Detik Waktu

Wednesday, November 3, 2010

Bila Allah 'Berbicara' dengan kita!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam perpaduan dan salam ukhwah buat teman-teman dan sahabat sohabiah. Semoga kita semua sihat wal'afiat dan terus berada di bawah inayah Allah SWT sentiasa. Bagaimana iman kita pada saat ini?

Pagi ini, bila terbaca berita mengenai keadaan banjir yang semakin teruk di Kedah dan Perlis, perkara yang mula-mula terlintas difikiran aku ialah "nampaknya musim bah dah tiba". Dan aku tahu, banjir di negeri-negeri utara semenanjung akan merebak ke negeri-negeri di bahagian Pantai Timur semenanjung Malaysia. Alhamdulillah, di Kuantan, cuaca masih lagi baik. Namun di Kelantan, mengikut perkhabaran daripada beberapa orang sahabat, hujan lebat sudah mula turun di beberapa kawasan.

Bukan Sekadar Bencana Alam!

Ramai yang menganggap banjir adalah satu bencana alam. Dan itulah yang diajarkan kepada aku ketika berada di sekolah rendah dahulu (seingatnya). Banjir, gempa bumi, tanah runtuh, letusan gunung berapi, ribut kencang, angin puting beliung dan seumpama dengannya adalah antara beberapa contoh bencana alam yang biasa berlaku di seluruh dunia.

Pada tahun 2004, 26 Disember, dunia dikejutkan dengan kejadian Tsunami yang melanda Indonesia dan beberapa begara lain yang mengorbankan ratusan nyawa. Dan pada tahun ini, sekali lagi Indonesia dikejutkan dengan kejadian yang sama.

Beberapa tahun lepas, kejadian banjir buruk yang melanda beberapa buah negara seperti Pakistan, India dan China juga telah mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan harta benda yang banyak. Bukan setakat itu sahaja, rentetan daripada banjir yang melanda, berlaku penyebaran beberapa penyakit seperti taun dan sebagainya, memburukkan lagi keadaan.

Minggu lepas, peristiwa letupan Gunung Merapi di Indonesia yang telah mengeluarkan debu dan lahar yang begitu panas, telah menyebabkan kerugian yang besar kepada penduduk setempat. Letusan gunung berapi adalah sesuatu yang menjadi lumrah bagi beberapa tempat yang terletak dalam lingkaran gunung berapi.

Di Malaysia sendiri, walaupun bencana alam yang melanda tidaklah sehebat dan sebesar yang berlaku di tempat lain, namun kejadian puting beliung yang melanda negeri Perlis beberapa hari lepas sudah cukup untuk memberikan kesan kepada penduduk setempat. Pada bulan Ramadhan yang lalu, kejadian ribut kencang yang melanda bazar Ramadhan di Negeri Sembilan telah mengorbankan dua orang awam dan memusnahkan sama sekali bazar yang dibina.

Inilah antara beberapa contoh bencana alam yang melanda beberapa tempat dalam tempoh setahun dua ini. Dan biasanya, kita hanya akan melihat perkara ini dari sudut sains semata-mata, sekadar menganggap ia adalah lumrah alam. TIDAK! bukan sekadar itu yang perlu kita fikirkan. Bukan cukup sekadar itu untuk kita kaji dan hayati. Kita perlu melihat dari skop yang lebih luas dan konsep yang lebih mendalam.

Semua yang berlaku ini adalah di bawah kekuasaan Allah SWT. Ia adalah qada' dan qadar dari Allah SWT. Bumi tidak akan bergoncang tanpa kebenaran dan perintah daripada Allah SWT. Gunung tidak akan meletus dan mengeluarkan bahan bakar yang panas tanpa kebenaran Allah SWT. Angin tidak mampu untuk bergerak dengan laju dan berpusing ligat tanpa perintah daripada Allah SWT. Dan semuanya itu tidak akan berlaku tanpa kebenaran dan perintah daripada Allah SWT. Adakah Allah SWT jadikan semua itu sekadar untuk 'menghiasi' dan 'mencantikkan' perjalanan bumi ini semata-mata?

'Ibrah Dari Ummat Terdahulu!

Ambillah ikhtibar daripada sejarah ummat-ummat yang terdahulu. Adakah kita lupa akan peristiwa dan bencana besar yang pernah menimpa ummat yang terdahulu? Sedangkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW telah banyak kali mengingatkankita akan peristiwa-peristiwa ini melalui ayat-ayat suci Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW. Tidaklah cukup untuk setakat kita tahu akan sejarah itu sahaja tanpa mengambil sebarang ikhtibar daripadanya.

Bencana (hukuman) yang menimpa kaum nabi Nuh, kaum nabi Luth dan kaum nabi Hud adalah antara beberapa sirah yang mampu mengingatkan kita akan kebesaran Allah SWT. Jika hari ini kita mengatakan semua bencana alam yang berlaku itu kerana ketidakstabilan alam atau kerosakan yang melampau terhadap alam dek kerana perbuatan manusia, bencana yang menimpa ummat dan kaum terdahulu juga adalah kerana diri mereka sendiri. Namun ia tidak perlulah untuk dilihat dari perspektif yang berbeza, kerana kedua-duanya adalah hasil tangan manusia itu sendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" (Ar-Rum 41) 

Cumanya, pada hari ini, yang ditakrifkan dan difahami dari 'perbuatan manusia' adalah semata-mata perbuatan fizikal, seperti pembalakan haram, pencemaran alam dan sebagainya, tidak pada skop yang lebih luas. Itulah yang sering dan selalu dihujjahkan. Namun, jika dilihat pada bencana yang menimpa ummat terdahulu, 'perbuatan manusia' itu lebih menjurus kepada kesalahan yang berbentuk dosa dan melanggar hukum hakam Allah SWT. 

Sebagai contohnya, banjir besar yang melanda kaum nabi Nuh adalah disebabkan kekafiran dan kesalahan yang mereka lakukan kepada Allah serta tidak menerima dakwah nabi Nuh as. Begitu juga dengan kaum nabi Luth yang dilanda gempa bumi dahsyat serta ribut dan hujan batu dek kerana kekufuran mereka kepada ajaran Allah SWT. Padahal waktu itu, alam masih lagi lestari, tidak ada lagi pencemaran alam, pembalakan haram dan seumpama dengannya. 

Justeru, jika kita melihat maksud 'perbuatan manusia' merujuk kepada perbuatan fizikal semata-mata, maka ia amatlah salah sama sekali. Sepatutnya, dan lebih perlu lagi untuk kita melihat kepada perbuatan diri kita yang banyak melakukan dosa dan melanggar hukum hakam Allah SWT serta mengingkari ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebagai punca diturunkan bencana kepada kita.

Muhasabah dan Peringatan dari Allah

Lihatlah diri kita. Dalam kehidupan kita ini, sebenarnya banyak kali Allah SWT mengingatkan dan memehasabah diri kita. Cuma mungkin, kita yang tidak sedar atau merasai akan semua itu. Sakit adalah satu muhasabah dari Allah. Ia sebagai satu kafarah di atas dosa-dosa yang kita lakukan. Kadang-kadang, kegagalan kita untuk mendapatkan apa yang diimpikan dan diharapkan juga adalah satu muhasabah dari Allah SWT. Mungkin dalam usaha mendapatkan tujuan itu, kita kurang bergantung kepada Allah SWT, tetapi hanya yakin dengan kemampuan diri sendiri dan manusia semata-mata.
 
Bersyukurlah! Bersyukurlah dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Pengasih Allah SWT yang memuhasabah kita di dunia ini lagi. Kita masih lagi mempunyai masa untuk berubah. Apalah nasib kita jika kafarah atas dosa kita itu Allah SWT tangguh sehingga di akhirat. Kita bukan sahaja tidak akan menyedari kesalahan kita di dunia ini, malah tidak akan mendapat balasan yang lain dari neraka jika di akhirat kelak baru kita dikafarah oleh Allah SWT.

Bersyukurlah! Bersyukurlah dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah SWT kepada kita dengan menetapkan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Kita mengharapkan 'sesuatu', tetapi Allah SWT telah mentakdirkan kita dengan  'sesuatu' yang lebih baik untuk kita. Kita mungkin tidak sedar akan semua itu, tetapi percayalah Allah SWT kelak akan membukakan kita dan memperlihatkan kita dengan hakikat kebenaran yang sebenarnya. Jangan sedih dan kecewa jika kita gagal, kerana Allah SWT akan membekalkan kita dengan kejayaan yang lebih bermakna dan berharga. Yang penting usaha dan tawakkal.

"Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka aalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)" (Asy-Syuraa: 30)

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri" (Ar-Ra'd: 11)

Wahai sekalian manusia, janganlah kita mengundang bala Allah ke atas diri kita. Janganlah kita tunggu Allah SWT 'berbicara' dengan kita barulah kita nak muhasabah dan bertaubat. Sentiasalah hisab diri kita. Hayatilah sirah dan kisah-kisah ummat dan kaum terdahulu. Ambillah ikhtibar daripadanya. Menurut seorang ahli sejarah, katanya, "sejarah pasti akan berulang dengan sendiri kerana manusia tidak mengambil ikhtibar darinya". Janganlah kita menganggap bencana alam itu adalah kejadian alam semata-mata, lihatlah dari sudut yang lebih luas agar ia mampu mengingatkan kita akan kebesaran Allah dan menyedarkan kita akan kesalahan diri kita.

Siru 'Ala Barakatillah!

No comments:

Post a Comment