Detik Waktu

Saturday, October 20, 2012

KEHEBATAN TA'ARUF AL-USTAZ DAKWAH FARDIYYAH



4 Zulhijjah 1433H. SABTU.

Bismillah Wal Hamdulillah.

Antara perkara yang dikongsikan dalam usrah saya petang tadi bersama-sama sahabat ialah kisah seorang tokoh Ikhwanul Muslimin, yang bernama Dr. Abbas Asisi, yang juga dikenali sebagai Al-Ustaz Dakwah Fardiyah. Kisah bagaimana beliau menggunakan kepakaran beliau dalam kaedah TA'ARUF untuk memperkenalkan IM dan menarik para pemuda untuk bersama dalam perjuangan Islam yang dibawa IM. Kisah ini diceritakan di dalam buku beliau yang berjudul "Al-Hubbu Fi Qalbi" (kalau tidak silap).

Pada suatu hari, beliau yang berada di Iskandariah, menaiki sebuah van tumpangan menuju satu tempat. Pada waktu itu, van tumpangan merupakan pengangkutan awam yang terkenal di Mesir. Di dalam van itu, beliau duduk bersebelahan dengan seorang pemuda, yang kelihatan baik perwatakan dan berakhlak mulia. Terus beliau memasang niat untuk mengenali pemuda ini dan seterusnya memperkenalkan IM kepada pemuda ini dan menarik pemuda ini untuk bersama-sama dalam perjuangan yang dibawa oleh IM.

Bagi memulakan proses ta'aruf (perkenalan) ini, beliau dengan sengaja memijak kaki pemuda itu. Keadaan ini membuatkan pemuda tersebut sedikit marah dan bertanya kenapa beliau memijak kakinya. Jawab Dr Abbas, "Maaf, saya sengaja memijak kaki anda. Sebenarnya saya mahu berta'aruf dengan anda". Pemuda itu lantas bersetuju, lalu bermulalah proses ta'aruf tersebut. Dr Abbas Asisi memperkenalkan siapa beliau dan juga keterlibatan beliau dalam Jemaah IM. Beliau juga menceritakan tentang Islam, dan apa yang diperjuangkan oleh IM.

Pemuda itu sangat tertarik dengan penjelasan Dr Abbas Asisi. Akhirnya, selepas beberapa minit proses ta'aruf berlaku, Dr Abbas bertanyakan kepada pemuda itu, adakah beliau bersedia untuk bersama-sama dengan perjuangan yang dibawa oleh IM? Pemuda itu kini menjadi salah seorang ahli yang istiqamah dan pimpinan dalam IM.

Inilah hebatnya dakwah fardiyah seorang daie yang bernama Dr Abbas Asisi. Semuanya bermula dengan proses TA'ARUF, yang ditunjangi dengan keikhlasan hati dan matlamat untuk meyebarkan Islam.


No comments:

Post a Comment