Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, pagi Jumaat yang nyaman dan tenang di Kuantan. Jumaat, sayyidul ayyam (ketua bagi hari), semoga kita mengisinya dengan amalan yang mampu mendekatkan kita dengan syurga Allah dan menjauhkan kita dengan neraka Allah SWT.
7.45 pagi nanti ada temu janji dengan 'Murabbi' dari Kelantan di Restoren Pak Lah, sarapan sambil membincangkan isu-isu semasa. Aku tak sabar untuk bertanyakan perkembangan PRK Dun Galas. Sebagai rakyat Kelantan, aku rasa aku patut tahu sedikit sebanyak berita dan perkembangan pilihanraya tersebut. Pilihanraya "Persahabatan", itulah kata pengarah pilihanraya BN, Tengku Razaleigh Hamzah. Harapnya begitulah!
Sambil menantikan waktu yang dijanjikan, aku sempat melayari internet melihat berita-berita di akhbar tempatan hari ini. Memang dah menjadi kebiasaan aku, yang pertama sekali aku akan membaca ruangan sukan, seterusnya ruangan dunia dan akhir sekali baru baca ruangan berita-berita tempatan. Ketepikan isu kehangatan perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 di ruangan sukan, bencana tsunami dan letupan gunung berapi di Indonesia di ruangan antarabangsa dan kehangatan PRK Galas dan Batu Sapi di ruangan berita tempatan, aku amat tertarik dengan tajuk utama akhbar Utusan Malaysia pada hari ini iaitu "Ramai Buta Sejarah".
(Murabbi dah sampai, sambung kejap lagi)
................................................
................................................
................................................
(Selepas sejam di Pak Lah)
Kehangatan Isu SEJARAH!
Semenjak Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa matapelajaran Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus SPM bermula tahun 2013, dan juga matapelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula tahun 2014, pelbagai reaksi diberikan oleh pelbagai pihak. Seperti biasa, ramai yang menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan ini dan ada juga suara-suara penentangan yang mahukan kerajaan membuat kajian lebih mendalam sebelum melaksanakan perancangan ini.
Bagi aku, aku menyokong langkah kerajaan yang ingin menjalankan transformasi terhadap subjek sejarah ini. Dan aku mengakui akan kepentingan mengetahui dan memahami sejarah negara sebagai satu tanda kecintaan dan semangat patriotisma terhadap negara. Tak kenal maka tak cinta. Kalau kita tidak mengetahui dan menghayati sejarah negara, bagaimana kita mampu untuk menghargai sumbangan para pejuang negara dan juga mensyukuri segala nikmat keselesaan dan kemerdekaan yang dikurniakan Allah SWT ini. Sejarah adalah untuk diinsafi dan diambil ikhtibar.
Fokus yang lebih utama!
Namun, di sana, aku melihat ada fokus yang lebih penting lagi yang perlu diutamakan dan diambil berat oleh kerajaan berbanding dengan menaiktarafkan status subjek sejarah semata-mata. Sebelum ini, kita sering membaca tentang cadangan dan gesaan daripada beberapa pihak supaya kerajaan mengkaji dan menilai semula kandungan dalam matapelajaran subjek sejarah. Ini termasuklah ketepatan fakta, maklumat dan fakta yang lebih telus dan adil dan mengambil sikap neutral dalam mengumpul fakta-fakta sejarah. Aku merasakan gesaan ini ada benarnya dan perlu diberikan perhatian yang khusus oleh kerajaan dengan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Adakah fakta di dalam buku teks Sejarah salah dan tidak telus?
Walaupun aku ini bukanlah pakar sejarah, tetapi hasil pembacaan aku, memang ada kekeliruan dan kecelaruan dalam fakta-fakta sejarah khususnya yang terdapat di dalam sukatan pelajaran Sejarah itu sendiri. Pada pendapat aku, jika kerajaan bercita-cita untuk melahirkan rakyat yang benar-benar cerdik dan tahu sejarah, ia sepatutnya bermula dengan ketelusan kerajaan, melalui panel yang dilantik, dalam menyusun fakta-fakta sejarah. Aku yakin, jika maklumat itu lebih menyeluruh dan mengambil kira pandangan dan fakta dari pelbagai pihak, pengajian dan pembelajran sejarah itu akan lebih menarik. Jika sejarah yang diceritakan hanya memaparkan fakta dan cerita dari sebelah pihak sahaja, tak ada maknanya rakyat mengetahui sejarah apatah lagi menghayati dan mengambil ikhtibar dari peristiwa sejarah itu.
Fakta penting yang tidak dikupas dalam pembelajaran sejarah kemerdekaan negara!
Satu lagi aspek yang perlu diberikan pertimbangan oleh kerajaan ialah tentang method pembawaan dan pelaksanaan matapelajaran sejarah. Mudahnya kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah. Hal ini pernah disuarakan banyak pihak termasuklah seorang aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar.
"Kaedah pembelajaran dunia yang bersifat 'dari atas ke bawah' kini dikritik dan ia seharusnya bersifat komunikasi dua hala melalui perbincangan terbuka di bilik darjah. kaedah pembelajaran penting bagi memastikan pelajar memahami dan menerima apa yang diajar"
"Pada hemat saya, pengisian ini perlulah lebih daripada menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan dan apa yang lebih penting mereka memahami falsafah di sebalik subjek sejarah yang bertujuan meningkatkan kefahaman diantara kaum di Malaysia" (Berita Harian, 25/10/2010)
Pembelajaran bersifat dua hala dan menyeronokkan perlu dititikberatkan dalam subjek sejarah
Aku amat bersetuju dengan pandangan beliau ini. Kebiasaannya para pelajar menganggap subjek sejarah adalah sebjuk "mengantuk" dan tidak mendapat perhatian daripada para pelajar. Kegagalan masyarakat terutamanya golongan pelajar untuk menjadi cerdik sejarah adalah berpunca dari sistem pembelajaran yang membosankan dan bersifat satu hala. Justeru, aku melihat perbincangan dalam memikirkan cara dan kaedah terbaik dalam pengajaran dan pembelajran subjek sejarah adalah lebih utama berbanding menaiktarafkan subjek sejarah itu sendiri.
Kenapa Sejarah tidak Pendidikan Islam/Moral?
Kenapa aku membangkitkan persoalan ini? Melihat kepada alasan kerajaan dalam usaha menaiktarafkan subjek sejarah, yang ingin meningkatkan tahap kepekaan terhadap sejarah dan meningkatkan semangat cintakan negara di kalangan rakyat, pada hemat aku ia bukanlah langkah yang segera dan mendesak yang perlu diambil kerajaan. Ada isu yang lebih BESAR dan PENTING yang perlu diselesaikan dan diatasi oleh kerajaan. Dan pada hemat aku, isu ini sebenarnya secara tidak lansung mampu mengatasi isu tidak tahu dan tidak menghayati sejarah dikalangan masyarakat.
Hari ini aku melihat kerajaan lebih risaukan rakyat yang BUTA SEJARAH berbanding rakyat yang BUTA AGAMA. Aku melihat kerajaan lebih bimbangkan rakyat yang tidak ada semangat petriotisma kepada negara berbanding rakyat yang tidak ada rasa cinta kepada agama. Padahal, setiap hari kita dibentangkan dengan berita-berita mengenai keruntuhan akhlak dan moral, pembunuhan, kes buang anak, kecurian dan banyak lagi. Setiap hari tidak akan terlepas di dada-dada akhbar tempatan mahupun di kaca-kaca televisyen dan cerobong-cerobong radio dari memaparkan berita-berita mengenai masalah-masalah yang disebutkan tadi. Saban hari, isu ini semakin merebak dan serius, namun tidak nampak usaha yang betul-betul drastik dan berkesan diambil terutamanya dair pihak keraja untuk mengatasi masalah ini.
Pada hemat aku, bidang pendidikan adalah salah satu jalan dan ruang yang paling efektif dan sesuai dalam mengatasi masalah-masalah ini. Jesteru, aku ingin mencadangkan agar kerajaan menaiktarafkan matapelajaran Pendidikan Islam/Moral berbanding memberikan fokus kepada matapelajaran sejarah. Bukannya aku tidak melihat kepentingan pembaharuan dalam subjek sejarah, tetapi seperti yang aku nyatakan sebelum ini, ia BUKANlah sesuatu yang MENDESAK dan PERLU DISEGERAKAN. Transformasi dalam pembelajaran subjek agama dan pendidikan moral adalah LEBIH PENTING dan SEGERA bagi mengatasi masalah-masalah yang disebutkan tadi.
Kajian semula kepada silibus ataupun sukatan subjek pelajaran agama dan pendidikan moral perlu dilakukan segera. Perbincangan yang lebih luas, yang tidak tertumpu kepada perkara ibadah khusus semata-mata, perlu bagi memastikan masyarakat faham Islam secara menyeluruh. Method pembelajaran yang lebih mendidik (tarbiyah) daripada mengajar (ta'alim) semata-mata perlu dilaksanakan. Tidak salah untuk aku katakan bahawa subjek sejarah juga boleh dimasukkan di dalam sukatan Pendidikan Agama. Islam sendiri menitikberatkan tentang penghayatan terhadap sejarah dan semangat patriotisma berasaskan 'Aqidah. Aku merasakan jika subjek sejarah diajar dibawah matapelajaran agam atau moral, ianya akan lebih berkesan dan memberikan fokus yang lebih luas untuk perbincangan.
Orang Muda Buta Sejarah!
Inilah tajuk salah satu berita yang dimuatkan dalam akhbar utusan Malaysia hari ini. Ia memaparkan hasil kajian dan kaji selidik yang dijalankan oleh unit khas Akbar Utusan Malaysia terhadap 200 orang responden yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Rujuk di sini.
Sebagai orang muda, aku amat terkesan dengan tajuk ini. Walaupun rasa marah, tetapi aku harus mengakui hakikat itu. Di sini aku ingin kongsi hasil kajian dan kesimpulan yang diberikan terhadap kajian yang dijalankan.
Antara kesimpulan yang diberikan oleh pihak yang menjalankan kaji selidik ini ialah:
- Remaja masa kini buta sejarah.
- Remaja masa kini tidak minat mengingati peristiwa lalu.
- Remaja masa kini tidak peduli soal-soal kenegaraan.
- Remaja masa kini tidak suka ilmu pengetahuan am.
- Remaja masa kini ambil mudah patriotisme.
- Remaja masa kini terlalu memandang ke depan.
- Remaja masa kini tidak dipupuk penghayatan, sebaliknya menghafal sejarah.
Apa pandangan anda wahai Orang Muda? Tidakkah anda rasa tercabar? Walau apapun, aku yakin hasil kajian ini akan memberikan kesedaran kepada kita untuk lebih mengetahui sejarah dan menjadi golongan celik sejarah. Aku cuma mengharapkan agar kita tidak sekadar mendapatkan maklumat dan fakta dari satu pihak sahaja, tetapi mencari sumber-sumber yang lain dan pandangan pihak-pihak lain juga perlu diambil kira agar kita mendapat maklumat yang tepat dan benar. Semoga kita bukan sekadar mengetahui sejarah negara, tetapi juga sejarah (sirah) Rasulullah SAW, para pejuanng Islam dan juga sejarah-sejarah penting jatuh bangun Islam sehingga ke hari ini. Aku yakin dan percaya ORANG MUDA BAKAL MENCIPTA SEJARAH!
No comments:
Post a Comment