Detik Waktu

Wednesday, March 9, 2011

TAZKIRAH SUBUH DARI MASTAAF SIRI 3

Tarikh: 9 Mac 2011
Masa: 6.30 pagi
Oleh: Ustaz Abdul Aziz Mohd Salleh
Buku: Keanehan Orang Warak

Kisah 19: Tersalah berselawat, kedai terus ditutup

Pada suatu hari, ketika Imam Abu Hanifah sedang berada di kedai kainnya, datang seorang wanita untuk membeli kain. Wanita itu menginginkan kain sutera yang baik. Lalu Imam Abu Hanifah menyuruh seorang pekerjanya mengambil kain itu di tempat simpanan. Setelah mengambil kain itu, pekerjanya tadi menepuk-nepuk kain itu sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Imam Abu Hanifah yang melihat kejadian itu begitu tidak suka dengan perbuatan itu kerana telah meletakkan selawat ke atas Rasulullah SAW tidak kena pada tempatnya. Selawat dibaca untuk mendapat pahala dan syafaat daripada Rasulullah SAW,bukan untuk memikat atau melariskan perniagaan. Tegur Abu Hanifah kepada pekerjanya, "Kamu telah memuji-muji kain perniagaanku dengan membaca selawat ke atas Nabi"

Beliau memarahi pekerjanya dengan menyatakan bahawa hasil yang bakal diperolehi pada hari itu tidak bersih. Maka kata Imam Abu Hanifah, "Hari ini aku tidak akan berniaga". Maka beliau telah menutup kedainya pada hari itu hanya kerana pekerjanya salah meletakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.


Kisah 20: Berpantang makan kambing seumur kambing

Imam Abu Hanifah pernah berpantang makan kambing selama beberapa tahun. Sebabnya sangat remeh. Pada suatu hari, beliau mendapat kambing-kambing hasil rampasan telah dibawa masuk ke dalam kampungnya. Lalu kambing-kambing itu bercampur dengan kambing tempatan. Maka sukarlah untuk dibezakan yang mana satu kambing tempatan, dan yang mana satu kambing hasil rampasan. Apalagi, para peniaga yang tidak mengambil kisah tentang sumber bekalan kambing itu.

Imam Abu Hanifah telah bertanyakan kepada orang yang arif berkenaan kambing tentang kebiasaan jangka hayat seekor kambing. Lelaki itu menyatakan bahawa jangka hayat seekor kambing pada kebiasaannya adalah 7 tahun. Lalu bermula saat itu sehingga tujuh tahun yang berikutnya, Imam Abu Hanifah berpantang daipada makan kambing kerana mengelakkan daripada memakan makanan dari sumber yang syubhat.

No comments:

Post a Comment