Pengenalan: Dakwah dan Kampus
Dakwah merupakan salah satu agenda terbesar baginda Rasulullah SAW. Dakwah tidak mengenal tempat dan masa. Dakwah itu akan sentiasa hidup dan disebarluaskan selagi mana dunia ini masih wujud. Setiap Muslim itu adalah pendakwah, sebagaimana salah satu hadis yang telah diungkapkan oleh Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang mengucapkan La Ilaha Illallah, maka dia adalah pendakwah”
Maka dapatlah kita fahami bahawa setiap muslim itu adalah pendakwah. Jadi, siapapun diri anda, jika anda seorang Muslim, maka dakwah itu sepatutnya menjadi tugas anda.
Kampus ataupun universiti merupakan tempat berkumpulnya golongan-golongan berilmu. Kampus bukan sekadar tempat melahirkan para ilmuan ataupun cendekiawan dalam pelbagai bidang, malah kampus juga adalah tempat yang sesuai melahirkan para pekerja Islam, samaada pendakwah, penceramah dan sebagainya. Kampus adalah tempat sebaran ilmu dan juga tempat melahirkan modal insan Islam yang terpenting pada ketika ini.
Dakwah dan kampus adalah dua elemen yang mempunyai kaitan antara satu sama lain. Sejak beberapa dekad yang lalu, aktiviti dakwah tidak sunyi daripada mewarnai dan menghiasi segenap ruang kampus yang ada di negara ini. Jika dirujuk kembali sejarah-sejarah silam, kita akan dapati bahawa dakwah di kampus yang bermula awal 80-an, telah memberikan kesan yang besar kepada perkembangan kefahaman Islam di kalangan masyarakat umum.
Namun, setiap sesuatu itu ada pasang surutnya. Begitulah juga dengan aktiviti dakwah di kampus ini. Ia tidak terlepas daripada penyakit kelesuan dan kemerosotan. Banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya perkara ini. Dan kebanyakannya adalah berkaitan dengan penggerak dakwah itu sendiri. Ia juga dikaitkan dengan suasana semasa di negara ini, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan politik.
Walaupun begitu, kemerosotan ini bukanlah sesuatu yang bersifat jangka panjang, jika kita kembali memasakkan kefahaman tentang kepentingan dakwah dan pada masa yang sama merancakkan strategi dan perancangan. InsyaAllah, menerusi perkongsian ini, saya akan cuba merungkaikan beberapa perkara berkaitan dengan kekuatan dan juga cabaran dakwah kampus itu sendiri, agar kita mampu kembali memperkasakan dakwah di taman ilmu yang mulia ini.
Kekuatan Yang Perlu Diterjemahkan
Kenapakah aktiviti dakwah mampu bertapak di kampus sejak dua tiga dekad yang lalu? Apakah kekuatan dan kelebihan yang ada di kampus yang memberikan tenaga dan sinergi kepada para pendakwah untuk bergerak di kampus? Jika dirujuk kembali sejarah perkembangan dakwah di kampus, maka di sana kita akan dapati beberapa kekuatan dan kelebihan yang telah digunakan sebaik mungkin oleh para penggerak dakwah untuk merancakkan aktiviti ini dikampus.
Hakikatnya, peluang dan kekuatan itu masih lagi wujud sehingga kini, malah ditambahkan lagi dengan kelebihan-kelebihan yang baru yang wujud di kampus. Persoalannya, adakah para penggerak dakwah sedar dan bersedia untuk memanipulasikan segala kekuatan dan peluang yang ada itu demi memastikan agenda dakwah sentiasa dikembangkan dan disebarluaskan kepada setiap mahasiswa kampus. Di sini, saya ingin membahaskan beberapa kekuatan yang ada di kampus agar kita kembali sedar akan kewujudan kekuatan ini dan bersedia untuk menterjemahkan kekuatan ini di dalam merancanakan aktiviti dakwah.
Kekuatan 1: Aktivis Dakwah yang Berilmu
Asas utama kepada dakwah itu adalah para dai’e yang bergerak dan bekerja. Dakwah itu tidak akan tersebar tanpa adanya mereka yang dikenali sebagai rijalud dakwah, yang sentiasa mengembelingkan tenaga untuk meyebarkan dakwah ini. Dakwah itu tidak akan berkesan jika hanya dijalankan oleh mereka yang bersemangat semata-mata, tanpa dibekali dengan ilmu yang sepatutnya. Dakwah itu memerlukan seorang dai’e yang berilmu, bukan sekadar ilmu yang berkaitan dengan pengisian (maudhu’) dakwah itu semata-mata, tetapi juga berkaitan dengan method dan strategi dakwah itu sendiri.
Dakwah pada hari ini memerlukan kepada kepelbagaian method dan tindakan. Dan di kampuslah, terdapatnya para pencipta dakwah yang bukan sekadar memahami pengisian dakwah itu sendiri, malah mampu mencipta dan mengaplikasikan method dakwah yang pelbagai sesuai dengan kepelbagaian keadaan sasaran dakwah. Inilah kekuatan yang sukar untuk kita dapati ditempat lain. Penguasaan ilmu Islam dan kepelbagaian strategi merupakan satu gandingan penting yang perlu ada pada seorang dai’e, agar dakwah itu dapat disampaikan secara berhikmah dan menghasilkan natijah kejayaan yang besar. Inilah kekuatan yang perlu diterjemahkan.
Kekuatan 2: Kumpulan Dakwah yang Pelbagai
Sesuatu yang dilakukan secara beramai-ramai atau dalam suasana jamai’e pasti akan menghasilkan satu natijah yang lebih baik berbanding jika dilaksanakan secara individu. Sedangkan kerja secara beramai-ramai itu adalaha sesuatu yang dituntut dan dianjurkan oleh Islam. Begitulah juga dengan aktiviti dakwah. Dakwah itu akan lebih berkesan jika para pengeraknya berada dibawah satu gelombang yang sama, dengan menitikberatkan nilai kebersamaan dan tolong menolong dalam kerja dakwah mereka.
Maka, kita akan dapati bahawa, di kampus wujudnya ramai mahasiswa dan mahasiswi yang menyedari akan tanggungjawab untuk melaksanakan dakwah. Mereka ini bergerak dalam pelbagai kumpulan dakwah dengan kepelbagaian method pembawaan dan strategi. Dan jika ditanya kepada kumpulan-kumpulan ini, mereka sebenarnya mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk mewujudkan suasana baik (biah solehah) di kampus, Cuma mungkin caranya sahaja yang berbeza.
Justeru, alangkah baiknya jika kumpulan-kumpulan ini mampu disatukan dan digerakkan dalam sebuah ‘kenderaan’ yang sama disamping menggabungjalinkan kepelbagaian method yang dibawa, maka sudah pasti kita akan melihat satu kesan atau hasil yang lebih besar daripada sekarang. Inilah antara kekuatan yang disedari, namun sukar untuk diaplikasi dan diterjemahkan. Tidak perlu untuk dijelaskan kenapa, cukuplah sekadar mengharapkan agar masing-masing berlapang dada dan menggunakan kekuatan ini sebaik mungkin.
Kekuatan 3: Platform Dakwah yang Menyumbang
Kalau di luar kampus, kita akan dapati kewujudan beberapa entiti dakwah samaada yang bernaung dibawah kerajaan mahupun yang bergerak secara sendiri dibawah NGO masing-masing. Mereka ini mendapat sumbangan kewangan dan logistik daripada kerajaan mahupun individu-individu tertentu bagi melicinkan gerak kerja dakwah mereka. Ya, zaman sekarang, dakwah itu memerlukan sumber kewangan untuk digerakkan. Begitulah juga dakwah kampus. Aktiviti-aktiviti dakwah itu dapat dilaksanakan dengan adanya sumber kewangan yang cukup.
Dan sebenarnya, di kampus, isu ini bukanlah satu halangan yang besar kepada dakwah, walhal ia merupakan satu kekuatan. Kenapa? Di kampus, terdapat banyak persatuan mahupun kelab yang memfokuskan kepada aktiviti dakwah atau sekurang-kurangnya menjadikan agenda dakwah sebahagian daripada aktiviti mereka. Kewujudan persatuan dan kelab dakwah di hampir setiap kampus di negara ini merupakan satu situasi yang menguntungkan gerak kerja dakwah.
Melalui persatuan inilah, mereka dapat mengumpulkan sumber kewangan terutamanya melalui peruntukan untuk aktiviti pelajar yang diberikan oleh pihak universiti. Selain itu, kemudahan logistik yang mudah diperolehi dikampus memudahkan agenda dakwah dilaksanakan. Program-program berbentuk kempen, seminar mahupun konsert dakwah mampu dijalankan disetiap kampus dengan adanya sumber kewangan dan logistik ini. Inilah yang dikatakan sebagai platform dakwah yang menyumbang.
Kekuatan 4: Sasaran Dakwah yang Interlek
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, kampus adalah tempat berkumpulnya golongan intelek dan berilmu. Mereka ini adalah golongan yang mudah untuk difahamkan, apatah lagi tentang ilmu Islam itu sendiri. Berbeza dengan dakwah kepada masyarakat luar yang memerlukan para pendakwah untuk banyak menggunakan logik akal dalam menerangkan sesuatu ilmu Islam itu. Di kampus, golongan mad’u lebih mudah untuk menerima dakwah yang disampaikan dan dengan kewujudan banyak medium dakwah yang ada, mesej dakwah itu dapat disampaikan dengan lebih jelas dan berkesan.
Selain daripada penerimaan yang baik dikalangan sasaran dakwah, terdapat juga sasaran dakwah ini, yang apabila mereka memahami tentang tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim, akan bersama-sama dengan kelompok pendakwah meneruskan agenda dakwah di kampus. Mereka akan sedar bahawa tugas dan amanah dakwah itu bukan untuk sesetengah pihak sahaja, sedangkan ia adalah tanggungjawab setiap individu Muslim. Maka, peningkatan golongan pendakwah di kampus ini akan merancakkan lagi aktiviti dakwah dan menatijahkan kejayaan yang lebih besar.
Kekuatan 5: Medan Dakwah yang Luas
Jika tadi saya telah jelaskan tentang kewujudan platform dakwah yang banyak menyumbang dari segi kewangan dan kemudahan logistik untuk penganjuran aktiviti dakwah yang pelbagai. Namun, peranan dan fungsi platform ini tidak terbatas untuk stakat itu sahaja, malah peranannya lebih meluas lagi. Peranan ini lebih dikaitkan dengan medan dakwah yang besar dan terbuka di kampus. Dakwah kampus bukan sekadar berfokuskan atau berpencak di dalam kampus semata-mata. Sebaliknya dakwah kampus juga adalah untuk masyarakat setempat.
Inilah hakikat yang sebenar, dari kampus ke lapangan ummat. Kita dapat melihat keterlibatan aktivis-aktivis dakwah kampus dalam program-program dakwah yang dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan mahupun NGO-NGO dakwah, yang mana sasarnanya adalah masyarakat awam. Contohnya, Ekpedisi Dakwah yang biasanya dianjurkan PBT dan juga NGO-NGO pada malam sambutan perayaan tertentu banyak menggunakan tenaga aktivis-aktivis dakwah kampus. Inilah kekuatan dakwah kampus. Tenaga mereka bukan untuk dakwah mahasiswa semata-mata, tetapi juga untuk masyarakat setempat.
Kekuatan 6: Wasilah Dakwah yang Pelbagai
Setiap sasaran dakwah itu tidak sama kadar penerimaan mereka. Ada yang mudah tersentuh hati mereka dengan ceramah, ada yang mudah tersentuh hati mereka dengan program motivasi, ada yang mudah tersentuh hati mereka dengan muhasabah, ada yang mudah tersentuh hati mereka dengan dakwah bilhal dan sebagainya. Ini memerlukan para pendakwah untuk mempelbagaikan wasilah dan method dakwah mereka. Dan inilah yang dikatakan sebagai pendakwah yang fleksibal dan kreatif.
Di kampus, dengan kebebasan para mahasiswa untuk menganjurkan pelbagai program, peluang ini sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh para pendakwah dalam mendekati sasaran dakwah mereka. Gunakanlah sebaik mungkin peluang ini dengan menganjurkan aktiviti dakwah yang pelbagai dan memenuhi citarasa para mad’u, agar segala matlamat dakwah itu mampu dicapai dengan baik. Inilah kekuatan dakwah yang ada di kampus. Para pendakwah tidak terbatas dengan wasilah yang konvensional semata-mata, tetapi berpeluang untuk memanipulasikan wasilah-wasilah yang bersifat semasa dan sesuai dengan kehendak sasaran dakwah.
Cabaran yang Perlu Ditumbangkan
Sudah menjadi lumrah perjuangan, ia tidak akan lekang dari dugaan dan cabaran. Begitulah juga dengan dakwah di kampus, ia tidak akan terlepas dari pelbagai cabaran yang kadang-kadang mampu melemahkan dan melesukan aktiviti dakwah itu sendiri. Namun begitu, cabaran ini sebenarnya mampu menjadi satu kekuatan dan membentuk satu kematangan dakwah, jika ia mampu diatasi dengan baik dan tepat.
Realitinya, cabaran dakwah di kampus semakin hari semakin banyak dan besar. Cabaran ini hadir samaada berbentuk dalaman ataupun luaran, yang kedua-duanya mampu memberikan impak yang negative kepada gerakan dakwah jika ia gagal diatasi. Sesungguhnya, cabaran-cabaran ini memerlukan para penggerak dan aktivis dakwah untuk saling bekerjasama antara satu sama lain, berlapang dada dan bersatu di dalam tindakan, agar cabaran ini tidak melemahkan mereka semua dan seterusnya tidak mematikan aktiviti dakwah di kampus.
Cabaran 1: Kumpulan Dakwah yang Berpecah
Tidak dapat dinafikan bahawa di kampus terdapat pelbagai kumpulan dakwah yang pelbagai, yang kesemuanya bermatlamat untuk mewujudkan suasana baik (biah solehah) di kampus. Namun begitu, apa yang menjadi cabaran ialah tiadanya kesatuan dalam tindakan dan aktiviti dakwah di antara kumpulan-kumpulan ini yang menyebabkan gerak kerja dakwah itu menjadi lemah. Kumpulan-kumpulan ini lebih cenderung untuk bergerak sesama ahli mereka sahaja, sedangkan di sana terdapatnya banyak lagi kumpulan-kumpulan dakwah yang lain yang mempunyai matlamat yang sama.
Apa yang lebih menyedihkan lagi, kumpulan-kumpulan ini mempunyai sikap keegoan masing-masing dan sukar untuk berlapang dada di antara mereka. Ada diantara mereka yang memburukkan kumpulan-kumpulan yang lain, dan menyatakan dakwah kumpulan lain itu tidak sempurna dan sebagainya. Ya, memang tidak dapat dinafikan, setiap kumpulan ini mempunyai dasar dan fokus masing-masing, namun mereka gagal untuk melihat mudharat yang lebih besar apabila mereka saling bermusuh-musuhan disebabkan perkara cabang dan khilaf.
Inilah salah satu cabaran yang besar kepada dakwah kampus. Sehinggakan, para sasaran dakwah sendiri lari meningglkan mereka disebabkan pergaduhan dan perebutan mad’u sesama kumpulan dakwah ini. Akhirnya, perpecahan yang berlaku dikalangan kumpulan dakwah ini mewujudkan satu masalah yang besar menyebabkan mereka lalai dan hilnag fokus kepada gerak kerja dakwah mereka.
Cabaran 2: Politik Kampus yang Menguasai
Selain dakwah, kampus juga tidak sunyi daripada aktiviti politik. Politik kampus adalah sesuatu yang menarik untuk diperkatakan. Saya tidak mengetahui dengan jelas, antara politik dan dakwah, yang manakah mula menapak terlebih dahulu di kampus. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, politik kampus dilihat lebih mewarnai suasana dikampus. Ia selari dengan perkembangan politik negara yang berlaku di luar kampus. Bagaimana politik kampus dikatakan sebagai cabaran kepada dakwah?
Jika kita nilai dan kaji secara mendalam, kita akan dapati bahawa sebahagian daripada mereka yang terlibat dengan politik kampus adalah aktivis-aktivis dakwah itu sendiri. Tidak sekali-kali saya katakan salah untuk mereka terlibat dengan politik kampus, kerana politik kampus itu juga boleh menjadi medan dakwah yang baik. Namun apa yang menjadi halangan dan kelemahan ialah, para aktivis dakwah yang terlibat dengan politik kampus gagal untuk menyeimbangkan antara dua agenda ini. Kadang-kadang mereka terlebih berpolitik sehingga mengabaikan elemen dakwah dalam gerak kerja mereka. Inilah yang saya katakana sebagai Politik Kampus yang lebih menguasai.
Cabaran 3: Aktivis Dakwah yang Statik
Seperti yang saya jelaskan di atas, aktivis dakwah perlulah bersifat fleksibal dan bukannya statik. Maksud fleksibal di sini bukanlah hanya pada method atau wasilah, tetapi juga pada penampilan pendakwah itu sendiri. Cabaran yang besar yang berkaitan dengan pendakwah ialah, kegagalan mereka untuk merubah penampilan diri mereka bagi disesuaikan dengan keadaan dan diri sasaran dakwah. Para pendakwah gagal untuk menembusi pelbagai kumpulan mad’u disebabkan kejanggalan dan ketidakselesaan mereka untuk mengubah panampilan mereka.
Masalah ini lebih ketara di peringkat mahasiswi. Kadang-kadang penampilan mereka menyebabkan sasaran dakwah sukar untuk mendekati mereka, kerana ada dikalangan sasaran ini yang beranggapan bahawa mereka perlu berpenampilan atau berpakaian seperti pendakwah itu. Selain itu juga, sikap para pendakwah yang lebih suka untuk menghabiskan masa sesama mereka menyebabkan mereka jauh dari sasaran dakwah. Inilah cabaran yang jika kita tidak menilai dengan tepat, akan menyebabkan kita memandang remeh aspek ini.
Kesimpulan: Kekuatan Dipacu, Cabaran Diatasi
Selagimana wujudnya kampus, selagi itulah wujudnya dakwah di situ. Dakwah di kampus akan sentiasa segar dan berkembang jika kekuatan ini mampu dipacu dengan sebaik mungkin, dan pada masa yang sama cabaran yang menghalang diatasi dan diselesaikan dengan baik. Dakwah kampus tidak akan sunyi dari pelbagai peristiwa dan keadaan yang akan mematangkan para petugas dakwah dan juga dakwah itu sendiri.
Akhirnya, sebagai seorang mahasiswa, kita perlulah sedar bahawa tugas kita di kampus bukan sekadar untuk belajar, tetapi banyak lagi tugas yang lain perlu ditunaikan. Berdakwah adalah salah satu daripadanya dan ingatlah, ini adalah tugas dan amanah yang telah dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah SAW. Dakwah adalah untuk semua.
Salam alaik . izinkan saya meng"Copy" hasil tulisan saudara . syukran :)
ReplyDelete