Detik Waktu

Sunday, March 18, 2012

SIKAP & PANDANGAN KITA TERHADAP UMNO/BN

Dalam arena dan gelanggang politik, perbezaan dan percanggahan pendapat di antara kelompok-kelompok tertentu adalah suatu yang lumrah. Bahkan perbalahan dan persengketaan itu kadang-kadang membawa kepada natijah yang lebih buruk lagi. Namun, situasi ini bukanlah sesuatu yang pelik dan jelik, walhal inilah warna warni politik yang seharusnya ditangani secara berhemah dan berlapang dada oleh semua pihak.

PAS dan UMNO merupakan dua parti politik Orang Melayu yang telah lama menapak dan mendapat tempat di hati rakyat awam. Dan kedua-dua parti politik ini telah bermusuh sejak sekian lama, dengan pelbagai rencah dan rempah permusuhan telah dirasai oleh kedua-dua pihak. PAS dan UMNO, bukan sahaja berbeza darisegi idologi siasah, bahkan juga berbeza darisegi tindakan dan perancangan. PAS adalah sebuah parti politik yang berasaskan kepada Islam, dengan Al-Quran dan As-Sunnah menjadi rujukan dan panduan utama dalam memacu perjalan parti. Manakala UMNO pula adalah parti politik yang membawa agenda bangsa dan kebangsaan, dengan tidak menafikan matlamat agama (kata mereka). Inilah serba sedikit perbezaan antara PAS dan UMNO.

Walaupun begitu, perbezaan ini bukanlah menjadi topik utama yang ingin dibincangkan oleh saya. Biarkan perbezaan itu. Apa yang ingin saya cuba lontarkan di sini ialah tentang sikap dan pandangan kita (merujuk kepada orang PAS) terhadap UMNO/BN. Sebagaimana yang kita tahu dan kita amalkan, PAS adalah sebuah Jemaah Islam yang bergerak dengan nilai-nilai dan aturan Islam. Politik PAS adalah politik Islam. Maka bilamana orang PAS berpolitik, maka politik mereka itu mestilah berlandaskan kepada aturan Islam dan tidak melanggar aturan Syari’at Allah dan Rasulullah SAW.

Sejarah pernah membuktikan, pertembungan antara orang PAS dan orang UMNO kadang-kadang membawa kepada permusuhan yang panjang dan sehingga pernah berlaku pertumpahan darah. Saya pernah mendengar cerita-cerita orang tua tentang pertentangan antara Orang PAS dan Orang UMNO. Kadang-kadang terfikir, benarkah begini perangai dan sikap orang PAS? Ya, PAS bukanlah sebuah parti politik yang sempurna, dan Orang PAS bukanlah manusia yang ma’sum. Orang PAS pasti ada yang melakukan kesilapan dan kekhilafan. Sebab itulah dalam PAS ini ada sistem Tarbiyah, Ta’dib dan Hisbah.

Kini saya melihat permusuhan antara Orang PAS dan UMNO tetap berlaku, walaupun tidak seteruk dan seburuk dahulu. Permusuhan dan pertentangan kini dalam kontek dan wadah yang berbeza. Saya memikirkan, permusuhan ini bukanlah semata-mata disebabkan perbezaan pandangan, pendekatan dan idiologi semata-mata, namun kedang-kadang ianya berlaku kerana sikap dan pandangan kita (orang PAS) terhadap orang UMNO. Dan inilah yang ingin saya cuba sampaikan dan muhasabah dalam perkongsian ini.

Pernahkah kita merenung dan memikirkan apakah sikap dan pandangan kita terhadap orang UMNO? Adakah kita ini menganggap mereka semata-mata sebagai musuh politik yang benar-benar perlu ditentangi? Ataupun adakah kita ini hanya melihat mereka golongan yang sesat ataupun yang tersasar dari landasan Islam? Ataupun kita ini merasakan mereka ini adalah sasaran dakwah yang perlu diseru dan dipimpin ke jalan yang sebenar? Kita perlu tanya diri kita tentang persoalan ini. Apakah sikap dan pandangan aku terhadap orang UMNO? Hal ini kerana, secara teorinya sikap dan pandangan kita inilah yang akan mempengaruhi tindakan dan pendekatan kita terhadap orang UMNO.

Saya melihat, secara umumnya, kebanyakan orang PAS, di semua peringkat, majoritinya menganggap orang UMNO adalah musuh politik yang seharusnya ditolak dan ditentang dengan sehebat mungkin. Bahkan ada dikalangan kita yang memandang Orang UMNO adalah manusia yang paling keji dan berpenyakit sehingga tidak dapat lagi untuk diubati. Inilah antara pandangan-pandangan majoriti orang PAS terhadap UMNO. Dan pandangan inilah yang mencorakkan sikap, pendekatan dan layanan kita terhadap orang UMNO.

Tidakkah pernah kita terfikir, adakah benar dan tepat sikap dan pandangan kita ini? Adakah ianya selari dengan tuntutan Islam? Dan jika kita tidak pernah memikirkannya, maka ambillah sedikit masa untuk memikirkannya. Ini bukanlah perkara yang kecil. Bahkan ia melibatkan hubungan kita sesama manusia yang lain. Dan saya berpendirian, jika sikap dan pandangan begini yang kita pegang dan amalkan semata-mata, maka kita adalah SALAH.

Ya, UMNO telah banyak melakukan kerosakan dalam masyarakat. Kalau hendak disenaraikan, terlalu banyak sekali kekhilafan yang telah mereka lakukan sepanjang diberi amanah memerintah negara ini di bawah Barisan Nasional. Tidak dapat dinafikan juga, perangai para pemimpin dan ahli UMNO kadang-kadang tersangat melampau dan melanggar syariat. Sudah banyak jiwa-jiwa yang menderita dan kesakitan dek kerana tindakan UMNO/BN. Dan jika difikirkan secara lojik akal manusia, ditambah pula dengan emosi dan nafsu yang menguasai, memang sepatutnya UMNO ini dibenci dan ditolak.

Namun di sana, tidakkah kita sedar bahawa PAS ini bukanlah bergerak dengan agenda politik semata-mata, sedangkan di sana ada agenda Dakwah yang juga perlu dilaksanakan secara bersama. Maka bilamana kita menyebut tentang dakwah, pasti di sana ada sasaran dakwah yang perlu kita bimbing dan pimpin. Saya melihat, antara sasaran dakwah itu adalah orang-orang UMNO/BN. Kita mengakui bahawa mereka itu banyak kesalahan, banyak membuat khilaf dan kadang-kadang tersasar dari landasan Syari’at yang sebenar, maka adakah bila begitu, kita hanya perlu menolak dan membenci mereka? Tanpa ada rasa ingin memimpin dan membimbing mereka kembali ke landasan yang sebenar?

Jika begitulah yang selayaknya, maka sudah tentulah orang-orang Musyrikin Makkah dahulu ditinggalkan dan ditolak terus oleh Baginda SAW. Tidakkah tentangan yang diterima oleh Rasulullah SAW dahulu adalah terlebih kuat dan tersangat hebat berbanding kita pada hari ini? Tidakkah Rasulullah SAW terus berusaha menyeru dan mengajak mereka kepada kebaikan disebalik tentangan yang hebat itu? Dan bukankah Rasulullah itu kita anggap sebagai idola dan ikutan kita semua? Justeru, kenapa dalam hal ini (merujuk kepada sikap dan pandangan kita kepada UMNO/BN), kita tidak selari dengan Baginda SAW? Kenapa kita membiarkan sikap benci dan marah kita terhadap UMNO/BN menguasai diri kita sehinggakan kita menafikan amanah Dakwah kita dan menafikan hak mereka untuk menerima dakwah daripada kita?

Saya ingin tegaskan, marilah kita kembali membetulkan persepsi dan sikap kita terhadap UMNO/BN ini. Kita selayaknya menganggap mereka musuh politik yang perlu ditentang, namun mereka juga selayaknya dijadikan sasaran dakwah yang perlu dibimbing dan dipimpin untuk kembali ke landasan yang sebenar. Maka, bencinya kita terhadap UMNO/BN itu hanyalah pada sikap dan tindakan mereka, bukannya pada batang tubuh orang-orang UMNO/BN itu sendiri. Kita menolak tindakan mereka yang zalim lagi jahat, namun dalam pada masa yang sama, kita menerima mereka sebagai saudara seagama kita yang perlu di dakwah.

Inilah antara keindahan Dakwah yang mungkin tidak akan kita jumpa dalam keasyikan berpolitik. Dakwah di dalamnya ada sifat kasih sayang. InsyaAllah bilamana politik kita adalah politik dakwah, yang terangkum di dalamnya agenda dakwah, maka tidak msutahil suatu masa nanti ramai di kalangan orang UMNO akan bersama dengan kita. Hari ini kita lebih banyak berlawan dan menentang mereka secara fizikal, namun kita kurang pada seruan dan ajakan. Sudah sampai masanya kita kembali memuhasabah sikap kita terhadap mereka. Akhirnya, ingin saya tegaskan, bencilah dan tentanglah UMNO pada sikap, tindakan dan perangai mereka, juga pada perjuangan kebangsaan mereka, tetapi sayangilah mereka sebagai sasaran dakwah yang wajib kita bimbing dan pimpin. Semoga petunjuk Allah SWT bersama kita sentiasa dan juga menyuluh mereka juga.

Insan Rabbani,
PLPK, Kota Bharu,
22 Rabiulakhir 2012.

1 comment:

  1. Subhanallah!!! Apa yang saudara katakan adalah apa yang saya fikirkan juga. Andainya sahabat di dalam pas semua nya berfikiran sama Insya Allah syiar Islam akan tertegak di bumi Malaysia ini.

    ReplyDelete