Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam ukhwah dan salam perjuangan untuk para sahabat dan kekawan sekalian.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah! Perbanyakkanlah syukur kita semua kepada Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, yang begitu bermurah hati mengurniakan kita dengan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Lihat sajalah tubuh badan kita, berapa banyak nikmat yang diberikan oleh Allah SWT bagi menyempurnakan penciptaan kejadian kita. Bayangkan jika salah satu anggota badan kita ditarik balik oleh Allah SWT, betapa sukarnya kita untuk hidup dengan baik. Justeru, siapalah kita untuk tidak bersyukur dengan segala nikmat ini? Siapalah kita untuk kufur kepada Allah SWT?
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescya Aku akan tambahi nikmatKu kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amat keras" (Ibrahim: 7)
Ceramah Ustaz Azhar: Satu Pengajaran!
Semalam telah diadakan satu kuliah maghrib di UIAM Kuantan sempena dengan Hari Terbuka UIAM Kuantan 2010. Penceramah jemputannya ialah Al-Fadhil Al-Ustaz Azhar Idrus dari Terengganu. Seperti yang aku duga, begitu ramai sekali yang hadir bagi mendengar dan mengambil manfaat dari perkongsian dan peringatan dari penceramah tersebut. Bukan sahaja para siswa dan siswi UIAM, tetapi juga masyarakat sekitar Kuantan yang hadir bersama-sama keluarga dan sahabat handai. Begitulah selalunya suasana di setiap tempat Ustaz Azhar berceramah.
Ustaz Azhar Idrus
Bagi aku, ini kali pertama aku mendengar ceramah atau tazkirah dari Ustaz Azhar secara lansung. Kalau sebelum-sebelum ni, aku hanya mendengar melalui rakaman-rakaman video di Internet, tidakpun melalui cakera padat yang dijual di kedai. Meriah sekali suasananya. Ceramah dan tazkirah yang cukup 'hidup'. Tidak membosankan kerana penuh dengan unsur-unsur lucu dan jawapan yang diberikan bagi setiap soalan cukup waqi'e.
Sehinggakan, semasa sesi menjawab soalan, salah satu soalan yang dikemukakan oleh seorang penonton ialah "kenapa setiap kali ada ceramah ustaz, mesti ramai orang yang hadir? apakah rahsia disebaliknya?". Ustaz Azhar tidak menjawab secara terus soalan tersebut, sebaliknya dengan sifat rendah diri menyatakan banyak lagi ceramah-ceramah dari ustaz-ustaz lain yang ramai orang hadir. Dan meminta penyoal itu untuk bertanyakan soalan itu kepada semua penonton dan pendengar yang hadir. Walaupun soalan dan jawapan yang diberikan membuatkan semua yang hadir ketawa, namun di sana ada satu pengajaran dan hikmah yang boleh diambil.
Ceramah Ustaz Azhar yang sentiasa dipenuhi dan diminati orang ramai
Bagi aku, ada beberapa faktor yang menyebabkan ceramah Ustaz Azhar ini sentiasa diminati dan dihadiri oleh ramai orang. Antaranya ialah:
- Isi dan hujjah yang menarik dan jelas
- Ilmu yang luas dan banyak rujukan
- Penyampaian yang penuh bertenaga dan bersemangat
- Suara yang jelas walaupun menggunakan sleng Terengganu
- Plot ceramah yang menarik (tajuk tetap/umum, kemudian diikuti oleh sesi soal jawab)
- Unsur-unsur humor yang menghidupkan ceramah
- Jawapan yang waqi'e dan jelas bagi setiap soalan
- Soalan secara bertulis yang dapat mengelakkan ada yang malu untuk bertanya
- Wujud interaksi antara penceramah dan penonton
Inilah antara faktor-faktor yang mampu aku senaraikan. Mungkin ada lagi faktor-faktor lain yang anda semua lebih tahu. Bagi aku, inilah antara ciri-ciri yang perlu ada bagi setiap penceramah bagi menarik kehadiran ramai orang dan juga ceramah yang disampaikan berkesan dan mendapat perhatian para pendengar. Jika ceramah yang disampaikan agak lesu dan tidak bersemangat, bagaimana kita mahu menarik orang ramai untuk hadir, apatah lagi mahu memastikan ceramah yang disampaikan masuk ataupun melekat dalam hati para pendengar yang hadir.
Khutbah Jumaat yang Bosan dan Lesu!
Suasana seperti yang aku ceritakan di atas sukar untuk ditemui ketika khutbah Jumaat. Sepanjang aku bersolat jumaat di beberapa buah masjid, boleh dikatakan majoritinya atau hampir semuanya agak lesu dan bosan. Bukanlah maksud aku khutbah jumaat itu perlu sama dengan kuliah Ustaz Azhar mahupun kuliah-kuliah lain yang begitu hidup, tetapi cukup sekadar memastikan ianya mendapat perhatian dan tidak membuatkan para pendengar bosan dan tidur. Sehinggakan ada cakap-cakap yang mengatakan, jika mahu mencari tempat orang mengantuk dan tidur, carilah di masjid-masjid ketika hari Jumaat. Inilah hakikatnya dan hakikat ini perlu diubah.
Kenapa Khutbah Jumaat sentiasa lesu dan membosankan?
Solat Jumaat adalah satu perhimpunan besar bagi ummat Islam, dan khutbahnya adalah satu pengisian rohani dan sebagai peringatan mingguan kepada para muslimin. Apalah gunanya jika sebelum dan selepas solat jumaat tidak ada lansung perubahan dan keinsafan pada diri. Apalah gunanya jika solat Jumaat itu dianggap biasa sahaja dan tidak mampu memuhasabah diri. Jika begitu lebih baik solat Jumaat itu sekadar solat semata-mata tanpa ada khutbah. Allah SWT mensyari'atkan khutbah semasa solat Jumaat sebenarnya mempunyai tujuan yang besar dan penting.
Seperti yang dikatakan di atas, ianya sebagai satu method peringatan, pengisian rohani dan percambahan ilmu agama untuk kita semua. Bagi mereka yang tidak berkelapangan untuk menghadiri kuliah-kuliah maghrib, khutbah Jumaatlah medan terbaik untuk percambahan ilmu agama. Tetapi jika khutbah yang disampaikan agak lesu, membosankan sehingga membuatkan para jemaah tertidur dan khatibnya pula tidak bersemangat dan suaranya hampir-hampir boleh dengar sahaja, apalah gunanya khutbah itu. Buang masa sahaja. Justeru, satu perubahan perlu dibuat. Para Tok Khatib perlu belajar untuk menjadi penyampai yang baik. Pada masa yang sama, kita sebagai jemaah Jumaat pun perlu menjadi pendengar yang baik. InsyaAllah, jika semua memahami tanggungjawab masing-masing, khutbah yang disampaikan mampu memberi kesan kepada semua.
Siru 'Ala Barakatillah! Sehingga berjumpa lagi.
No comments:
Post a Comment