Detik Waktu

Thursday, June 7, 2012

KE PUTRAJAYA DENGAN IMAN




Alhamdulillah, Himpunan Ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Darul Aman pada 1 Jun 2012, telah berlansung dengan jayanya. Kehadiran yang saya jangkakan melebihi 100,000 ribu orang sudah cukup untuk menggambarkan betapa para ahli dan penyokong PAS sudah bersedia untuk bersama para pimpinan parti menyusun barisan, mengatur strategi dan mengorak langkah dengan penuh bersemangat sekali untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya dari BN yang sudah tidak relevan lagi untuk mentadbir negara ini.

Himpunan ini berjaya menghimpunkan pelbagai kelompok ahli dan penyokong PAS, samaada tua mahupun muda termasuklah juga ahli-ahli non-Muslim dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang turut bersama-sama menyatakan komitmen untuk menyokong dan mendokong aspirasi PAS dan PR untuk mengambilailh tampuk pentadbiran Putrajaya. Himpunan ini adalah antara himpunan terbesar yang berjaya dilakukan oleh PAS, bahkan inilah himpunan paling besar yang pernah diadakan di Kedah. Sudah pasti ia menjadi satu motivasi dan peransang untuk PAS Kedah khususnya, dalam menghadapi tentangan, fitnah dan serangan daripada UMNO/BN serta konco-konco mereka.

Jelas, perhimpunan ini mampu membangkitkan semangat dan keazaman semua yang hadir untuk terus thabat dan istiqamah dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Pidato-pidato serta ucapan-ucapan yang diberikan oleh para pimpinan begitu mengujakan dan penuh bersemangat sekali. Apa tidaknya, setiap pidato pasti disambut dengan laungan ‘Allahuakbar’ yang bergema dan juga kibaran bendera PAS, menandakan sokongan dan kebersamaan semua untuk maju ke Putrajaya. Kini Putrajaya menjadi satu cita-cita yang harus diusahakan. Sudah lama Putrajaya menangis kerana ditadbir oleh tangan-tangan yang banyak melakukan kerosakan dan kemungkaran di bumi Malaysia ini.

Akhirnya ucapan dan amanat daripada YB Dato’ Sri Presiden menjadi penutup kepada deretan pidato yang disampaikan pada hari itu. Ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang lain daripada yang lain. Di saat semua yang lain memberi fokus kepada membangkitkan semangat dan keazaman semua yang hadir, Tuan Guru seperti biasa, dengan penuh ketenangan dan keikhlasan, mengajak semua ahli dan para penyokong PAS agar melakukan persediaan daripada segenap perkara. Namun apa yang lebih ditekankan oleh Tuan Guru ialah berkenaan dengan persedian rohani serta keimanan dan hubungan para pejuang kepada Allah SWT.

Lalu dibawakan satu pesanan yang pernah diucapkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab r.a kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas r.a. dalam menghadapi tentera Parsi sebelum meletusnya Perang al-Qadisiyyah:

فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة

“Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita

Inilah asas perjuangan yang ingin dibawa oleh PAS dalam merempuh jalan ke Putrajaya. PAS mahukan agar keberjayaan berada di Putrajaya kelak, InsyaAllah, adalah hasil kebergantungan dan kekuatan hubungan rohani para ahli dan penyokongnya dengan Allah SWT. Kerana, kemenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT, apabila berpaksikan kepada Ubudiyyah kepada Allah SWT, sudah pasti kemenangan itu adalah satu nikmat dan rahmat, bukannya satu musibah atau mehnah. Dan sudah pastilah juga, penyakit-penyakit dan barah-barah yang melanda UMNO/BN semasa memegang tampuk pemerintahan akan terhindar daripada menjangkiti hati-hati para pejuang PAS apabila mereka memerintah kelak.

Inilah persedian yang paling penting dan besar sekali. Tiada gunanya jika kita bermegah dengan persediaan fizikal, kekuatan tenaga kerja mahupun kehebatan gerak kerja dan perancangan, jika akhirnya hubungan dan kebergantungan kita dengan Allah SWT adalah sangat jauh sekali. Maka jika ini yang berlaku, tiada bezanya kita dengan lawan kita. Harus diingat, cita-cita kita bukan semata-mata merampas tampuk pemerintahan di Putrajaya, tetapi apa yang lebih utama ialah kita ingin mengembalikan ummah dan masyarakat ini kepada Islam yang sebenar. Kita ingin melaksanakan program-program dan perojek-projek yang bukan sahaja bersifat untuk kemajuan dan kesenangan duniawi, tetapi untuk kebahagian semua di akhirat kelak.

Dan amanah mengisi kemenangan itu adalah tersangat sukar dan berat daripada usaha mendapatkan Putrajaya itu sendiri. Jika ketika itu, iman para pendokong PAS lemah, maka tidak mustahil, penyakit yang melanda UMNO/BN akan diwarisi oleh kita apabila memerintah negara kelak. Perebutan kuasa, rasuah, salahguna kuasa, cantas-mencantas dan banyak lagi adalah antara beberapa penyakit yang mungkin akan merebak jika tiada aqidah dan keimanan yang mantap.

Sebab itulah, saya merasakan apa yang disampaikan oleh Tuan guru Presiden adalah satu muhasabah dan peringatan kepada kita semua, agar terus mempertingkatkan hubungan kita dengan Allah SWT. Bantuan dan kemenangan daripada Allah SWT adalah sesuatu yang pasti bagi hamba-hambanya yang sanggup berkorban dan berjihad menolong Agama Allah SWT. Jadi apa lagi yang mampu kita lakukan selain bergantung kepada Allah SWT. Kekuatan fizikal kita sangat lemah berbanding mereka. Kekuatan kewangan kita sangat lemah berbanding mereka. Kekuatan material kita sangat lemah berbanding mereka. Tetapi kita ada Allah SWT, pemilik alam ini, pemilik segala kekuatan yang mereka ada itu. Bergantung haraplah hanya kepada Allah SWT.

Ayuh, sama-sama kita tingkatkan usaha dan pengorbanan kita untuk ke Putrajaya. Sesungguhnya Putrajaya semakin hampir. Buktikan dan tunjukkan kepada masyarakat, Islam mampu dan boleh memerintah, dengan penuh keadilan dan berkebajikan. InsyaAllah, hadir kita ke Putrajaya kelak dengan iman. Negara berkebajikan dan pemerintahan yang adil, berteraskan keimanan dan tetaqwaan kepada Allah SWT menjadi tawaran kita. Hijau Ke Putrajaya. AllahuAkbar.

No comments:

Post a Comment