Detik Waktu

Saturday, March 10, 2012

DETIK HIDUPKU -SIRI 1

17 Rabiulakhir 1433H bersamaan 10 Mac 2012, pagi Sabutu yang cerah dan bersinar.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang masih membangkitkanku di pagi hari ini, masih mengurniakanku dengan pelbagai nikmat dan rezeki yang tiada nilai dan tidak mampu untuk dibalas. Usai sarapan pagi bersama keluarga dengan menu nasi goreng dan mihun goreng hasil sentuhan tangan sendiri. Sudah lama tidak berkesempatan untuk bergelar chef di rumah, hari biasa sibuk dengan kerja, hujung minggu lepas sibuk dengan program.

Begitulah kita sebagai anak, bila berkesempatan dan berkelapangan masa, luangkanlah ia untuk berbakti kepada keluarga. Kerana dalam masa kamu itu, ada hak milik keluarga dan ibubapa yang kamu perlu tunaikan, mengikut kadar kemampuan kamu. Ingatlah pesan Baginda Rasulullah SAW di dalam satu hadis, ‘Sebaik-baik kamu adalah mereka yang berbuat baik dengan ahli keluarga”. Berbuat baik itu ada banyak jalanya, dan menyediakan sarapan pagi adalah salah satu jalan ke arah kebaikan itu.

Semalam, yang merupakan hari cuti, namun terpaksa di isi dengan beberapa tugasan dan amanah yang perlu dilaksanakan. Keluar rumah seawal jam 9.10 pagi menuju ke pejabat. Misinya adalah untuk menyiapkan dan menyediakan beberapa borang, surat dan boucher untuk Majlis Penyampaian Elaun Guru PASTI pada sebelah petangnya.

Dalam kesibukan menyiapkan tugasan tersebut, Alhamdulillah berkesempatan juga mengisi jiwa dengan kuliah ilmu daripada Tok Guru Nik Aziz yang disampaikan di Medan Ilmu. Memandangkan pejabat aku hanya bersebelahan dengan tempat kuliah, maka kuat kedengaran di pejabat kuliah yang disampaikan. Tajuk yang disampaikan adalah berkenaan tulisan Dr Yusof Al-Qaradhawi mengenai demonstrasi, sambungan daripada kuliah minggu lepas.



Kebiasaannya, Tok Guru akan bagi kuliah dari jam 9.30 pagi sehingga jam 10.30 pagi, namun sejak minggu lepas, kuliah hanya disampaikan selama 30 minit. Katanya Tok Guru, dia sudah tidak cergas dan mampu untuk sampaikan kuliah lama-lama. Aku sangat-sangat memahami. Susuk tubuh yang sudah tua itu sememangnya tidak mampu lagi untuk beraksi sebagaimana zaman muda-muda. Ditambahkan pula dengan jadual beliau yang padat dan pelbagai amanah yang perlu dilaksanakan.

Kadang-kadang aku berasa malu dengan beliau, sesibuk mana pun beliau masih mampu untuk meluangkan masa setiap minggu untuk menyampaikan kuliah ilmu kepada rakyat Kelantan. Aku, dengan banyak masa yang terluang, tidak menggunakannya untuk menambahkan ilmu dan melakukan perkara yang lebih bermanfaat. Benarlah kata-kata Syeikh Ibn ‘Atha’illah,

الخذلان كل الخذلان أن تتفرغ من الشواغل ثم لا تتوجه إليه وتقل عوائقك ثم لا ترحل إليه

“Betapa mengecewakan apabila engkau terbebas dari kesibukan, namun tidak juga menghadap kepada-Nya. Dan apabila engkau sedang ada sedikit rintangan, tidak juga beranjak menuju-Nya"

Selepas kuliah Tok Guru, ada satu majlis pelancaran kempen Anak Muda Tolak UMNO (AMTU), sebagai satu method dalam menyatakan bantahan dan kekecewaan terhadap parti Melayu tersebut yang gagal membawa masyarakat ke arah kesenangan dunia dan akhirat. Ucapan yang disampaikan oleh seorang wakil pemuda dan seorang wakil pemudi begitu bersemangat diselangi dengan laungan AllahuAkbar dan ‘Tolak’ oleh para anak muda.



Ingatlah, dalam Islam, ketika kita membenci seseorang, bencilah sifat dan perangainya, janganlah kita membenci batang tubuh mereka. Ketika kita menentang mereka, kita tentang sikap dan tindakan mereka yang salah, bukan menentang batang tubuh mereka yang merupakan milik Allah. Di sana, masih ada lagi hak-hak mereka yang kita perlu tunaikan. Di sana masih ada amanah dakwah yang perlu kita sampaikan kepada mereka. Janganlah kerana kebencian kita dan penolakan kita terhadap perjuangan mereka menjadi penghalang kepada kita untuk mendekati mereka atas dasar dan amanah Dakwah Islam.

Sirah telah membuktikan, berapa ramai manusia yang menentang dan membenci Baginda Rasulullah SAW, namun akhirnya menjadi seorang sahabat dan pejuang Islam yang sejati, yang seterusnya bersama-sama dengan Baginda SAW meneruskan amanah Dakwah ini. Semuanya adalah kerana kasih dan sayangnya Baginda SAW kepada mereka sehinggakan sifat ini mengatasi rasa marah dan kecewa Baginda kepada mereka. Inilah sunnah yang perlu kita ikut. Sunnah dalam dakwah dan politik yang sukar untuk diperaktikkan oleh kebanyakkan para pendakwah dan ahli politik kini.

(Bersambung)

No comments:

Post a Comment