Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam ukhwah dan salam perjuangan untuk sahabat-sahabat sekalian.
Bagaimana iman kita pada hari ini? Renung seketika, muhasabah segera, Istighfar kepada-Nya.
Hujung minggu lepas telah berlansung satu program yang sangat menarik dan dipenuhi dengan imput-imput kerohanian dan fikrah yang baik dan berkesan untuk para pemuda dan pemudi Islam. Ijtima’ Tarbawai (Perhimpunan Tarbiyah), anjuran Dewan pemuda PAS Pusat yang dilansungkan selama 3 hari 2 malam di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, telah menghimpunkan lebih kurang 5 ribu golongan pemuda seluruh negara yang hadir untuk mendengar amanat-amanat dan pesanan-pesanan daripada para Murabbi (pendidik) yang dijemput untuk berkongsi maklumat dengan para peserta. Tahniah dan syabas kepada DPPP kerana memandang serius kepentingan tarbiyah dalam kehidupan seorang pemuda dan juga seorang dai’ pejuang Islam.
Aku tidak mahu bercerita panjang tentang program ini. Ia sekadar satu contoh program tarbiyah yang sewajarnya dianjurkan, bukan sahaja oleh DPPP, tetapi juga oleh entiti-entiti dakwah yang lain khususnya kepada generasi-generasi muda masa kini yang berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran zaman moden dan teknologi maklumat yang tanpa sempadan ini. Apa yang ingin aku kongsi di sini ialah tentang kepentingan tarbiyah Islam dalam membentuk generasi kepimpinan hakiki, terutamanya mereka yang akan memegang tampuk kepimpinan pada masa akan datang. Bukan sekadar kepimpinan negara, tetapi pada skop yang lebih luas lagi, termasuklah kepimpinan peringkat kampung, taman perumahan, universiti, organisasi-organisasi, NGO malah peringkat rumah sekalipun. Kenapa? Dalam usaha melahirkan negara yang aman, damai dan penuh keberkatan, kepimpinan yang baik bukan sekadar diperlukan di peringkat negara ataupun negeri, tetapi di semua peringkat yang lain seperti yang disebutkan di atas.
Menyelusuri Sejarah Tarbiyah
Tarbiyah Islam bermula sejak Allah SWT menjadikan Nabi Adam AS sebagai khalifah di muka bumi. Di dalam Al-Quran, diceritakan bagaimana Allah SWT mengajarkan Nabi Adam tentang nama-nama semua ciptaan Allah dan memerintahkannya untuk meyebutnya kepada para malaikat. Juga diceritakan bagaimana Allah SWT mendidik Nabi Adam dan Hawa supaya melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya. Kisah ini dapat kita fahahami dengan jelas apabila kita merujuk Surah Al-Baqarah, ayat ke-35, dimana Allah SWT memerintahkan Nabi Adam dan isterinya Hawa untuk tinggal di dalam syurga dan bebas menikmati segala makanan yang ada di dalamnya kecuali satu pokok iaitu pokok Al-Khuld. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Kami berfirman: "Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu surga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini 3, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim” (Al-Baqarah: 35)
Akibat terhasut dengan godaan syaitan, maka kedua-duanya melanggar perintah Allah SWT dengan memakan buah dari pokok larangan tersebut. Maka sebagai balasan dan terbiyah kepada Nabi Adam dan Hawa, Allah SWT telah mencampakkan mereka berdua ke bumi. Namun perlu difahami bahawa, Allah SWT bukan sekadar menghukum begitu sahaja, tetapi dengan sifat Maha Penyayang dan Maha Pengampun, diajarkan kepada Nabi Adam beberapa ucapan untuk memohon keampunan daripada AllahSWT akan kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan. Firman Allah SWT:
“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Rabb-nya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang” (Al-Baqarah: 37).
Sehinggalah sampai kepada kerasulan Nabi Muhammad SAW, pendidikan Islam begitu dititikberatkan, terutamanya dalam membentuk para pendakwah dan para pejuang Islam. Nabi Muhammad adalah contoh Murabbi yang terbaik kerana baginda ditarbiyah secara terus oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dalam satu hadis ketika ditanya oleh Saidina Ali tentang kefasihan bahasa baginda, yang bermaksud:
“Aku telah dididik oleh Tuhanku dengan sebaik-baik didikan!”
Inilah hakikatnya. Tarbiyah Islam adalah sesuatu yang datang dari Allah SWT yang di ajarkan kepada ummat manusia melalui para rasul yang diutuskan. Sehingga ke hari ini, tarbiyah Islam merupakan satu system pendidikan yang terus relevan dan memenuhi fitrah manusia itu sendiri.
Tarbiyah dan Kepimpinan
Tarbiyah Islam adalah untuk semua. Bukan sekadar untuk golongan pemimpin, tetapi ia juga untuk rakyat umum. Namun aku ingin fokuskan kepada proses pembentukan kepimpinan ataupun peranan tarbiyah Islam dalam melahirkan seorang pemimpin yang baik. Kenapa pemimpin? Pemimpin adalah ikutan masyarakat umum. Baiknya pemimpin, maka baiklah rakyatnya. Masyarakat bukan sekadar melihat pemimpin sebagai ketua, tetapi juga sebagai idola, contoh dan role model yang boleh dijadikan ikutan mereka. Sebab itulah pentingnya melahirkan pemimpin yang baik, dan terbiyah Islamlah method yang paling berkesan dalam mencapai sasaran tersebut.
Gambar Hiasan: Pemimpin adalah ikutan
Jika kita merujuk sejarah, banyak contoh-contoh yang menunjukkan pemimpin yang baik akan melahirkan rakyat yang baik dan seterusnya negara yang aman. Contoh yang paling jelas sekali ialah Nabi Muhammad SAW sendiri. Allah SWT telah mendidik Rasulullah SAW sejak beliau masih kecil lagi. Sirah banyak menceritakan bagaimana Allah mendidik Rasulullah dengan sifat-sifat terpuji dan juga membentuk ciri-ciri kepimpinan dalam diri Baginda. Sejak kecil Baginda diajar hidup berdikari dan rajin berusaha. Sifat kepimpinan Baginda SAW mula terserlah melalui peristiwa perbalahan antara suku-suku kaum Quraisy berkenaan siapa yang layak untuk meletakkan Hijr Ibrahim di tempat asalnya. Dengan kebijaksanaan dan kematangan sebagai bakal seorang pemimpin yang agung, Rasulullah telah mencadangkan satu penyelesaian yang baik, yang berjaya menggembirakan hati semua pihak. Akhirnya, telah terbukti, dengan didikan yang terbaik dari Allah SWT, Nabi Muhammad SAW telah dilantik menjadi rasul dan pemimpin bagi ummat akhir zaman.
Selain itu, sirah pembukaan kota Konstantinopal juga merupakan satu contoh yang baik dalam membuktikan bagaimana tarbiyah Islam yang baik dan betul membentuk seorang ketua yang berjaya memimpin bala tenteranya menawan dan membuka sebuah kota yang amat penting sekali bagi perkembangan Islam. Kota Konstantinopal telah dibuka oleh seorang pemimpin yang baik, yang mempunyai askar yang baik dan juga rakyat yang baik. Sultan Muhammad Al-Fateh telah dididik oleh ulama’ yang terkenal sejak kecil lagi dengan ilmu-ilmu agama. Beliau juga telah dididik dengan ilmu kepimpinan dan peperangan oleh bapa saudaranya, yang merupakan panglima tentera Islam pada masa itu. Akhirnya, setelah mengambil alih tampuk pemerintahan daripada ayahandanya, baginda mula menunjukkan satu contoh kepimpinan yang baik hasil didikan yang diperolehi dari para ulama’ dan juga tokoh ketenteraan yang terkenal. Natijahnya, Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya memimpin bala tenteranya untuk membuka Kota Konstantinopal sebagaimana hadis yang telah diceritakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:
Sultan Muhammad Al-Fateh memimpin tentera membuka Kota Konstantinopal
Inilah beberapa contoh kepimpinan yang berjaya, hasil daripada tarbiyah Islamiah yang baik dan tepat.
Asas Tarbiyah Islam
“Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah Kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan”(Al-Maidah: 35)
Inilah ayat teras yang menunjukkan asas tarbiyah Islamiyah. Asas kepada tarbiyah adalah aqidah yang jelas dan mantap. Jika kita merujuk kepada petikan buku “Tarbiyah Islamiyah wa Madrasah Hassan Al-Banna” dalam bab yang menjelaskan faktor kejayaan tarbiyah, faktor pertama yang diletakkan oleh Imam Hasan Al-Banna ialah keyakinan yang teguh terhadap tarbiyah Islam. Keyakinan ini hanya akan hadir hasil asas Aqidah kita yang mantap, dimana kita memahami dan meyakini bahawa tarbiyah adalah jalan yang terbaik dalam membentuk individu muslim untuk lebih dekat kepada Allah. Mendekatkan diri kepada Allah bukan sekadar bermaksud melakukan ibadah khusus semata-mata seperti solat, puasa dan sebagainya, tetapi ia sepatutnya dilihat dari aspek yang lebih luas. Melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya juga merupakan salah satu aspek mendekatkan diri kepada Allah. Justeru, membentuk diri menjadi seorang pemimpin yang baik dengan bercirikan sifat-sifat kepimpinan Islam adalah salah satu tuntutan dan perintah dari Allah.
Dalam ayat ini juga, Allah SWT telah menggariskan satu proses pembentukan kepimpinan yang baik, yang mengandungi 4 peringkat. Jika kita mengkaji konsep jihad secara mendalam, kepimpinan merupakan salah satu cabang jihad dalam Islam. Dalam ayat ini, jika kita meletakkan pengertian jihad dalam kontek jihad politik (kepimpinan), maka kita akan melihat satu proses yang tersusun dari Allah SWT dalam melahirkan satu kepimpinan yang berjaya dan menguntungkan semua pihak. Ianya bermula dengan asas keimanan (Aqidah, peringkat pertama), diikuti dengan usaha mendekatkan diri kepadaNya (Tarbiyah, peringkat kedua) dan seterusnya proses jihad (jihad politik/kepimpinan, peringkat ketiga) yang mana natijah akhirnya ialah kejayaan dan keberuntungan yang akan diperolehi dari Allah (peringkat keempat). Begitulah cantiknya proses kehidupan dan pentarbiyahan yang diperjelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dalam membentuk individu muslim yang baik seterusnya membentuk sebuah sistem kepimpinan dan pemerintahan yang baik.
Aspek Tarbiyah bagi Seorang Pemimpin
Sewajarnya, memandangkan kepimpinan adalah satu amanah yang besar, pemimpin perlulah dilengkapi dengan persiapan dan kelengkapan yang mencukupi agar mereka mampu memikul tanggungjawab kepimpinan dengan baik dan penuh amanah. Justeru, satu tarbiah atau didikan yang lengkap dari segenap aspek perlu diberikan dan dibekalkan kepada para pemimpin. Antara aspek-aspek tarbiah yang perlu ditekankan ialah:
1) Tarbiyah Ruhiyyah (Rohani)2) Tarbiyah ‘Aqliyyah (‘Aqal fikiran)
3) Tarbiyah Jasadiyyah (Fizikal tubuh badan)
4) Tarbiyah Fikriyyah (Fikrah kefahaman)
5) Tarbiyah Akhlaqiyyah (Keperibadian)
6) Tarbiyah Ijtima’iyyah (Berorganisasi)
7) Tarbiyah Siasiyyah (Politik)
Jika para pemimpin masa depan mampu dilengkapi dengan segala aspek yang disebutkan di atas, nescaya kepimpinan yang dibentuk mampu memeimpin masyarakat ke arah yang lebih baik dan cemerlang.
Tarbiyah Ruhiyyah
Kesimpulan
Walaupun dalam perbincangan ini aku lebih banyak meyentuh tentang pemimpin dan kepimpinan tanpa sedikitpun mengaitkannya dengan rakyat biasa, namun perlu diingatkan perkongsian ini sebenarnya perlu difikirkan dan diaplikasikan oleh setiap individu muslim. Bukan sekadar khusus kepada mereka yang memegang gelaran-gelaran sebagai pemimpin sahaja. Kenapa? Kerana setiap dari kita adalah pemimpin. Sesuai dengan hadis yang diterangkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan setiap seorang dari engkau semua itupun akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal
penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya." (Muttafaq 'alaih)
penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya." (Muttafaq 'alaih)
Aku sangat-sangat berharap agar kepimpinan masa depan tidak mewarisi aspek kepimpinan yang ada pada hari ini. Jika hari ini, kepimpinan dan pemimpin banyak dikaitkan dengan isu-isu negatif seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, zalim dan bermacam lagi sifat-sifat dan sikap-sikap mazmumah, maka aku berharap kepimpinan masa depan akan lebih bersih dan mampu menjadi contoh kepimpinan yang akan diwarisi untuk abad-abad yang seterusnya. Semua ini hanya mampu dicapai dengan tarbiyah Islam yang baik dan jelas berasaskan keyakinan Aqidah yang mantap kepada Allah. Dan sebagai seorang pemimpin, kita perlulah menyediakan diri kita untuk ditarbiyah dan bersedia menerima sebarang latihan dan didikan yang bakal diberikan kepada kita.
Akhirnya, semoga contoh kepimpinan yang dibawakan oleh Rasulullah SAW, para khulafa’ Ar-Rasyidin dan para ulama’ silam kembali dihidupkan dan dipraktikkan oleh pimimpin kini dan masa hadapan. Siru ‘Ala Barakatillah.
No comments:
Post a Comment