Detik Waktu

Sunday, March 11, 2012

DETIK HIDUPKU -SIRI 2

Aku meneruskan kerjaku di pejabat sehingga menghampiri jam 12.00 tengahari. Selepas itu aku terus ke Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa, untuk bersolat Jumaat. Aku ingin bersolat di situ kerana ia hampir dengan PUTIK, tempat program pada jam 3.00 petang nanti. Khutbah Jumaat semalam mengingatkan tentang nilai seorang anak. Antara isi penting yang dapat aku tangkap ialah nilai seorang anak kepada ibubapa selepas mereka mati, proses pendidikan anak-anak bermula dari kecil dan tanggungjawab seorang anak.

Teringat satu hadis Rasulullah SAW mengenai amalan manusia yang tidak terputus selepas mereka mati, iaitu salah satu daripadanya ialah anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibubapa mereka. Inilah antara asset penting kita kelak di saat kita sudah mati. Jadilah kita seorang anak yang soleh dan sentiasalah mendoakan kesejahteraan ibubapa kita samaada ketika mereka kasih hudup atau sudah meninggal dunia. Dan bersedialah kita juga untuk mendidik anak-akan agar mereka menjadi anak yang soleh, agar dapat mendoakan kesejahteraan kita kelak.



Khutbah yang disampaikan juga penuh semangat dan jelas dibantu dengan sistem siaraya yang baik di masjid berkenaan. Inilah yang diperlukan dari sebuah khutbah. Tajuk yang baik, dengan penyampaian yang bersemangat dan jelas dibantu pula dengan sistem siaraya yang baik. InsyaAllah, pakej sebegini mampu menjadikan khutbah yang disampaikan itu lebih efektif dan mendapat perhatian para Jemaah. Dan aku sangat teruja dengan janji YB Husam yang ingin memberi kebabasan kepada Khatib untuk menyampaikan khutbah sendiri tanpa membaca teks yang disediakan oleh Majlis Agama, jika PR diberi amanah untuk memerintah Malaysia kelak. Aku sokong dan akan dokong perkara ini.

Jam 3.00 petang, aku berada di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) sempena Majlis Penyampaian Elaun Guru PASTI Negeri Kelantan. Majlis tersebut menghimpunkan semua guru-guru daripada 14 kawasan dengan jumlah keseluruhan guru seramai 608 orang. Betapa ramai guru-guru yang sanggup berpenat lelah mendidik anak-anak tunas Islam, bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang baik dan tepat. Menjadi seorang guru PASTI bukanlah dijanjikan dengan gaji yang besar, dan jika aku sebut jumlah itu, pasti ramai akan mengatakan ‘tidak’ untuk menjadi guru PASTI. Namun mereka yang terpilih ini adalah mereka yang bekerja hanya kerana Allah, bekerja untuk menunaikan amanah agama, bekerja untuk mendapat pahala daripada Allah.

Aku sangat kagum dengan keikhlasan para guru PASTI ini. Mereka bukan sahaja menjadi seorang guru, bahkan ada lagi amanah-amanah lain yang perlu mereka laksanakan, samaada amanah dakwah dan politik. Hari biasa mengajar di PASTI, petangnya disambung pula dengan kelas Fardu Ain. Hujung minggu mereka diisi dengan keterlibatan dalam pelbagai aktiviti dakwah, kemasyarakatan dan siasah.



Namun apa yang menarik, mereka ini sentiasa ditemani sang suami yang setia menjadi driver kepada isteri-isteri mereka ini. Mereka hadir bersama-sama dengan anak-anak yang seakan-akan sudah mengerti akan tanggungjawab dan amanah ibubapa mereka. Batapa rahmat dan keberkatan Allah SWT menghiasi dan mewarnai hidup mereka yang ikhlas berjuang kepada Allah. Kerana Allah SWT telah berjanji bahawa sesiapa yang menolong Agama Allah, maka Allah pasti akan menolong mereka dan menetapkan kedudukan mereka di muka bumi ini.

Alhamdulillah, majlis akhirnya selesai sekitar jam 6.00 petang dengan elaun disampaikan sendiri dengan Pengarah PASTI Kelantan, YB Ustaz Haji Abdul Latiff Haji Abdul Rahman. Pihak PASTI Kelantan telah mengambil keputusan untuk menambah jumlah elaun yang diterima oleh para guru setiap kali ada majlis, dengan sebahagiannya diberikan dalam bentuk dirham. Ia adalah sebagai galakan dan dorongan untuk para guru meneruskan khidmat cemerlang mereka dan sebagai tanda terima kasih di atas kesetiaan dan kesediaan mereka mendidik anak-anak tunas Islam. Semoga amalan mereka ini diterima oleh Allah SWT dan dibalas dengan balasan yang sebaiknya. Terima Kasih para guru PASTI sekalian.

Pada malamnya bercadang untuk menghadiri siri wacana Hari Hiburan Islam di KTC, namun terpaksa membatalkan hasrat tersebut. Siri pada kali ini menampilkan tetamu seperti Kapten Hafiz Firdaus, Oki Setiana Dewi dan Stehne Iking dengan dihoskan oleh Saudara Amin Idris. Aku merasakan pasti ramai pemuda-pemuda yang hadir, dan aku mengharapkan kehadiran mereka bukan semata-mata kerana ingin bertemu dengan selebriti-selebriti tersebut terutamanya OSD, tetapi untuk menambahkan pengetahuan mereka tentang hiburan Islam. InsyaAllah, aku akan cuba menonton rakaman jika berkelapangan nanti.

Itilah antara rencah-rencah kehidupan aku kelmarin. Ia kelihatan seperti terisi dengan sebaiknya, namun jika direnung kembali masa-masa yang sudah dilalui, betapa banyaknya masa aku yang terluang sebelum ini tidak di isi dengan perkara yang berfaedah. Alhamdulillah, semenjak bekerja, masa itu lebih terisi dan terurus. Jika difikirkan, banyak amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, dan merasakan masa sebenarnya sangatlah singkat untuk mengisi semua itu. Adalah pelik jika ada dikalangan kita yang merasakan kita mempunyai begitu banyak masa terluang, sedangkan masa semakin jauh meninggalkan kita.



Saban hari masa untuk kita semakin singkat. Ajal kita semakin dekat, sedangkan amanah dan tangungjawab semakin bertambah. Benarlah kata-kata seorang cendekiawan Islam, “Kewajipan itu lebih banyak daripada masa yang kita ada”. Dan Allah SWT juga telah bersumpah dengan masa bahawa manusia itu akan berada dalam kerugian, kecuali orang beriman  yang mengisinya dengan amalan-amalan soleh dan bermanfaat. Syeikh Ibn ‘Atha’illah juga ada menyatakan bahawa , ‘Kadang-kadang umur seseorang panjang masanya tapi sedikit manfaatnya. Dan ada pula umur yang pendek masanya, namun penuh dengan manfaat”.

Hakikatnya, masa kita semakin suntuk. Setiap saat masa kita berlalu, dan setiap saat itulah juga ajal menghampiri kita. Manfaatkanlah baki-baki masa dan waktu yang anda ada untuk perkara yang selayaknya. Janganlah kita menjadi orang-orang yang rugi dengan masa kita. Siru ‘Ala Barakatillah.

No comments:

Post a Comment