Alhamdulillah, minggu lepas akhirnya aku berjaya mengkhatamkan buku terbaru tulisan Saudara Ann Wan Seng ini setelah mendapatkannya lebih kurang sebulan yang lalu. Masa lapang yang ada sepanjang seminggu berada di kampung halaman memberikan aku ruang untuk menghabiskan pembacaan buku ini. Ini adalah satu buku yang baik, yang mampu memberikan penjelasan yang berguna kepada orang Islam dan juga orang Cina tentang hakikat yang wujud, namun tersembunyi, yang sebenarnya dihijab oleh prasangka, sentimen mahupun persipsi yang kurang tepat lagi mengelirukan yang berkembangan dalam masyarakat Malaysia hari ini.
Buku yang bertajuk ‘Biar Cina Pimpin Islam’ ini tersangatlah sesuai dan berguna untuk dibaca dan dibahaskan oleh orang Muslim mahupun Cina, kerana ia memaparkan satu realiti yang kadang-kadang sengaja diketepikan dan dipandang sepi dek kerana sentimen bangsa yang lebih dimainkan oleh masyarakat pada hari ini. Secara keseluruhannya, buku ini sudah cukup untuk menjelaskan dan menjawab pelbagai persoalan dan tanggapan salah yang tumbuh mekar di dalam pemikiran orang Islam terutamanya Melayu Muslim dan juga orang Cina tentang pelbagai perkara yang berkaitan dengan Islam dan bangsa.
Ya, Islam itu adalah agama yang syumul, agama untuk semua ummat manusia. Islam itu bukan untuk orang Arab semata-mata, tetapi Islam itu adalah agama untuk Ummat akhir zaman. Dalam reality masyarakat Malaysia pada hari ini, yang majoritinya adalah orang Melayu yang beragama Islam, ramai yang menganggap bahawa Islam itu adalah agama khusus untuk orang Melayu. Sebab itulah wujudnya satu pandangan atau persepsi yang menyatakan bahawa masuk Islam adalah sama seperti masuk Melayu. Inilah salah satu daripada pandangan yang salah, yang menyebabkan ramai non-Muslim terutamanya orang Cina untuk mendekati Islam, apatah lagi untuk menganut Agama Islam. Inilah salah satu bab yang telah dikongsikan oleh penulis dalam buku ini.
Selain itu, penulis juga menekankan tentang perlunya dakwah yang jitu dan bersisitematik dijalankan bagi menyedarkan orang bukan Islam tentang betapa benarnya Agama Islam ini. Dalam buku ini penulis banyak kali menegaskan tentang peri pentingnya dakwah dijalankan kepada non-Muslim kerana Islam ini sendiri adlah agama dakwah dan ia perlu disampaikan kepada setiap manusia yang ada di dalam dunia ini. Dalam bab pertama buku ini, penulis telah memulakan bicara buku ini dengan tajuk ‘Jangan jauhi non-Muslim’ yang bertujuan untuk menjelaskan dan menginagtkan kepada ummat Islam bahawa non-Muslim itu perlu didekati dengan dakwah dan penerangan, agar mereka mendapat maklumat dan informasi yang sejelasnya dan sebetulnya tentang Islam.
Dalam buku ini juga, apabila menceritakan tentang peri pentingnya dakwah, penulis ada menyentuh mengenai sikap dan tingkah laku orang Muslim yang telah menyumbang kepada merosotnya kesan dakwah terhadap non-Muslim. Hari ini, non-Muslim hanya mengenali Islam dan mendapat gambaran tentang Islam melalui sikap dan perangai orang Islam. Contohnya, di Malaysia, non-Muslim terutamanya orang Cina, tidak tertarik dengan Islam kerana mereka melihat perangai dan sikap orang Islam yang teruk dan rosak, yang pada mereka tidak mampu untuk agama Islam ini membimbing mereka ke kehidupan yang aman dan tenang. Inilah antara persepsi dan pandangan yang perlu dibetulkan dan diperjelaskan, agar dakwah Islam itu sampai dan mampu diterima oleh masyarakat non-Muslim pada hari ini.
Secara keseluruhannya, penulis banyak menekankan tentang hakikat sebenar orang Cina dari segi kehidupan beragama, pandangan, idealisma, dan segala macam perkara yang berkaitan dengan mereka. Aku memahami bahawa penulis cuba menjelaskan bahawa orang Cina mempunyai potensi yang besar untuk DIISLAMKAN kerana keterbukaan mereka dalam menerima pandangan dan fahaman dalam kehidupan mereka. Cuma, mereka ini perlu dijelaskan dan dipertemukan dengan ajaran Islam yang sebenarnya, bukan sekadar membiarkan mereka menilai Islam semata-mata melalui pandangan mereka terhadap orang Melayu Muslim, yang sudah jauh terpesong dari ajaran Islam itu sendiri. Potensi besar orang Cina untuk diIslamkan akan memberikan banyak impak dan kesan kepada perkembangan Islam itu sendiri, dalam suasana orang Melayu Islam yang seakan-akan sudah tidak berminat untuk memperjuangkan Islam.
Aku ingin menyarankan agar setiap penggerak dakwah untuk membaca dan memahami segala pandangan dan fakta yang dibawakan oleh penulis dalam buku ini. InsyaAllah, dengan memahami realiti dan keadaan sebenar orang Cina, akan membantu usaha mengIslamkan orang Cina dan juga non-Muslim yang lain. Mungkin sebelum ini kita mempunyai pandangan yang tertentu terhadap orang Cina, namun aku yakin selepas anda membaca buku ini, pandangan anda mungkin akan berubah kerana apa yang anda fikirkan dan nilai sebelum ini mungkin salah dan tidak tepat. Kadang-kadang, persepsi dan pandangan yang salah inilah yang membantutkan usaha mempersatukan ummat manusia di bawah sinar Islam dan seterusnya membawa kepada perpecahan dan perbalahan yang berpanjangan.
Tidak mustahil, suatu hari nanti Islam akan bangkit dengan kemasukan ramai orang Cina ke dalam agama Islam dan seterusnya menguatkan soladariti ummat Islam, terutamanya di Malaysia. Dengan penggabungan dan kesinambungan tenaga Ummat Islam kini dan Cina Muslim mampu menaikkan kembali martabat Islam yang hari ini dipandang sepi oleh ramai manusia.
Tidak mustahil, suatu hari nanti Islam akan bangkit dengan kemasukan ramai orang Cina ke dalam agama Islam dan seterusnya menguatkan soladariti ummat Islam, terutamanya di Malaysia. Dengan penggabungan dan kesinambungan tenaga Ummat Islam kini dan Cina Muslim mampu menaikkan kembali martabat Islam yang hari ini dipandang sepi oleh ramai manusia.
No comments:
Post a Comment