Detik Waktu

Sunday, February 20, 2011

AKU DI JALAN DAKWAH.



بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah SWT, Pemilik sekalian alam, termasuklah tubuh yang penuh hina dan kerdil ini. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar, Rasulullah SAW, pemimpin sekalian alam, aku begitu merindui dan menyayangimu.

Sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah firman Allah s.w.t. dan sebaik-sebaik hidayah ialah hidayah Muhammad s.a.w.. Sejahat-jahat perkara ialah perkara yang direka-reka di dalam agama dan setiap rekaan adalah bid'ah dan tiap-tiap bid'ah adalah kesesatan dan tiap-tiap kesesatan tempatnya di dalam neraka.

Pertamanya, tujuan aku menulis entri ini adalah semata-mata untuk meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT, rasa rindu kepada Baginda Rasulullah SAW dan rasa bangga serta gembiranya aku berada di dalam jalan yang mulia ini.

Setelah sekian lamanya aku berada pada jalan ini, aku merasakan perlu untuk aku berkongsi dengan anda semua akan hakikat dan kemanisan berada di jalan ini. Semoga dengan perkongsian ini, ramai akan sedar dan yakin bahawa inilah jalan yang perlu ditempuhi oleh setiap individu Muslim lagi Mukmin dan semoga para Pendakwah yang telah menginfaqkan diri mereka ke jalan ini kembali bersemangat dan sedar untuk bekerja bersungguh-sungguh di jalan ini.

INILAH JALAN DAKWAH

Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan persatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini.

(Al-Ustaz Mustafa Masyhur, dalam Kitab Fi Tariq Ad-Dakwah)

SEBUAH PERTEMUAN

Segala sesuatu yang berlaku dalam hidup kita adalah hasil dari perancangan dan ketetapan Allah SWT. Begitulah juga kisah pertemuan dan perkenalan aku dengan jalan ini. Semuanya bermula ketika aku menuntut di sebuah Pusat Matrikulasi. Alhamdulillah, Allah SWT telah menghantar seorang hamba Allah, yang aku tidaklah begitu kenal, untuk memimpin dan membawa aku melayari perjalanan jalan ini.

Hamba Allah tersebut adalah senior sekolah menengah aku dahulu. Beliaulah yang mula-mula memperkenalkan aku dengan jalan ini. Dengan bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas, beliau mengajarkan dan menjelaskan kepada aku akan hakikat jalan ini. Di situlah aku mula memahami, menyintai dan mendampingi jalan ini. Di situlah aku dididik dan ditarbiyah agar aku bersedia sepenuhnya untuk berada di jalan ini.

Hakikatnya, aku sebenarnya telah diajarkan dan diperkenalkan dengan jalan ini lebih awal, namun hanya aku yang tidak sedar. Aku masih ingat ketika aku berada di sekolah menengah dahulu, antara matapelajaran yang aku ambil adalah Sirah. Subjek yang menjelaskan tentang sirah Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan Islam kepada seluruh ummat manusia. Dan salah satu tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW adalah berdakwah.

Ya, aku telah dipetemukan lebih awal dengan jalan ini. Namun, mungkin kerana ianya hanyalah salah satu item dalam subjek Sirah dan hanyalah teori atau fakta semata-mata tanpa adanya proses praktikal, maka aku tidak betul-betul memahami dan sedar akan keperluan untuk aku berada di jalan ini lebih awal. Ramai sahabat-sahabat aku di sekolah menengah yang sebenarnya telah melibatkan diri dengan jalan dakwah ketika di peringkat sekolah lagi dan Alhamdulillah, hari ini mereka masih lagi kekal utuh bersama jalan ini.

Inilah hidayah Allah SWT. Aku hanya ditakdirkan untuk berkenalan dengan jalan ini semasa di Pusat Matrikulasi, bukan semasa di sekolah menengah lagi. Namun, syukur kepada Allah SWT, kerana telah memilih aku untuk berada di jalan ini, ketika mana ramai lagi manusia yang masih tidak sedar akan kewajipan mereka untuk berada di jalan ini.

PERSEDIAAN DAN PENTARBIYAHAN

Ilmu adalah begitu penting sekali bagi setiap manusia. Bagitu juga bagi seorang pendakwah. Persediaan adalah ilmu bagi seorang pendakwah. Seorang pendakwah perlulah bersedia dari segenap sudut, fiikalnya, rohaninya, pengetahuannya, ilmunya dan sebagainya. Dan dalam persediaan ini, jalan yang terbaiknya adalah melalui pentarbiyahan. Inilah method yang telah diaplikasikan oleh RAsulullah SAW dalam mempersediakan para sahabat Baginda untuk menjadi seorang pendakwah. Jalan inilah juga yang aku lalui.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan” (Al-Maidah: 35)

Dengan bantuan beberapa orang individu, aku diajarkan bagaimana untuk menjadi seorang pendakwah yang baik. Aku dipersediakan dari segenap sudut. Aku diajarkan tentang hakikat jalan ini. Dan mulalah aku sedar, bahawa jalan ini bukannya mudah. Jalan ini tidaklah dapat ditempuhi tanpa keazaman yang tinggi. Mulalah aku sedar, betapa susahnya Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda berjuang untuk menyebarkan Islam ini.

Keyakinan aku untuk berada dan mengikat diri dengan jalan ini semakin utuh. Bangganya aku untuk berada pada jalan yang pernah ditempuhi Rasulullah SAW, dan gembiranya aku untuk meneruskan mata rantai dakwah yang telah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Aku juga semakin yakin bahawa jalan ini mampu ditempuhi dengan jayanya jika aku sanggup untuk ditarbiyah dan mentarbiyah. Keyakinan inilah yang telah membantu aku untuk terus berada pada jalan ini dan mencintai jalan ini.

CABARAN DAN DUGAAN

Lumrah sebuah perjuangan, tidak akan sempurna sebuah perjuangan itu tanpa diwarnai dengan ujian dan cubaan daripada Allah SWT. Lihatlah sahaja bagaimana Baginda Rasulullah SAW diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai ujian dan cabaran, yang jika ujian sama ditimpakan kepada aku, aku yakin bahawa aku tidak mampu bertahan lama. Begitulah juga para sahabat dan para pendakwah yang terdahulu, mereka diuji dengan pelbagai mehnah dan cubaan daripada Allah SWT.

Tidaklah semua ini ditakdirkan oleh Allah SWT kepada para pejuang dakwah kecuali untuk mendekatkan mereka kepada Yang Maha Berkuasa. Tidaklah semua ujian ini berlaku melainkan untuk mendidik jiwa-jiwa para petugas dakwah agar lebih mantap dan teguh dalam menghadapi kesukan jalan ini. Tidaklah diuji para pendakwah dengan pelbagai mehnah dan tribulasi kecuali untuk menguatkan barisan-barisan mereka, mengikat hati-hati mereka dan menzahirkan siapakah yang benar akan niatnya dan siapakah yang munafiq di jalan ini.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut: 2-3)

Inilah jalan dakwah. Cabaran adalah salah satu daripada ‘lauk’nya. Suka atau tidak, kita perlu menempuhinya. Dan ingatlah, tidaklah Allah SWT merakamkan sirah dan kisah pejuangan Nabi-nabi terdahulu di dalam Al-Quran kecuali untuk dijadikan tauladan dan panduan kepada para pendakwah. Ya, rujuklah sirah Rasulullah SAW, para sahabat dan para pendakwah yang terahulu untuk dijadikan senjata dan bekalan dalam menghadapi segala macam cabaran di jalan dakwah ini.

Secara kesimpulannya, setiap pendakwah akan menghadapi ujian dan cubaan dalam 5 bentuk. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

‘’Orang mukmin itu sentiasa berada di ambang lima dugaan yang sukar; Mukmin yang dengki kepadanya; Munafik yang benci kepadanya; Kafir yang memeranginya; Syaitan yang menyesatkannya; Nafsu yang sering bertarung untuk menewaskannya’’

MENGAPA AKU MEMILIH JALAN INI

Aku meyakini dan memahami bahawa berada pada jalan ini bukanlah satu pilihan, bahkan ia adalah satu KEWAJIPAN bagi setiap individu Muslim. Kewajipan ini akan dipersoalkan kelak oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Bagaimana mungkin aku meninggalkan jalan ini, sedangkan ia adalah sebahagian daripada arahan yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Aku mengakui Al-Quran adalah perlembagaan hidupku, namun apalah gunanya jika aku tidak sanggup untuk mematuhi perlembagaan itu.

Bagaimana mungkin untuk aku mengingkari jalan ini jika ia akan dipersoalkan kelak oleh Allah SWT. Tidak sanggup aku berdiam diri tanpa jawapan dihadapan Allah kelak, dihadapan Rasulullah SAW dan para manusia seluruhnya.

Bagaimana mungkin untuk aku meninggalkan jalan ini, jika Rasulullah SAW dan para sahabat baginda melalui jalan ini. Malulah aku untuk mengakui diri ini ummat Muhammad, tetapi tidak mahu untuk mewarisi jalan dakwah yang ditinggalkan Baginda ini.

Bagaimana mungkin aku mengelakkan diri dari berada dijalan ini, sedangkan ketika ini para saudaraku ramai yang leka dan lalai dari ajaran Islam. Tidak sanggup aku untuk dilemparkan ke neraka dek kerana ‘tuntutan balas’ daripada saudara-saudara Muslimku kerana tidak berdakwah kepada mereka.

Bagaimana mungkin aku mengasingkan diri dari jalan ini, sedangkan masih ramai manusia yang tidak mengenali dan memahami Islam. Sedangkan Islam adalah agama Fitrah. Menjadi tugas akulah untuk mamimpin manusia kembali kepada fitrah itu.

Bagaimana mungkin aku meninggalkan jalan ini, jika iaadalah satu-satunya jalan yang boleh membawa aku ke Syurga Allah SWT. Inilah jalan yang lurus, satu-satunya jalan yang lurus.

Mana mungkin aku tidak berada pada jalan ini, jika jalan inilah yang mampu mendekatkan aku kepada Allah SWT dan juga mempertemukan aku kelak dengan Rasulullah SAW.

Aku tidak mahu Allah SWT murka kepada aku, aku tidak mahu Rasulullah SAW kecewa dengan aku, aku tidak mahu para manusia menuntut dariku kelak. Justeru aku memilih jalan ini untuk menghindari semua itu. Inilah kewajipan aku, dan kewajipan kalian semua.

BUAT MEREKA DISEKELILINGKU

Jalan ini menuntut aku untuk berkorban segala-galanya. Korbankan segala yang ada pada diriku. Tenagaku, masaku, hartaku, dan segalanya perlu aku luangkan dan infaqkan untuk jalan ini. Itulah harga yang perlu aku bayar.

Justeru, aku merayu dan memohon kepada anda semua yang berada disekelilingku, fahamilah tugasku ini. Sesungguhnya diriku ini adalah milik Allah SWT, bukan milik aku dan milik kalian. Janganlah kalian sedih dan kecewa jika aku meluangkan banyak masaku, tenagaku dan hartaku kepada Allah SWT dengan berada di jalan ini. Kerana Dialah yang berhak untuk diriku ini.

Janganlah kalian dengki dengan Allah SWT, janganlah kalian marah dengan jalan ini. Ketahuilah, jalan ini juga menuntut dan mengajarkan aku untuk tidak melupakan tanggungjawabku kepada kalian. Dan InsyaAllah, aku akan sentiasa memenuhi dan menunaikan tanggungjawabku kepada kalian.

Namun, jika kadang-kadang aku lupa dan leka daripada menunaikan amanahku dan tanggungjawabku kapada kalian, maafkanlah aku. Aku sedar, aku ini lemah dan mudah lupa. Mungkin ada masanya ketika imanku menurun, aku akan lalai dari menunaikan hak-hak kalian ke atas diriku ini. Ingatkanlah aku, tegurlah aku dan maafkanlah aku.

Akhirnya, aku menyeru untuk kalian bersama-sama denganku di jalan ini. Justeru, banyaklah masa untuk kita bersama-sama jika kita bersama pada jalan ini. Jalan ini bukanlah untuk aku sahaja, ia juga adalah untuk kalian juga.

ANILAH JALANKU

Semakin aku mendalami jalan ini dan semakin aku menyelami akan hakikat jalan ini, maka semakin sedarlah aku bahawa jalan ini tiada pengakhirannya di dunia ini. Sedarlah aku bahawa aku hanyalah mata rantai yang menyambung jalan dakwah ini. Dan aku perlu memastikan mata rantai jalan dakwah ini tidak putus. Aku harus memastikan terdapat golongan manusia selepas aku yang akan menyambung mata rantai perjuangan dakwah ini.

Alhamdulillah, sehingga saat ini, aku masih lagi kekal di jalan ini. Dan aku berharap semoga aku terus diberikan kekuatan dan semangat untuk istiqamah di jalan ini. Kadang-kadang aku terfikir, adakah keberadaan aku dijalan ini membuahkan pahala ataupun hanyalah menambahkan bebanan dosa diriku ini. Aku memohon kepada Allah SWT agar sentiasa diperbetulkan niatku berada di jalan ini. Semuanya hanyalah kepada Allah SWT.

Inilah jalan hidupku. Inilah warna perjalanan hidupku. Suka atau tidak, sekali lagi aku tegaskan ia bukanlah satu pilihan bagiku. Ia adalah amanah dan tanggungjawab yang besar. Ya, inilah jalanku dan aku meyakini akan kebenaran jalan ini.

No comments:

Post a Comment