Detik Waktu

Wednesday, June 13, 2012

MEMAHAMI & MEMPRAKTIKKAN SUNNAH DAKWAH RASULULLAH SAW



Dakwah merupakan tanggungjawab setiap muslim. Sebagaimana hadis daripada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang mengucapkan ‘Tiada Tuhan Selain Allah’ maka dia adalah daie (seorang pendakwah)”. Rasulullah SAW sendiri diutuskan sebagai seorang daie, yang bersifat dengan sifat Tabligh (menyampaikan), untuk menyampaikan risalah ajaran Islam yang murni dan mulia ini.

Allah SWT telah menetapkan bahawa sirah perjalanan dakwah Rasulullah SAW itu dipenuhi dengan pelbagai ibrah dan pengajaran, untuk dijadikan rujukan dan panduan para pendakwah sekalian. Banyak sekali kitab-kitab sirah yang menceritakan tentang proses dakwah yang dilalui dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat. Melalaui proses dakwah inilah, akhirnya Islam berkembang pesat suatu ketika beberapa kali melalui zaman kegemilangan, sebagaimana diperakui oleh tulisan-tulisan sejarah dunia.

Sebagai seorang daie, Baginda SAW dilatih dan dididik secara terus oleh Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibrail. Maka segala strategi dan method pelaksanaan dakwah Baginda Rasulullah SAW adalah ketetapan daripada Allah SWT. Jika dirujuk dan dikaji secara mendalam method dakwah Rasulullah SAW, maka kita akan melihat kebijaksanaan dan kehebatan Rasulullah SAW dalam mengajak dan menyeru manusia kepada Islam. Method dakwah Rasulullah SAW adalah sangat fleksibal, sangat meraikan keadaan semasa, dan yang utama sangat meraikan sifat dan keadaan sasaran dakwah itu sendiri.



Dakwah Rasulullah SAW dihiasi dengan perasaan kasih sayang yang sangat mendalam terhadap ummat manusia pada zaman itu. Dakwah Baginda SAW penuh dengan kelembutan dan tatasusila, sehinggakan banyak jiwa-jiwa bengis dan ganas akhirnya akur dengan keindahan ajaran Islam yang dipertontonkan oleh Baginda SAW. Dakwah Baginda SAW juga penuh dengan semangat toleransi yang tinggi. Namun begitu, ini tidak menghalang Baginda Rasulullah SAW untuk tegas dan tetap dalam maudu’ dan pengisian dakwah itu sendiri.

Lihatlah sahaja peristiwa dakwah Rasulullah SAW ke Thaif bersama dengan Zaid Bin Harithah. Baginda SAW dihina dan dicerca, bahkan disakiti dengan lontaran batu-batu dan kayu-kayu ke tubuh Baginda SAW. Lalu datang Malaikat Jibrail, menyatakan kesediaan untuk menurunkan azab kepada mereka. Namun, kerana sifat sabar dan kasih Baginda SAW kepada ummatnya, Baginda SAW menghalang Malaikat Jibrail daripada berbuat demikian. Sebaliknya Baginda SAW terus berdoa kepada Allah SWT mengadu akan hal ini dan memohon agar ummat Baginda SAW diampunkan dan diberikan hidayah, justeru kelak waris-waris penduduk Thaif akan menerima ajaran Islam yang mulia ini.



Betapa besarnya jiwa Baginda SAW dalam berdakwah. Cercaan dan cacian dibalas dengan doa. Penghinaan dibalas dengan senyuman. Kesakitan dibalas dengan kebaikan. Inilah Muhammad SAW, yang dikatakan menjadi idola dan role model para pendakwah hari ini. Tanya sahajalah mereka yang terlibat dengan gerakan dakwah atau gerak kerja dakwah, pasti mereka dengan yakinnya mengatakan bahawa Rasulullah SAWlah merupakan panduan dan model mereka bagi gerak kerja dakwah ini. Ya, keyakinan dan pilihan mereka ini sangat tepat dan benar sekali. Siapa lagi yang selayaknya dijadiakan role model bagi setiap Muslim kalau bukan Muhammad SAW.

Pun begitu, keyakinan dan penegasan itu kebanyakannya hanyalah pada ucapan semata-mata, tidak sepenuhnya pada tindakan dan perbuatan. Untuk mengikut jejak langkah dakwah Raslullah SAW 100% adalah sangat mustahil sekali, bahkan untuk memperaktikkan satu sahaja daripada sifat dakwah Rasulullah SAW begitu sukar dan payah sekali. Namun begitu, dek kerana Rasulullah SAW adalah role model para pendakwah, maka tidak dapat tidak, setiap pendakwah perlu berusaha sedaya upaya untuk mempraktikkan segala sunnah dakwah Rasulullah SAW.

Maka, banyak sekali perubahan yang perlu dilakukan oleh para pendakwah untuk mencapai hasrat itu. Dan saya melihat, perubahan pada diri dan karektor pendakwah itu yang perlu diutamakan. Hal ini kerana, apa yang saya perhatikan, keberjayaan dan kegagalan urusan dakwah itu banyak bergantung kepada faktor diri pendakwah itu sendiri. Mad’u bukan sekadar melihat kepada apa yang disampaikan oleh pendakwah itu semata-mata, tetapi sebenarnya mereka lebih melihat kepada sikap, sifat dan kepribadian diri seorang pendakwah itu. Inilah sebenarnya salah satu rahsia keberjayaan dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat. Ramai yang tertarik dengan sifat dan kepribadian Nabi SAW dan para sahabat.



Akhir sekali, saya menyeru kepada kalian yang bergelar para pendakwah, marilah sama-sama kita kembali menghayati, memahami dan seterusnya mengaplikasikan segala sunnah dakwah Rasulullah SAW. Inilah contoh dan ikutan terbaik sekali, dan contoh ini ternyata telah meraih satu kejayaan yang besar sekali. Dakwah adalah amanah dan tanggungjawab kita semua, dan sewajarnyalah kita melakukan persediaan yang terbaik bagi melaksanakan amanah dakwah yang besar dan berterusan ini. Akhirnya, kita serahkan kepada Allah SWT untuk memberikan hidayah kepada semua ummat manusia.

No comments:

Post a Comment