanatikan penyokong Kelantan diperbesar-besarkan, KAFA dan kelab-kelab penyokong Kelantan sentiasa berada di belakang para penyokong dan telah memainkan peranan yang besar dalam menyedarkan dan memberikan nasihat kepada para penyokong agar lebih berdisiplin. Hasilnya, para penyokong Kelantan pada tahun 2010 semakin berdisiplin dan meningkatkan sokongan mereka kepada pasukan. Dan ini dibuktikan dengan komen-komen positif dari beberapa pengulas sukan dan juga pemerhati bola sepak tanah air, yang lebih adil dalam membuat liputan dan analisis. 

 
FAM juga dilihat tidak berlaku adil kepada Kelantan. Tidak salah untuk aku katakan, FAM sebenarnya tidak mahu melihat bola sepak Kelantan dan Malaysia maju kehadapan. Beberapa keputusan dan denda yang dikenakan kepada Kelantan sepanjang tehun 2009 dan 2010 menampakkan ketikadilan dan ketidakketelusan FAM dalam menjatuhkan hukuman. Ya, Kelantan mungkin patut didenda, namun kenapa negeri-negeri lain yang mempunyai kesalahan dan masalah yang sama dengan Kelantan tidak pula dikenakah hukuman. Kenapa dalam beberapa kes yang berat melibatkan negeri lain, FAM lambat mengambil keputusan, namun tidak bagi Kelantan? Terbaru, semalam jurulatih Kelantan, B. Sathianathan digantung selama 6 bulan gara-gara memberikan komen "yang betul dan tepat" di dalam akhbar. Apa sudah jadi dengan FAM? Aku masih menantikan tindakan balas yang akan dilakukan oleh KAFA dalam isu ini.

 Sathia digantung 6 bulan oleh FAM atas sebab yang tidak munasabah

2010 untuk Kelantan!

Tahun 2010 adalah untuk Kelantan. Dengan pelancaran program Tahun Bola Sepak Kelantan dan penganjuran Karnival The Red Warriors pada bulan 7 yang lepas, pasukan Kelantan semakin digeruni oleh negeri-negeri lain. Kejayaan memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 dan InsyaAllah akan bergelar juara, telah membuka mata banyak pihak bahawa bola sepak di Malaysia menjadi meriah kerana adanya The Red Warriors dan Tentera Merah yang mewarnai kancah bola Malaysia. Kejayaan 4 wakil Kelantan dalam pemilihan kepimpinan FAM membuktikan bahawa kepakaran dan sumbangan idea dari Kelantan amatlah diperlukan bagi FAM. Cuma aku berharap mereka ini diberikan peluang dan ruang yang secukupnya bagi membangunkan industri bola sepak tempatan.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 akan menjadi satu titik kebangkitan sebenar pasukan Kelantan. Ayuh The Red Warriors, buktikan kemampuan anda. Piala Malaysia untuk Kelantan. Buktikan kepada semua bahawa kitalah pasukan yang terbaik dan selayaknya untuk menjadi juara. Kepada para Tentera Merah, rapatkan barisan, tingkatkan sokongan dan disiplinkan diri. Teruskan menyokong dan buktikan kepada semua bahawa kitalah penyokong yang terbaik sekali di Malaysia. Gomo Kelate Gomo! Bukit Jalil, nantikan kehadiran The Red Warriors dan Tentera Merah!



"Kito ore Kelate, bako ore brani, bilo masok pade, kito gomo sengoti"
"Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Bertindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo"
"Gomo Kelate Gomo"

No comments:

Post a Comment