Detik Waktu

Monday, March 5, 2012

SAAT ITU

Di saat hati resah dan gundah,
Kerana tebalnya titik hitam menerjah,
Hasil dosa yang tiada sudah,
Hanya kepada Tuhan aku berserah.

Apakah di sana suatu keinsafan,
Taubat seorang hamba memohon keampunan,
Mendambakan dan mengharapkan satu sinaran,
Cahaya hidayah Allah menjadi harapan.

Di saat hati resah dan gundah,
Kerana ibadah tiada rasa halawah,
Jauhnya khusyu’ daripada membuah,
Kepada-Mu Ya Allah aku berserah.

Tidakkah zikir itu menenangkan yang resah,
Mendamaikan hati yang sentiasa gundah,
Sujud dan istighfar memohon maghfirah,
Mengingati-Mu pasti membuatku gagah.

Wahai Allah Tuhan Yang Satu,
Hanya kepada-Mu aku mengadu,
Mengharap rahmat dan petunjuk-Mu,
Agar kehidupan ini dapat ku lalu.

Di saat Kau berbicara denganku,
Menguji Aqidah dan juga Imanku,
Memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan-Mu,
Agar diri yang lupa ini kembali dipandu.

Bicara-Mu terkadang menggoncang kalbu,
Dek kerana nipisnya amalanku,
Namun di sana ada hikmah yang membantu,
Menyuburkan tangkai jiwa yang sudah layu.

Tiada lagi resah dan gundah,
Mekar cuma ketenangan yang membuah,
Ibadahku kini sudah dihiasai halawah,
Tenangnya jiwa hasil daripada beruzlah.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
Rahmatilah hamba-Mu ini.

No comments:

Post a Comment