Tersangat benarlah ungkapan yang penuh mendalam ini: "Lihatlah kepada apa yang dikata, bukan kepada siapa yang berkata" (atau yang seumpama dengannya)
Ungkapan yang memberikan makna dan pengajaran yang penuh mendalam. Penuh dengan adab dan disiplin. Penuh dengan realiti dan hakiki. Makna yang mudah, jangan dinilai sangat kepada yang berkata, tetapi ambillah seberapa banyak manfaat daripada apa yang dikata. Jangan dilihat sangat fizikal/penampilan luaran mereka yang berkata (berkongsi ilmu), tetapi hayatilah ruh dalaman ilmu atau pandangan yang dikongsi itu.
Inilah yang aku lalui semalam. Diperlihatkan oleh Allah SWT akan hakikat ungkapan ini. Diberi peluang oleh Allah SWT untuk mendapat peringatan/nasihat/taujihat dari seorang yang bukan bergelar seorang ustaz, bukan seorang cikgu, apa lagi seorang Ulama'. Kalau dinilai secara fizikal luaran, agak sukar untuk mempercayai beliau mampu memberikan pendapat dengan baik.
Pertemuan yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Seorang tukang paip yang datang ke rumah sewa untuk menunaikan amanah kerjanya. Hanya berbaju T dan berseluar Jeans. Dengan bertemankan beberapa alat membaiki, beliau datang dengan sebuah kereta ke RS. Datang kali pertama pada waktu pagi katanya tak ada orang. Alhamdulillah, datang kali kedua selepas Zohor, disambut oleh aku yang telah bersiap sedia di raung tamu rumah.
Pandangan pertama aku kepada Abang ni sangat positif. Seorang yang peramah dan sempoi. Membahasakan dirinya dengan Abang Syed. Orang Kuantan, beristerikan orang Kelantan dan sekarang menetap di Sungai Isap. Telah lama bekerja sebagai tukang paip. Alhamdulillah katanya, inilah rezeki yang Allah bagi. Sambil-sambil membaiki tangki sempatlah kami berbual-bual sikit. Aku ditanya pasal pengajianku. Respon yang diberikan oleh beliau menunjukkan beliau seorang yang bermaklumat.
Setelah selesai dengan kerjanya, aku menjemput beliau untuk minum. Di sinilah bermulanya 15 minit yang sangat berharga dari seorang Tukang Paip.
Perbualan yang bermula dengan menyentuh soal pengajian. Pandangan dan nasihat yang diberikan sangat bermakna. Katanya, belajar bersungguh-sungguh. Mak ayah hantar masuk U ni untuk belajar. Lapas habis belajar, boleh la bantu mak ayah pula. Tambahnya lagi, ada sahaja budak-budak U ni yang tak sedar diri. Masuk U banyak main-main. Belajar tak bersungguh-sungguh. Yang banyaknya berkepit sana, berkepit sini.Akhirnya ramai yang bunting katanya.
Aku mencelah sikit-sikit dan banyak mengiyakan sahaja. Abang Syed semakin bersemangat. Di sentuh pula pasal Islam. Katanya kita ni ramai sahaja yang namanya Islam, tapi hakikatnya bukan Islam pun. Marah betul beliau dengan mereka yang mengaku Islam, tetapi perangai dan perbuatan bukan macam Islam. Perangai ikut barat, ikut Yahudi katanya. Barat nak maju, kita pun nak juga maju katanya. Barat nak buat bangunan tinggi-tinggi, kita pun nak buat bangunan tinggi-tinggi. Tengok Brunai katanya, tak banyak pun bangunan tinggi-tinggi, tapi negara kaya. "Islam apa macam ni", katanya.
Di sentuh pula pasal pemimpin. Banyak yang diulas pasal pemimpin dan kepimpinan negara sekarang. Katanya majoriti dah Islam, tetapi nak laksana Islam pun susah. Sudah la nak laksanakan Islam pun tak nak, ni orang yang nak laksanakan Islam pun disekat. Pemimpin banyak masalah katanya. Rasuah la, jahat la, takut isteri la dan macam-macam lagi katanya. Beliau juga memuji kepimpinan Kerajaan Kelantan dan masyarakat Kelantan. Ikut Islam katanya. Pemimpin baik, rakyat pun baiklah. Ni ada yang nak suruh pemimpin jadi baik, tetapi perangai sendiri tu jahat, tambahnya lagi.
Dan bahagian yang tidak boleh aku lupakan sekali ialah bila beliau mengatakan,
"Pak cik ni kalau boleh tak nak hidup dah di dunia ni. Banyak sangat cabaran, godaan dan ujian. Tapi nak buat macam mana, dah ketentuan Allah SWT. Kena teruskan juga. Nabi Adam dan isterinya yang dah ada dalam syurga pun digoda lagi oleh syaitan, apatah lagi di dunia ini. Ni dah memang kerja syaitan. Mereka akan goda anak-anak Adam dari lahir sampai mati. Ni janji mereka kepada Allah. Allahuakbar!" Beliau mengeluh panjang.
Inilah 15 minit yang sangat bermakna. Taujihat dan nasihat dari seorang Tukang Paip. Sebenarnya banyak lagi yang disentuh. Semoga beliau sentiasa di redhai dan dirahmati oleh Allah SWT.
Siru 'Ala Barakatillah. Ilal liqa'!
No comments:
Post a Comment