Hakikat sebuah pertandingan, mesti ada pihak yang MENANG, mesti ada pihak yang KALAH. Yang menang seharusnya bersyukur serta perbanyakkan bertasbih dan beristighfar kepada Allah, yang kalah juga seharusnya tidak bersedih serta perlu juga untuk bersyukur dan beristighfar kepada Allah.
Kemenangan itu bukan sekadar satu ANUGERAH, tetapi juga satu AMANAH yang amat berat lagi besar. Kemenangan itu pada hakikatnya tiada nilainya di sisi Allah, tetapi yang dinilai adalah PENGISIAN sebuah kemenangan itu. Jika kemenangan itu mampu diisi dengan baik dan bertepatan dengan tuntutan Islam, maka nikmat kemenangan yang lebih besar lagi akan dikurniakan. Tetapi jika amanah kemenangan itu gagal ditunaikan, malah disalahgunakan sama sekali, maka azab yang amat pedih menanti di dunia ini mahupun di akhirat kelak. Justeru, janganlah kalian terlalu gembira dengan kemenangan itu. Kerana kemenangan itu membutuhkan komitmen, kesungguhan, pengorbanan, jihad dan segala macam perkara lagi dari kalian semua. Jika pergantungan kalian kepada Allah SWT begitu rendah sekali, nescaya kalian akan gagal untuk mengisi kemenangan itu.
Manakala kekalahan itu bukanlah sekadar satu UJIAN daripada Allah, malah ia juga satu MUHASABAH yang amat penting lagi bernilai. Kekalahan itu bukanlah sesuatu yang dinilai oleh Allah, tetapi USAHA dan JIHAD itu yang dinilai. Jika kekalahan itu berfaktorkan kepada kurangnya usaha, jihad, pengorbanan dan juga pergantungan kepada Allah, maka selayaknyalah kekalahan itu ditimpakan kepada kita. Tetapi, jika usaha yang bersungguh-sungguh telah dibuat, banyak yang telah diinfaqkan dan dikorbankan malah pergantungan kepada Allah juga mantap dan kuat, namun akhirnya kekalahan juga adalah natijahnya, maka bersabarlah dan bersangka baiklah dengan Allah. Sesungguhnya kita semua adalah sebenar-benar orang yang menang di sisi Allah, cuma nikmat kemenangan itu belum dikurniakan kepada kita di dunia ini.
Ya, inilah bezanya kemenangan dan kekalahan. Nilaian kemenangan itu diukur selepas berlakunya pertandingan, manakala nilaian kekalahan itu diukur sebelum berlakunya pertandingan. Hakikatnya, menang dan kalah itu kedua-duanya adalah ujian daripada Allah. Ujian untuk membuktikan siapakah yang lebih benar perjuangannya, siapakah yang lebih ikhlas amalannya, siapakah yang lebih istiqamah jihadnya, siapakah yang lebih warak pekertinya, siapakah yang lebih subur imannya, siapakah yang lebih sabar hatinya, siapakah yang lebih kuat aqidahnya, dan siapakah yang lebih dekat kepada Tuhannya. Kepada yang menang, TAHNIAH, dan semoga kalian diberikan kekuatan untuk menunaikan amanah kemenangan itu. Kepada yang kalah, TAKZIAH, dan semoga kalian juga diberikan kekuatan untuk terus bekerja dan bekerja.
Akhirnya, ingatlah, apabila telah datang KEBENARAN itu, maka akan terhapuslah KEBATILAH. Dan sesungguhnya kebatilah itu pasti akan terhapus dan kebenaran itu akan menjadi sesuatu yang nyata dan jelas. Inilah JANJI daripada Allah. KEBENARAN itu adalah sesuatu yang pasti. Siru ‘ala barakatillah.
No comments:
Post a Comment