Sebelum aku menulis mengenai topik di atas, suka aku tegaskan bahawa:
1) Aku hanyalah seorang mahasiswa yang memerhati
2) Aku bukanlah seorang penganalisis politik yang hebat
3) Aku hanyalah seorang warga negara yang mengambil berat akan masa depan negara ini
Justeru, penilaian dan analisis yang akan aku kupas ini hanyalah pandangan seorang anak muda yang kurang pengalaman dan masih belajar, namun mempunyai pandangan untuk diutarakan.
Hakikat Pilihanraya Kampus
Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, Pilihanraya Kampus (PRK) akan berlaku dengan hangatnya. Sebelum diumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRK lagi, terutamanya selepas bermulanya semester kedua pengajian, sebilangan mahasiswa akan mula memperkatakan tentang perkara ini. Kehangatan dan kemeriahan PRK akan lebih dirasai bilamana tarikh-tarikh penting seperti penamaan calon dan pembuangan undi diumumkan. Maka bermulalah gerak kerja persiapan ke arah PRK.
Apabila kita membicarakan tentang PRK, kita tidak dapat lari daripada membincangkan pertembungan dan perlawanan antara dua golongan mahasiswa, iaitu PRO-A dan PRO-M. Tidak dapat dipastikan siapakah yang mula-mula menggunakan pelabelan terhadap kelompok-kelompok ini, namun kewujudan dua kumpulan mahasiswa ini sebenarnya memeriahkan dan menghidupkan suasana PRK itu sendiri. Kita tidak dapat menafikan fakta ini. Lihat sahajalah bagaimana hebatnya kedua-dua kelompok ini berkempen bagi calon masing-masing. Walaupun terdapat calon-calon yang bertanding atas tiket bebas, namun kehadiran mereka tidaklah begitu dirasai berbanding dua kelompok di atas.
PRO-A dianggap sebagai kelompok yang cenderung kepada Pihak Pentadbiran Universiti dan juga Barisan Nasional, manakala PRO-M pula dikatakan sebagai kelompok yang lebih cenderung kepada Aspirasi Mahasiswa dan juga Pakatan Rakyat. Sejauh manakah kebenaran perkara ini, hanya anda semua yang mampu membuat penilaian yang seadilnya.
PRK 2011
Tahun 2011 menyaksikan satu semangat yang luar biasa dalam PRK, terutamanya di beberapa buah universiti utama Negara seperti UM, UKM, UTM, USM, UPM dan sebagainya. Pertembungan hebat antara PRO-A dan PRO-M dapat dilihat dengan jelas. Ini dibantu dengan laporan-laporan daripada pihak media berkenaan dengan PRK ini. Hakikatnya PRK 2011 sangat penting memandangkan situasi politik Negara yang semakin panas dan membara dari hari ke hari.
Seakan satu lumrah dalam PRK, akan berlakulah beberapa situasi, kes mahupun tindakan yang akan menggemparkan seluruh negara. Jika diperhatikan antara perkara-perkara yang dibangkitkan berkenaan dengan PRK pada kali ini ialah isu kelayakan calon, tempoh kempen yang singkat, peraturan pilihanraya yang tidak jelas dan janggal, ketidaktelusan pihak pengendali pilihanraya dan beberapa isu sampingan yang lain. Namun apa yang memelikkan, semua isu-isu ini hanyalah dibangkitkan oleh satu pihak sahaja, sedangkan satu pihak lagi hanya berdiam diri seolah-olah PRK ini tiada kekurangan sedikit pun.
Apa yang paling mengejutkan ialah peristiwa kehilangan seorang calon PRO-M Universiti Malaya, Saudari Masturah Abu Bakar dua hari sebelum proses pengundian dijalankan. Walaupun sehingga kini masih belum dipastikan akan punca sebenar kehilangan beliau, namun peristiwa ini sedikit sebanyak membuktikan bahawa PRK kadang-kadang lebih hebat daripada PRU atau PR Kecil di Malaysia.
Dalam kehangatan PRK 2011 di beberapa buah kampus utama, berlaku sedikit kesuraman dan kelesuan dalam PRK 2011 di beberapa buah kampus yang lain. Paling mendapat perhatian ialah, suasana PRK di UIAM, yang menjadi kubu kuat PRO-M sejak beberapa PRK yang lalu. Dilaporkan, selepas berlansungnya proses penamaan calon, lebih separuh daripada kerusi yang diperuntukkan telah dimenangi tanpa bertanding oleh calon-calon yang menawarkan diri. Sehinggakan, mengikut maklumat daripada mahasiswa di kampus berkenaan, samaada Kampus Gombak mahupun Kampus Kuantan, suasana PRK pada kali ini sedikitpun tidak dapat dirasai. Contohnya di UIAM Kuantan, 9 daripada 13 kerusi yang dipertandingkan telah dimenangi tanpa bertanding. Keadaan ini sebenarnya ada pro dan kontranya.
Kebangkitan PRO-M, Kejatuhan PRO-A?
Hasil daripada keputusan tidak rasmi di beberapa buah kampus yang melansungkan pilihanraya pada 21 Februari, PRO-M dilaporkan telah berjaya menawan dan menguasai beberapa kampus utama. Berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam portal Malaysiakini dan juga FB Majlis Politik National GAMIS, PRO-M telah berjaya dan menang di UM, UKM, USIM, UMK, UMS dan USM Kubang Kerian. Manakala UTM, UPM dan USM Pulau Pinang kekal di bawah teraju PRO-A.
Walaupun begitu, di USM Pulau Pinang misalnya, PRO-M berjaya menunjukkan peningkatan dengan memenangi 12 buah kerusi, berbanding kalah teruk tanpa sebarang kerusi pada tahun lalu. Manakala, kejayaan PRO-M di UM dan UKM, yang merupakan duah buah kampus utama di Malaysia telah memberikan tanparan yang hebat kepada PRO-A dan beberapa pihak yang lain.
Dengan berlansungnya proses pengundian di beberapa buah lagi kampus pada hari ini, seperti di UIAM, PRO-M dijangka mampu untuk memenangi dan menawan beberapa buah lagi universiti. Melihat kepada keputusan semasa ini, tidaklah salah untuk menyatakan bahawa sokongan mahasiswa kepada PRO-M pada kali ini semakin meningkat dan PRK 2011 sekali lagi menjadi saksi kebangkitan PRO-M. Aspirasi dan halatuju PRO-M dilihat semakin diterima oleh mahasiswa. Hakikatnya banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya transformasi ini. (Insya-Allah, analisis kemenangan PRO-M akan dibuat dalam masa terdekat nanti)
Pengajaran dari PRK 2011
Memandangkan suasana politik nasional semakin hari semakin hangat dan membara, PRK 2011 merupakan salah satu pentas untuk dijadikan indikator terhadap kefahaman dan kecenderungan politik golongan muda pada hari ini. Keputusan PRK pada kali ini sudah pastinya akan dinilai sedalam-dalamnya oleh semua pihak, samaada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat dalam merangka strategi untuk menawan hati golongan muda.
Namun, bukan itu yang ingin penulis fokuskan dalam menganalisis pengajaran dari PRK 2011. Banyak lagi isu-isu atau perkara penting yang perlu dilihat daripada suasana dan keadaan PRK pada kali ini.
a) Kesedaran Politik dikalangan golongan muda.
Walaupun sehingga saat ini tidak dapat dipastikan peratusan keluar mengundi di kalangan mahasiswa di beberapa buah kampus yang telah menjalankan pilihanraya semalam, namun pada kebiasaannya, sukar untuk mencapai peratusan lebih 80% mereka yang keluar mengundi. Ini diburukkan lagi dengan peningkatan jumlah kerusi yang dimenangi tanpa bertanding di beberapa buah kampus terutamanya di UIAM.
Keadaan ini menggambarkan akan kesedaran politik yang rendah dikalangan mahasiswa dan golongan muda masa kini. Jika keadaan ini dibiarkan berlaku, tidak mustahil untuk PRU yang akan datang, golongan muda akan menjadi kumpulan yang paling sedikit keluar mengundi. Sedangkan merekalah yang sepatutnya menentukan siapakah selayaknya memegang tampuk kepimpinan negara.
Di samping itu juga, kesedaran politik ini juga merujuk kepada kesanggupan mahasiswa untuk menawarkan diri bertanding pada PRK kali ini. Merujuk kembali kepada peningkatan kerusi yang dimenangi tanpa bertanding, terutamanya di UIAM, ini jelas membuktikan bahawa mahasiswa seakan-akan tidak mengambil kisah akan kepentingan PRK dan MPP kepada kebajikan dan kelansungan gerakan mahasiswa.
Justeru, satu tindakan yang bijak dan tepat perlu diambil oleh semua pihak terutamanya SPR bagi memastikan peningkatan jumlah daftar pemilih di kalangan mahasiswa dan golongan muda serta memberikan penerangan yang sejelasnya akan kepentingan dan tanggungjwab mereka untuk mengundi pada PRU kelak.
b) Ketelusan pihak pengendali pilihanraya (SPR)
Seperti kebiasaannya, akan ada sedikit sebanyak isu yang membabitkan integriti dan ketelusan pihak pengendali pilihanraya yang akan dibangkitkan oleh mahasiswa. PRK kali ini juga menampilkan beberapa isu seperti peraturan baru PRK, sikap berat sebelah SPR, ketelusan SPR dan sebagainya. Perkara ini tidaklah boleh dilihat sebagai satu perkara atau isu yang remeh. Kenapa?
Pada asasnya, fungsi dan peranan pihak pengendali pilihanraya kampus adalah sama dengan peranan SPR dalam mengendalikan PRU dan sebagainya. Dalam situasi ini, mahasiswa akan melihat SPR di kampus sebagai cerminan kepada SPR di luar. Jika di kampus berlaku pelbagai ketirisan dan ketidaktelusan pihak SPR dalam mengendalikan PRK, bagaimana golongan muda terutamanya mahasiswa mampu memberikan kepercayaan kapada SPR Malaysia dalam mengendalikan PRU kelak. Dan inilah mungkin antara faktor mengapa golongan muda tidak berminat dengan politik bilamana mereka hanya dihidangkan dan diperlihatkan dengan suasana negatif dan tidak sihat dalam pilihanraya.
Justeru, pihak SPR perlulah bersikap lebih profesioanal dan adil dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah mereka. Satu transformasi juga perlu dilakukan dalam struktur SPR agar badan itu kembali dihormati oleh mahasiswa. Cadangan untuk memberikan kebebasan dan peluang kepada mahasiswa untuk mengendalikan sendiri PRK pada masa kelak mungkin boleh dipertimbangkan dan diperhalusi dengan baik.
c) Menilai sokongan dan kecenderungan golongan muda
Suka atau tidak, undi golongan muda pada PRU yang akan datang merupakan penentu kepada kemenangan BN atau PR. Golongan muda merupakan antara kelompok terbesar yang layak mengundi. Namun begitu, harus diingat bahawa golongan ini masih mentah dalam politik tanah air. Mereka adalah golongan yang memerhati dan menilai.
Mahasiswa adalah antara salah satu komponen dalam golongan muda ini. Justeru, kecenderungan undi mahasiswa pada PRK kali ini sedikit sebanyak mampu menggambarkan kecenderungan undi golongan muda pada PRU yang akan datang. Lebih-lebih lagi, mahasiswa adalah golongan yang terpelajar dan terdedah kepada kepelbagaian sumber maklumat masa kini. Justeru, BN mahupun PR perlu mengambil serius keputusan PRK pada kali ini dan melakukan penilaian yang mendalam dan tepat terhadap keputusan tersebut.
d) Peranan media baru sebagai medium kempen
Pada PRU yang lepas, peranan media baru tidaklah begitu menonjol dan dimanipulasikan sepenuhnya oleh semua pihak. Walaupun begitu, hasil daripada analisa PRU yang lepas yang telah dibuat oleh para pakar politik tanah air, mereka antara lain merumuskan bahawa kemenangan besar PR di beberapa buah negeri dibantu oleh sumbangan para penggiat blog pro-PR.
Mereka menggunakan medium blog untuk menyampaikan maklumat-maklumat kempen dan juga informasi berkenaan kecelaruan dan ketidaktelusan yang berlaku di dalam kerajaan pada ketika itu. Dan realitinya, maklumat-maklumat ini sampai kepada masyarakat terutamanya golongan bandar dan juga golongan muda mudi yang ketagih dengan internet dan seumpama dengannya.
Peranan media baru ini dapat dilihat dengan jelas pada PRK kali ini. Penggunaan blog, FB, Twitter dan sebagainya dilihat antara medium kempen utama yang digunakan oleh calaon-calon yang bertanding. Walaupun terdapat kampus yang menghalang penggunaan media baru dalam kempen, namun harus diingat bahawa semua itu tidak menghalang daripada kempen terus dilakukan di media baru. Biarpun bukan calon yang berkempen dengan menggunakan media baru, terdapat kelompok yang cenderung kepada seseorang calon akan memperkenalkan dan menaikkan kredibiliti calon yang disokongnya itu.
Kesimpulannya, kita pasti akan dapat melihat peperangan siber yang hebat akan berlaku pada PRU yang akan datang. Setiap pihak pasti akan cuba sedaya upaya untuk menguasai media baru ini kerana mereka sedar bahawa media lama seperti televisyen, radio mahupun suratkhabar sudah tidak mendapat tempat di hati masyarakat pada hari ini.
Dari PRK ke medan PRU
Usainya PRK menandakan gerak kerja dan fokus kepada PRU 13 akan lebih terarah dan jitu. Memandangkan ura-ura bahawa PRU 13 akan berlansung pada tahun ini, maka PRK 2011 merupakan satu pilihanraya pre-PRU 13. Walaupun terdapat banyak pilhanraya kecil yang berlaku selepas PRU 12, namun semua itu tidak dapat menjadi kayu ukur kekuatan BN mahupun PR, kecualilah pilihanraya kecil yang berlaku dalam tempoh 3 bulan terakhir ini.
Peranan mahasiswa dalam PRU 13 nanti janganlah dinafikan oleh mana-mana pihak sekalipun. Berilah peluang dan ruang kepada mereka untuk mereka menggunakan kepakaran dan pengalaman mereka dalam PRK 2011 untuk diterjemahkan pada PRU 13 nanti. Namun begitu, mahasiswa perlu ingat bahawa peranan dan ruang mereka adalah terhad dan diharapkan mereka tidak melampaui batas yang mampu mengganggu prestasi akademik mereka. Mereka sewajarnya bijak mencari ruang yang mampu memaksimumkan peranan mereka dalam PRU nanti.
Kepada semua mahasiswa, ayuh kita gerakkan dan halakan semangat PRK 2011 ke medan PRU 13. Mahasiswa mampu memberikan sumbangan yang terbaik bagi memastikan PRU 13 berjalan dengan lancar dan berlansung dalam suasana penuh keadilan dan keharmonian. Kepada semua ahli MPP yang baru bagi setiap kampus, TAHNIAH dan TAKZIAH. Kepimpinan ini adalah satu amanah yang akan dipersoalakan kelak. Jalankan tugas anda semua sebaik mungkin dalam memimpin golongan mahasiswa Malaysia. InsyaAllah, kami para mahasiswa akan sentiasa bersama anda semua.
Sekian!
P/S:
1) Artikel ini ditulis tanpa mengambilkira keputusan PRK yang barlansung pada hari ini (22 Feb).
2) Segala apa yang baik dari tulisan ini diharapkan mampu diajadikan iktibar dan pengajaran buat kita semua.
3) Segala kesalahan maklumat atau fakta harapnya diperbetulkan dan dimaafkan.
No comments:
Post a Comment