Aku merasakan tidak salah untuk aku menyatakan bahawa parti pemerintah sekarang banyak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan parti dan orang-orang tertentu. Banyak bukti-bukti penyelewengan yang aku dengar, baca dan lihat melalui media-media elektronik dan juga cetak, mahupun media baru yang mendedahkan semua ini. Bagaimana mungkin aku patut menyokong dan memberikan rasa hormat kepada mereka sedangkan mereka berada pada pihak yang salah.
Aku tidak menafikan jasa dan sumbangan mereka, namun pada aku itu adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan sebagai seorang pemimpin. Aku yakin dan pasti, parti manapun yang memerintah, mereka pasti akan berjasa dan meyumbang kepada rakyat, kerana itulah tugas mereka. Jadi pada aku, tidak timbul soal jasa, yang kadang-kadang terlalu diagung-agungkan, sehinggakan kesalahan yang nilainya lebih besar dari jasa itu bagaikan terhapus begitu sahaja.
Aku cuba berlaku adil dengan parti pemerintah, namun sukar untuk aku memberikan sokongan kepada mereka. Aku cuba menghormati para pemimpin negara, namun aku tidak mampu untuk mempertahankan rasa hormat itu. Kenyataan mahupun tindakan mereka membuatkan aku 'meluat', rasa diperbodohkan, rasa ditipu dan sebagainya. Kalau aku hendak sebut, banyak yang boleh aku perkatakan tentang mereka. Namun, biarlah ia menjadi 'bebanan'ku sahaja.
Dan sebagai seorang Muslim, apa yang aku belajar, Agama perlu didahulukan daripada segala-galanya. Sesuatu tindakan itu mestilah berasaskan panduan Agama. Mentadbir negara juga mestilah dengan Agama. Politik juga mestilah yang dipimpin oleh panduan Agama. Namun, apa yang aku lihat dan aku nilai sehingga ke hari ini, parti pemerintah tidak meletakkan Agama sebagai panduan pemerintahan mereka. Tindakan dan perancangan pentadbiran mereka dilihat mengabaikan peranan Agama sebagai asasnya. Justeru, ruang manakah lagi yang aku boleh berikan sokongan kepada mereka?
Sekarang ini, desas desus PRU 13 semakin kedengaran dan semakin hangat diperkatakan. Walaupun tarikh sebenar tidak diumumkan lagi, kebanyakan penganalisis politik membuat andaian bahawa PRU 13 akan berlansung pada tahun ini. Aku tak kisah la nak buat bila pun, janji perkara ini diberitahu awal dan PRU nanti berlaku dengan seadil-adilnya. Namun, aku tak yakin akan semua itu.
Kenapa? Belum pun tarikh PRU diumumkan, sudah ada usaha-usaha dari pihak berkenaan (aku cakap terus la, BN) untuk bermain kotor. Mengikut maklumat yang aku baca dan dengar, mereka begitu bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan daripada PAS, sehinggakan mereka sekarang ini sedang berusaha mendaftarakan seramai mungkin warga Thai untuk menjadi pengundi di Kelantan pada PRU nanti. Aku juga ada mendengar bahawa jumlah undi pos akan bertambah berkali ganda dengan isteri dan sanak saudara para tentera juga akan didaftarkan untuk undi pos.
Itu belum lagi termasuk mereka yang dibekalkan dengan hampir 20-35 kad pengenalan yang berlainan identiti, untuk membolehkan mereka mengundi sebanyak yang mungkin. Banyak lagi penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku menjelang PRU 13 ini dan yang pasti semakin hampir tarikh PRU semakin banyak penyelewengan akan berlaku. Dan apa yang aku terlebih pasti, ini semua adalah kerja dan taktik parti pemerintah BN, bukannya lawan mereka PR, kerana hanya mereka yang berkuasa untuk membuat semua itu.
Aku tak tahu nak kata apa lagi. Kalau kata lebih-lebihkan nanti kena 'marah', pulau dan ditindas. Tapi kalau disimpan lama-lama dalam hati ni, lagi la rasa meluat dan terbakar. Cuma apa yang aku harap, korang semua nilai dan kaji betul-betul sebelum membuat keputusan nak sokong yang mana. Aku harap anak-anak muda sebaya aku nanti tidak takut untuk menyatakan undi mereka dan ayuh kita keluar beramai-ramai pada hari pengundian PRU nanti membuang undi dan memberikan amanah kepimpinan kepada mereka yang selayaknya.
Akihrnya, seorang ustaz kata setiap amalan kita ni akan dinilai dan dihitung oleh Allah diakhirat kelak. Solat kita, belajar kita, kerja kita, perbualan kita dan semua sekalilah akan dinilah. Jadi pada pemahaman aku yang tidaklah pandai agama ni, undi kita pun akan dinilai dan dihitung oleh Allah kelak. Aku tak nak undi aku menjadi penyebab akau masuk neraka. Aku juga tak nak dengan sebab aku tidak mengundi, maka tampuk pemerintahan jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya, sehinggakan aku juga disoal kelak oleh Allah akan keputusanku itu.
Justeru, ayuh kita keluar mengundi kelak pada PRU 13 nanti dan buatlah pilihan berpandukan panduan Agama. Aku pasti kita semua akan selamat dunia dan akhirat.
P/S:
Artikel ini adalah luahan hati seorang anak muda, yang bakal mengundi buat kali pertama pada PRU 13 nanti. Tidak perlulah untuk disebut sumber dan nama penulis artikel ini. Cukup sekadar diambil pengajaran daripada perkongsian beliau ini.
No comments:
Post a Comment