Detik Waktu

Wednesday, May 16, 2012

YA ALLAH, SUKARNYA MENDIDIK DIRI, MEMBASUH JIWA


Menjadi fitrah kita seorang manusia, yang lemah lagi lupa, untuk melakukan pelbagai dosa, samaada besar atau kecil mahupun dalam keadaan sedar atau tidak. Mungkin setiap hari kita tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Kadang-kadang, jika difikirkan, begitu hinanya menjadi seorang manusia yang merupakan hamba Allah SWT. Dengan pelbagai nikmat yang Allah SWT sediakan dan kurniakan kepada kita, namun apa yang dibalas oleh kita ialah banyak melakukan dosa dan maksiat kepada-Nya. Astaghfirullah Al-‘Azim.

Pun begitu, Allah SWT tidak membiarkan manusia asyik dengan dosa-dosa mereka. Diutuskan kepada kita Nabi Muhammad SAW, untuk membetulkan diri kita, untuk mendidik diri-diri manusia. Baginda Rasulullah SAW membawa ajaran Al-Quran yang antaranya bertujuan mengajarkan manusia bagaimana untuk mendidik diri dan menyucikan jiwa. Baginda SAW sendiri menjadi contoh tauladan yang paling sempurna kepada manusia dalam mengajarkan cara-cara untuk mentarbiyah diri dan membasuh jiwa. Lihatlah, bagaimana berjayanya Baginda Rasulullah SAW dalam mendidik diri para sahabat, yang ada dikalangan mereka ketika zaman jahiliyyah adalah seorang manusia yang paling jahat dan hina, namun hasil asuhan Rasulullah SAW, mereka menjadi pejuang Islam yang hebat dan mulia.

Hakikatnya, kini Baginda Rasulullah SAW sudah tiada untuk membimbing kita secara lansung dalam urusan mendidik jiwa. Yang ada hanyalah dua perkara yang sangat besar, yang diwariskan Rasulullah SAW kepada kita semua. Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah dua sumber yang digunakan untuk mendidik diri para sahabat dahulu, dan dua sumber inilah juga yang ditinggalkan untuk menjadi panduan kita semua, ummat akhir zaman. Jika diperhatikan dan ditadabbur secara menyeluruh, maka kita akan dapati banyak sekali ayat-ayat Al-Quran dan juga Hadis-hadis yang mengajrkan manusia jalan-jalan untuk mendidik diri dan membasuh jiwa. Lebih daripada cukup untuk kita jadikan amalan dalam mentarbiyah diri kita ini.



Dalam dunia yang semakin dipenuhi fitnah dan dugaan yang semakin mencabar ini, begitu sukar sekali untuk diri ini mendidik jiwa, apatah lagi untuk menyucikan jiwa yang penuh dengan kotoran. Ya Allah, memang sukar sekali. Ada ketika, aku merasakan diri ini adalah seorang hamba yang baik, namun banyak masa diri ini bergelumang dengan kelaghaan dan dosa-dosa. Saat berada di majlis ilmu, aku menjadi manusia yang penuh keinsafan, namun keluar sahaja aku terus lupa dan alpa. Saat berada bersama orang Alim dan Ahli Ibadat, aku begitu termotivasi untuk beramal, namun tatkala aku berseorangan, begitu berat sekali untuk melaksanakan perintah-MU.

Benarlah sekali Hadis Baginda Rasulullah SAW tentang hakikat diri manusia, di mana pada waktu pagi mereka beriman, namun petangnya mereka kufur. Ada pula yang waktu petangnya beriman, namun pada waktu pagi menjadi seorang yang kufur. Apabila memuhasabah diri pada hadis ini, Ya Allah, sukar untuk aku berlepas diri dari menjadi golongan itu. Betapa aku tidak mampu untuk mengekalkan momentum imanku di saat ia baik. Banyak sekali jalan-jalan yang mendorong ke arah kejahatan, yang tumbuh bagai cendawan di dunia akhir zaman ini. Banyak sekali fitnah-fitnah dunia yang tidak mampu aku hadapinya.

Betapa aku sedar dan tahu bahawa diri ini perlu ditarbiyah, jiwa ini perlu disucikan. Setiap hari titik-titik hitam mula menutupi ruang-ruang hati, menghalang cahaya petunjuk-Mu daripada sampai ke jiwa. Betapa diri ini sedar, maksiat itu adalah dosa, dan dosa balasannya neraka. Namun dosa juga yang menjadi pakaian diri. Munafikkah diri ini? Hanya kepada-Mu aku menyerahkan urusan ini, semoga aku dipermudahkan untuk mendidik diri dan menyucikan jiwa.



“Ya Allah, kurniakanlah kepada jiwaku ketakwaannya. Sucikanlah ia (kerana) Engkaulah sebaik-baik yang menyucikan. Engkaulah yang menguasainya dan tuan kepadanya”

No comments:

Post a Comment