Detik Waktu

Thursday, March 3, 2011

SATU ANALOGI UNTUK RENUNGAN



Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita semua. Tidak terhitung banyaknya nikmat itu dan tidak mampu untuk kita balas. Namun, dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayangnya Allah SWT, Dia tidak meminta kita untuk membalas semua nikmat itu dengan nilaian yang sama, cukuplah sekadar kita melakukan dan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Malam ini aku berpeluang untuk mendengar sedikit perkongsian daripada seorang hamba Allah. Walaupun beliau hanya sempat berkongsi ilmu dalam ruang waktu yang singkat, namun perkongsian beliau itu sudah cukup untuk menyedarkan aku tentang hakikat penciptaan manusia.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, kehidupan kita di dunia ini adalah sekadar persinggahan yang sementara. Kelak, kita akan dikembalikan kepada Allah SWT dan diperhitungkan segala amalan kita. Natijah akhirnya samaada Syurga atau Neraka. Perkongsian beliau adalah berkisarkan tentang keadaan manusia itu kembali kepada Allah. Dan keadaan ini dibawa dengan satu analogi yang ringkas, tetapi cukup menarik dan mudah untuk difahami dan seterusnya dihayati oleh semua.


Analogi sebiji pinggan


Ada seorang lelaki yang mempunyai koleksi pinggan yang banyak di rumahnya. Dan beliau adalah seorang yang pemurah. Beliau selalu meminjamkan pinggan itu jika ada yang meminta, untuk digunakan semasa kenduri. Pada suatu hari datang individu A untuk meminjam pinggan lelaki tadi. Lalu dibenarkan oleh lelaki tadi. Selepas habis majlis kenduri, individu A tadi memulangkan kembali pinggan tersebut dalam keadaan bersih, sama seperti waktu yang mula dipinjam dulu. Lalu lelaki tadi menyimpan kembali pinggan itu ditempat asalnya.

Pada suatu hari yang lain, datang pula individu B untuk meminjam pinggan lelaki tadi. Maka diberikan juga individu B untuk meminjam pinggan itu. Selepas tamat kenduri, lalu individu B memulangkan kembali pinggan tersebut. Tetapi tidak seperti individu A, pinggan tersebut dibiarkan kotor tidak dibasuh. Maka lelaki tersebut terpaksa membasuh dahulu pinggan tersebut sebelum disimpan ditempat simpanan asal.

Selepas beberapa hari, datang pula individu C untuk meminjam pinggan, juga dibenarkan oleh lelaki tersebut. Namun, semasa kenduri yang dianjurkan oleh individu C tadi, berlaku satu peristiwa dimana semua pinggan yang dipinjam dari lelaki tadi semuanya pecah dan hancur. Selepas tamat majlis kenduri, individu C tetap memulangkan kembali pinggan tersebut walaupun semuanya telah pecah. Lelaki tersebut dengan rela hati menerima kembali pinggan itu, namun terus dibuang ke dalam tong sampah kerana sudah tiada gunanya lagi.



Manusia dilahirkan dalam keadaan suci bersih


Inilah satu analogi yang jelas tentang hakikat kehidupan kita sebagai manusia. Kita dilahirkan dalam keadaan suci bersih, sebagaimana asal pinggan tadi. Namun, selepas kita dicampakkan di dunia, kita akan dicorakkan dengan pelbagai bentuk dan keadaan, juga sama seperti pinggan yang dipinjamkan tadi. Dan akhir sekali, selepas suatu tempoh masa di dunia ini, kita akan dikembalikan kepada Allah SWT. Dan kita akan dipertemukan dengan Allah SWT dalam salah satu daripada tiga keadaan.

Pertama, manusia akan kembali kepada Allah SWT dalam keadaan bersih, sama seperti pinggan yang dipinjam oleh individu A tadi. Maka, mereka akan 'disimpan' dan ditempatkan oleh Allah di Syurga, tempat asal manusia. Kedua, manusia akan kembali kepada Allah SWT dalam keadaan kotor, namun masih lagi sebagai seorang Muslim sebagaimana pinggan yang dipinjam oleh individu B tadi. Maka disebabkan kekotoran diri mereka, Allah SWT terpaksa 'membasuh' mereka di neraka dahulu sebelum ditempatkan ke dalam syurga. Ketiga, manusia akan kembali kepada Allah SWT dalam keadaan 'pecah' dan 'hancur', iaitu kufur kepada Allah SWT, tidak seperti asal kejadian mereka. Ia diumpamakan oleh pinggan yang dipinjam oleh individu C tadi, yang pecah dan hancur. Maka mereka akan ditempatkan terus ke dalam neraka selama-lamanya.

  
Syurga atau Neraka? pilihlah salah satu


Kesimpulannya, setiap manusia itu lahir dalam keadaan suci. Kita yang membentuk diri kita. Kita yang mempersiapkan diri kita. Kita yang memilih jalan akhir kehidupan kita. Kita yang menentukan samaada mahu ke syurga atau ke neraka. Justeru, pilihlah jalan yang terbaik sekali, iaitu kembali kepada Allah SWT dalam keadaan suci bersih sebagaimana asalnya. InsyaAllah, bila kita kembali kepada Allah SWT dalam keadaan bersih, maka Syurgalah tempat tinggal kita yang abadi.

Siru 'Ala Barakatillah!

No comments:

Post a Comment