Dengan Nama Allah SWT Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, pemimpin bagi sekalian ummat.
Alhamdulillah, satu pagi yang begitu tenang pada hari ini dengan dihiasi oleh titisan-titisan hujan yang menceriakan para makhluk Allah SWT. Pagi ini aku berkesempatan menemani seorang sahabat, Saudara Khairul, ke kompleks LKIM Pahang untuk membeli ikan dan udang. Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sana, setelah banyak kali mendengar akan kemurahan harga ikan, udang dan sotong di situ. Sangat benar sekali hakikat itu.
Kedua, melihat kepada kehidupan seorang sahabat yang telah berumah tangga, apatah lagi bukan sekadar bergelar seorang suami kini, bahkan juga seorang bapa walaupun masih lagi dalam tempoh pembelajaran di universiti, sangat-sangat mengkagumkan diri ini. Banyak yang boleh dipelajari dan diteladani daripada sahabat ini. Hari ini, dek kerana menemani beliau ke LKIM, aku telah belajar secara tidak lansung akan hakikat salah satu tanggungjawab dan kewajipan seorang suami, iaitu menyediakan keperluan asas (makanan) yang selayaknya untuk keluarga.
Ketiga, semasa dalam perjalanan ke LKIM, kami telah mendengar rakaman satu kuliah di IKIM.fm. Maaf, aku lupa nama ustaz yang menyampaikan kuliah tersebut. Namun apa yang ingin dikongsikan di sini ialah tentang satu kisah perumpamaan yang telah diceritakan oleh guru kepada ustaz yang menyampaikan kuliah tersebut. Guru beliau ialah Ustaz Dr. Said Ramadhan Al-Buuti. Kisah tersebut adalah berkenaan setaman pokok yang hidup dalam kegembiraan.
"Ada satu taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok. Ada pokok yang besar dan ada pokok yang kecil. Pada suatu hari pokok-pokok ini sedang bermain bersama dan bersuka ria serta bergembira sesama mereka. Tiba-tiba, jatuh satu mata kapak ke dalam kawasan taman mereka. Tidak tahu darimana mata kapak itu muncul. Keadaan menjadi kelam kabut. Ada diantara pokok-pokok itu yang menyatakan bahawa hayat mereka sudah tidak lama. Sudah pasti selepas ini mereka akan ditebang dengan menggunakan mata kapak itu.
Dalam keadaan yang penuh kecelaruan itu, mereka bersetuju untuk menemui satu pokok yang paling tua di tempat itu untuk bertanyakan kepadanya akan jalan penyelesaian bagi masalah itu. Lantas, mereka beramai-ramai pergi menemui pokok tua itu. Mereka menceritakan perkara yang berlaku kepada pokok tua itu. Lalu, pokok tua menyatakan pandangannya, "Kamu semua jangan risau dan bimbang. Mata kapak itu tidak akan dapat berbuat apa-apa ke atas kamu. Jika kamu semua tidak memberikan dahan atau batang kamu kepada mata kapak itu untuk dijadikan hulu, nescaya kapak itu tidak akan dapat berfungsi". Semua pokok itu kembali merasa aman dan tenang"
Inilah satu kisah yang di dalamnya ada satu hikmah/pengajaran yang sangat berguna untuk kita. Namun, aku tidak bercadang untuk menjelaskan akan hikmah tersebut. Aku ingin membuka ruang kepada sahabat-sahabat semua untuk membahaskan/membincangkan akan pengajaran di sebalik kisah pokok ini. Apakah yang dapat anda fahami dan simpulkan dari kisah ini?
No comments:
Post a Comment