Detik Waktu

Tuesday, December 14, 2010

Sehari bersama remaja di Masjid Cenderawasih

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Bagaimana iman kita hari ini? Bagaimana ibadah kita hari ini?
Semoga ia sentiasa berada pada tahap yang terbaik dan berkualiti.

Alhamdulillah, hari sabtu lepas aku berkesempatan untuk menabur bakti pada satu program yang sangat baik dan berfaedah untuk anak-anak remaja. Kem Ibadah, program anjuran JAIP dan Masjid Cenderawasih dengan kerjasama KRT seluruh kuantan, telah menarik penyertaan hampir 150 orang peserta dari seluruh kuantan. Hampir separuh daripadanya adalah peserta lelaki dan yang selebihnya adalah perempuan.

Semasa pembahagian kumpulan, aku telah ditetapkan untuk menjadi fasilitator kepada peserta yang berumur dalam lingkungan 15-17 tahun. Walaupun dengan jumlah ahli kumpulan yang cukup besar, hampir 20 orang, aku merasakan ianya mungkin agak senang kerana para peserta mungkin sudah tahu cara-cara berwuduk dan solat. Dan tanggapan aku itu benar. Boleh dikatakan kesemua mereka boleh berwuduk dengan baik, begitu juga dengan bacaan-bacaan di dalam solat, mereka boleh membacanya.

Walaupun, para peserta dalam kumpulan aku hadir dengan pelbagai perwatakan, pelbagai fesyen rambut dan dengan 'sifat kenakalan' seorang remaja, aku sangat berbangga dengan mereka. Apabila aku meminta setiap seorang untuk membaca Al-Fatihah, hampir kesemuanya boleh membaca dengan baik.

Ketika sedang berbincang-bincang dalam kumpulan, seorang daripada ahli kumpulan (aku lupa pula namanya) tiba-tiba menyatakan satu persoalan yang sangat besar dan begitu penting. Katanya: "Sebenarnya, saya ni tahu semua pasal solat ni (merujuk kepada pergerakan dan bacaan), cuma malas je nak solat". Ya, inilah persoalan yang perlu dijelaskan kepada mereka. Ianya nampak mudah, tetapi sebenarnya memerlukan satu tindakan yang bijak dan jawapan yang tepat agar mereka memahami tanggungjawab ibdaah meneka dengan baik.

Ketika selesai sesi pertama, aku sempat berbual-bual dengan seorang ahli Jemaah Tabligh dari Pakistan yang kebetulan membuat ziarah di masjid itu. Beliau bertanyakan tentang program tersebut. Dalam perbualan kami, beliau menegaskan apa yang penting kita ajar untuk para remaja ialah apa kepentingan solat dan memahamkan mereka kenapa mereka perlu solat. Kefahaman yang lebih utama kita perlu tanamkan dulu katanya. Jika mereka sudah faham tentang semua ini, dengan sendirinya mereka akan belajar cara wuduk dan cara solat yang sempurna.

Tersangat benarlah sekali pendapat beliau tadi. Inilah method yang siajarkan Rasulullah SAW kepada kita. Sepanjang dakwah baginda di Makkah, baginda telah menrapkan tentang Aqidah yang mantap. Memahamkan para mad'u akan pegangan yang benar lagi utuh. Inilah asasnya, KEFAHAMAN. Apabila kita sudah faham akan tanggungjawab kita, maka dengan sendirinya kita akan melakukan dengan sepenuh hati. Begitulah juga dengan mengajarkan wuduk dan solat kepada para remaja tadi, perlu diterapkan dahulu asas kefahaman kepada mereka.

Banyak sebanarnya yang aku perolehi dengan menjadi fasilitator dalam program ini. Sebenarnya, dalam mentarbiyah orang lain, kita juga pada masa yang sama mentarbiyah diri kita sendiri. Semoga aku berkesempatan lagi untuk menyumbang tenaga dalam program-program sebegini kelak, InsyaAllah.

1 comment:

  1. "dalam mentarbiyah orang lain, kita juga pada masa yang sama mentarbiyah diri kita sendiri. "

    (Murabbi Afif Rabbani.. ;) )

    ReplyDelete