"Tapi, apakah erti kasih sayang? Bolehkah tuan menerangkan?" tanya si anak dara.
"Boleh juga, tetapi tidak dengan kata-kata biasa" balas si teruna.
Lalu dinyanyikan satu lagu bagi menjawab persoalan tersebut...
Berkorban apa saja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.
Kepentingan sendiri,
Tidak diingini,
Bahagia kekasih,
Saja yang diharapi.
Berkorban apa saja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.
Untuk menjadi bukti,
Kasih yang sejati,
Itulah tandanya,
Jika mahu diuji.
Berkorban apa saja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.
"Jadi itulah erti kasih sayang." rumus si anak dara.
Inilah dialog ringkas antara Hang Tuah dengan Tun Teja dalam filem klasik 'Hang Tuah'. Lagu yang dinyanyikan oleh Hang Tuah bagi menerangkan makna kasih sayang seperti yang dipinta oleh Tun Teja sebenarnya telah memberikan satu gambaran yang menarik tentang pengorbanan.
Walaupun dialog dan lagu ini lebih kepada menerangkan hajat si anak dara untuk mengetahui makna kasih sayang antara dua insan yang 'bercinta', namun di sana ada pengajaran yang baik yang boleh diambil ikhtibar dan dihayati oleh kita semua.
Satu rumusan yang cukup mudah dan ringkas telah dijelaskan oleh Hang Tuah, kasih sayang ertinya berkorban. Pengorbanan sebagai tanda kasih dan sayang seseorang kepada seseorang yang lain ataupun kepada sesuatu.
Aku tidak mahu menjadikan kasih sayang sebagai subjek untuk diulas, tetapi aku lebih suka untuk berkongsi dengan anda semua tentang pengorbanan. Pengorbanan yang berasaskan kasih dan sayang. Inilah yang telah diajarkan oleh Allah SWT dalam kisah 'korban' antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Aku teringat cerita 'My Name Is Khan' yang baru aku lihat untuk tempoh yang sekian kalinya petang semalam. Diselitkan sedikit pengajaran tentang makna pengorbanan dari kisah di atas. Ketika Dr Faizan Rehman menyatakan makna pengorbanan dalam maksud yang salah, terus Rizwan Khan (lakonan Shah Rukh Khan) membantah kenyataan tersebut. Antara yang ditegaskan ialah:
"My mother also told me that, the moral of the story is... The way of God is, the way of love"
Ya, inilah yang perlu kita fahami dalam kisah pengorbanan antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Pengorbanan sebagai tanda kasih dan sayang. Nabi Ibrahim dengan patuh dan ta'atnya menerima arahan daripada Allah SWT atas dasar kasih dan cintanya kepada Allah SWT. Nabi Ismail sanggup untuk dikorbankan adalah kerana kasih dan sayangnya baginda kepada Allah SWT.
Untuk menjadi bukti,
Kasih yang sejati,
Itulah tandanya,
Jika mahu diuji.
Benar sekali rangkap lagu ini, berkorban sebagai bukti kasih dan cinta yang sejati. Pengorbanan adalah satu ujian daripada Allah SWT. Ujian untuk melihat sejauh mana kasih dan cintanya kita kepada Allah SWT. Dan inilah ujian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Mereka lulus ujian tersebut. Lalu dibalas oleh Allah SWT dengan satu ganjaran yang cukup besar dan amat bermakna kepada mereka.
Inilah yang kita mahukan dalam kehidupan kita. Pengorbanan. Tidak dapat tidak, hidup kita ini memerlukan pengorbanan. Banyak situasi yang memerlukan diri kita untuk mengorbankan kepentingan diri demi sesuatu yang lebih penting dan perlu dilakukan. Kadang-kadang kita perlu berkorban untuk keluarga, sahabat, dakwah dan sebagainya. Di sinilah memerlukan kita untuk betul-betul mujahadah dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.
Bukan mudah untuk kita berkorban. Bukan mudah untuk melakukan pengorbanan, apatah lagi jika ia merupakan sesuatu yang besar dan tidak memberikan pulangan kepada diri kita secara zahirnya. Hari ini ramai yang sanggup berkorban, tetapi hanya pada perkara atau hal yang difikirkan mampu memberikan pulangan kepada diri secara zahiri walaupun sedikit. Tetapi, malangnya, tidak ramai yang sanggup berkorban untuk kepentingan Islam, kepentingan dakwah islam dan yang berkaitan dengannya. Mereka akan berkira-kira dan berfikir panjang untuk hal sebegini.
Sempena Hari Raya Aidil Adha yang akan disambut dalam tempoh beberapa hari lagi, marilah sama-sama kita memuhasabah diri kita dan menilai diri kita, sejauh mana pengorbanan yang telah kita lakukan. Dan jika kita merasakan diri kita telah berkorban, hisablah semula adakah pengorbanan kita itu berlandaskan ajaran Islam ataupun tidak.
Semoga, kita terus yakin dan bersemangat untuk berkorban demi kepentingan Islam. Yakinlah, setiap yang kita korbankan secara ikhlas kepada Allah SWT akan dibalas dengan ganjaran yang tidak dapat kita bayangkan samaada di dunia mahukan di akhirat kelak.
Siru 'ala barakatillah! Salam Aidil Adha!
No comments:
Post a Comment