Detik Waktu

Wednesday, May 30, 2012

SYUKUR DAN BANGGA SEORANG RAKYAT


Alhamdulillah, selesai sudah Majlis Pecah Tanah Fasa 1 Lebuhraya Rakyat yang bakal menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai. Tanggal 7 Rejab 1433H bersamaan dengan 28 Mei 2012, akan menjadi satu lagi siri sejarah baru bagi Negeri Kelantan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan YAB Tok Guru Nik Aziz atas usaha dan projek yang sangat bermakna ini. Projek ini menggambarkan satu keazaman dan keyakinan pihak Kerajaan Negeri untuk menyediakan satu lagi kemudahan kepada seluruh rakyat, walaupun terpaksa mencari dana sendiri.



Sebagai seorang rakyat Kelantan, pertamanya saya berasa syukur di atas keberjayaan Majlis Pecah Tanah ini. Ia adalah satu permulaan kepada sebuah harapan dan cita-cita yang amat besar dan pasti sukar, namun apa yang pasti usaha ini bukan sahaja akan dipikul oleh pihak Kerajaan Negeri semata-mata, tetapi ia juga akan didokong dan dibantu oleh para rakyat negeri Kelantan sekalian. Ingatlah Kerajaan Kelantan ditadbir oleh mereka yang dipilih oleh majoriti rakyat Kelantan, untuk mewakili mereka dan untuk mengurustadbir negeri ini bagi pihak rakyat. Justeru, usaha dan cita murni ini pasti akan mendapat sokongan dan dokongan yang sewajarnya daripada semua rakyat.

Keduanya, saya berasa sangat bangga dengan usaha dan langkah yang diambil pihak Kerajaan Kelantan dalam merealisasikan pembinaan lebuhraya ini. Membuka ruang untuk rakyat memberikan ‘Sumbangan Wakaf’ bagi mengumpul dana untuk pembinaan lebuhraya ini merupakan satu langkah yang amat tepat dan baik sekali. Apa yang pasti setiap rakyat yang menderma akan mendapat pahala amal jariah yang berterusan selagimana lebuhraya ini digunakan. Dan langkah ini bukanlah menggambarkan kelemahan dan ketidakmampuan Kerajaan Negeri Kelantan, sebaliknya ia membuktikan kebijaksanaan dan kehebatan sebuah kerajaan yang dipimpin berpaksikan Islam.



Hakikatnya, usaha awal ke arah membina lebuhraya ini dilingkungi dengan pelbagai ujian dan dugaan. Permohonan Kerajaan Kelantan untuk mendapatkan bantuan dana  daripada kerajaan pusat dan memasukkan projek ini dalam Rancangan Malaysia tidak diterima oleh Kerajaan Pusat. Namun, dengan semangat yang tinggi dan keazaman untuk menyempurnakan kebajikan rakyat, Kerajaan Kelantan beberapa bulan yang lalu mengumumkan akan melaksanakan projek ini dengan dana sendiri. AllahuAkbar. Inilah ketetapan yang telah ditaqdirkan oleh Allah. Siapa tahu, segala kekecewaan yang lalu sebenarnya merupakan pintu kepada satu kejayaan yang besar kelak.

Sehingga kini, setelah berjayanya Majlis Pecah Tanah Fasa 1 Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai ini, masih ada lagi suara-suara sumbang dan sombong yang cuba menafikan kemampuan Kerajaan Kelantan dan Rakyat Kelantan untuk membina lebuhraya ini. Apa yang mendukacitakan, suara-suara itu datangnya daripada anak-anak Kelantan sendiri. Sebenarnya mereka sangat dengki dengan usaha murni ini. Mereka harus ingat, ini adalah Lebuhraya Rakyat. Bilamana mereka mencela, mencaci dan menghina usaha membina lebuhraya ini, mereka bukan sahaja menghina Kerajaan Kelantan, tetapi apa yang lebih besar, mereka sebenarnya menghina Rakyat Kelantan. Mereka adalah golongan yang kecewa kerana tidak dipilih oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini.



Akhirnya, suka sekali ingin saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan untuk mengambil peluang yang besar ini untuk sama-sama menyumbangkan derma wakaf bagi sama-sama merealisasikan lebuhraya ini. InsyaAllah, keberkatan daripada sumbangan rakyat jelata akan menjadikan segala usaha membina lebuhraya ini dipermudahkan dan diberkati oleh Allah. Dan ingatlah, sumbangan anda adalah satu jariah yang amat besar sekali dan akan mendapat pahala yang berterusan kelak bilamana lebuhraya ini siap dan digunakan.

No comments:

Post a Comment