Detik Waktu

Monday, October 8, 2012

AKU TIDAK PANDAI BERCINTA!



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW, Penghulu Sekalian Alam, Utusan Untuk Ummat Akhir Zaman.

Cinta Itu Fitrah!

Saat Allah SWT menciptakan Nabi Adam A.S, Allah SWT telah mentaqdirkan wujud di dalam dirinya beberapa fitrah, yang menghiasai hidup seorang manusia. Antara fitrah seorang manusia ialah mempunyai perasaan cinta, kasih atau sayang dan ingin dicintai, dikasihi dan disayangi. Sebab itulah, Allah SWT telah menciptakan untuk Nabi Adam A.S seorang pasangan hidup yang bernama Hawa, bagi mengajarkan Nabi Adam A.S  dan manusia apa itu erti CINTA.

Hari ini semua manusia BERCINTA. Namun, CINTA mereka dalam pelbagai versi dan sudut. Dan hari ini banyak istilah mahupun ungkapan yang disebut, yang berkaitan dengan cinta. Antaranya, cinta monyet, cinta itu buta dan seumpama dengannya. Ini membuktikan bahawa cinta itu adalah FITRAH seorang manusia, dan manusia yang cuba menafikan perasaan cinta itu adalah mereka yang cuba mengingkari sesuatu ciptaan Allah SWT.

Cinta Tidak Sesekali Buta!

Ado orang kata dan berhujjah, “CINTA itu BUTA”, terutamanya dalam menggambarkan keadaan manusia yang bercinta sehingga lupa dan tidak terlihat akan perkara dan urusan lain. Namun, secara dasarnya, kenyataan ini adalah tidak tepat dan benar. Cinta itu sesekali tidak buta. Cinta itu adalah perasaan fitrah ciptaan Allah SWT. Cinta itu adalah suci dan murni, dan letaknya cinta itu adalah di HATI. Sedangkan hati itu adalah raja bagi seluruh anggota badan.

Walhal, cinta itu adalah hak Allah SWT, dan sifat Nabi Muhammad SAW. Mana mungkin hak Allah SWT disifatkan dengan sesuatu yang negative seperti buta. Ingatlah, cinta itu adalah penyuluh. Seseorang yang dicintai Allah SWT, pasti disuluh dan diterangi hidupnya dengan hidayah Allah SWT. Seseorang yang dicintai oleh Rasulullah SAW pasti disuluhi hidupnya dengan syafaat Rasulullah SAW. Bahkan seseorang yang mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW pasti hidupnya tidak buta.

Begitu juga, cinta seorang manusia kepada seorang manusia pasti menghasilkan satu hubungan yang baik dan erat. Cinta seorang anak kepada ibubapa, cinta seorang ayah/ibu kepada si anak, cinta seorang suami kepada si isteri, cinta seorang bos/pemimpin kepada rakyat, cinta seorang guru kepada pelajar dan cinta seorang saudara muslim kepada saudarnya yang lain pasti akan menjadikan kehidupan ini aman, damai dan tenteram.

Lalu, bilamana manusia terlalu asyik kepada seorang manusia, atau seorang manusia terlalu asyik dengan sesuatu yang diminati, sehingga membutakan dia daripada memberi fokus kepada benda dan urusan lain, maka adakah itu dikatakan sebagai CINTA ITU BUTA? TIDAK, bahkan manusia itu sebenarnya jauh sekali daripada mempunyai rasa cinta ataupun boleh dikatakan sebagai sedang BERCINTA. Dan yang buta itu bukannya cinta, tetapi manusia itu sendiri, kerana tidak mampu memahami apa itu cinta yang sebenarnya.

Allah SWT Raja Cinta, Rasulullah SAW Model Cinta

Cinta itu adalah perasaan ciptaan Allah SWT, yang dikurniakan kepada setiap manusia. Cinta itu juga adalah hak Allah SWT. Dijelaskan di dalam Al-Quran, bagaimana Allah SWT mencintai dan menyukai beberapa golongan manusia. Sebagai contohnya, di dalam surah Al-Baqarah dan Ali Imran:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“Sesungguhnya Allah SWT mengasihi (mencintai) orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang suka mensucikan diri” (Al-Baqrah: 222)

وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

“Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang sabar” (Ali Imran: 146)

Allah SWT adalah sebenar-benar Raja Cinta. Sesungguhnya cinta dan kasih Allah SWT kepada hamba-Nya tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun. Betapa kasih dan cintanya Allah SWT kepada manusia, sehinggakan dikurniakan kepada manusia pelbagai nikmat dan kemudahan, walaupun ramai dikalangan manusia yang ingkar dan tidak beriman kepada Allah SWT.

Allah SWT adalah Raja Cinta, yang mana cinta utama seorang manusia itu adalah cinta kepada Allah SWT. Mencintai Allah SWT bermaksud cinta dan patuh kepada segala suruhan Allah SWT, cinta kepada Rasul utusan Allah SWT. Sedangkan di dalam Al-Quran, Allah SWT telah memberi peringatan dan amaran keras kepada manusia yang lebih mencintai sesuatu yang lain melebihi cintanya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:


قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)" (At-Taubah: 24)

Selain itu, model cinta yang terbaik adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada manusia apa itu erti cinta yang sebenar. Cinta Rasulullah SAW kepada Allah SWT tidak dapat digambarkan oleh seorang manusia biasa. Bahkan cinta Rasulullah SAW kepada ummatnya begitu hebat dan mulia sekali. Lihatlah sendiri kisah saat Rasulullah SAW berdepan dengan saat kematian, Rasulullah SAW masih sempat mengingati dan menyebut, ‘Umatku, Umatku, Umatku’. Inilah bukti cinta sejati seorang rasul dan seorang pemimpin kepada ummatnya, sehinggakan banyak keadaan Rasulullah SAW melayani semua manusia dengan penuh kasih dan cinta.

Cinta Para Sahabat

Hasil didikan dan tarbiyah Rasulullah SAW, para sahabat adalah antara golongan yang benar-benar memahami dan mendalami apa itu erti cinta. Cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW tiada tolak bandingnya. Mereka sanggup menggadaikan nyawa mereka, meninggalkan kesenangan dan kemewahan harta benda mereka, meninggalkan keseronokan bersama-sama keluarga dan kaum kerabat, semata-mata untuk membuktikan rasa cinta dan kasih mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Bahkan, mereka juga saling mencintai antara satu sama lain dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Lihatlah sahaja bagaimana kisah beberapa orang sahabat yang wafat selepas peperangan, kerana mengutamakan sahabat yang lain ketika mana masing-masing sangat memerlukan air kerana dahaga yang amat sangat. Lihatlah juga kisah-kisah yang berlaku sepanjang Proses Hijrah, banyak sekali bukti-bukti cinta dan kasih seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain.

Inilah keberjayaan Tarbiyah Rasulullah SAW. Inilah yang patut kita contohi dan teladani. Ya, memang sukar untuk mencapai tahap cinta sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat, namun mujahadah untuk melakukan yang terbaik itu perlu sentiasa diteruskan. Kerana, cinta inilah yang bakal membawa kebahagian kepada kita semua di dunia dan akhirat.

Aku GAGAL Dalam Cinta!

Hari ini, kita banyak menyatakan Aku Cinta Kepada Allah, Aku Cinta Kepada Rasul, Aku juga Cinta kepada Ibubapa dan saudara-saudara yang lain. Sedar atau tidak, cinta itu bukan sekadar ungkapan manis di bibir, tetapi apa yang lebih penting ia perlu dibuktikan dengan kejujuran tindakan kita. Kita kata aku sayang dan cinta Allah SWT, namun banyak masa kita mengingkari perintah Allah SWT dan tidak mengingati akan Allah SWT.

Kita kata, aku sayang Rasulullah SAW, namun kita tidak mahu untuk mengikuti sunnah Baginda SAW. Bahkan ada di antara kita yang sanggup mempersendakan dan mempermainkan sunnah Rasulullah SAW. Kita kata aku cinta Ibubapaku, namun kita selalu lupa untuk mendoakan mereka, kita selalu mengguris hati mereka dan kita selalu mengabaikan mereka. Kita kata aku cinta kepada sahabatku, namun banyak keadaan kita mengutamakan diri kita berbanding mereka, kita dengki dengan mereka bahkan kita menyakiti diri mereka.

Adakah ini yang dikatakan cinta? Siapa yang tidak mampu untuk menyatakan aku cinta, aku sayang, aku kasih. Namun, berapa ramai yang mampu membuktikan dengan tindakan dan perbuatan. Hakikatnya, kita GAGAL dalam bercinta, Aku GAGAL dalam bercinta.

Pun begitu, ingatlah bahawa cinta Allah SWT mengatasi segala kesalahan dan kekhilafan kita. Kerana cintalah Allah SWT menyediakan ruang dan peluang untuk kita kembali menyemai dan mencari cinta yang sejati dan hakiki. TAUBAT. Inilah jalan yang Allah SWT bukakan kepada kita untuk kita menginsafi segala kesalahan kita dalam bercinta. Cubalah dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan kelak, AKU BERJAYA DALAM CINTA.

Memburu Cinta Hakiki

Raihan pernah ungkapkan di dalam nasyid mereka, Cinta Hakiki

Cinta kan Allah cinta sebenarnya
Itulah cinta yang sejati
Kasihlah sesama manusia
Kerna cinta yang hakiki
Hanya untuk Tuhan yang Esa

Burulah cinta hakiki ini, kerana hanya dengan cinta inilah, kita akan mendapat ketenangan dan kedamaian di dunia dan diakhirat. Selamat BERCINTA buat kalian semua. Semoga CINTA ALLAH SWT bersama kita semua.

(Dengarlah, sajak Mencari Cinta dari Juara Pertandingan Deklamasi Sajak Alam Ria PASTI Malaysia 2012)

INSAN RABBANI,
22 Zulkaedah 1433H, 10.30am

1 comment: