Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam ukhwah dan salam perpaduan buat sahabat-sahabat dan rakan-rakan mahasiswa sekalian.
Sudah hampir seminggu aku tidak menulis dalam blog ini. Sebenarnya tercari-cari juga ruang masa yang kosong untuk 'update' blog ini. Namun waktu tidak mengizinkan. Walaupun sebenarnya ada sahaja masa-masa kosong, namun ianya aku isi dengan perkara-perkara yang lebih mendesak dan segera. Inilah hakikat kehidupan kita pada hari ini dan benarlah kata seorang ulama' bahawa kewajipan (tanggungjawab) lebih banyak daripada waktu yang kita ada.
Al-Wajibat Aktharu Min Al-Auqat (kewajipan lebih banyak dari waktu)
Hari ini, waktu yang kita ada dirasakan semakin singkat. Seminggu dirasakan bagaikan sehari, sehari dirasakan bagaikan sejam dan begitulah seterusnya. Inilah sebenarnya salah satu tanda bahawa hari Akhirat semakin hampir dengan kita. Perkara ini telah diceritakan oleh Rasulullah SAW ketika menjelaskan tentang tanda-tanda hari pembalasan semakin hampir. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan, dan sebulan dirasakan seperti seminggu, dan seminggu dirasakan seperti sehari, dan sehari dirasakan seperti sejam dan sejam dirasakan seperti percikan api"
Ya Allah, benarlah sekali kata-kata Rasulullah SAW. Inilah yang aku rasakan hari ini, dan aku yakin anda semua pun merasakan sedemikian. Betapa lajunya masa berjalan dan betapa singkatnya masa yang kita ada pada hari ini. Justeru, sedarkah kita bahawa Hari Akhirat sebenarnya semakin hampir dengan kita. Bukan ini sahaja tanda-tanda akhirat semakin hampir. Banyak lagi peristiwa-peristiwa dan tanda-tanda hari kiamat, sebagaimana yang telah diceritakan dalam banyak hadis-hadis Rasulullah SAW, telah berlaku hari ini.
Antaranya ialah:
Daripada Ummul Mu'minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau berkata: "(pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas dan bersabda: "La ilahi illallah, celaka (binasa) bagi Bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini" dan baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Adakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami ada orang-orang yang soleh?" Lalu Nabi SAW bersanda: "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak" (HR Bukhari dan Muslim)
Daripada Abdullah bin Amr bin ash' ra berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :" Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai peminpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain." (HR Muslim)
Daripada Abu Said Al-Kudri ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :" Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya, " "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?" Nabi SAW menjawab, " Siapa lagi kalau bukan mereka". (HR Muslim)
Ya! Akhirat semakin hampir. Namun persoalannya: bersediakah kita untuk berhadapan dengannya? Adakah segala amalan kita sehingga saat ini cukup untuk menjamin kebahagiaan kita di hadapan Allah kelak? Bersedialah! Selagi masa masih ada, selagi nyawa dikandung badan, selagi ajal belum menjelma, gunalah masa yang kita ada untuk membuat persediaan yang terbaik. Tingkatkan amalan kita, sentiasa muhasabah diri dan perbaiki diri.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan" (Al-Hasyr: 18)
BERSEDIALAH! BERSEDIALAH! BERSEDIALAH!
No comments:
Post a Comment