Seringkali kita diperdengarkan dengan kalimah ‘Muhasabah’. Pelbagai tafsiran yang diberikan dalam menjelaskan apa itu maksud ‘Muhasabah’. Tidak kurang juga dengan pelbagai konsep yang dikeluarkan dan dibahaskan dalam membicarakan berkenaan dengan ‘Muhasabah’. Cukuplah sekadar aku menyatakan bahawa ‘Muhasabah’ itu ialah satu penilaian kembali terhadap apa yang telah dilakukan dan dijalankan. Menilai samaada perkara yang dilakukan itu mencapai sasarannya dan memberikan satu hasil yang positif ataupun sebaliknya.
‘Muhasabah’ merupakan salah satu tuntutan yang dianjurkan oleh Agama Islam. Islam sangat-sangat menggalakkan para penganutnya untuk bermuhasabah. Setiap Muslim digalakkan untuk menilai kembali segala amalan mereka, adakah amalan-amalan tersebut memenuhi dan menepati kehendak agama. Bahkan, Allah SWT telah menjelaskan di dalam Al-Quran tentang peripentingnya seorang Mukmin untuk melihat kembali kepada apa yang telah mereka laksanakan sebagai bekalan untuk hari Ahkirat. Ini sebagaimana ayat Al-Quran, surah Al-Hasyr:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan” (Al-Hashr: 18)
Inilah perintah dan saranan yang Allah SWT telah perjelaskan kepada orang Mukmin. Saranan yang bertujuan untuk memastikan bahawa setiap Mukmin itu tidak terpesong dari jalan Islam yang sebenar, dan juga untuk memastikan bahawa setiap Mukmin bersedia dengan bekalan yang selayaknya untuk bertemu Allah SWT kelak. Sudah menjadi fitrah dan hakikat seorang manusia, mereka pasti terkadang-kadang lupa dan leka dengan keindahan dan tarikan kehidupan di dunia ini. Kelekaan dan kelalaian mereka itu menyebabkan mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT dan juga meninggalkan apa yang diperintahkan Allah SWT dan sebaliknya melaksanakan apa yang ditegah.
Kerana sifat pelupa manusia inilah, begitu penting sekali bagi kita sebagai seorang Muslim lagi Mukmin, untuk sentiasa memuhasabah diri. Dengan muhasabah, nescaya kita akan kembali sedar dan insaf akan kelemahan dan kelalaian yang melanda diri, sehinggakan kita meninggalkan Allah dan Rasulullah SAW dalam kehidupan kita. Dengan muhasabahlah, kita mampu untuk menyedari akan hakikat kelemahan diri kita sebagai manusia, dan akan hinanya diri kita ini jika kita tidak berpandukan ajaran Islam sebagai cara hidup kita.
Akhirnya, sedarlah kita semua, bahawa muhasabah itu perlulah kita laksanakan dan lakukan setiap masa dan ketika. Pastikan ianya menjadi rutin harian diri kita. Banyak ulama’ yang menyarankan agar setiap kali sebelum kita tidur pada waktu malam, ambillah sedikit masa untuk kita muhasabah segala amalan dan perbuatan yang kita lakukan seharian. Semoga, dengan muhasabah di penghujung hari itu mempu membantu kita untuk merancang kehidupan yang lebih baik keesokan harinya. Muhasabah itu untuk kita, dan muhasabah itu perlu sentiasa.
“Hisablah diri kamu, sebelum kamu dihisab oleh Allah SWT kelak” (Saidina Umar Al-Khattab)
No comments:
Post a Comment