Detik Waktu

Sunday, November 7, 2010

Coretan Hari Ahad

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah!
Syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT dengan pelbagai nikmat dan kesenangan hidup di dunia ini.

Pagi ahad yang penuh ceria di bumi Allah Kuantan. Hujan masih lagi turun renyai-renyai sejak dari lewat petang semalam lagi. Sekali sekala diselang-seli dengan hujan lebat yang menandakan bermulanya musim tengkujuh di Malaysia. Kalau di sebelah utara semenanjung, banjir telah melanda negeri Kedah dan Perlis. Mengikut laporan, banjir kali ini lebih buruk daripada tahun 2005. Apapun, banyak hikmah dan peringatan daripada bencana alam ini. Persoalannya, mahu atau tidak kita menginsafi dan memuhasabah diri atas segala yang berlaku.

Aku tak tahu apa topik khusus yang aku ingin kongsikan dengan anda semua hari ini. Banyak sebenarnya isu yang boleh dianalisa dan ilmu yang boleh dikongsi dengan anda semua. Ilmu Allah itu cukup luas. Aku rasa kali ini aku hanya mahu membuat huraian dan pendapat ringkas tentang beberapa perkara dan isu yang aku lihat, baca dan dengar dalam dua tiga hari kebelakangan ini.

Ada apa dengan FB?

FB, satu medium interaksi yang dengan cepatnya menjadi kegemaran dan kegunaan ramai orang. Dulu aku tidak berapa berminat dengan FB. Aku fikir ia me'lagho'kan dan melalaikan. Mungkin tegas sikit pendapatku. Aku pernah menggunakan Friendster, dan aku tahu aku pernah 'tewas' dengan friendster. Sehinggakan aku mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia friendster. Aku tidak tahu betul atau tidak keputusanku itu. Aku tidak pasti adakah aku telah menilai keputusan itu dengan melihat kedua-dua aspek, positif dan negatif. 

Kini aku mula meletakkan diriku dalam dunia FB. Kata seorang sahabat, "Sekali kita dah mula guna FB, konfirm kita akan jadi ketagih". Aku meragui kata-katanya dulu. Namun, setelah bergelumang dengan dunia FB, aku amat-amat setuju dengan pendapat itu. Memang ketagih. Apa tidaknya, setiap kali berada di hadapah laptop, antara laman yang dilayari ialah FB. Baca sahaja tidak sah, kena posting dan respon baru rasa puas hati. Inilah hakikatnya. Dan aku sebenarnya telah ketagih dengannya. Alhamdulillah, hari ini aku mendapat teguran yang menyedarkan aku tentang hakikat itu. Terima kasih buat Ust Nuruddin.

Walaupun begitu, itu hanyalah sebahagian daripada cabaran dan ujian dalam ber'FB'. Ianya bukan kerana FB, bukan salah FB, tetapi diri kita yang perlu diperbetulkan. Tidak salah untuk kita ber'FB', tetapi janganlah sampai ia melalaikan kita dari menunaikan tanggungjawab kita yang lain. Janganlah ber'FB' itu banyak memberi mudharat daripada manfaat. Gunalah FB itu sebaik-baiknya. Raikanlah perkembangan teknologi semasa ini dengan penuh berhikmah. Inilah medan dakwah dunia moden. Gunalah ruang ini semaksimum yang mungkin. Sebarkanlah Islam melaluinya. InsyaAllah, jika kita mampu mengawal diri kita, maka FB itu akan memberikan manfaat untuk diri kita dan masyarakat umumnya.

Isu Kahwin Menjadi Hangat! 

Sepanjang pemerhatian dan pembacaan aku di FB dan blog-blog sahabat, isu yang hangat dikongsi dan dibincangkan ialah berkenaan dengan bab kahwin. Macam-macam maklumat dan pendapat yang dikongsi oleh sahabat-sahabat. Bermula dari tip-tip memilih pasangan, istikharah sehinggalah kepada pesanan-pasanan untuk bakal ibu dan bapa. Terima kasih dan alhamdulillah, maklumat yang dikongsikan banyak memberi manfaat dan pengajaran kepada diri aku. Dan macam-macam la juga respon yang diberikan oleh mereka yang tertarik dengan bab ini. 

Inilah fitrah manusia. Hidup memerlukan orang lain. Hidup memerlukan pasangan. Dan apa yang aku dapat simpulkan, mereka yang tertarik dengan bab ini berada dalam lingkungan awal 20-an, iaitu antara 20-25 tahun. Ya, inilah lingkungan umur di mana manusia akan mula memikirkan tentang pasangan hidup. Bagi aku, lingkungan umur ini sudah cukup untuk mematangkan kita untuk berfikir secara waras dan memilih jalan yang terbaik dalam menyusun perjalanan kehidupan masa hadapan. Inilah fitrahnya, dan kita kenalah meraikan fitrah kita ini.

Ingatlah sahabat, apabila anda merasakan inilah masa yang sesuai untuk anda mula memikirkan bab kahwin, maka carilah rujukan. Carilah mereka yang berpengalaman dalam isu ini. Mintalah pendapat dan pandangan mereka. Kalau anda malu untuk berbincang dengan ibu bapa, carilah teman-teman yang sudah berpengalaman. Buat persediaan. Jangan gopoh, jangan cuai. Isu kahwin bukannya isu kecil., pandanglah ia secara serius. Aku mengharapkan, perkongsian dan perbincangan mengenai bab nikah di blog dan FB tidaklah untuk suka-suka semata-mata. Ambillah manfaat daripadanya dan praktikkan dalam tindakan kita.

Pasca PRK Dun Galas!

Aku tidak mahu respon dan komen tentang kemenangan BN dan kekalahan PAS dalam PRK ini. Sudah banyak analisa yang dilontarkan oleh rakan-rakan bloger yang lebih memahami permasalahan politik ini. Menang kalah adalah adat pertandingan. Namun di sana, ada beberapa pengajaran penting yang boleh diambil ikhtibar oleh kita semua. Dan apa yang aku tertarik untuk bahaskan ialah sikap dan reaksi PAS terhadap kekalahan ini. Menerima dengan tangan terbuka dan menganggap ia sebahagian daripada ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada para pejuang Islam.

Inilah sikap yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat dan para pejuang Islam. Berjuang menegakkan Islam bukanlah semata-mata untuk mendapatkan kemenangan. Kemenangan itu hanyalah pemangkin dan hadiah duniawi bagi sebuah perjuangan. Adakalanya, kemenangan itu lebih buruk kesannya berbanding dengan kekalahan. Dan adakalanya, kekalahan itu lebih mengajar kita erti perjuangan yang sebenar dan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. 

Aku suka melihat respon-respon dan komen-komen yang diberikan oleh para pemimpin PAS terhadap kekalahan mereka itu. Respon yang begitu membina dan menyedarkan kita betapa kekalahan di dalam pertarungan dunia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan dan ditangisi. Sebaliknya ia perlu menjadi satu muhasabah yang akan mengajarkan kita untuk lebih teguh, mantap dan bersungguh-sungguh dalam perjuangan kita. Inilah ciri-ciri seorang pemimpin yang baik. Mampu menyejukkan dan mengembirakan hati-hati para pekerja dakwah dan para petugas Islam yang kecewa dan sedih dengan kekalahan parti Islam pada PRK tersebut.

Pengajaran daripada Kehidupan!

Setiap perkara yang berlaku ke atas diri kita, sama ada yang kita rancang atau tidak, kita suka atau tidak, ia mempunyai seribu makna dan pengajaran yang amat berguna kepada kita. Allah SWT tidak mengtakdirkan sesuatu yang berlaku ke atas kita sekadar untuk mencantikkan perjalanan hidup manusia tetapi lebih daripada itu adalah semoga manusia mengambil pedoman dan tauladan daripada apa yang berlaku ke atas diri mereka. Justeru, sentiasalah hisab dan hitung diri kita selalu. Banyakkan istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Semoga kehidupan kita di akhirat kelak adalah kehidupan yang damai dan mengembirakan diri kita.

Siri 'Ala Barakatillah!

No comments:

Post a Comment