Menulis bukanlah sesuatu yang aku minati suatu ketika dahulu. Apatah lagi hendak dijadikan sebagai hobi buat mengisi masa lapang. Aku bukanlah seorang yang berbakat dalam bidang penulisan, malahan hendak menyusun ayat-ayat mahupun hendak mengembangkan idea pun belum pasti. Apabila aku memasuki universiti, aku dapati ramai sahabat-sahabat yang suka menulis di dalam blog-blog mahupun menghantar tulisan mereka ke majalah-majalah. Pada waktu itu, aku begitu seronok membaca pandangan, idea dan luahan isi hati mereka yang disampaikan melalui penulisan.
Aku selalu melayari blog-blog dan website para ustaz, penceramah, ahli politik mahupun sahabat-sahabat aku sendiri. Di situlah timbulnya satu lintasan di fikiranku untuk turut mempunyai blog. Namun, niatnya bukanlah untuk menulis, tetapi sekadar untuk mengatakan diri aku ini tidak ketinggalan zaman. Hakikat mempunyai blog memerlukan diri aku untuk mengupdate blog aku dari semasa ke semasa. Maka bermula dari situlah aku menyedari bahawa diri aku sungguh seronok dan puas bila dapat menulis dan berkongsi di blog.
Kalau dulu, aku tidak dapat memberikan jawapan yang tepat kenapa aku menulis di blog, sekarang ini aku sudah mempunyai beberapa faktor yang mendorong aku untuk menjadikan penulisan sebagai hobi terbaru aku. Berdasarkan faktor-faktor inilah aku melatih diri untuk sentiasa menulis dan berkongsi dengan masyarakat luar di blog. Dan kini aku juga menggunakan ruang dan peluang yang ada di Facebook untuk berkongsi hasil tulisan aku dengan sahabat-sahabat.
Aku menulis kerana Dakwah
Aku mula melibatkan diri dengan kerja-kerja dakwah apabila aku memasuki universiti tempatan. Aku mula mengerti dan memahami akan hakikat dakwah itu. Dan di situlah juga aku mula mengerti akan kepentingan bidang penulisan kepada agenda Dakwah. Aku diajarkan bahawa sasaran dakwah itu mempunyai sifat-sifat dan perangai yang berbeza. Ada dikalangan mereka ini yang tidak suka untuk didakwah secara berdepan, tetapi mereka boleh menerima dakwah melalui penulisan. Mereka akan membaca hasil-hasil penulisan yang dikongsi oleh para pendakwah.
Selain itu juga, memandangkan sifat dakwah yang begitu fleksibal dari segi method dan wasilah dakwah itu sendiri, aku juga mula faham bahawa pada zaman dunia ziber masa kini, dakwah melalui internet mahupun media baru merupakan satu langkah yang berkesan dan meluas. Hari ini ramai golongan muda yang menggunakan media baru seperti FB, blog, twitter, email dan seumpama dengannya untuk berinteraksi dan berkongsi idea dan pandangan, disamping mendapatkan maklumat semasa. Justeru, aku sedar bahawa untuk berdakwah melalui media baru, aku kena rajin untuk menulis dan menulis. Kerana Dakwah aku menulis.
Aku menulis kerana Kepuasan dan Ketenangan Hati
Setiap manusia mempunyai cara tersendiri untuk mencapai kepuasan di dalam hidup. Kepuasan akan membuatkan hati kita tenang dan damai. Bagi aku, apabila aku menulis, aku merasakan satu kepuasan di dalam hati. Kenapa? Kadang-kadang kita mempunyai idea, pandangan dan pendapat yang banyak untuk sesuatu perkara. Namun, kita tidak mempu untuk meluahkan dengan kata-kata. Sehinggakan pada suatu tahap, kita akan rasa begitu tertekan dan gelisah kerana tidak dapat meyampaikan idea dan pandangan kita.
Situasi ini berlaku kepada aku. Aku bukanlah seorang yang cekap dalam berkata-kata, dan kadang-kadang tidak mampu untuk meluahkan idea yang ada di fikiran memalui kata-kata. Aku menemui jalan penyelesaian kepada masalah ini melalui penulisan. Apabila aku mula menulis, aku dapat menyatakan pendapat dan hujjah aku mengenai sesuatu perkara. Maka di situ timbul rasa kepuasan dan ketenangan kerana dapat berkongsi dengan semua. Aku tidak kisah pendapat dan hujjah itu diterima atau tidak, namun yang lebih penting aku sudah berjaya untuk menyatakan pendapat aku. Ketenanganku melalui tulisanku.
Aku menulis kerana Pertambahan Ilmu
Pada awalnya, aku sekadar menulis apa yang aku fikirkan sahaja tanpa merujuk kepada tulisan dan juga bahan rujukan yang lain. Namun, apabila aku semakin lama menulis, aku merasakan perlu untuk aku merujuk kepada beberapa sumber rujukan untuk memastikan pendapat dan hujjah aku itu tepat dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Maka, untuk merujuk aku perlu membaca. Bermula dari situ, aku menyedari bahawa salah satu sebab kenapa aku perlu menulis adalah untuk mendidik diri aku supaya rajin membaca.
Semakin banyak kita membaca, semakin bertambahlah ilmu dan pengetahuan kita. Aku mula merujuk beberapa buah buku, majalah mahupun artikel-artikel sebelum aku menulis sesuatu isu, terutamanya yang berkaitan dengan isu agama atau isu semasa. Melalui rujukan itulah, maklumat dan pengetahuan aku berkenaan beberapa perkara bertambah. Demi ilmu aku menulis.
Aku menulis kerana Aku Perlu Menulis
Sebab terakhir kenapa aku menulis adalah kerana aku perlu menulis. Kalau dulu aku merasakan aku tidak berbakat untuk menulis, namun kini setelah bebarapa bulan aku menulis, aku menyedari bahawa bakat menulis itu boleh diasah dan dibina. Dan hanya satu sahaja caranya, iaitu dengan menulis. Memang tidak dinafikan, mereka yang tidak mempunyai bakat semulajadi dalam bidang penulisan akan berasa rendah diri, tak mampu malah kadang-kadang malu dengan tulisan sendiri. Inilah yang aku rasakan pada mulanya.
Bukan setakat itu sahaja, kadang-kadang aku tergelak membaca tulisan sendiri. Namun, aku tahu bahawa ‘Aku Perlu Menulis’ disebabkan tiga sebab yang pertama yang disebutkan di atas. Justeru, aku menulis kerana ‘Aku Perlu Menulis’. Bagaimana aku mampu untuk berkongsi melalui bidang penulisan jika aku tidak menulis. Menulis kerana Menulis.
Akhirnya, aku mengharapkan apa sahaja yang aku kongsi melalui penulisanku sebelum ini dan yang seterusnya mampu member manfaat kepada semua yang membaca, dan aku juga dapat pahala jika tulisan itu mampu memuhasabah diri mereka yang membaca. Apapun, aku ini masih baru dalam bidang penulisan, dan mungkin banyak kecacatan dan kelemahan dalam penulisan aku. Apa yang kurang harapnya dapat diajarkan dan apa yang salah harapnya dapat diperbetulkan.
AKU MENULIS KERANA KEREDHAAN ALLAH. SIRU ‘ALA BARAKATILLAH.
No comments:
Post a Comment