“Bila mahu kahwin? Sudah tahun akhir ni. Sesuai benar dah kalau nak cari pasangan hidup”.
“Kau dah “settle’ ke belum ni? Apalah susah sangat nak memilih. Jangan jual mahal sangat”.
“Ni ada beberapa nama. Kau pilih saja yang mana kau suka. Nanti aku boleh tolong approach”.
“Aku rasa dah sampai masanya aku kahwin ni. Semangat aku dengar ceramah ustaz tadi pasal kehidupan rumah tangga”.
“Kau tu dah tua. Dah nak masuk 26. Cepat-cepatlah kahwin. Dah layak pun. Kau pun dah macam ‘bapa orang’ ”.
Inilah antara ungkapan dan pandangan sahabat-sahabat apabila menyentuh soal rumah tangga atau dalam bahasa arabnya “Baitul Muslim” bilamana saja berbual-bual dan berbincang-bincang dengan aku. Mesti dan mungkin wajib menyentuh isu ini bila berbual-bual mengisi masa lapang ataupun bila berjumpa dengan sahabat-sahabat lama. Lebih-lebih lagi bila dah masuk tahun akhir pengajian. Lagi la rancak dibincangkan dan disebut-sebut. Aku pun, biasanya, layan saja.
Itulah hakikatnya. Fitrah manusia untuk hidup berpasang-pasangan. Dan ia juga satu fitrah untuk kita yang berada pada usia dalam lingkungan 22-27 tahun untuk mula memikirkan tentang pasangan hidup dan alam rumah tangga. Pada lingkungan umur inilah, ibubapa pun asyik bertanya tentang pasangan hidup. Boleh dikatakan setiap kali aku balik cuti ,mesti ayah aku akan tanya tentang hal ini. Maklumlah, umur dia sudah menjangkau tua, masih lagi tak ada menantu, apalagi cucu. Jadi sebagai anak sulung, harapan besar diberikan agar aku cepat-cepat kahwin. Sabar ayah, InsyaAllah masanya akan tiba.
Allah menjadikan semuanya berpasangan!
Allah SWT menjadikan setiap sesuatu yang ada di alam ini berpasang-pasangan. Sesuai dengan firmah Allah yang bermaksud:
“(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah As-Shura: 11)
Semua makhluk diciptakan berpasangan.
Sehinggakan Malam dan Siang pun berpasangan.
Dan inilah fitrah manusia, memerlukan pasangan hidup untuk tempat mencurah kasih sayang, tempat bermanja, tempat berbakti dan tempat berkongsi segala-galanya. Pasangan yang dinamakan “suami isteri” dan alamnya adalah “rumah tangga”. Firman Allah SWT:
"Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang.” (Ar-Rum 21)
Sahabat-sahabat, bukan mudah untuk kita ‘berhijrah’ dari marhalah individu muslim ke marhalah baitul muslim. Ya, tidak dapat dinafikan, baitul muslim adalah sunnah. Namun, ia bukanlah semudah yang disangka. Banyak persediaan yang perlu dilakukan dan banyak aspek yang perlu dipertimbangkan. Hal ini kerana, alam rumah tangga sama sekali berbeza dengan kehidupan kita sebagai individu. Berada di alam rumah tangga, amanah dan tanggungjawab kita semakin bertambah. Bukan sekadar untuk keluarga sendiri, malah untuk keluarga pasangan kita. Justeru, pentingnya kita bersedia dan memilih waktu yang sesuai untuk berumah tangga agar kita tidak terbeban dengan status suami atau isteri yang bakal kita pakai.
Status 'suami isteri' adalah satu amanah yang besar.
Mencari, bukan sekadar memilih!
Pasangan hidup tidak datang bergolek. Benar, Allah SWT telah menetapkan siapa pasangan kita. Tetapi usaha perlu dilakukan untuk kita menemuai pasangan hidup. Selain berdoa dan bertawakkal kepada Allah, usaha yang bersungguh-sungguh dan method yang betul juga perlu dilakukan dalam mencari memilih pasangan hidup.
Dalam hal ini, aku amat teliti sikit. Aku selalu ditegur oleh kawan-kawan yang menganggap aku ni terlalu memilih. Apa tidaknya, sudah banyak nama-nama muslimat yang dicadangkan, namun majoritinya aku menolak. Maaf kawan-kawan, aku bukanlah sekadar memilih atau terlalu memilih, tetapi aku mencari. Bagi aku, pasangan hidup bukanlah sesuatu yang boleh kita pilih begitu sahaja, tanpa kita melihat kondisi diri sendiri dan juga tanpa mengenal sebaik-baiknya pasangan tersebut. Bagi aku, ini bukanlah terlalu memilh (atau dalam istilah Kelantan ‘mmilh’), tetapi lebih kepada mencari yang paling sesuai dengan diri.
Sebab itulah dalam Islam, konsep Ta’aruf amat penting untuk dilakukan sebelum mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak untuk ditunangkan ataupun diikat. Semasa proses Ta’aruf inilah, kita berpeluang untuk mengenali dan mengetahui secara terperinci latar belakang individu yang menjadi calon pasangan hidup kita. Mencari dan memilih pasangan yang mampu memenuhi kekurangan diri kita dan kita mampu menampung kekurangan diri pasangan kita adalah permualaan kepada rumah tangga yang bahagia dan berkekalan. Inilah tanggungjawab suami isteri, saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain.
Melengkapi bukan sekadar serasi!
Biasanya, ramai yang akan memilih pasangan yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan diri sendiri ataupun yang serasi. Dan inilah yang dipertontonkan kepada masyarakat di kaca televisyen melalui drama-drama dan filem-filem. Satu pasangan yang bertemu jodoh kerana minat yang sama terhadap makanan, fesyen, pekerjaan ataupun kerana gaya hidup atau peribadi yang sama. Ya, ia bukanlah sesuatu yang salah. Tetapi adakah sekadar cukup untuk itu. Tidak untuk aku. Minat yang sama hanyalah satu keserasian, tetapi ia bukanlah sesuatu yang bersifat melengkapi. Ia sekadar satu persamaan yang mengurangkan bebanan alam rumah tangga, bukan satu kelengkapan yang mampu menampung kelompongan pasangan masing-masing.
Suami dan isteri perlu saling lengkap melengkapi.
Melengkapi di sini bukanlah bersifat fizikal atau material semata-mata, tetapi ia lebih kepada menampung kekurangan dan kelemahan sifat-sifat diri dan sikap perlakuan pasangan. Sebagai contohnya, kita sebagai seorang yang bertangguh, sewajarnya memerlukan pasangan yang mampu untuk menasihati dan mendesak diri kita secara baik. Bukan sekadar “dengar, tengok dan patuh’ sahaja, kerana menganggap isteri kena taat kepada suami. Contoh lain, jika kita seorang yang panas baran, kita memerlukan pasangan yang mampu ‘menyejukkan’, bukan yang menambah hangat atau kepanasan. Itulah yang aku maksudkan dengan melengkapi.
Dan bukanlah maksud aku untuk kita mencari pasangan yang mampu melengkapi dan menampung semua kelemahan sifat kita baru kita memutuskan untuk menjadikan dia suami atau isteri kita, kerana itu adalah sesuatu yang mustahi. Cukup sekadar melengkapi dan menampung kelemahan atau kekurangan yang paling ketara atau dominan dalam diri kita. Hal ini kerana, kelemahan dominan inilah yang membawa kepada kekurangan dan kelemahan sifat diri yang lain.
Hakikatnya, hari ini ramai yang memilih pasangan hidup dengan berpandukan keserasian fizikal, luaran mahupun material semata-mata. Mereka lupa dengan aspek keserasian rohani, jiwa, sikap ataupun sifat diri sendiri. Aspek-aspek inilah yang paling utama untuk dilengkapi oleh pasangan masing-masing. Sekali lagi aku tegaskan, melengkapi bukan sekadar serasi.
Kesimpulannya...asas utama ialah Agama!
Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Nabi Saw. bersabda: "Perempuan itu dinikahi karena empat hal, yaitu: harta, keturunan, kecantikan, dan agamanya. Dapatkanlah wanita yang taat beragama, engkau akan berbahagia." (Muttafaq Alaihi dan Imam Lima. Kitab Hadits Bulughul Maram Min Adillatil Ahkam)
Inilah panduan asas yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW kepada ummatnya dalam memilih pasangan hidup. Dan inilah reality pada hari ini. Berapa ramai pasangan yang berkahwin kerana harta yang banyak, yang dianggap mampu diambil manfaat ke atasnya. Berapa ramai pasangan yang berkahwin kerana keturunan yang baik, yang dianggap mampu melahirkan generasi-generasi pewaris atau anak cucu yang baik-baik kelak. Berapa ramai yang berkahwin atas faktor ketampanan si lelaki mahupun kecantikan si perempuan yang dianggap menjadi satu kebanggaan ataupun kelebihan. Akan tetapi, mereka yang mangambil kira faktor agama dalam memilih pasangan adalah terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan faktor-faktor yang lain.
Inilah silapnya masyarakat kita. Kita tidak mengambil pandangan atau panduan dari Rasulullah mahupun alim ulama’ dalam menentukan pasangan hidup. Hanya keseronokan nafsu dan kesempurnaan fizikal yang menjadi pilihan kita. Inilah yang membawa kepada berlakunya banyak kes penceraian di negara kita. Agama ditinggalkan, nafsu yang menjadi rujukan. InsyaAllah, jika agama menjadi rujukan utama ataupun panduan utama dalam urusan rumah tangga termasuk urusan mencari jodoh, baitul muslim yang dibina akan berkekalan dan mampu membantu dalam pembentukan mujtama’ (masyarakat) muslim yang baik kelak.
Akhirnya, pada pendapat aku, dalam urusan hendak mendirikan rumah tangga, kita janganlah terlalu agresif (cepat) dan terlalu pasif (lambat). Buatlah perancangan yang baik, fikirkan masa yang sesuai dan lakukan persediaan yang sempurna agar hijrah kita dari fardi muslim kepada baitul muslim menjamin kesejahteraan hidup dan mampu memberikan sumbangan yang besar untuk Islam.
Bersediakah anda untuk berumah tangga?
No comments:
Post a Comment