Detik Waktu

Wednesday, October 27, 2010

Adakah Kita Benar-Benar Telah Berukhwah?

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Alhamdulillah. Mulakan hari kita dengan memuji Allah SWT. Inilah yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita semua. Apabila kita bangkit dari tidur, ucapan yang pertama sekali perlu kita sebut ialah Alhamdulillah. "Alhamdulillahillazi Ahyana Ba'da Ma Amatana Wailaihin Nusyur" (segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku selepas mematikan aku dan kepadanya kita dikembalikan).

Semalam, ketika mengisi masa terluang dengan melayari internet dan membaca emel-emel yang dihantar dan dikongsikan oleh sahabat-sahabat, aku sangat tertarik dengan satu emel yang dikongsikan. Satu perkongsian berkenaan dengan ukhwah di bawah tajuk "Ukhwah satu realiti". Antaranya, ia menceritakan tentang hakikat sebenar ukhwah di mana serendah-rendah tahap ukhwah adalah berlapang dada dan yang tertinggi sekali ialah ithar (mendahulukan sahabat). Perkongsian ini juga menyentuh bagaimana ukhwah mampu menjadi tali pengikat antara penggerak-penggerak dakwah dan menjadi asas kepada sinergi gerak kerja secara jamai'e.

Juga disentuh adalah tentang hakikat ukhwah. Berukhwah bukan sekadar kita mengetahui dan mengenali latar belakang sahabat kita sahaja, tetapi sampai kepada tahap kita memahami hati budi dan sifat diri serta mampu menerima sahabat kita seadanya. Sehingga pada satu ketika, kita akan meletakkan kebajikan dan kepentingan sahabat melebihi kepentingan diri sendiri. Inilah yang dinamakan ithar dalam berukhwah. Akhirnya, perkongsian ini juga mengingatkan kita tentang batas berukhwah. Kita boleh menyayangi dan mengasihi sahabat dengan sepenuh hati, namun janganlah kasih dan cinta kita kepada sahabat mengatasi kasih kita kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan kedua ibubapa kita.

Begitu indah sekali ukhwah. Begitu mulia sekali mereka yang berukhwah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Namun persoalannya, adakah kita (aku dan anda) hari ini benar-benar berukhwah? Adakah kita telah memenuhi kewajipan dan hak-hak dalam berukhwah? Adakah kita hari ini merasakan hadirnya ruh ukhwah dalam diri kita? Secara teorinya, hakikat ukhwah itu memang cantik. Namun, secara praktikaliti, ramai yang tumpas dalam memenuhi tuntutan berukhwah. Ramai yang merasakan diri telah berukhwah. Ramai yang merasakan diri telah menunaikan tanggungjawab sebagai sahabat.

Aku masih ingat kata-kata seorang sahabat aku ketika dijemput untuk menyertai satu program yang mana antara objektif utamanya ialah untuk mengeratkan ukhwah islamiah antara para peserta. Katanya:

"Aku dah malas nak join program macam ni. Retorik semata-mata. Ukhwah la konon. Masa program boleh la tunjuk. Tu pun kerana modul. Habis je program, satu pun tak jadi"

Aku terfikir, ada benarnya juga pendapat sahabatku ini. Kenapa? Hari ini aku melihat, ramai yang mampu bercerita dan berkongsi tentang kemanisan berukhwah. Ramai yang mampu membawa contoh-contoh sirah dalam menerangkan tentang pentingnya berukhwah. Namun tidak ramai yang mampu mempraktikkannya secara yang betul dan menyeluruh. Dan aku tahu, aku antara golongan tersebut (semoga kata-kata dan pendapatku ini adalah muhasabah untuk diri sendiri).

Tidak aku nafikan, ramai antara kita yang cuba menjalinkan ukhwah islamiah, namun kita sekadar puas dan merasakan cukup dengan kita mengetahui latar belakang sahabat kita secara ringkas dan mengetahui sifat-sifat dan ciri-ciri sahabat kita. Ataupun sekadar mengetahui apa yang sahabat kita suka dan apa yang sahabat kita tidak suka. Adakah ini ukhwah yang sebenar? Adakah ini ukhwah yang diterapkan dan diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua? Kalaulah ukhwah itu cukup sekadar memenuhi perkara-perkara di atas, mudahnya kita berukhwah. Begitu rendahnya nilai ukhwah.

Adakah aku telah benar-benar berukhwah? Pernahkan aku menasihati sahabat yang paling rapat akan kesalahan dan kekhilafan yang dilakukan? Adakah setiap kali aku hadir ke program-program ilmiah dan menunaikan tanggungjawab amal islami, aku memimpin tangan sahabat untuk sama-sama ke program tersebut? ataupun sekadar memenuhi tanggungjawab diri sahaja dengan membiarkan sahabat leka dari tanggungjawab mereka? Adakah aku pernah kejutkan sahabat untuk qiamullail dan solat subuh berjemaah bersama-sama? atau membiarkan sahabat terus lena dalam mampi mereka? Adakah aku pernah mendahulukan sahabat dalam urusan-urusan selain daripada ibadah? ataupun mendahului keinginan peribadi semata-mata?

Banyak lagi persoalan yang sepatutnya kita soal diri kita dan muhasabah diri kita. Ya, ukhwah bukan sekadar indah dimulut, tetapi kita perlu buktikan secara praktikal bagi memastikan diri kita betul-betul memahami erti sebenar berukhwah. InsyaAllah, jika petugas-petugas dakwah mampu menghayati hakikat ukhwah dalam erti kata yang sebenarnya, maka kita mampu untuk melihat satu natijah yang besar dan amat bermakna untuk gerak kerja Islam. Sinergi yang dihasilkan dari tali-tali ukhwah yang diikat dengan ikatan 'Aqidah mampu mewujudkan satu gerak kerja jamai'e yang berkesan dan kelansungan dakwah yang berterusan.

Ukhwah Fillah Abadan Abada! 

No comments:

Post a Comment