Assalamu'alaikum...
Salam ukhwah buat sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku sekalian.
Pagi yang indah di Kuantan. Tiba-tiba teringat kenangan silam ketika menuntut di peringkat sekolah menengah. Sekolah lama, SMU (A) Ma'ahad Muhammadi Lelaki, 6 tahun mengabdikan diri di sana. Satu kenangan yang amat indah. Banyak pengalaman yang aku peroleh.
Bumi MML yang penuh keberkatan.
Di situlah aku mula mengenali bahasa Arab. Belajar ilmu-ilmu agama dalam bahasa Arab adalah satu pengalaman baru. Agak sukar pada mulanya, tetapi Alhamdulillah, menjadi satu keseronokan bilamana ia menjadi satu kebiasaan. Belajar bahasa Arab dan memahami maksud-maksud perkataan membuatkan aku seronok untuk membaca Al-Quran. Apa tidaknya, bukan sekadar dapat membaca Al-Quran dengan baik, tetapi sekurang-kurangnya memahami beberapa bahagian daripada ayat-ayatnya. Itulah kelebihan apabila kita memahami bahasa Arab.
Banyak ilmu-ilmu agama yang aku peroleh di sana. Selain ilmu tatabahasa bahasa Arab, ilmu agama seperti ilmu Tauhid, Fiqh, Sirah, Hadis, Balaghah, Akhlak dan banyak lagi telah aku perolehi sepanjang belajar di MML Terima kasih kepada semua ustaz, ustazah dan guru-guru yang telah sudi mencurahkan ilmu kepada aku semasa di MML dulu. Jasa anda semua tidak dapat aku balas.
Hari ini aku merasakan satu kerugian besar apabila terpaksa meninggalkan taman ilmu MML. Satu kerugian besar terpaksa meninggalkan pengajian ilmu-ilmu agama di sana. Malah satu kerugian besar terpaksa meninggalkan pembelajaran bahasa Arab yang begitu mengujakan sekali. Kini keadaannya berbeza. Aku kini dalam bidang sains dan teknologi. Namun, ini tidak akan menghalang aku untuk terus istiqamah dengan pencarian ilmu agama dan terus meminati bahasa Arab. Terima kasih MML kerana menjadi pendorong dan peransang kepada aku untuk meminati ilmu agama.
Merindui suasana dan kenangan di MML. (Thobur!)
MML dalam kenangan. Jika suatu hari aku diberikan pilihan untuk kembali ke mana-mana tempat yang pernah aku bermastautin atau berada di sana, hanya MML lah yang akan menjadi pilihan aku. Semoga bumimu terus mencurahkan ilmu dan mendidik anak-anak Islam mengenal hakikat diri dan kehidupan. Ya Allah, jadikanlah bumi MML bumi yang penuh keberkatan, bumi yang melahirkan ramai ilmuan dan cendekiawan Islam dan bumi membentuk para pejuang dan pendakwah-pendakwah Islam yang akan terus menyebarkan dan mempertahankan Islam sehingga ke hari akhirat. Amin!
MML dalam kenangan!
No comments:
Post a Comment