Detik Waktu

Sunday, March 20, 2011

PEMUDA AGEN PERUBAHAN (Siri 1)


PAP SIRI 1: SUATU REALITI


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Hari Jumaat, ketua segala hari. Hari yang penuh keberkatan dan kelebihan. Semoga kita semua memperoleh manfaat dan keberkatan dari hari yang mulia ini.

Juga, salam perjuangan. Khasnya buat para pejuang Islam di seluruh dunia, yang bertungkus lumus dan memerah keringat memperjuangkan agama Islam. Juga buat para pendakwah yang berpenat lelah menyebarkan Islam, demi memastikan ummat ini kembali ke jalan yang sebenar.

Segala puji bagi Allah SWT, Pemilik dan Pantadbir alam ini. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW, penghulu dan ketua bagi sekalian alam.

Alhamdulillah, pada Isnin malam yang lepas, aku berkesempatan menghadiri satu forum yang amat menarik sekali. Forum yang membincangkan tentang kepentingan SATU UNDI golongan muda dalam pilihanraya dan juga menyentuh berkenaan sistem demokrasi dan pilihanraya di negara Malaysia. Juga sedikit sebanyak mengupas berkenaan keterlibatan golongan muda terutamanya mahasiswa dalam pilihanraya.

Aku tidak mahu mengulas panjang berkenaan perbincangan dan juga fakta-fakta penting yang dikemukakan oleh para penelis forum tersebut. Cuma, aku begitu tertarik dengan satu ungkapan yang telah dilontarkan oleh Associate Prof. Dr. Abu Hassan Bin Hasbullah:

“Pemuda hari ini perlulah bertindak sebagai agen perubahan”

Justeru, aku terpanggil untuk sama-sama mendokong hujjah ini memandangkan aku adalah seorang pemuda, dan aku memandang hujjah ini begitu jelas mesejnya dan juga begitu besar peranannya kepada pembangunan dan perkembangan negara pada hari ini.

Pertamanya, aku merasakan sudah banyak mereka yang menulis dan berkongsi berkenaan dengan isu ini, terutamanya pada membicarakan berkenaan persediaan dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh pemuda sebagai agen perubahan. Jadi aku lebih suka untuk berkongsi berkenaan cabaran dan halangan yang membantutkan pemuda untuk menjadi agen perubah. Hal ini kerana, dengan memahami halangan dan cabaran inilah, para pemuda seterusnya akan memahami dan mengetahui apa persiapan, persediaan mahupun peranan yang mampu mereka mainkan sebagai agen perubahan.

Realiti Pemuda Masa Kini

Hari ini, golongan muda adalah golongan majoriti di seluruh dunia. Begitulah juga di Malaysia, golongan muda adalah golongan majoriti yang merangkumi hampir 50% jumlah penduduk di negara ini. Namun, dengan ramainya golongan muda ini bukanlah satu jaminan kepada pembangunan dan perkembangan negara itu sendiri.

Hakikatnya, golongan muda hari ini terbahagi kepada dua kelompok besar. Kelompok pertama ialah kelompok ‘permata dan mutiara’, manakala kelompok kedua adalah kelompok ‘sampah’. Kelompok ‘permata dan mutiara’ merujuk kepada golongan muda yang mempunyai nilai diri dan pada masa yang sama menyumbang untuk pembangunan dan kesejahteraan negara. Manakala kelompok ‘sampah’ merujuk kepada golongan muda yang sudah jauh terpesong dari agama dan tiada nilai diri, bahkan mereka ini bukan sahaja tidak meyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan negara, malah merekalah yang menjadi punca kepada keadaan huru hara dan juga kemunduran kepada negara.

Merujuk kepada pengkategorian ini, maka dapatlah dilihat bahawa golongan muda adalah golongan yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara, namun pada masa yang sama golongan inilah yang banyak membawa masalah dan kecelaruan kepada negara. Jika dirujuk kepada data-data yang ada, ramai golongan muda yang berjaya dalam pelbagai bidang penting, dan mereka juga terlibat dalam usaha memajukan negara. Namun, data-data yang ada juga turut menjelaskan kepada kita bahawa ramai juga di kalangan orang muda yang terlibat dengan jenayah, maksiat dan menjadi perosak kepada masyarakat Malaysia hari ini.

Justeru, realitinya hari ini, masyarakat kita dipenuhi dengan golongan muda yang begitu ramai, namun mereka ini tidak mempu untuk memberi kesan yang besar kepada perubahan dalam masyarakat dan juga negara.

Agen Perubahan: Kenapa Golongan Muda?

Tentu akan ada yang bertanya, mengapakah difokuskan kepada golongan muda untuk menjadi agen perubahan? Adakah golongan lain, terutamanya golongan tua tidak mampu untuk mencetuskan satu perubahan dalam masyarakat? Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya “Generasi Muda dan Perubahan” menjelaskan dengan jelas kenapa golongan muda menjadi subjek kepada perbincangan ini. Katanya:

Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional. Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah SAW menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:

'Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk’

Umat manusia, dalam tabiat kejadian dan pembentukannya mempunyai masa terhad dalam usia yang mampu memberi sesuatu”



Selain itu, secara logiknya bilamana disebut ‘agen perubahan’, maka di sana akan ada kelompok yang akan menjadi perancang dan juga pencetus kepada perubahan itu. Pemuda sebagai agen perubahan sebenarnya lebih merujuk kepada peranan golongan muda dalam menyebarluaskan agenda perubahan dan dalam pada yang sama bekerja untuk menyedarkan masyarakat tentang peri pentingnya perubahan itu berlaku. Perubahan itu tidak semestinya lahir dari idea ataupun pemikiran golongan muda, tetapi dalam usaha menjayakan agenda perubahan itu, tenaga dan sumbangan golongan muda amat penting. Inilah yang dikatakan sebagai Agen Perubahan.

No comments:

Post a Comment