KEIZINAN RASULULLAH SAW KEPADA SAHABATNYA UNTUK BERHIJRAH KE MADINAH
Ibnu Sa'd di dalam kitabnya "Al-Tabaqat Al-Kubra" menceritakan apa yang telah diriwayatkan oleh 'Aisyah Radiallahu 'anha:
"Setelah bilangan-bilangan pengikut Rasulullah SAW meningkat kepada tujuh puluh orang, Baginda terasa tenang dan lega hati, yang dijadikan tuhan sebagai benteng kepadanya. Mereka ini adalah satu kaum yang berkeahlian di dalam peperangan, persenjataan dan pertolongan. Di samping penyeksaan dan tekanan yang semakin menjadi-jadi ke atas orang Islam kerana orang Musyrik tahu tentang perhubungan mereka dengan Puak Khazraj, mereka melipat-gandakan penyiksaan ke atas sahabat-sahabatnya, dengan siksaan yang lebih kejam dari dahulu termasuklah maki hamun, celaan dan pelbagai tindakan yang tidak boleh dihitung lagi. akhirnya mereka mengadu nasib dan perasaan yang mereka tanggung kepada Rasulullah SAW sambil meminta izin untuk berhijrah. Jawab Rasulullah SAW: sesungguhnya aku telah diberitahu akan tempat perpindahan (hijrah) kamu, iaitu Yathrib. Sesiapa sahaja yang ingin berpindah bolehlah berpindah ke sana"
Kemudian mereka pun bersiap-siap dan mengemaskan barang masing-masing serta tolong menolong sesama sendiri, akhirnya mereka pun perlahan-lahan keluar secara sembunyi-sembunyi. Orang yang pertama keluar ialah Abu Salmah bin 'Abdil Asad, diikuti oleh 'Amir bin Rabi'ah dan interinya, laila binti Abi Hasymah. Inilah kumpulan yang pertama tiba di Madinah. Lepas itu berturut-turutlah para sahabat sekalian sampai ke Madinah, kesemua mereka ini tumpang tinggal bersam-sama sahabat dari golongan Al-Ansar. Pihak Ansar telah memberikan segala bentuk pertolongan, kemudahan dan layanan yang baik kepada sandara-saudara mereka dari golongan Muhajirin.
Para sahabat Rasulullah SAW berhijrah secara sembunyi-sembunyian kecuali 'Umar bin Al-Khattab Radiallahu 'anhu, seorang yang keluar secara terang-terangan. Sayyidina 'Ali bin Abi Talib Radiallahu 'anhu menceritakan tentang Sayyidina 'Umar ketika hendak keluar hijrah: beliau membawa pedang, panah dan anak-anak panah dan tongkatnya, berjalan menuju Ka'abah di mana puak Quraisy berada di tengah-tengah halamannya. Dengan megah dan beranai beliau mengelilingi Baitul Haram tujuh kali dan bersembahyang di makam Ibrahim. Sesudah itu beliau berdiri sambil melaung: "Durjanalah sekalian muka. Inilah muka-muka yang akan dikalahkan Tuhan nanti. Sesiapa yang ingin ibunya keseorangan, atau hendak meyatimkan anaknya, atau hendak menjandakan interinya, silalah bertemu dengan aku di belakang lereng bukit itu".
"Tidak ada sesiapa pun yang berani bertemu hanya orang tua-tua dan lemah-lemah sahaja yang telah diberitahu dan berjanji dengan beliau, Sayyidina 'Umar pun pergi sekehendaknya tanpa diganggu," tambah Sayyidina 'Ali.
Kemudian orang Islam yang lainpun ikut berhijrah ke madinah, yang tinggal di Makkah hanyalah Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Sayyidina 'Ali atau mereka-mereka yang disiksa di dalam kurungan atau yang sakit yang tidak berdaya untuk keluar.
(Petikan daripada buku Fiqh Sirah 1, karya Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti)
No comments:
Post a Comment