Detik Waktu

Monday, February 6, 2012

Allahumma Solli 'Ala Muhammad

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat dan rahmat yang diberikan-Nya kepada saya sehingga ke saat ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi dan rasul, juga sebagai pemimpin bagi seluruh ummat akhir zaman.

11 Rabiulawal 1433H,

Pagi yang sangat damai dengan cuaca cerah di bumi Serambi Mekah, Kelantan Darul Naim. InsyaAllah, esok ramai dikalangan ummat Islam di Malaysia, dan juga seluruh dunia akan meraikan hari kelahiran atau Maulid Rasulullah SAW. Meraikan hari ini bukan sekadar semata-mata untuk mengingati hari lahir Baginda SAW, namun apa yang terlebih penting dan utama adalah sebagai satu muhasabah dan dorongan untuk menghayati sirah perjalanan hidup Baginda SAW dan seterusnya mengambil iktibar dan pedoman untuk dijadikan satu qudwah dalam kehidupan kita di dunia ini.

Ya, Rasulullah SAW diutuskan untuk menyampaikan risalah Islam kepada seluruh ummat manusia akhir zaman. Baginda juga diutuskan untuk menjadi pemimpin dan suri teladan kepada seluruh ummat manusia, agar manusia dapat mengahrungi hidup di dunia ini selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Diutuskan juga Baginda SAW untuk melakukan perubahan dan transformasi kepada ummat manusia, mengeluarkan manusia dari kegelapan kehidupan jahiliyyah, kepada cahaya kehidupan Islam.

Alhamdulillah, semalam telah diamanahkan untuk menyampaikan khutbah Jumaat, yang mana kandungannya menceritakan tentang perubahan-perubahan yang telah dibawa dan dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah SAW. Perubahan dari segenap ruang kehidupan manusia, yang dahulunya dihiasi dengan kegelapan kepada sinar cahaya Islam yang lagi benar dan luhur. Baginda bukan sahaja melakukan perubahan dari segi Aqidah dan pegangan ummat manusia, bahkan perubahan itu juga darisegi Akhlak, Politik, Sosial , Tatakenegaraan dan sebaginya.

Betapa besar sumbangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam memastikan ummat Baginda dapat mengahrungi kehidupan dunia ini dengan cara yang terbaik dan menepati aturan Allah SWT. Kadang-kadang, apabila berkesempatan membelek dan membaca kembali sirah perjalan hidup Baginda Rasulullah SAW, perasaan sayu sehingga menitiskan air mata hadir kerana mengenangkan kesungguhan dan usaha yang telah dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam melaksanakan amanah dakwah yang besar ini.

Perasaan rindu juga hadir apabila mendengar lagu-lagu nasyid yang menceritakan keagungan dan kisah hidup Rasulullah SAW, terasa begitu kuat sekali untuk bertemu dan mendampingi diri Rasulullah SAW. Alangkah bertuahnya mereka yang hidup sezaman dengan Baginda Rasulullah SAW, berdakwah dan berjuang bersama Baginda SAW, bersuka dan berduka bersama Baginda SAW. Juga, bertuahlah mereka yang dapat bertemu dan bersama dengan Rasulullah SAW walaupun di dalam mimpi, kerana mereka adalah mereka yang dipilih oleh Allah SWT untuk merasai nikmat itu.

Namun, tidak dapat dinafikan, diri yang lemah dan hina ini juga sebenarnya tersangat merindukan Baginda SAW, berharap agar dapat bertemu dengan Baginda SAW di dalam mimpi. Walaupun, mungkin hanya setitik cuma Sunnah Rasulullah SAW yang dapat diaplikasikan dalam hidup ini, aku sangat-sangat berharap agar turut dipilih oleh Allah SWT untuk bertemu dengan Baginda SAW di dalam mimpi. Ya Allah, perkenankanlah permintaan hambaMu ini.

Sudah hampir 1422 tahun baginda Rasulullah SAW meninggalkan kita semua dan kembali ke sisi Allah SWT, namun sunnah Baginda tetap diamalkan sehingga kini. Pernah pada suatu hari, Rasulullah SAW merasa sedih dan hiba kerana tersangat merindui saudara-saudara Baginda SAW. Lalu ada dikalangan sahabat yang bertanya, “Bukankah kami ini saudara-saudaramu Ya Rasulullah SAW?”. Maka Baginda Rasulullah SAW menjawab, “Kamu adalah sahabat-sahabatku”. Berkata Rasulullah SAW, “Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi kecintaan mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka”.

Wahai teman,

Kita ini adalah saudara-saudara Baginda Rasulullah SAW. Sebelum kita dilahirkan ke dunia ini lagi, Baginda Rasulullah SAW sudah menyatakan rasa rindu kepada kita semua. Adakah kita semua turut merindui Baginda Rasulullah SAW? Alangkah bahagianya, jika pada saat dan ketika ini, Rasulullah SAW berada dengan kita, hidup di kalangan kita, kita dapat menatap wajah suci Baginda, menghidu bau tubuh Baginda yang harum mewangi, menyentuh tangan Rasulullah SAW yang lembut, mendengar khutbah Baginda secara lansung dan banyak lagi. Pasti, ia akan menjadi satu kenangan dan pengalaman yang sangat indah dan bermakna sekali.

12 Rabiulawal, tarikh kelahiran Baginda Rasulullah SAW. Kita meraikannya sebagai tanda kecintaan dan kerinduan kita kepada baginda SAW. Namun, apalah gunanya jika hanya pada tarikh tersebut kita berselawat dan mengingati Baginda SAW, sedangkan pada hari-hari lain, kita leka dan lalai daripada berselawat kepada Baginda SAW, apatah lagi untuk melakukan sunnah Baginda SAW. Walaupun kita tidak hidup sezaman dengan Baginda SAW, namun sebenarnya kita pasti dapat merasai kehadiran Baginda SAW jika kita sentiasa mengamalkan sunnah Baginda SAW.

Mungkin kita lupa, 12 Rabiulawal bukan sekadar tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah ia juga merupakan tarikh kewafatan Baginda SAW. Bukan hanya kelahiran Baginda yang perlu diingati, bahkan kematian Baginda SAW juga perlu dihayati. Kerana di sana banyak pengajaran dan peringatan yang sangat berguna untuk kita teladani dan pelajari, di sana juga banyak unsur-unsur fiqh yang pasti dapat dijadikan satu ikhtibar atau contoh bagi menghadapi realiti kehidupan hari ini.

Allahumma Solli ‘Ala Muhammad, Allahumma Solli ‘Alaihi Wasallim.

No comments:

Post a Comment