Sajak: Hijrah Yang Agung
Hijrah!
Apakah yang kau tahu tentang hijrah?
Apakah yang kau hayati tentang hijrah?
Apakah yang kau ikuti daripadanya?
Hijrah!
Sebuah kisah perjalanan yang mulia,
Sebuah peristiwa tauladan yang bermakna,
Sebuah ketetapan kehidupan yang terlaksana.
Hijrah!
Bermula kerana tekanan yang menimpa,
Di saat dakwah mencari manusia,
Memimpin masyarakat mengenal Yang Esa.
Hijrah!
Hadirnya merupakan sinar yang bercahaya,
Merupakan doa orang-orang yang dihina,
Kerana menyebarkan Islam yang tercinta.
Hijrah!
Satu pengorbanan yang tidak sia-sia,
Satu keihklasan yang ditanam di jiwa,
Satu jihad yang amat mulia.
Hijrah!
Perintah mutlak daripada Yang Esa,
Menguji iman mereka yang setia,
Muhasabah cinta mereka kepada-Nya.
Hijrah!
Ternukilnya satu pengorbanan yang besar,
Daripada sahabat-sahabat yang tidak gentar,
Melindungi Rasul daripada mereka yang tidak sedar.
Hijrah!
Satu permulaan kepada kejayaan yang dijanjikan,
Memimpin ummat kepada sinar dan harapan,
Berkorban dan berjuang agar Islam didaulatkan.
Hijrah!
Daripadanya mekar sebuah persaudaraan yang hakiki,
Bersatunya golongan-golongan yang dimuliai,
Dengan aqidah Islam menjadi intipati.
Hijrah!
Dibinanya sebuah negara Islam yang dinanti-nantikan,
Permulaan satu tamadun ummah yang diimpikan,
Dengan Rasulullah dijadikan pimpinan.
Inilah Hijrah!
Kisah perjalanan mereka yang beriman,
Meninggalkan kampung halaman mematuhi arahan,
Diwarnai dengan pelbagai mehnah dan ujian.
Inilah Hijrah!
Perpindahan agung yang telah dinukilkan,
Pengajaran bermakna yang telah diceritakan,
Buat kita ummah di akhir zaman.
Inilah Hijrah!
Untuk kita hayati, fahami dan tekuni,
Bukan sekadar untuk dirai,
Satu muhasabah buat diri sendiri.
Insan Rabbani,
Teratak Riadus Solihin,
9.00am (Selasa)
1 Muharram 1432H.
No comments:
Post a Comment