Detik Waktu

Monday, April 9, 2012

KISAH 'PASTI ADA HIKMAH DISEBALIK KEJADIAN ITU'.

Minggu lepas, semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, setelah menghantar ibu dan adik ke MML dan MMP, berkesempatan mendengar slot Motivasi Pagi di Radio ikim.fm yang disampaikan oleh Ust Zool Ramli. Pada slot tersebut beliau membawakan satu kisah yang cukup menarik berkaitan dengan hikmah disebalik sesuatu ketetapan Allah SWT. Suka untuk saya kongsikan cerita tersebut buat tatapan sahabat sekalian.

Di dalam sebuah negara, terdapat seorang Bendahara yang sangat baik, dihormati oleh Raja dan para pembesar yang lain, juga sangat disanjungi oleh penduduk negeri tersebut. Bendahara itu sangat dikenali kerana sikap beliau yang sentiasa berfikiran positif. Setiap kali berlaku masalah ataupun diajukan masalah kepada beliau, jawapan yang akan diberikan oleh beliau ialah, “pasti ada hikmah disebalik kejadian ini”.

Pada suatu hari, dalam suatu kejadian, Si Raja telah terkena panah yang telah dilepaskan oleh adik kandungnya secara tidak sengaja. Ia telah meninggalkan kesan luka yang besar pada kaki Si Raja. Lalu, Si Raja memanggil Bendahara untuk bertanyakan pendapat beliau. Si Raja menyatakan bahawa dia merasakan adiknya sengaja menghalakan anak panah itu ke arahnya. Tujuannya adalah untuk membunuhnya dan merampas takhta pemerintahan daripadanya.

Lalu Si Bendahara yang sangat berfikiran positif dan bersangka baik menyatakan, “Pasti ada hikmah disebalik kejadian ini”. Jawapan itu tidak memuaskan hati Si Raja sehinggakan membuatkan Si Raja marah dan murka. Lalu diperintahkan para pengawal untuk menangkap Bendahara dan memasukkannya ke dalam penjara. Maka Bendahara yang baik itupun dimasukkan ke dalam penjara dan Bendahara tersebut redha dengan ketentuan itu.

Sementara itu, pada suatu hari, Si Raja telah keluar memburu dengan ditemani oleh beberapa orang pengawal istana. Semasa di dalam hutan, tiba-tiba Si Raja terpisah daripada para pengawal dan tersesat. Si Raja terus berjalan meredah hutan mencari jalan keluar, sehingga dia bertemu dengan sebuah perkampungan yang terletak jauh di dalam hutan. Si Raja sangat gembira kerana pada fikirannya pasti penduduk kampung itu akan menolongnya.

Namun ternyata sekali, firasatnya itu salah. Penduduk kampung itu tidak mengenali Raja tersebut malah telah menangkap Raja tersebut untuk dijadikan korban kepada sembahan mereka. Pada hari upacara sembah korban, Si Raja telah dibawa ke hadapan ketua penduduk untuk dikorbankan. Namun sebelum majlis bermula, ketua penduduk tersebut telah mengarahkan pengawalnya untuk memeriksa tubuh badan Si Raja tersebut. Ini kerana, hanya manusia yang sempurna sifat fizikalnya sahaja yang layak dikorbankan.

Apabila diperiksa tubuh Si Raja, maka didapati terdapat satu tanda luka yang sangat besar. Ini menyebabkan Si Raja tersebut tidak sesuai untuk dijadikan sembahan korban mereka. Ketua penduduk telah mengarahkan agar Si Raja tersebut dilepaskan dan memberitahu Si Raja agar segera meninggalkan kampung itu. Dan Raja itu terus lari dan kembali ke istana.

Sampai sahaja di Istana, Si Raja terus menemui Bendahara yang berada di dalam penjara. Lalu diceritakan kisah yang menimpa dirinya kepada Bendahara tersebut dan Si Raja menyatakan, ‘Benarlah sekali kata-katamu wahai Bendahara. Aku telah memahami hikmah disebalik kecederaan yang menimpaku dahulu’. Si Raja memohon maaf kepada Bendahara dan membebaskannya dari penjara. Si Raja bertanya kepada bendahara, ‘Adakah kamu marah kepada tindakanku memenjarakanmu?’. Maka jawab Bendahara, “Tidak, kerana pasti ada hikmah disebalik kejadian itu”.

“Aku tidak memahami maksudmu. Aku telah melihat hikmah disebali kecederaanku, namun aku tidak nampak apakah hikmah disebalik tindakanku memenjarakanmu”, kata Si Raja. Bendahara pun menjawab, “Kalau saya tidak dipenjarakan, sudah pasti saya akan mengikutimu pergi memburu. Dan saya pasti akan sentiasa berada bersamamu ketika kamu sesat. Ketika upacara korban tersebut, sudah pasti saya yang akan menjadi korbanan kerana fizikal saya sempurna. Namun, kerana kamu memenjarakan saya, maka saya terlepas daripada semua itu. Kalau tidak, sudah tentu saat ini saya sudah mati”.

Inilah satu kisah yang boleh dijadikan ikhtibar dan muhasabah kepada kita semua. Ya, banyak masa kita mudah merungut dengan kejadian yang menimpa kita, terutamanya musibah dan bencana. Kita selalu memandang kepada perkara negatif terlebih dahulu, dan tidak cuba untuk mencari hikmah positif di sebalik sesuatu kejadian. Sebab itulah, kita mudah marah, berduka, merungut dan sebagainya apabila ujian menimpa kita. Cubalah untuk berfikiran positif, kerana apa yang pasti, setiap kejadian/ketentuan Allah itu pasti ada HIKMAH yang tersembunyi.



Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.’ (Al-Baqarah:216)

2 comments:

  1. Assalam, boleh tk minta tlg terangkan maksud tafsir ayat di atas. Sy byk kali membaca nya sebelum ini. Tapi ingin melihat pada pandangan awak. E-mel saya hajar_gemini88@yahoo.com no phone 017-2732602, hajar. Tq.

    ReplyDelete