Detik Waktu

Sunday, February 6, 2011

Sajak: Salam Revolusi

Hari ini sejarah sekali lagi berbicara,
Bumi Tunisia menjadi medan bermulanya,
Kebangkitan rakyat yang tidak diduga,
Mengingatkan manusia yang semakin leka.

Dahulu kala sejarah ini telah dicipta,
Oleh ummat yang bangkit bersama,
Menyatakan betapa sakit dan derita,
Di bawah naungan mereka yang buta.

Sejarah dahulu kembali bersua,
Buat mereka yang masih lupa,
Kuasa rakyat sangatlah perkasa,
Mampu menggoncang takhta negara.

Hari ini mereka yang berkuasa,
Memimpin rakyat penuh dengan dusta,
Harta negara menjadi hak pusaka,
Sehingga rakyat hidup dengan derita.

Tunisia menjadi pembuka segala cerita,
Kisah pemuda yang bangkit berbicara,
Menyatakan keluh resah di jiwa,
Hidup penuh dengan perit derita.

Bicara pemuda tidak lansung disapa,
Membiarkan dia menjadi semakin membara,
Akhirnya tekad dipasakkan di dada,
Membakar diri sebagai akhir senjata.

Rakyat terus tersedar dari lena,
Simpati dengan tindakan si teruna,
Jalan raya menjadi medan bersama,
Menyatakan bantahan kepada yang berkuasa.

Sabarnya rakyat ada batasnya,
Hormatnya rakyat ada puncaknya,
Diamnya rakyat ada tahapnya,
Tetapi bangkitnya rakyat tiada noktahnya.

Bangkitnya rakyat bukanlah satu dosa,
Marahnya rakyat bukannya tidak setia,
Bencinya rakyat bukanlah satu nista,
Semuanya hanyalah kerana Yang Esa.

Laungan keramat kembali bergema,
Suara rakyat kembali bersama,
Seluruh dunia menjadi terkesima,
Pemimpin jahat dalam dilema.

Dari Tunisia ke seluruh benua,
Rakyat bangkit dari kecewa,
Menuntut pemimpin yang sudah lama,
Meninggalkan takhta menyucikan jiwa.

Bangkitnya rakyat bangkit bersama,
Maranya rakyat mara berkuasa,
Revolusi baru sudah bermula,
Menanti saat Islam dijulang jua.

Salam Revolusi,
Salam Reformasi!

No comments:

Post a Comment