Detik Waktu

Sunday, March 6, 2011

TAZKIRAH SUBUH DARI MASTAAF SIRI 2

Tarikh: 6 Mac 2011
Masa: 6.30 pagi
Buku: Keanehan Orang Warak
Oleh: Ustaz Abdul Aziz Mohd Salleh


Kisah 16: Minta Subang Berlian, Dapat Bara Api

Siapa yang tidak bangga mempunyai ayah sebagai seorang ketua negara. Apa sahaja yang diminta dan diingini pasti akan diperolehi. Apalagi kalau sebiji subang berlian, bukan sepasang. Suatu hari salah seorang anak perempuan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengirimkan sebiji subang berlian kepada ayahnya. Dlaam kiriman itu dinyatakan,

"Ayahanda, tolong beli sebiji subang untuk pasangan subang anakanda yang sebiji ini"

Khalifah Umar Abdul Aziz menjawab permintaan anak perempuannya dengan mengirimkan dua biju bara api dengan disertai dengan ucapan,

"Wahai puteriku, kalau engkau sanggup letakkan bara api ini di kedua belah telingamu, maka aku akan belikan pasangan untuk subangmu itu"


Kisah 17: Kerana Sudah Tidak mempunyai Duit, Saku Dibuang

Ketika sebelum dilantik menjadi Khalifah, Umar bi Abdul Aziz adalah seorang yang kaya. Anak-anaknya juga diberikan wang untuk perbelanjaan harian. Baju anak-anaknya mempunyai saku untuk mengisi wang perbelanjaan yang diberikan. Selepas dibai'ah menjadi seorang Khaifah, Umar Abdul Aziz merasakan amanah ini merupakan satu bebanan yang amat berat, seperti dihempap bukit yang besar.

Bukan gaji yang dibayarkan, bahkan kalau terlepas dari soalan dan azab Allah di akhirat kelak sudah bernasib baik. Ketika menghadiri pengebumian jenazah Khalifah Sulaiman bin Abu Talib, sejurus dirinya dibai'ah menjadi ketua negara, Umar bin Abdul Aziz melihat saku baju salah seorang anak lelakinya terkoyak. Lalu beliau berkata kepada anaknya,

"Wahai anakku, engkau buang sahaja saku bajumu itu, dan mulai hari ini kau sudah tidak memerlukannya"

Khalifah Umar berkata demikian kerana mulai hari itu, beliau sudah tidak dapat memberikan wang saku lagi kepada anaknya. Kalau tiada lagi wang yang mampu diberikan, maka tiada guna lagi saku baju itu.


Kisah 18: Anak Khalifah Menjadi Buruh Kasar

Salah seorang anak Khalifah Harun Ar-Rasyid telah menyembunyikan diri dan menyara hidup dari hasil kerja tangannya sendiri, kerana tidak mahu makan pemberian ayahnya yang menjadi ketua negara.

Kisah bermula apabila Harun Ar-Rasyid telah menikahi seorang wanita yang begitu dicintainya, sebelum dilantik menjadi ketua negara. Apabila isterinya sedang hamil, beliau menghantar isterinya ke Basrah dan ditinggalkannya sementara waktu di sana. Harun Ar-Rasyid telah berpesan kepada isterinya,

"Apabila aku telah dilantik menjadi Khalifah, hendaklah engkau segera kembali ke Baghdad"

Beliau juga telah menyediakan harta yang banyak termasuklah barang kemas untuk isterinya menyara hidupnya dan juga anaknya yang akan lahir kelak. Sebentuk cincin besar untuk anak khalifah turut disertakan. Setelah sekian lama, maka isterinya melahirkan seorang anak lelaki, yang dinamakan dengan Ahmad bin Harun.

Tetapi, selepas Khalifah Harun dilantik menjadi Khalifah, isteri dan anaknya tidak juga datang ke istana. Puas Harun Ar-Rasyid menunggu isteri dan anaknya yang tidak kunjung tiba. Ada khabar yang sampai ke istana bahawa anak dan isterinya telah meninggal dunia. Tetapi sebenarnya mereka masih hidup dan enggan kembali ke istana malah menyembunyikan diri kerana Ahmad menjadi seorang yang warak.

Ia juga mahu menyara hidupnya hasil wang usahanya sendiri, tetapi harta yang dibekalkan oleh ayahnya disimpan sahaja. Suatui hari Ahmad kembali ke Baghdad secara senyap-senyap, tetapi tidak menghampiri istana. Beliau datang sebagai seorang anak muda yang ingin mencari kerja. Lalu diterima sebagai pekerja sambilan di sebuah kilang membuat batu bata.

Sebagai pekerja sambilan, beliau hanya bekerja pada hari sabtu sahaja dengan bayaran satu dirham sahaja. Hari-hari yang lain diisi dengan ibadat dan pengabdian diri kepada Allah dan juga menghadiri majlis-majlis ilmu. Duit satu dirham itu digunakan untuk menyara hidupnya selama seminggu. Begitulah seterusnya, dari hari ke hari, dari sebulan ke sebulan. Tidak ada sesiap yang tahu bahawa Ahmad adalah anak Amirul Mukminin yang sedang memerintah negara.

Suatu hari Ahmad jatuh sakit sehingga membawa kematian. Sebelum meninggalkan, Ahmad sempat menyerahkan satu bungkusan kepada majikannya untuk diberikan kepada Khalifah Harun Ar- Rasyid. Ketika meyerahkan bungkusan itu kepada majikannya, beliau berpesan,

"Tuan, jika aku meninggal dunia, maka serahkan bungkusan ini kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid. Sampaikan salam saya kepada baginda"

Ahmad sempat menyatakan beberapa ayat nasihat untuk disampaikan kepada Khalifah. Antara ayat nasihat tersebut ialah, "Takutlah Tuanku dijemput maut ketika Tuanku sedang lalai, lalu Tuanku menyesal. Penyesalan pada ketika itu sudah tidak berguna lansung"

Apabila Ahmad telah meninggal dunia dan jenazahnya selamat dikebumikan, maka majikan tadi pergi ke istana untuk menyampaikan amanah yang diberikan kepadanya. Tanya Khalifah Harun akan hajat majikan itu. Kata lelaki itu,

"Ampun Tuanku, hamba ingi menyampaikan bungkusan ini kepada tuanku, yang diamanahkan oleh seorang anak muda".

Lalu diserahkan bungkusan itu, Khalifah Harun Ar-Rasyid membuka bungkusan itu, dan alangkah terperanjatnya baginda apabila melihat bungkusan itu mengandungi barang kemas dan cincin yang diberikan kepada isterinya dahulu. Baginda yakin bahawa pemuda yang dimaksudkan lelaki itu adalah anaknya. Lalu baginda bertanya kepada lelaki tersebut,

"Di manakah pemilik barang ini sekarang?"

Lalu lelaki itu menjawab, "Pemuda itu baru sahaja meninggal dunia. Beliau sebelum itu menjadi buruh sambilan di kilang hamba, bekerja sebagai pembuat batu bata". Lelaki itu juga menceritakan sifat dan peribadi.

Khalifah Harun begitu sedih dan berdukacita, dan berkata kepada lelaki itu, "Sebenarnya kamu telah memberikan kerja kepada anak Amirul Mukminin. Dia adalah anakku"

Kata lelaki itu, "Maafkan saya wahai Amirul Mukminin, saya tidak tahu bahawa lelaki itu adalah anak khalifah"

Harun Ar-Rasyid tidak menyalahkan lelaki itu, kerana baginda tahu bahawa lelaki itu sebenarnya tidak tahu bahawa pemuda itu adalah anak Khalifah Harun. Lalu Khalifah Harun termenung memikirkan sebab-sebab puteranya itu tidak mahu datang ke istana, tidak mahu menjual barang kemas itu, sebaliknya menyara diri dengan menjadi buruh kasar, padahal dia adalah anak seorang Khalifah.

Jawapannya, Ahmad bin Harun telah menjadi seorang yang warak, yang hidupnya hanya tertumpu kepada beribadat kepada Allah.

No comments:

Post a Comment