Detik Waktu

Wednesday, May 16, 2012

PASTI: WARKAH UNTUK ORANG PAS


PASTI merupakan satu aset yang sangat bernilai buat PAS. Jika dirujuk kembali sejarah penubuhan PASTI,  kita dapat melihat betapa harapan yang sangat besar diletakkan dibahu PASTI untuk menjadi satu institusi pendidikan awal yang mampu memberikan satu pendidikan berteraskan Islam yang baik dan sempurna. Kini setelah lebih 25 tahun memberikan sumbangan pendidikan awal kepada para kanak-kanak, PASTI bolehlah dianggap semakin matang dalam menghadapi cabaran dan dugaan dalam menjayakan segala visi dan misi yang ditetapkan.

Hari ini, PASTI semakin mendapat tempat di hati para ibubapa sebagai pusat pendidikan awal untuk para anak-anak mereka. Dengan menerapkan sistem pendidikan yang memfokuskan kepada didikan Islam disamping ilmu-ilmu yang lain, PASTI menjadi satu pilihan yang baik kepada para ibubapa yang mendambankan pendidikan Islam yang baik untuk anak-anak mereka. Mereka sanggup mengeluarkan sedikit wang semata-mata untuk memastikan bahawa anak-anak kecil mereka mendapat pendidikan awal yang menitikberatkan soal agama disamping ilmu-ilmu yang lain. Walaupun di sana, ada sahaja pusat pendidikan awal seperti taska, tadika sekolah mahupun tadika Kemas yang memberikan pendidikan secara percuma, namun keyakinan kepada kemampuan dan kelebihan PASTI membuatkan mereka memilih PASTI sebagai pusat pendidikan awal anak-anak mereka.



Jika selama ini, saya hanya meyakini kelebihan PASTI melalui cakap-cakap orang ramai semata-mata, Alhamdulillah, Allah SWT memberi peluang dan ruang kepada saya untuk mengenali PASTI ini secara lebih dekat dan jelas. Peluang berkhidmat di Pejabat PASTI Negeri Kelantan membuatkan saya begitu teruja dan bangga sekali dengan sistem pendidikan PASTI yang ada pada hari ini. Pada suatu ketika, saya berkesempatan untuk mengikuti secara lansung suasana pembelajaran di PASTI, dan saya begitu terharu sekali melihat suasana pendidikan yang ada di PASTI. Menitis air mata saya melihat dan mendengar kanak-kanak yang berumur 5 dan 6 tahun membaca dan menghafal ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah SAW dengan betul sebutannya dan penuh semangat sekali. Ini hanyalah salah satu contoh situasi yang wujud di PASTI, bahkan lebih banyak lagi suasana pembelajaran yang wujud yang mampu meyakinkan para ibubapa untuk memilih PASTI.

Hakikatnya, PASTI menghadapai banyak cabaran dan dugaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan PASTI tidak mempunyai infrastruktur dan kemudahan yang lengkap, malah jauh sekali jika ingin dibandingkan dengan tadika kerajaan ataupun pusat asuhan swasta yang lain. Namun semua itu bukanlah satu halangan yang besar untuk PASTI, kerana PASTI ini bergerak dengan roh Islam, yang dihiasai dengan semangat jihad yang tinggi dikalangan penggerak PASTI. Pelbagai usaha telah dirangka dan dilaksanakan oleh pihak pentadbiran PASTI, khususnya DPPP dan DPPN, dalam memastikan PASTI mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan institusi pendidikan awal yang lain.

Namun begitu harus diingat, amanah menggerakkan PASTI ini bukanlah terletak pada bahu pihak tertentu sahaja, namun ia adalah tanggungjawab semua orang PAS, semua ahli PAS, semua penyokong PAS. Ingatlah, PASTI ini ditubuhkan antara lainnya untuk memberikan pendidikan awal berteraskan Islam kepada anak-anak orang PAS khasnya. Melihat kepada kecelaruan sistem pendidikan awal yang ada di negara ini, yang gagal memenuhi kehendak pendidikan agama masyarakat, PAS mengambil amanah besar ini dengan menubuhkan PASTI bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan agama yang selayaknya. Justeru, amanah besar ini sewajarnyalah dipikul secara bersama oleh semua orang PAS dan ahli PAS.



Pertama, ahli PAS seharusnya menjadi orang yang pertama yang menghantar anak-anak mereka ke PASTI. Namun wujud situasi hari ini di mana ada dikalangan orang PAS juga pimpinan PAS, khususnya yang berkemampuan, memilih pusat pendidikan awal seperti tadika kemas mahupun tadika pra-sekolah yang menawarkan pendidikan percuma untuk menghantar anak-anak mereka. Bukanlah berniat untuk mengatakan ianya salah, namun atas semangat jamaah dan kebersamaan dalam menggerakkan institusi jamaah, saya merasakan tindakan itu sangat kurang tepat sekali. Sedangkan PASTI memerlukan satu sokongan yang kuat daripada para ahli PAS untuk terus bergerak dan maju kehadapan.

Kedua, semua ahli PAS seharusnya sama-sama mempromosikan PASTI kepada masyarakat awam. Janganlah sekadar mengharapkan pihak pentadbiran PASTI, samaada peringkat pusat, negeri, kawasan mahupun cawangan, untuk menggerakkan promosi PASTI ini. Apalah salahnya, ruangkan sedikit masa anda di kedai kopi, di padang bola, mahupun di majlis-majlis umum yang lain untuk menceritakan serba ringkas akan kelebihan sistem pendidikan PASTI. Langkah ini sangatlah berkesan jika anda sendiri menjadi contoh kepada mereka dengan menghantar anak-anak anda ke PASTI. Yakinlah, agenda promosi yang ringkas dan menyeluruh ini mampu menarik masyarakat awam untuk memilih PASTI.

Ketiga, semua orang PAS seharusnya menyumbang sedikit sebanyak dalam membangunkan dan menambahbaik kemudahan dan infrastruktur premis PASTI di cawangan masing-masing. Sekali lagi saya nyatakan, PASTI jauh ketinggalan dari segi kemudahan dan infrastruktur jika dibandingkan dengan tadika kemas mahupun pra-sekolah yang mendapat peruntukan kewangan yang banyak daripada pihak kerajaan. Ingin sekali saya menyeru kepada semua ahli PAS untuk sama-sama melakukan sedikit amal jariah dengan memberikan sumbangan kepada pembangunan premis dan infrastuktur PASTI. PAS melalui Dewan Pemuda tidak mampu untuk menyediakan semua premis PASTI yang lengkap dan sempurna di setiap cawangan. Maka, kerjasama dan bantuan dana daripada ahli PAS di setiap cawangan akan merancakkan lagi pembangunan PASTI di setiap tempat.



Inilah TIGA sumbangan, sokongan dan kerjasama yang saya rasakan sewajarnya diberikan oleh setiap orang PAS bagi memastikan visi dan misi PASTI ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Hakikatnya, PASTI itu bukanlah milik pribadi para kepimpinan PAS ataupun pihak tertentu sahaja, walhal ia adalah milik bersama setiap orang PAS. Maka menjadi tanggungjawab dan amanah kepasa kita semua untuk sama-sama membantu PASTI pada kadar kemampuan kita masing-masing. Dalam suasana yang semakin mencabar ini, PASTI merupakan satu tempat yang terbaik untuk menyemai nilai-nilai asas Islam kepada setiap kanak-kanak bagi memastikan kelak mereka mampu menghadapi fitnah dunia yang semakin hebat ini. Akhirnya, PASTI Untuk Semua, PASTI Mendidik Generasi Bertaqwa.

No comments:

Post a Comment