Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kaifa imanukum hazal yaum? Semoga iman kita semua terus ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Saya ingin berkongsikan satu kisah perjalanan satu makhluk Allah SWT yang InsyaAllah mempunyai kaitan dengan kita semua. Satu kisah yang amat menarik untuk dimuhasabahkan dan dijadikan tauladan dan peringatan buat kita semua. Kisah ini bukanlah satu rekaan semata-mata, tetapi ia adalah hakikat yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT untuk berlaku dan ianya telah berlaku.
Inilah satu kisah perjalanan hidup satu makhluk Allah SWT. Inilah kisah hamba yang bernama Biji Benih.
Awal Kelahiran
Kelahirannya ke dunia yang fana ini telah ditakdirkan oleh Allah SWT sejak azali. Lahir dari satu pohon yang cukup baik melalui satu buah yang isinya telah dimakan dan bijinya itulah yang telah diproses untuk menjadi biji benih. Setelah dijemur dan dikeringkan, bersedialah biji benih ini untuk disemai. Ia menyedari bahawa inilah permulaan satu perjalanan kehidupan yang akan pasti penuh dengan cabaran dan dugaan. Ia juga menyedari, inilah yang telah dilalui oleh biji-biji benih yang terdahulu, termasuklah pokok yang mana ia telah dilahirkan.
Namun, ia redha dan berserah kepada Allah SWt, kerana ia tahu ini adalah Qada' dan Qadar Allah SWT. Ia tahu bahawa ia adalah yang terpilih. Dikalangan banyak-banyak biji buah yang ada, hanya sebahagian sahaja yang dipilih untuk dijadikan biji benih. Dan ia adalah salah satu biji yang bertuah itu. "Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana telah memilih aku untuk berada pada proses ini" kata si biji benih itu menunjukkan tanda syukur kepada Allah SWT. Pada asasnya ia tidak tahu apa proses yang akan dihadapi dan dilalui oleh dirinya nanti, namun ia merelakan diri dan bersedia untuk melalui proses tersebut.
Ia tahu, suatu hari nanti ia akan menjadi seperti biji-biji benih yang terdahulu, yang telah membesar menjadi sebatang pokok yang hidup subur, merendang ke langit dan menghasilkan bunga-bungan dan buah-buah yang begitu bermutu dan baik. Itulah yang ia yakini. Ia menyakini bahawa proses ini pasti memberi keuntungan dan kebaikan kepada dirinnya. Ia tahu bahawa ia terpilih dan dipilih kerana Allah SWT menyayanginya. Dan ia rasa bertuah dan bersyukur kerana tidak seperti saudara dan teman-temannya yang tidak terpilih untuk dijadikan biji benih. Mereka terbuang begitu sahaja, tanpa ada nilai.
Proses Semaian dan Pembentukan
Setelah mengetahui ia telah dipilih untuk dijadikan biji benih, maka tibalah hari yang dinanti-nantikan. Hari penyemaian. Pada hari tersebut, ia melihat banyak lagi saudara dan sahabatnya yang turut bersama dengannya pada ketika itu. Ia juga melihat beberapa susuk tubuh yang bersedia untuk melakukan proses penyemaian di tapak-tapak yang telah disediakan. Tapak itu tidaklah begitu luas, namun fikirnya, ia sudah cukup luas dan selesa untuk dirinya dan teman-temannya nanti. Ia dapat melihat kegembiraan dan keceriaan di wajah-wajah biji benih yang lain. sejuk hatinya melihat suasana itu. Sekali lagi ia melafazkan rasa syukur kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Proses penyemaian itu bermula dengan pengasingan biji benih kepada beberapa bekas yang kecil. Ia tidak dapat pastikan berapa jumlah bekas itu, namun apa yang ia pasti, bekas-bekas itu adalah sama dari segi bentuk dan fiikalnya, cuma warnanya sahaja yang berbeza. Namun, itu semua bukanlah sesuatu yang begitu penting baginya. Setelah itu, ia melihat satu susuk tubuh datang mengambil bekas yang ia diletakkan bersama sekelompok kawan-kawan biji benihnya yang lain. Ia melihat susuk tubuh tersebut membawa bekas itu ke tempat pembersihan sebelum ke tempat penyemaian. Ia dan kawan-kawannya telah dibasuh dan disucikan dari segala kotoran yang melekat pada tubuh mereka.
Selepas itu, ia dan kawan-kawannya telah dibawa ke tapak yang telah ditetapkan untuk mereka. Ia melihat susuk tubuh tersebut telah mengambil seorang sahabatnya untuk disemai di dalam lubang semaian. Kemudian diteruskan dengan sahabatnya yang lain. Sehinggalah sampai kepada gilirannya, ia begitu gementar dan gemuruh sekali. Walaupun begitu, ia berjaya menenangkan hatinya dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT dan ia yakin akan kebaikan proses tersebut. Maka tersemailah ia di dalam lubang yang telah ditetapkan. Setelah semua kawan-kawannya yang lain disemaikan, ia melihat susuk tubuh tersebut menaburkan baja sekeliling lubang semaian. Proses tersebut diikutu dengan menyiram lubang tersebut dengan sedikit air.
Ia tahu, itulah sebuah permulaan bagi pembentukan dirinya. Ia mahu menjadi seperti pokok-pokok yang terdahulu, yang hidup subur dan menghasilkan bunga dan buah yang baik lagi berkualiti. Dan untuk mencapai semua itu, ia perlu melalui proses ini. Ini adalah ketetapan Allah SWT bagi dirinya. Selain itu, ia juga yakin dengan susuk tubuh yang menyemainya tadi. Ia yakin bahawa susuk tubuh tersebut akan menjaga dirinya dan kawan-kawannya yang lain dengan sebaik mungkin dan mengikuti semua prosedur yang telah ditetapkan. Baginya ialah asas kepada pembentukan dirinya, KEYAKINAN terhadap Allah SWT, proses pembentukan yang bakal dilalui dan juga susuk tubuh yang bertanggungjawab menjaganya sepanjang tempoh itu nanti.
Peningkatan Dalam Kehidupan
Setelah melalui tempoh tertentu, ia dapat merasai akan perubahan pada dirinya. Ia merasakan dirinya semakin membesar dan bentuk fizikalnya juga berubah. Akhirnya pada suatu hari, keluarlah satu pucuk dari dirinya. Ia rasa begitu gembira sekali. Seingat dirinya, sepanjang tempoh sebelum pembentukan pucuk itu, ia telah dibekalkan dengan baja dan juga air bagi membantu proses pembesarannya.
Pada hari itu, ia juga dapat melihat kawan-kawannya juga mempunyai pucuk. Namun, tiba-tiba ia merasa hiba dan sedih apabila melihat kawan yang disemaikan di sebelah dirinya tidak juga muncul-muncul. Semakin hari, ia semakin membesar dan pucuknya juga semakin membesar. Dan ia juga mula meyedari bahawa jenis baja yang dibekalkan kepadanya juga sudah berubah, dan jumlah air yang disiram juga semakin bertambah. Ia membuat kesimpulan, inilah peningkatan yang berlaku dalam dirinya.
Tiba-tiba pada suatu hari, ia melihat susuk tubuh yang menjaganya dan kawan-kawannya datang dengan membawa bekas yang besar. Ia berasa begitu cemas sekali. Tidak diketahui apa yang ingin dilakukan oleh susuk tubuh tersebut. Walaupun begitu, ia menanamkan kembali kayakinannya terhadap susuk tubuh tersebut dan meyakinkan dirinya bahawa susuk tubuh tersebut mengetahui dan memahami apa yang akan dilakukan olehnya. Inilah yang dia pelajari pada awal proses semaian dulu. Keyakinan yang tinggi terhadap proses ini.
Susuk tubuh tersebut telah memindahkan ia dan kawan-kawannya ke dalam bekas besar tersebut. Namun sekali lagi hatinya pilu apabila melihat beberapa kawannya semakin layu dan diasingkan dari kelompoknya. Ia tidak tahu apa yang akan berlaku kepada mereka. Pada fikirannya, mungkin inilah proses pengasingan dan pemilihan bagi memastikan anak benih yang terbaik sahaja yang akan ditanam. Ia juga pasti, kawan-kawannya yang layu tadi akan diberikan rawatan dan baja yang khusus bagi mengembalikan semula kesegaran.
Kali ini, ia dan kawan-kawannya yang lain telah ditanam di tempat yang lebih luas. Mereka disusun dengan penuh rapi dalam satu barisan yang lurus. Setiap tapak tanaman anak benih akan dijarakkan pada jarak yang sama antara satu sama lain. Setelah selesai proses pemindahan dan penanaman, akhirnya ia dapat melihat satu barisan anak benih yang begitu panjang dan berbaris-baris banyaknya. Ia begitu kagum sekali. Dan sekali lagi keyakinannya semakin bertambah kerana ia akan dibentuk dan dijaga bersama dengan kawan-kawannya yang lain.
Hasil Yang Diimpikan
Setelah berlalu beberapa tempoh, ia semakin membesar. Batangnya semakin membesar dan keras. Akarnya juga dirasakan semakin mantap dan kuat. Ia mula merasakan dahan-dahan dan ranting-ranting mula tumbuh. Ia juga dapat melihat daun-daun pada dahanya semakin bertambah dan merendang ke langit. Ia memandang ke kanan, ke kiri, ke depan dan ke belakang. Ia senyum lebar tanda gembira. Ia melihat kawan-kawannya juga sama seperti dirinya. Dan apa yang paling disedarinya ialah, kelurusan barisan yang dibentuk pokok-pokok semakin jelas kelihatan.
Sekarang ini ia hanya menantikan hari dimana bunga-bunga yang mekar muncul dari dirinya. Ia merasakan dirinya sudah bersedia. Sambil-sambil menantikan hari itu, ia merenungkan kembali proses yang dilaluinya. Sungguh hebat, tersusun dan hampir sempurna sekali. Ia teringat akan satu peristiwa yang menimpa dirinya dan sahabat-sahabatnya pada suatu hari. Satu ujian dan dugaan yang telah ditakdirkan untuk berlaku. Peristiwa itu penuh peringatan, pengajaran dan pengalaman yang berguna untuk dirinya.
Pada suatu hari, kawasan tapak tanamannya telah dilanda satu ribut yang amat kuat. Pada ketika itu suasana penuh tegang. Ia melihat beberapa batang pokok di luar tapak penanamannya dan kawan-kawannya tercabut dari tanah dan dahan-dahannya patah. Pada ketika itu ia dan kawan-kawannya saling tolong menolong antara satu sama lain. Sama-sama menghadang ribut yang kuat itu. Akhirnya, mereka semua terselamat. Tiada satupun pokok di tapak tanaman tersebut tumbang. Cuma yang ada beberapa dahan yang patah dan daun-daun yang bertaburan di tanah. Itu hanyalah kesan yang kecil. Ia bersyukur keran mereka semua selamat.
Akhirnya fahamlah ia kenapa mereka semua disusun dan diatur dalam satu barisan yang panjang dan lurus. Dari peristiwa tadi, fahamlah ia kenapa pokok yang tumbuh di luar tapak penanaman tumbang dan tercabut dari tanah. Kerana pokok tersebut hidup dan tumbuh sevara bersendirian. Tiada pokok lain yang dapat membantunya menghadang ribut yang kuat tersebut. Bertambahlah rasa syukur di hatinya kepada Allah SWT kerana memilihnya untuk berada dalam barisan pokok yang saling menolong dan menguatkan antara satu sama lain.
Kegembiraan Yang Abadi
Hari ini adalah hari pertama buah-buah dari pokoknya akan dipetik. Ia berasa begitu bangga dan gembira sekali. Rasa syukur tidak terhingga terus diucapkan dan ditujukan kepada Allah SWT. Apa yang dilalui oleh pokok-pokok yang terdahulu telah dilaluinya hari ini. Di dalam hatinya, ia mengharapkan buah-buahnya itu akan berasa manis dan kemanisan itu mampu dirasai oleh makhluk-makhluk Allah yang lain.
“Ya Allah, terima kasih kerana telah memilih aku untuk berada dalam proses yang hebat ini. Tidaklah aku berjaya untuk melalui proses ini kecuali dengan hidayah dan rahmat daripadamu. Pada hari ini, aku telah mampu memberikan dan mempersembahkan bunga-bungaku yang mekar dan juga buah-buahku yang baik ini kepada hamba-hambamu yang lain. Aku tidak mengharapkan pujian dan balasan daripada mereka, kerana aku tahu ini adalah tugasku. Amanah yang telah Kau tetapkan untuk disempurnakan, dan Alhamdulillah kerana kau telah memilih aku untuk menyempurnakan amanah ini. Aku hanya mengharapkan keredhaan dan pengampunan daripadaMU. Semoga dengan kemekaran bungaku ini dan kemanisan buah-buahku ini mampu membuatkan hambamu yang lain rasa bersyukur terhadapMu, Ya Allah.” Ucap si pokok tadi dalam hatinya.
Pengajaran Untuk Kita
Aku tidak mahu untuk menyenaraikan pengajaran dan pedoman yang boleh diambil daripada kisah ini. Aku tinggalkan anda untuk memikirkannya dan menilainya sendiri. Aku yakin, anda semua akan memahami kisah ini dan mampu mengambil ikhtibar dari kisah ini. Walaupun ia hanyalah kisah biji benih, namun cubalah anda untuk meletakkan diri kita dalam kisah tersebut. InsyaAllah, anda akan memahami satu proses yang cukuo besar dalam diri anda.
Jika anda mahu menjadi seorang pendakwah anda harus memahami kisah ini. Jika anda kini adalah seorang pendakwah, aku yakin dan percaya anda pernah melalui semua ini. In adalah satu proses yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan dan telah diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Bersedialah kita untuk proses ini.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan” (Al-Maidah: 35)
No comments:
Post a Comment